Sabtu, 3 Oktober 2009

panduan ringkas tentang perceraian......zihar



ZIHAR
2.1 Pengertian Zihar
Zihar diambil daripada perkataan al-zahr yang bermaksud belakang. Hal ini kerana pada asalnya zihar adalah berlaku apabila suami berkata kepada isterinya, engkau bagiku seperti belakang ibuku.

Zihar pada istilah pula adalah apabila seorang suami menyamakan isterinya dari sudut pengharaman dengan salah seorang daripada mahramnya seperti ibu dan adik-beradik perempuannya. Ada yang mendefinisikan zihar sebagai suami menyamakan isterinya atau mana-mana anggota isterinya dengan ibunya atau dengan mana-mana perempuan muhram baginya. Orang arab pada zaman jahiliah menganggap zihar sebagai salah satu daripada cara talak. Namun Islam memberikannya satu tanggapan lain dan menentukan beberapa hukum yang lain selain daripada talak.

Contoh zihar seperti suami berkata kepada isterinya : " Punggung engkau seperti punggung ibuku " disertai dengan niat suami tidak lagi berminat dengan isterinya. Apabila suami berkata demikian kepada isterinya, maka haramlah bagi suami bersetubuh dengan isterinya, dan wajiblah suami membayar kafarah jika dia ingin kembali bersama dan bersetubuh dengan isterinya. Apabila lafaz ini telah diucapkan, mahkamah hendaklah memberi pilihan kepada suami samada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Jika si suami ingin merujuk kembali kepada isterinya, hendaklah dia membayar kaffarah. Sebaliknya jika dia engggan kembali kepada isterinya, dia hendaklah menceraikan isterinya dan tidak boleh rujuk semasa iddah

2.2 Hukum Zihar
Para ulama menyatakan bahawa zihar adalah haram dan berdosa. Allah SWT menamakannya sebagai mungkar dan dusta.

2.3 Lafaz Zihar
Lafaz yang membawa makna zihar terbahagi kepada 2 iaitu lafaz nyata dan lafaz kiasan. Lafaz yang nyata ialah lafaz yang tidak membawa makna selain makna zihar. Contohnya seorang suami berkata kepada isterinya, bagiku engkau seperti belakang ibuku, atau padaku engkau seperti belakang adik perempuanku. Apabila suami berkata demikian dia telah menzihar isterinya, samada dengan niat ataupun tidak selagi dia mempunyai syarat sah talak, iaitu cerdik berakal serta sedar makna yang diucapnya.

Lafaz zihar kiasan ialah lafaz yang boleh diandaikan membawa makna zihar dan bukan zihar. Contohnya suami berkata kepada isterinya bagiku engkau seperti ibuku atau padaku engkau seperti kakak perempuanku. Apabila suami berkata demikian maka makna ungkapan tersebut adalah menurut apa yang dimaksudkannya. Jika maksud suami ialah zihar, maka ia menjadi zihar. Sebaliknya jika seorang suami bertujuan menyamakan isterinya dengan mahramnya dari segi kemuliaan, penghormatan dan sebagainya ia tidak dianggap zihar.

2.4 Kesan Perbuatan Zihar
Apabila suami melafazkan zihar, samada secara nyata atau secara kiasan dengan niat zihar maka kesannya adalah seperti berikut:
1) Jika lafaz zihar zihar diikuti dengan lafaz talak, maka ianya dikira talak. Lafaz zihar tidak memberi sebarang kesan.
2) Jika lafaz zihar itu tidak diikuti dengan lafaz talak, atau dengan sebarang perkara yang memutuskan ikatan perkahwinan maka perbuatan suami itu dianggap menarik balik kata-katanya serta bertentangan dengan kata-kata tersebut. Perbuatannya tidak meninggalkan isteri yang dizihar itu dianggap membatalkan lafaz ziharnya. Justeru itu, suami perlu membayar kaffarah dengan segera

2.5 Kaffarah Zihar
1) Memerdekakan seorang hamba yang mukmin dan hamba tersebut tiada kecacatan yang boleh menjejaskan usaha dan kerjayanya seperti sangat tua atau kudung tangan atau kaki.
2) jika suami tidak mampu, atau ketiadaan hamba seperti pada zaman kita sekarang, suami hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut (bulan Qamariyyah)
3) jika suami tidak mampu berpuasa, atau tidak berdaya meneruskannya berturut-turut kerana sakit atau tua, dia hendaklah memberi makanan kepada 60 orang miskin dengan kadar secupak makanan asasi sesebuah negara

2.6 Kaffarah Zihar Perlu Disegerakan
Suami yang menzihar isterinya dituntut menunaikan kaffarah zihar dengan segera. Dia tidak halal bersetubuh dengan isterinya selagi mana kaffarah belum disempurnakan. Jika dia menyetubuhi isterinya yang telah dizihar sebelum menunaikan kafarahnya bermakna dia telah melakukan dosa dan maksiat

Tiada ulasan: