Sabtu, 3 Oktober 2009

muqaddimah panduan ringkas tentang perceraian



MUQADDIMAH
Dengan NamaNYA Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, syukur kepada Allah SWT saya berjaya menyusun risalah ini walau pun dengan kadar yang cukup ringkas. Sememangnya saya tidak begitu berminat dengan subjek munakahat atau ahwal al-shaksiyyah sejak zaman persekolahan lagi. Sememangnya sikap tidak begitu berminat ini menjadi hambatan dan kekangan sepanjang saya menyusun risalah ini.

Asas penulisan risalah ini ialah kitab feqh mazhab syafie yang bertajuk al-Fiqh al-manhaji cala madhhab al-Imam al-Shaficiyy ditambah dengan sedikit rujukan daripada kitab lain seperti Feqh 4 Mazhab, Tafsir al-Munir dan laman sesawang di internet. Saya tidak mengarang, hanyalah menyusun, mengedit, dan sesetengahnya menaip semula untuk memudahkan lagi bahasa penyampaian.

Dari segi teknik dan gaya penulisan, saya cuba menulis dengan gaya penulisan tesis UKM dan penggunaan footnote. Saya akui masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan saya di dalam teknik penulisan ini

Apa yang tertulis di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan asas, bahan mentah yang hanya berfungsi sebagai pembuka jalan untuk memahami konsep perceraian di dalam Islam. Saya tidak sempat untuk merujuknya kepada kawan-kawan atau ustaz yang bertugas di Pejabat Kadi Kuala Krai, Jabatan Agama Islam Kelantan, JAKIM Putrajaya mahu pun guru-guru saya di tanah Bangi dan Sungai Durian. Saya cuba juga untuk melihat laman web jabatan-jabatan agama di Malaysia khasnya Kelantan dan Terengganu namun pada masa risalah ini ditulis server internet streamyx saya nampaknya bermasalah. Justeru itu, sebaiknya anda cuba merujukkan kepada mana-mana imam, ustaz atau di pejabat kadi jika anda berdepan sebarang kemusykilan tentang munakahat. Apa yang tertulis hanyalah sebagai bahan mentah yang belum diproses menjadi set kerusi meja, perabot dan sebagainya. Harus diingat, kita harus meraikan sebarang pendapat fiqh yang telah digubal di dalam enakmen atau undang-undang agama di sesebuah negeri.

Jika apa yang tertulis di dalam risalah ini bertentangan dengan apa yang anda telah pelajari, atau bertentangan dengan ilmu dan pengetahuan sedia ada anda, atau bertentangan dengan mana-mana pendapat orang lain, hormatilah pendapat orang lain tersebut dan raikanlah mereka semua sesuai dengan adab perbezaan pendapat di dalam Islam. Ilmu fiqh sememangnya terlalu luas. Semoga kita semua dapat terus belajar, mengkaji dan beramal sebagai bekalan kita ke seberang sana.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyediaan artikel ini samada secara langsung atau tidak langsung. Semoga apa yang kita fikirkan, apa yang kita rancang dan buatkan dapat menjadi penolong kita di hari yang tidak ada penolong lagi kecuali dengan izinNYA. Terimalah seadanya….

Tiada ulasan: