Jumaat, 10 Disember 2010

Tabarruj 1 ( Definisi)

BAHAGIAN I

DEFINISI TABARRUJ

1.1 Tabarruj dari segi bahasa
Ibn Manzur di dalam Lisan al-Arab menafsirkan tabarruj sebagai wanita yang memamerkan keindahan dan perhiasannya kepada laki-laki. Tabarrajatil mar’ah artinya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya, dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada laki-laki dengan maksud untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.

1.2 Tabarruj dari segi istilah
Menurut istilah, tabarruj adalah setiap perhiasan atau kecantikan yang ditujukan wanita kepada mata-mata orang yang bukan muhrim. Termasuk orang yang mengenakan cadar (purdah), di mana seorang wanita membungkus wajahnya, apabila warna-warnanya terlala menarik perhatian dan ditujukan agar dinikmati orang lain, ini termasuk tabarruj orang jahiliyah terdahulu.

1.3 Pengertian tabarruj di dalam kitab-kitab tafsir

1.3.1 Tafsir Ibn Kathir
Di dalam tafsir Ibn Kathir, banyak dimuatkan petikan kata-kata ulama salaf tentang makna perkataan tabarruj. Di antaranya kata-kata Mujahid bahawa wanita dahulu keluar dan berada di antara para lelaki. Inilah maksud dari tabarruj jahiliyyah terdahulu. Sementara Qatadah pula memberikan gambaran tabarruj sebagai perbuatan wanita dahulu dalam keadaan berlenggak-lenggok serta genit. Allah melarang perkara sebegini. Muqatil bin Hayyan berkata, “Maksud tabarruj adalah wanita yang menanggalkan kerudungnya lalu nampaklah kalung dan lehernya. Inilah tabarruj terdahulu di mana Allah melarang wanita-wanita beriman untuk melakukannya.”

1.3.2 Tafsir al-Baidawiy
Al-Baidawiy semasa menafsirkan ayat ke 60 surah al-Nur memberi pengertian
tabarruj sebagai perbuatan mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan.

1.3.3 Tafsir al-Sabuniy (Sofwat al-Tafasir)
Al-Sabuniy pula mengatakan bahawa tabarruj ialah perbuatan menzahirkan perhiasan dan kecantikan seseorang perempuan kepada lelaki asing. Perbuatan ini sebenarnya merupakan perbuatan perempuan jahiliah yang keluar ke pasar-pasar dalam keadaan mendedahkan aurat, berhias dengan cara berlebihan serta mendedahkan apa yang sepatutnya didedahkan hanya untuk suami mereka.

1.3.4 Tafsir al-Qurtubiy
Al-Qurtubiy pula semasa menafsirkan ayat 60 surah al-Nur mengatakan bahawa tabarruj ialah perbuatan mendedahkan atau menzahirkan supaya menjadi tempat pandangan orang.

1.4 Pengertian tabarruj di sisi Sayyid Sabiq
Sayyid Sabiq di dalam karya monumentalnya Fiqh al-Sunnah memberi definisi tabarruj sebagai perbuatan menzahirkan seuatu perkara/perhiasan yang wajib bagi wanita menutupnya. Atau dengan kata lain tabarruj ialah sengaja menunjukkan apa jua yang seharusnya wanita sembunyikan, kemudian menghilangkan sifat malunya lalu menzahirkan sesuatu yg menarik pada dirinya.

1.5 Pengertian tabarruj di sisi al-Maududiy
Al-Maududiy berkata bahawa jika perkataan tabarruj digunakan terhadap kaum wanita, ia mengandungi 3 pengertian:

1)wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (lelaki yang bukan mahramnya)

2)wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing

3)wanita yang memperlihatkan dirinya, gerak gerinya dan kemegahan

1.6 Kesimpulan
Di dalam bahagian ini, penulis telah membawa pelbagai pengertian tabarruj yang dikutip daripada pelbagai sumber. Secara keseluruhannya pengertian tabarruj yang diberikan oleh para ulama tidak begitu berbeza daripada maksud asalnya dari segi bahasa iaitu perbuatan mendedahkan atau menzahirkan. Pendedahan di sini bermaksud pendedahan kecantikan fizikal wanita(aurat), pendedahan dengan cara memakai pakaian atau bau-bauan yang menarik perhatian lelaki dan perbuatan wanita yang bercakap atau berkomunikasi dengan lelaki asing dengan cara yang menggoda dan genit. Para ulama banyak mengaitkan perkataan tabarruj di sini kepada perbuatan wanita kerana itulah pengertian perkataan tabarruj yang diambil daripada pengertian ayat al-Quran di dalam surah al-Ahzab dan al-Nur.

Tiada ulasan: