Jumaat, 10 Disember 2010

tabarruj 3 (pandangan para ulama......)

BAHAGIAN III

PANDANGAN PARA ULAMA BERKENAAN ASPEK DIBENARKAN DAN DILARANG SYARAK

3.1 Pendahuluan
Umumnya perbuatan tabarruj atau berhias di hadapan suami tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Ianya dibenarkan. Apa yang menjadi perselisihan pendapat ialah apabila wanita berhias dan keluar dari rumah untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Oleh itu, keadaan wanita berkenaan seolah-olah berhias bukan lagi untuk suaminya kerana di luar sana terdapat lelaki yang bukan mahramnya yang akan memandangnya. Di sinilah fokus persoalan bahagian ini.

Ada 2 isu utama di sini, pertama isu wanita keluar rumah untuk berkerja dan keduanya isu tabarruj. Walaupun isu keluar rumah dan tabarruj merupakan dua perkara yang berbeza namun ianya berkait rapat sehingga jarang sekali kita dapati kitab-kitab fiqh dan tafsir membicarakannya secara berasingan. Ini kerana tabarruj yang diharamkan secara asasnya berlaku apabila wanita keluar daripada rumah mereka.

3.2 Wanita Keluar Rumah Untuk Bekerja
Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya. Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT yang bermaksud: (Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan). Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :
ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده
Ertinya : (Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri) ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan akal bagi menanggung keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut.
Kebanyakan wanita di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian wanita Islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan. Contohnya Ummu Atiyah yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan disamping menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam. Selain itu, Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Al-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau Shariah auditor di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Syarak. Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut Syeikh Atiyah Saqar di antaranya:
1) Terdapat keperluan: menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga).
2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekerja dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.
Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :
وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki). Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya". (Al-Qasas : 24 )
5) Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami.
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.
3.3 Tabarruj
3.3.1 Muka dan tapak tangan adalah aurat?
Ada sebahagian ulama khasnya dari Arab Saudi berpegang dengan pendapat bahawa muka dan tapak tangan adalah aurat. Justeru itu, wanita wajib memakai purdah dan sarung tangan untuk menutup muka dan tangan mereka. Mereka berdalilkan dengan ayat 31 dari surah al-Nur yang bermaskud (dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan daripadanya).

Di dalam ayat ini Allah SWT melarang wanita mempamerkan perhiasan, kecuali apa yang zahir daripada mereka. Jadi dapat difahami bahawa perhiasan ada dua jenis iaitu perhiasan zahir dan tersembunyi. Para ulama yang mengatakan muka itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah rantai leher, gelang, anting-anting dan sebagainya.

Sementara dalil daripada hadis pula ialah hadis riwayat Bukhari dan Muslim (ketika Rasulullah SAW memerintahkan kaum wanita untuk keluar melaksanakan solat hari raya, salah seorang wanita bertanya kepada Rasulullah SAW sambil berkata,”wahai Rasulullah, salah seorang daripada kami tidak memiliki jilbab”. Jawab Baginda SAW,” hendaklah ia meminjam jilbab kawannya”.)

Manakala menurut ulama yang berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher, anting-anting dan sebagainya.

3.3.2 Gincu bagi wanita
Gincu yg dipakai oleh perempuan dgn tujuan perhiasan di hadapan lelaki ajnabi adalah haram, ia termasuk alat solek secara umum (al-mikyaj). Demikian kata Imam al-Nawawi. Dalilnya ialah keumuman ayat al-Quran (dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu).

3.3.3 Bedak pemutih muka bagi wanita yang tidak kekal
Dalam konsep rawatan kecantikan, ada tahap tahsiniyyat (kecantikan), hajiyyat (keperluan) dan daruriyyat (keperluan yang mendesak). Tahap yang dibolehkan dalam rawatan kecantikan ialah pada tahap hajiyyat dan daruriyyat sahaja. Sementara untuk tujuan tahsiniyyat, ianya tidak dibolehkan kerana ia bertujuan pembaziran, tabarruj (bersolek untuk tatapan lelaki asing dan pembaziran) atau dengan kata lain ianya dilakukan untuk tujuan syahwat dan hawa nafsu

3.4 Kesimpulan
Dalam bahagian ini, penulis hanya sempat memfokuskan isu kepada masalah wanita yang keluar dari rumah untuk mencari nafkah dan tabarruj yang melibatkan masalah muka dan tapak tangan, gincu dan bedak pemutih sahaja. Sebenarnya isu-isu dalam tabarruj cukup luas melibatkan semua jenis cara dan teknik berhias kuno dan moden seperti bersolek, braces, scrub, gel serbuk emas dan sebagainya. Apa yang dapat penulis kemukakan ialah sebahagian ulama yang berpegang kepada nas kebiasaannya mempunyai pendapat yang agak keras dan sebahagian ulama maqasid yang lain memberi kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat.

Tiada ulasan: