Jumaat, 24 Disember 2010

5 soalan seputar membaca fatihah

1) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Di Dalam Solat?
Ya, membaca fatihah merupakan rukun di dalam solat. Jika seorang yang bersolat tidak membacanya di dalam solat secara sengaja, solatnya batal tidak kira samada solat itu solat fardu atau pun solat sunat. Ini merupakan pendapat di dalam mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.


2) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Yang Wajib Dibaca Dalam Setiap Rakaat Solat?
Ya, orang yang bersolat wajib membaca fatihah di dalam setiap rakaat. Jika solatnya ada 4 rakaat, hendaklah membacanya 4 kali(1 kali di dalam satu rakaat). Pengecualian diberikan kepada orang yang masbuq. Masbuq maknanya orang yang ketinggalan. Dalam kuliah maghrib, aku gunakan perkataan orang yang tertinggal keretapi. Contohnya masa dia nak masuk solat, imam baru jer rukuk. So dia bertakbir lalu turun rukuk bersama imam, tak sempat baca fatihah. Fatihah di dalam rakaat itu ditanggung oleh imam walaupun dia tak sempat baca.


3) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Yang Wajib Dibaca Oleh Orang Yang Bersolat Samada Orang Yang Bersolat Itu Solat Sendirian, Atau Menjadi Imam, Atau Menjadi Makmum?
Ya, orang yang bersolat wajib membaca fatihah tidak kira samada dia menjadi imam, makmum, solat sendirian, sembahyang maghrib, isyak, subuh (solat yang imam membaca kuat) atau solat yang imam baca slow (zohor dan asar)

4) Apakah Hukumnya Bagi Orang Yang Tidak Mampu Membaca Fatihah?
Dalam kitab qalyubiy wa umairah, Orang yang tidak mampu membaca fatihah pada masa itu hendaklah membaca 7 ayat dari al-Quran yang diingatinya. Contohnya baca surah apa2 yang dia ingat sebanyak 7 ayat sebab fatihah ada 7 ayat. Ayat al-quran itu hendaklah 7 ayat yang berturut-turut.

Jika dia tidak ingat 7 ayat quran yang berurutan, bolehlah dia baca 7 ayat quran yang berpecah. Contohnya ayat pertama dia baca ayat kursi, ayat kedua dia baca ayat seribu dinar, ayat ketiga baca ayat dari surah …..sehingga 7 ayat kesemuanya.

Jika dia tidak ingat 7 ayat dari al-Quran hendaklah dia menyebut 7 jenis zikir yang berbeza. Contohnya yang pertama tasbih (subahanallah), keduanya tahmid (alhamdulilah), ketiga takbir dan sebagainya hinggalah 7 jenis zikir. Ada juga yang berpendapat tidak perlu kepada 7 jenis zikir.

Jika dia masih tidak mampu, hendaklah dia diam. Kadar lama diamnya sekadar membaca fatihah. Kalau membaca fatihah di dalam solat mengambil masa 1 minit, hendaklah dia diam sekadar 1 minit.

Tidak dibenarkan sama sekali untuk membaca fatihah dengan cara terjemahan sebagaimana takbir.

Dalam kitab fiqh 4 mazhab pula, disebut bahawa dalam mazhab syafie, jika seseorang yang bersolat itu lemah (tidak mampu) untuk baca fatihah dan dia mampu untuk membaca ayat2 quran yang setara dengan fatihah dari segi bilangan huruf dan ayat. Wajibalah dia melakukannya seperti itu. Iaitu dengan membaca ayat2 quran yang setara dengan fatihah dari segi bilangan huruf dan ayat.( ayat fatihah ialah 7 sementara bilangan huruf ialah 156 huruf). Jika dia hanya menghafal satu ayat sahaja atau lebih dia hendaklah mengulangi apa yang dihafaznya dengan kadar ayat2 fatihah. Jika tidak mampu membaca fatihah atau ayat2 quran hendaklah dia berzikir dengan kadar fatihah. Jika tidak mampu berzikir hendaklah dia diam dan panjang diamnya itu sekadar membaca fatihah di dalam solat. Contohnya kadar panjang baca fatihah di dalam solat ialah satu minit, hendaklah dia diam sekadar satu minit.


5) Adakah Disyaratkan Bagi Orang Yang Membaca Fatihah Mendengar Bacaannya?
Ya, disyaratkan orang yang bersolat membaca fatihah mendengar bacaannya dengan syarat pendengarannya elok.

* sebahagian isi kuliah maghrib. aku banyak merujuk kepada qalyubiy dan figh 4 mazhab selain daripada zuhailiy figh adillah.

*dalam kuliah, ada juga aku selitkan pasal mazhab hanafiy, malikiy dan ahmad secara sepintas lalu. selalu aku pesan, jika kita melihat orang bersolat tidak sebagaimana cara kita bersolat contohnya dia bersolat baca bismillah dengan senyap, janganlah kita mudah melatah menyesatkan atau mengkafirkan mereka hanya semata2 perbuatan atau amal mereka sedikit berbeza. artikel ini hanya memberi tumpuan kepada mengarkibkan apa yang aku sebut (mazhab syafie)

Tiada ulasan: