Sabtu, 30 Julai 2011

tazkirah ramadan 5...adab-adab puasa

TAZKIRAH RAMADAN (5)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2011
ADAB-ADAB PUASA

1) SEGERA BERBUKA
Hendaklah segera berbuka apabila diyakini terbenamnya matahari. Dalilnya hadis (Manusia akan terus berada di dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa—Bukhari). Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW yang menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Ada ulama yang berkata bahawa barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaikan solat dengan khusyuk.

Selain itu, perbuatan ini juga menyalahi ahli kitab yang melewatkan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Seeloknya berbuka dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak dan masih lagi belum kering serta mengecut. Sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Sementara tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Ini berdasarkan hadis Anas (Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air-Tirmiziy)

2) SAHUR
Sahur ialah makanan yang dimakan pada akhir malam. (Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya bersahur itu barakah (ada keberkatannya)-Bukhari, Muslim)

2.1) Rahsia bersahur
Kajian menunjukkan bahawa makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi. BBC News pernah melaporkan bahawa bersaparan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr Mark Perreira dan rakan2 dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan mengidap diabetis. Kajian yang sama juga menunjukan mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 % lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Situasi ini lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang masih kecil. Kajian terkini juga menunjukkan bahawa apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun daripada tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pembelajaran

Dalam satu kajian lain yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik diketuai oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor ke atas 700 pelajar dari Louisiana menunjukkan bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi berdepan dengan risiko 2 kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini boleh menyebabkan penyakit anemia(sejenis penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah.

Kesimpulannya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian ini. Selain itu, bersahur juga merupakan ibadah dan merupakan sunnah nabi yang sebaiknya kita ikuti. Tambahan pula waktu sahur merupakan waktu yang dipenuhi dengan keberkatan. Justeru itu, bersahurlah walaupun dengan segelas air

3) MELEWATKAN SAHUR
Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Ini berdasarkan hadis Anas (Nabi Muhammad SAW dan Zaid Bin Thabit bersahur. Apabila keduanya selesai bersahur, maka Nabi SAW bangun dan mendirikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa di antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan solat? Jawabnya sekadar 50 ayat al-quran-Bukhari)



4) MENJAGA LIDAH
Apa yang dimaksudkan dengan menjaga lidah ialah meninggalkan kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, menipu, mengumpat, menghasut dan sebagainya. (barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan terus beramal dengannya maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya, -Bukhari). Maksudnya Allah tidak berhajat kepada puasanya. Hadis ini juga menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada berdusta dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Kata Ali bin Abu Talib sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada menipu, kebatilan dan perkara yang sia-sia. Mujahid pula menegaskan bahawa 2 perkara yang sesiapa dapat meninggalkannya maka sempurnalah puasanya iaitu menipu dan mengumpat.

Daripada kita menghabiskan masa menyelidiki keburukan dan kelemahan orang lain, marilah kita gunakan sedikit masa yang kita ada untuk memperbaiki diri kita

5) MANDI JUNUB SEBELUM FAJAR
Walaupun junub tidak menafikan sahnya puasa namun apa yang lebih afdal ialah berscui sebelum fajar untuk memastikan diri kita bersaih bermula detik pertama puasa lagi ( Nabi SAW pernah bangun pagi di dalam keadaan junub kerana jimak tanpa bermimpi kemudian baginda mandi dan berpuasa-Bukhari). Begitu juga disunatkan kepada wanita yang haid dan nifas agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum tiba fajar.

6) TIDAK BERBEKAM DAN SEUMPAMANYA
Walaupun berbekam tidak membatalkan puasa, namun lebih baik bagi kita yang sedang berpuasa mengelakkan diri daripada berbekam kerana ia boleh melemahkan tubuh badan kita


7) BERDOA KETIKA BERBUKA PUASA
Ini berdasarkan hadith Nabi SAW (Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka-Ibn Majah). Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut bahawa hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota. Dalam hadis lain Nabi menyebut (3 jenis orang tidak ditolak doa permohonan mereka. Pertama pemerintah yang adil. Keduanya ialah orang yang berpuasa semasa ia berbuka dan ketiga doa orang yang dizalimi-Tirmizi). Oleh itu, manfaatkanlah waktu kita berpuasa khasnya semasa hendak berbuka dengan membanyakkan permohonan kepada Allah SWT

8) MENJAMU ORANG BERBUKA PUASA
(Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun-tirmiziy)

9) BANYAK BERSEDEKAH
(Rasulullah SAW pernah ditanya, wahai Rasulullah, apakah sedekah yang paling utama? Jawabnya sedekah pada bulan Ramadan-tirmiziy, hadis ini daif).

Dalam hadis yang lain Ibn Abbas berkata: (Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan….dan baginda lebih pemurah dalam mengerjakan kebaikan daripada angina yang kencang- Bukhari). Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.


10) BANYAK MEMBACA AL-QURAN
(Nabi SAW menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-quran setiap tahun sekali pada bulan ramadan dan pada tahun kewafatan baginda sebnayka 2 kali- Bukhari & Muslim).
Para ulama bersungguh-sungguh membaca al-quran di dalam bulan Ramadan. Ada yang khatam sekali dalam tempoh 3 malam. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-quran dalam tempoh satu minggu. Ada yang khatam 10 malam sekali.

RUJUKAN
1) Al-Fiqh al-Manhajiy
2) Bahagian Dakwah JHEAIK, Puasa Dan Ramadan
3) Jamaah Ansar Sunnah, Mesir, Majalah al-Tawhid
4) BAHEIS Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadis
5) Danial Zainal Abidin, Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains

Tiada ulasan: