Rabu, 21 Disember 2011

syahadah kedua

BAB III
SYAHADAH KEDUA

3.1 Pengertian
Makna syahadah kedua ialah mengakui secara zahir dan batin bahawa Nabi Muhammad SAW ialah hamba dan pesuruh Allah yang diutuskan kepada seluruh manusia dan seterusnya beramal dengan segala tuntutan syahadah berkenaan dengan cara mematuhi perintahnya dan membenarkan segala berita yang disampaikannya

3.2 Tuntutan Syahadah Kedua
Tuntutan dan cara menghayati syahadah yang kedua iaitu adalah seperti berikut :
1) Meyakini bahawa Rasulullah adalah manusia pilihan Allah. Baginda juga bukan sekutu bagi Allah. Firman Allah SWT:

(Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa tuhan kamu hanyalah tuhan yang satu……)

2) Meyakini bahawa baginda Rasulullah dipelihara oleh Allah daripada terjebak dalam sebarang bentuk dosa. Baginda juga dipelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah Allah.

3. Mentaati segala perintah Rasulullah dan menjauhi segala larangannya. Firman Allah SWT:

(Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambllah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya)

4) Membenarkan setiap yang baginda sampaikan kerana baginda tidak berkata-kata melainkan ia adalah wahyu daripada Allah. Firman Allah

(Dan dia tidak memperkatakan sesuatu yang berhubung dengan agama islam menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri(3) segala yang diperkatakannya itu samada al-Quran atau hadis tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya(4)

5) Mencintai Nabi melebihi makhluk yang lain. Sabda rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari:
(Tidak beriman seorang daripada kamu hinggalah dia menjadikan aku yang paling dicintai melebihi bapanya dan anaknya serta semua manusia)

RUJUKAN
Abdul Aziz Muhammad al-Salman. Al-Kawashif al-Jaliyyah An Maaniy al-Wasitiyyah. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Hlm. 42-43

http://www.a000a.net/vb/showthread.php?t=59494,

http://aburedza.wordpress.com/2011/02/06/pengertian-syahadah/

tauhid dalam syahadah pertama

BAB II
TAUHID DALAM SYAHADAH PERTAMA

Syahadah pertama mengandungi dasar tauhid yang cukup jelas, iaitu mengesakan Allah SWT. Dalam rangka tujuan untuk mentauhidkan Allah, ada 2 pendekatan utama yang digunakan dalam menghuraikan persoalan pentauhidan terhadap Allah SWT.

Pendekatan yang pertama ialah pendekatan yang dikenali sebagai gerakan salafiyyah yang dipelopori oleh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan Muhammad Abdul Wahhab. Pendekatan ini membahagikan tauhid kepada 3 bahagian iaitu Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ Wa al-Sifat. Ia juga dikenali sebagai tauhid 3 serangkai. Pendekatan ini popular di Arab Saudi. Pendekatan yang kedua yang popular di negara kita iaitu pendekatan Asyairah/Maturidiyyah yang juga dikenali sebagai sifat 20.

Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Al-Asma’ Wa al-Sifat

2.1 Tauhid Rububiyyah
Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb. Dari segi bahasa, rabb mempunyai beberapa maksud:
1. Pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun.
2. Pemimpin atau pembela umat.
3. Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya

Dari segi istilah, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan, yang memberi dan yang menegah dan juga beriman dengan qadar. Ia juga disebut Tauhid Ilmiy, Tauhid Khabary, Tauhid al-Makrifat Wa al-Ithbat dan Tauhid Iktikadiy

Tauhid ini terdapat di dalam semua agama kerana fitrah manusia yang mengakui wujudnya tuhan yang menciptakan alam ini. Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini.

Justeru itu, bukan semua yang mendakwa beriman bahawa Allah tuhan sekalian alam merupakan muslim. Ini kerana mereka masih tidak terlepas daripada mensyirikkan Allah di dalam ibadat mereka. Mereka mengatakan bahawa Allah tuhan sekalian alam namun mereka mensyirikkan Allah dengan cara beribadat selain daripada Allah, atau menyembah tuhan yang lain bersama-sama dengan Allah.

2.2 Dalil Tauhid Rububiyyah

2.2.1 Dalil Quran:
1) Firman Allah SWT:
(Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu ia hidukan dengan tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semuanya itu ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran)al-baqarah 64

2.2.2 Dalil Fitrah
Orang musyrikin pada zaman jahiliah juga mengakui bahawa adanya tuhan yang mentadbir alam ini. Ini dapat dilihat daripada ayat-ayat al-Quran tentang orang musyrikin apabila ditanya kepada mereka siapakah yang mencipta dan mentadbir alam ini? Mereka akan menjawabnya Allah. Selain itu, terdapat juga bait-bait di dalam syair mereka yang secara jelas menyebut tuhan yang mentadbir alam. Jelasnya fitrah manusia mengakui bahawa adanya tuhan yang mencipta alam dan menguruskannya.

2.2.3 Dalil Akal
Akal manusia yang sihat akan mengakui dan akur tidak mungkin alam yang serba teratur ini terjadi dengan sendirinya. Mustahil bintang-bintang dan cakerawala yang bertebaran di langit tiada penciptanya. Kalau seorang manusia menggunakan akalnya untuk mengkaji, memerhati dan cuba memahami rahsia alam mereka akan percaya bahawa alam ini ada penciptanya

2.3 Tauhid Uluhiyyah
2.3.1 Pengertian Tauhid Uluhiyyah
Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah(cinta) kepadaNya, khauf(takut) kepadaNya, raja’(pengharapan), tawakal dan raghbah(keinginan) dan rahbah(kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah, Tauhid al-Qasd, Tauhid Amal dan Tauhid Iradah. Walau pun tauhid ini disebut juga dengan nama yang pelbagai, namun intinya hanya satu iaitu mentauhidkan Allah di dalam segala amal kita, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain selain daripada Allah di dalam segala ibadat dan kehidupan kita

2.3.2 Dalil Tauhid Uluhiyyah
Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberi penekanan kepada Tauhid Uluhiyyah dan ianya disebut dengan pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk perintah secara jelas, ada yang membangkitkan tujuan asal penciptaan makhluk, ada yang menekankan tujuan penurunan al-Quran serta kebangkitan rasul dan sebagainya.
Di antara ayat al-Quran yang secara jelas memerintahkan kita supaya menyembah hanya Allah SWT seperti firmanNya:
(Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kamu kepada tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa)al-baqarah 21

Ada ayat al-Quran yang menerangkan tujuan penciptaan kita dan jin ialah untuk beribadat hanya kepada Allah:
(Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaku)al-zariyat 56

Terdapat juga ayat yang menjelaskan bahawa tujuan penurunan al-Quran dan pengutusan nabi adalah untuk membawa manusia kepada mentauhidkan Allah.
(Dan kami tidak mengutus sebelummu wahai Muhammad seorang rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan aku (Allah), oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku

2.4 Tuntutan Tauhid Uluhiyyah
Tauhid uluhiyyah mempunyai beberapa tuntutan yang mesti kita laksanakan. Di antaranya ialah:

2.4.1 Kecintaan Kepada Allah
Meletakkan kecintaan kepada Allah melebihi segala-galanya. Dengan kata lain, kita ditegah daripada menjadikan sekutu bagi Allah dengan cara menyintai makhluk atau apa sahaja sebagai sekutu bagi Allah. bukanlah bererti kita dilarang daripada mengasihi anak isteri, ibu bapa dan ahli keluarga. Apa yang ditegah ialah kita menyintai makhluk atau apa sahaja lebih daripada cinta kepada Allah sebagaimana firmanNya:

(Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara mara kamu, dan isteri-isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluargamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasulnya dan (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya (azab siksanya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik)

Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
(Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka- Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.4.2 Allah Tempat Memohon Perlindungan
Kita hendaklah memohon perlindungan kepada Allah di dalam setiap doa kita. Ini kerana doa merupakan perkara ibadah

2.4.3 Takut Hanya Kepada Allah.
Ini bererti hanya Allah tempat kita berlindung, yang boleh memberi mudarat dan manfaat. Sesiapa yang percaya bahawa sesetengah manusia seperti bomoh dan jin mampu memberi mudarat dan manfaat dia sebenarnya telah melakukan syirik. Firman Allah SWT:

(Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiadalah siapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia, dan jika dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiadalah sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurnianya. Allah melimpahkan kurnianya kepada ssesiapa yang dikehendakinya dari hamba-hambaNya, dan dialah yag amat pengampun lagi amat mengasihani)

Keimanan ini akan membebaskan kita dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.

2.4.4 Ikhlas Di Dalam Ibadat
Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita. Penyembahan ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah. Firman Allah SWT:

(Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku , hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)

Ringkasnya, implikasi syahadah ialah seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

2.5 Tauhid Al-Asma’ Wa Al- Sifat
Percaya bahawa Allah mempunyai sifat yang sempurna dan sunyi daripada segala sifat kekurangan. Ertinya percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW di mana Allah mempunyai Al-Asma’ al Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.
Tauhid ini belum dapat menjamin kesahihan akidah seseorang kerana orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama tuhan namun bukanlah dengan cara yang sebenar. Contohnya dengan cara pengakuan mereka terhadap beberapa sifat dan nama tuhan seperti mengakui nama Allah dan menafikan nama al-Rahman

Tauhid ini berdiri di atas 3 asas iaitu
1)Mensucikan Allah SWT daripada keserupaan dengan makhluk. Sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk samada dari segi zat, sifat, nama, perbuatan dan semuanya. Firman Allah SWT:

(……tiada sesuatu pun yang standing dengannya (dengan zatNya, sifatNya dan pentadbiranNya)

2)Beriman dengan nama dan sifat yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah. Kita dituntut beriman dengan apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis kerana tidak ada jalan lain untuk kita mengenal Allah melainkan dengan perantaraan wahyu. Firman Allah SWT:

( ……adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah…)

3) Beriman dengan sifat dan nama Allah yang sabit tanpa banyak soal. Kita tidak dapat mengetahui sesuatu tentang Allah SWT kecuali apa yang diberitahu oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah. Justeru itu, kita hendaklah menerimanya kerana itulah amalan para sahabat dan para salaf.

RUJUKAN
Mohd Fauzi Hamat, Prinsip Aqidah, Open University Malaysia, 2009.hlm45-46

http://saifulislam.com/?p=341

al-Jazairiy, Abu Bakar, Akidah al-Mukmin. Maktabah al-Ulum Wa al-Hikam, hlm.53,

Abdul Aziz Muhammad al-Salman. Al-Kawashif al-Jaliyyah An Maaniy al-Wasitiyyah. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Hlm. 35,

Muhammad bin Jamil Zino. Mukhtasar al-Aqidah al-Islamiyyah Min al-Kitab Wa al-Sunnah al-Sahihah. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah, hlm. 7

Muhammad Naim Yasin, al-Iman, Arkanuhu Haqiqatuhu Nawaqiduhu, Dar al-Furqan Li al-Nashr al-Islamiyyah, Maydan Sayyidah Zaynab, hlm. 7-8

http://www.islamhouse.com/p/172695

http://www.scribd.com/doc/4379811/KONSEP-SYAHADAH

pengertian syahadah

BAB I

PENGERTIAN SYAHADAH

1.1 Syahadah Dari Segi Bahasa
Perkataan syahadah mempunyai beberapa makna. Di antaranya ialah mengetahui, bersumpah, hadir, pemberitahuan dan penyaksian. Ringkasnya perkataan syahadah mempunyai pelbagai makna.

1.2 Syahadah Dari Segi Istilah
Syahadah ialah penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah utusannya. Penyaksian ini mestilah dizahirkan dengan ikrar melalui lidah dan dibuktikan dengan melaksanakan tuntutan syahadah berkenaan seperti menunaikan segala rukun Islam, menurut segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Tuntasnya syahadah ialah pengakuan, pemberitahuan, pengiktirafan, menerangkan dan menjelaskan mengenai keyakinan kepada Allah yang wajib disembah dan mengakui bahawa Muhammad ialah pesuruh Allah

Abdul Karim Zaidan pula menjelaskan bahawa al-syahadah bererti pengakuan, pemberitahuan dan keterangan (pernyataan). Sebab itulah orang yang menyaksikan sesuatu peristiwa itu dinamakan saksi, kerana dia memberitahu dengan apa yang diketahuinya, baik dengan secara perkataan mahupun dalam bentuk perbuatan

Kalimah syahadah disebut juga sebagai kalimah tauhid, kalimah taqwa dan urwatul wusqa. Ia mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian penafian dan penetapan.

1.3 Syahadah Pertama (Laa Ilaaha IllaLlah)
Syahadah pertama ialah mengucapkan tiada tuhan selain Allah. Ucapan ini mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian penafian dan penetapan.

1.3.1 Penafian (Laa ilaaha)
Bahagian pertama syahadah biasanya diterjemahkan sebagai tiada tuhan. Namun pengertian ini tidak begitu tepat kerana perkataan tuhan di dalam bahasa arab ialah rabb. Makna sebenar perkataan ilah di dalam syahadah ialah tuhan yang selayaknya disembah. Penafian di sini bukanlah bermaksud menafikan terus kewujudan tuhan tetapi menafikan kewujudan tuhan yang tidak selayaknya disembah

Bahagian pertama ini dikenali sebagai penafian kerana kita menafikan kewujudan tuhan yang selayaknya. Ia menafikan empat perkara iaitu:

1) Alihah (Sembahan-Sembahan)
Alihah adalah jamak daripada perkataan ilah yang bermaksud tuhan. Jadi kalimah Laa ilaaha illallah bererti tidak ada ilah yang selayaknya disembah kecuali Allah. Maksud Ilah ialah apa yang engkau tuju dengan sesuatu tindakan atau perbuatan dalam rangka mencari manfaat atau menolak bala .

Di antara kebiasaan arab jahiliyah ialah mereka menjadikan berhala yang bernama Latta sebagai perantara. Mereka memohon kepada Latta untuk menyampaikan permohonan mereka kepada Allah. Apabila diseru untuk beriman, mengucapkan kalimah tauhid dan seterusnya berkomitmen dengan tuntutan kalimah syahadah maka mereka menolaknya. Ini kerana mereka memahami bahawa apabila berkomitmen dengan kalimah tauhid maka kesannya adalah mereka perlu meninggalkan alihah tadi (batu-batu, pohon-pohon, kuburan keramat, dan sebagainya) sedangkan mereka itu tidak mahu meninggalkan kebiasaan-kebiasaan tersebut. Kesimpulannya alihah ialah sesuatu yang menjadi tumpuan dengan suatu hal dalam rangka tolak bala atau meminta manfaat.

2) Arbab (Penghukum/Pengatur)
Kalimah tauhid menuntut kita untuk meninggalkan arbab. Arbab merupakan jamak daripada perkataan rabb. Ertinya tuhan yang mengatur dan menentukan hukum. Apabila seseorang mengikuti apa yang bertentangan dengan hukum Allah maka dia disebut mempertuhankan, sedangkan benda yang diikutinya yang mana dia mengetahui bahawa hal itu pembuat aturan, maka dia memposisikan dirinya sebagai Rabb. Ringkasnya arbab adalah orang yang mengaku bahawa dirinya berhak membuat hukum. Dengan kata lain arbab adalah orang-orang yang mempertuhankan diri, sedangkan orang yang mengikuti hukum buatan para arbab itu disebut dengan orang musyrik, dan peribadatan kepada arbab ini adalah bukan dengan solat, sujud, do’a, nadzar akan tetapi dengan mengikuti, mentaati, dan wala’ terhadapnya.

3. Andad (tandingan-tandingan / sekutu)
Andad adalah jamak dari kata nidd, maksudnya tandingan atau sekutu bagi Allah SWT. Allah memerintahkan agar kita hanya menghadapkan dan menjadikanNya sebagai tujuan. Tidak boleh seseorang mendahulukan yang lain terhadap Allah SWT. Tegasnya andad adalah sesuatu yang memalingkan seseorang dari Tauhid (Islam) samada jawatan, harta, keluarga dan sebagainya. Contohnya seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya yang sakit, lalu ada orang menyarankan kepada ayah tersebut agar membawa anaknya berjumpa dukun atau pawang. Disebabkan kasih sayangnya kepada anak, ayah tersebut membawanya berjumpa dukun dan mematuhi arahan dukun berkenaan. Maka dalam contoh di atas, anak tersebut telah memalingkan ayahnya daripada tauhid, bererti si anak telah menjadi andad. Ringkasnya andad adalah segala yang memalingkan seseorang dari Tauhid
4. Taghut (Yang Melampaui Batas)
Penafian dalam syahadah pertama menuntut kita agar kufur terhadap thaghut dan iman kepada Allah. Dua perkara ini menjadi faktor amal soleh kita diterima oleh Allah SWT. Apabila seseorang melakukan ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya namun dia tidak kufur terhadap thaghut, maka dia itu bukan muslim dan amal ibadahnya tidak diterima.

1.3.2 Penetapan (IllaLlah)
IllaLlah bermaksud melainkan Allah. Ia bermaksud menetapkan ketuhanan yang sebenar hanya kepada Allah. Bahagian kedua ini hendaklah digabungkan bersama dengan bahagian yang pertama tadi lalu terbentuklah gabungan penafian dan penetapan yang bermaksud tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

1.4 Hikmah Gabungan Nafi Dan Ithbat
Dalam bahasa arab, pernyataan yang datang secara gabungan penafian dan penetapan merupakan pernyataan yang paling konkrit. Sebagai contoh apabila kita mengatakan ada tuhan, pernyataan ini menyatakan bahawa ada tuhan namun dalam masa yang sama ia tidak menafikan kewujudan tuhan yang lain. Begitu juga kalau kita mengucapkan tiada tuhan, ia akan membawa pemahaman bahawa tiada langsung tuhan. Dengan kata lain kita menafikan kewujudan tuhan. Namun apabila kita menggabungkan penafian dan penetapan dengan mengucapkan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, ia memberi kefahaman secara konkrit bahawa tiada sesuatu pun yang menjadi tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Struktur konkrit inilah yang digunakan Allah SWT di dalam kalimah syahadah

RUJUKAN
http://www.scribd.com/doc/4379811/KONSEP-SYAHADAH

http://alifta.com/Fatawa/fatawaDetails.aspx?BookID=2&View=Page&PageNo=1&PageID=2901

Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid. 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Selangor. Telaga Biru Sdn. Bhd hlm39, http://www.a000a.net/vb/showthread.php?t=59494

http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/syahadah.htm

http://ustaz.blogspot.com/2009/10/pengertian-syahadah-ialah-meluruskan.html

http://azrin-kun.blogspot.com/2011/09/falsafah-dua-kalimah-syahadah.html

Jumaat, 9 Disember 2011

perkara makruh ketika solat

Perkara makruh ketika solat
1) Berpaling ke kanan atau kiri kecuali kerana keperluan
Apabila kita bersolat, kita sebenarnya sedang bermunajat dengan Allah SWT. ( Allah SWT sentiasa mengadap hambaNya secara berdepan ketika solat selagi hambaNya tidak berpaling. Sekiranya hambaNya berpaling, maka Allah berpaling daripadanya - Abu Dawud). Dalam hadis Bukhari pula semasa menjelaskan perbuatan berpaling ketika solat ( ia adalah suatu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang hamba). Justeru apabila kita sedang bermunajat namun kita berpaling ke kanan atau ke kiri, seolah-olah kita tidak serius berhadapan dengan Allah SWT. Hati kita tidak khusyuk sedangkan khusyuk merupakan tuntutan solat. Ulama menafsirkan berpaling di sini dengan 2 keadaan iaitu berpaling muka dan berpaling hati. Namun jika ada keperluan seperti memerhatikan musuh, ia tidak makruh kerana disebut dalam hadis bahawa Nabi SAW pernah bersolat dalam keadaan baginda berpaling kepada suatu lorong (hadis Abu Dawud).

2) melihat ke langit (termasuklah melihat ke siling, cicak dan sebagainya di atap masjid).Sabda Nabi SAW ( apakah gerangannya kaum yang mengankat pandangan mereka ke atas ketika bersolat? Kemudian baginda menyambung lagi. Samada mereka berhenti daripada berbuat demikian atau disambar pandangan mereka – Bukhari)

3) Menutup mulutnya seperti menutup dengan kain melainkan kerana menguap. Disebut dalam hadis Apabila menguap hendaklah menutup mulutnya dengan tangan kerana syaitan akan masuk.

4) Bermain-main dengan rambut (menguraikannya) dan menyinsing hujung baju (lengan) ketika solat. Ini berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim ( aku diperintah supaya sujud di atas 7 anggota dan aku tidak bermain-main pakaian dan menguraikan rambut.) namun perempuan yang bersolat dengan tidak membuka sanggulnya.

5) Berludah semasa solat samada di sebelah hadapan atau kanannya. Jika hendak berludah juga, hendaklah di sebelah kiri atau di bawah kaki jika bersolat di luar masjid. Jika di dalam masjid hukumnya haram. Keadaan ini jika terpaksa, kalau boleh tahan untuk tidak meludah, sebaiknya kita tahan. Kalau tidak dapat menahan diri daripada meludah, bolehlah kita mengeluarkan saputangan atau tisu dan meludah di dalam tisu.

6) Bertelekan pada pinggangnya kerana ia merupakan perbuatan yang ditegah sebagaimana disebut dalam hadis(hadis tidak disebut di dalam kitab). Bertelekan maknanya bercekak pinggang. Perbuatan ini merupakan perbuatan orang yang takbur dan syaitan. Ada juga yang mengatakan ianya Makruh kerana perbuatan yahudi.

7) merendahkan kepala daripada belakang semasa rukuk

8) solat ketika hendak berhadas samada hendak buang air kecil, besar atau angin(kentut). Ini kerana orang yang bersolat dalam keadaan menahan kencing atau air besar tidak mungkin dapat khusyuk. Ada hadis (tidak sempurna solat di hadapan makanan dan dalam keadaan dia menahan daripada kencing dan buang air besar - Muslim). Justeru sesiapa yang ingin menunaikan hajatnya hendaklah menunaikannya terlebih dahulu dalam keadaan waktu solat masih banyak.

9)Bersolat di hadapan makanan/minuman yang diingininya. Hukumnya makruh kerana tidak mungkin seseorang dapat khusyuk ketika solat. (apabila makanan malam seseorang kamu telah dihidangkan, di waktu yang sama solat hendak didirikan, maka mulakan dengan makan dan janganlah gopoh (untuk pergi solat) sehingga selesai solatnya – Bukhari & Muslim).
Ada 3 syarat untuk menjadikannya makruh
a) makanan telah dihidangkan. Dengan kata lain orang yang hendak solat sudah nampak makanan yang hendak dihidangkan, sudah terhidu aroma baunya
b) orang yang hendak bersolat sangat-sangat teringin untuk makan. Kalau dia sudah kenyang dan tidak teringin hendak makan, ia tidak menjadi makruh.
c) berkuasa atau memang dapat amik makanan itu. Kalau sekadar lalu di jalanan dan terlihat makanan di kedai namun tidak dapat membelinya, ia tidak menjadi makruh


10)solat di tempat2 tertentu.
Makruh solat di tempat seperti solat di bilik air (hammam, kalau di tandas tempat melepaskan hajat hukumnya haram), di tengah jalan, tempat buang tahi, tempat menyembah berhala, tempat perhimpunan unta ( tempat unta tidur), kandang dan sebagainya. Larangan bersolat di tempat ini kerana ianya dibimbangi terdapat najis dan sesetengahnya boleh menyebablan tidak khusyuk. Ini berdasarkan hadis ( Nabis SAW telah melarang daripada bersolat di tempat buangan sampah, tempat sembelihan, kawasan perkuburan dan kawasan laluan di tengah jalan, bilik air, tempat unta duduk dan di atas kaabah- Tirmizi. Hadis ini ada perbahasannya. begitu juga makruh solat di gereja yahudi atau nasrani dan kuil sami

* sebahagian daripada kuliah maghrib berdasarkan kita munyatul musalli