Jumaat, 10 Februari 2012

maulidurasul

MAULIDURASUL


Pengertian
Maulud nabi (maulidurrasul) secara mudahnya bermaksud kelahiran nabi. Terma ini kemudiannya digunakan merujuk kepada perayaan atau hari memperingati hari kelahiran Baginda SAW.

Sejarah Maulidurasul
Perayaan Maulidurasul diadakan kali pertama oleh seorang pemerintah di Iraq. Ada juga yang berpendapat bahawa ia dilakukan oleh seorang khalifah di Mesir, lebih kurang 200 atau 300 tahun selepas kewafatan Baginda SAW. Ada juga yang berpendapat ia dibuat oleh Sultan Salahuddin al-Ayubi. Kesemuanya bertujuan untuk membangkitkan perasaan kecintaan dan kasih sayang kepada Baginda SAW.

Tarikh Lahir Nabi
Ada pelbagai pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran baginda SAW. Ada yang mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada tahun gajah (pendapat masyhur), ada yang berpendapat setahun selepas tahun gajah, 30 hari selepas tahun gajah dan sebagainya.

Dari segi bulan, pendapat Jumhur Ulama ialah bulan Rabiul Awal. Sementara Ibn Kathir berpendapat bahawa baginda dilahirkan dalam bulan Ramadan.

Dari segi tarikh kelahiran pendapat yang masyhur di tempat kita ialah 12 Rabiul Awal tahun gajah. Tarikh inilah yang tertulis di dalam buku teks pendidikan islam peringkat sekolah rendah. Namun ada ulama yang berpendapat tarikh sebenar ialah 9 rabiulawal. Pendapat lain ialah 8hb, 10hb, 17hb dan sebagainya.

Dalam mengulas masalah ini, Ustaz Abdul Basit (Pondok Sg Durian) mengatakan bahawa: pada penelitian saya, hikmat kenapa Rasulullah SAW sendiri tidak menentukan tarikh sebenarnya bila (tidak sebagaimana hari Isnin yang jelas disebut), adalah sama dengan tarikh Kiamat, yang tidak ditentukan bila, cuma disebut akan berlaku pada hari Jumaat. Ianya supaya kita umatnya sentiasa berusaha untuk beramal soleh dan melakukan kebajikan sepanjang masa dan zaman, bukan hanya pada tarikh-tarikh tertentu sahaja. Tarikh itu tidak penting dan bukan perkara besar, apa yang pentingnya ialah melahirkan kecintaan kita terhadap Rasulullah saw dengan mengikut segala arahan dan ajarannya dan menjauhkan diri daripada segala larangan dan amarannya.

Kelebihan Nabi Muhammad SAW
1) Pemimpin bagi semua nabi
Nabi Muhammad SAW merupakan penghulu semua manusia dan pemimpin bagi kesemua nabi. Sabda Baginda SAW (Saya penghulu bagi anak adam. Ini bukan untuk membangga-banggakan diri (memang itulah jawatan baginda SAW). Hadis ini menjadi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah yang paling utama daripada semua nabi di dunia dan akhirat

2) Orang pertama memberikan syafaat
Nabi Muhammad SAW ialah orang pertama yang akan memberi syafaat dan orang pertama yang akan diterima syafaatnya pada hari kiamat. Hal ini berdasarkan hadis (Saya pemimpin anak adam(iaitu seluruh umat manusia) pada hari kiamat, orang pertama yang kuburnya terbelah (untuk dibangkitkan daripadanya), orang pertama yang akan memberi syafaat, dan orang pertama yang akan diterima syafaatnya oleh Allah SWT-Muslim)

3) Mukjizat Yang Kekal
Kesemua mukjizat nabi yang terdahulu seperti mukjizat tongkat Nabi Musa yang membelah laut, unta Nabi Saleh dan sebagainya tidak dapat kita lihat lagi pada masa sekarang. Namun mukjizat Nabi Muhammad SAW (al-Quran) berkekalan sehingga ke hari kiamat. Walau bagaimanapun perbandingan mukjizat Nabi Muhammad SAW ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan mukjizat nabi-nabi yang lain. Mukjizat nabi yang lain juga begitu hebat dan agung pada zaman mereka. Tujuan sebenarnya ialah untuk kita umat Muhammad SAW berbangga dengan nabi kita dan kelebihan ini juga merupakan pengiktirafan dan penghormatan buat Baginda SAW.

4) Allah SWT memuliakan Baginda dalam panggilan
Di dalam al-Quran, Allah SWT tidak menyeru Baginda SAW dengan nama Muhammad tetapi memanggilnya dengan nama yang disukainya dan sifat-sifatnya yang cukup indah. Baginda SAW diseru dengan seruan seperti “Wahai Nabi!.., “Wahai Rasul!.” Ini berbeza dengan panggilan Allah untuk nabi-nabi lain seperti nabi Adam di mana Allah menyerunya dengan Wahai Adam!... untuk Nabi Isa pula Allah menyerunya dengan “Wahai Isa!”. Begitulah panggilan Allah untuk nabi-nabi yang lain, Allah menyeru mereka dengan nama mereka.

Memang sesuatu yang bukan rahsia lagi apabila seseorang tuan memanggil seorang hambanya dengan sebaik-baik dan semulia-mulia sifat dan akhlak yang ada padanya, sedangkan tidak sesemikian untuk hambanya yang lain, ia menunjukkan bahawa kedudukan hambanya itu sangat mulia dan hampir di sisinya berbanding dengan hamba yang dipanggil dengan nama biasa. Ini sesuatu yang difahami mengikut adatnya. Seseorang yang dipanggil dengan sifat dan gelaran yang mulia itu adalah seseorang yang dibesarkan dengan penuh penghormatan dan kemuliaan

Bagaimana Beriman Dengan Baginda SAW
Di antara tanda-tanda kesempurnaan iman terhadap Rasulullah SAW ialah dengan melakukan perkara perkara berikut:
1) Membenarkan kesemua berita yang dibawa oleh Baginda SAW, melaksanakan semua suruhannya serta menjauhi semua perkara yang dilarangnya

2) Banyak berselawat dan salam ke atas nabi. Ini kerana orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut nama baginda dia tidak berselawat ke atasnya. Hadis nabi (Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali-Muslim). Di antara tempat yang dituntut untuk kita berselawat ialah ketika solat, khutbah jumaat, selepas azan, ketika memasuki masjid dan keluar daripadanya, ketika disebut nama baginda dan sebagainya.

3) Menyayangi kesemua sahabat nabi, ahli keluarga dan isterinya serta mempertahankan mereka, tidak memperkecilkan, mencela atau membuat tuduhan jahat kepada mereka. Ini kerana Allah telah meredai mereka dan memilih mereka menjadi sahabat nabi dan mewajibkan ke atas umat ini menyokong dan membela mereka. Nabi bersabda (Jangan sekali-kali kamu mencela sahabat-sahabatku. Demi tuhan yang diriku berada di tanganNya, walaupun kamu memberi nafkah emas sebesar bukit uhud nescaya tidak sama dengan nafkah yang mereka berikan secupak atau setengahnya-Bukhari)

Bagaimana Menghayati Maulud

Sebagaimana kita tahu, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh Baginda SAW adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.

Justeru itu, marilah kita sama-sama menunjukkan kecintaan kita kepada Baginda SAW dengan cara meningkatkan kualiti ilmu kita dan mengamalkannya dalam kehidupan kita. Dengan ilmu, kita dapat mengetahui segala amal perbuatan, kata-kata dan gerak geri Nabi SAW. Apakah ibadah kita selama ini dan gaya hidup kita selari dan berpadanan dengan apa yang diajarkan Rasulullah atau sebaliknya. Jika tidak, marilah kita sama-sama mengubahnya ke arah yang lebih baik

Untuk memaknakan ilmu yang dipelajari, marilah kita sama-sama mengamalkannya. Semoga kita tidak menjadi seperti golongan ahli kitab yang mengetahui tentang kerasulan Muhammad SAW namun tidak beriman dengannya.


RUJUKAN

Bidayatul al-Sul Fi Tafdil al-Rasul, Izzudin Abdul Salam, terjemahan Dr Abdul Basit Abdul Rahman.
Rukun Iman, terjemahan Abdul Basit Abdul Rahman
Zaharudin
http://www.abuanasmadani.com
http://ansarul-hadis.blogspot.com

* sebahagian isi ceramah maulidurasul di sebuah sekolah dan sebuah surau

Tiada ulasan: