TAZKIRAH RAMADAN (11)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN &
BERAMAL DENGANNYA
1) Daripada Abu Umamah ra bahawa
beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Bacalah al-Quran kerana ia
akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya.”-
Riwayat Muslim
Keterangan Hadis 1
Anjuran Nabi SAW supaya membaca
al-Quran kerana pahala dan ganjaranya yang besar. Ia akan menjadi pemberi
syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkankannya
Dikatakan
bahawa Allah akan menjadikan pahala bacaan al-Quran itu seperti suatu bentuk
atau rupa yang dapat dilihat oleh manusia di hari akhirat lalu diletakkan di
atas timbangan untuk ditimbang
2) Daripada al-Nawwas ibn Sam’an ra
beliau berkata bahawa aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Akan
didatangkan pada hari kiamat al-Quran dan orang-orangnya iaitu orang yang
mengamalkannya di dunia. Ia akan didahului oleh surah al-Baqarah dan Ali Imran,
keduanya akan berhujah untuk membela orang yang mengamalkannya.”- Riwayat
Bukhari
Keterangan Hadis 2
Orang yang suka membaca al-Quran
semasa hayatnya akan mendapat syafaat di akhirat nanti. Al-Quran yang dibaca
itu seolah-olah akan menjadi peguam bela yang akan berbicara dan mempertahankannya.
Sementara
surah al-Baqarah secara khusus mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disebut
di dalam hadis lain seperti jin tidak dapat memasuki rumah yang dibaca surah
al-Baqarah. Di dalam surah al-Baqarah juga terdapat ayat kursi, dua ayat
terakhir surah al-Baqarah yang kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri yang
disebut dalam hadis lain
3) Daripada Aisyah ra bahawa
Rasulullah SAW bersabda,” Orang-orang yang boleh membaca al-Quran dan dia
seorang yang mahir membacanya akan bersama malaikat yang mulia dan taat. Sedangkan
orang yang membaca al-Quran dengan sukar (kerana tidak mahir) dan bacaan itu
terasa sulit baginya maka dia mendapat dua pahala.”- Muttafaq ‘Alayh
Keterangan Hadis 3
Orang yang mahir, pandai membaca
Quran meliputi makhrajnya, tajwid dan sebagainya akan bersama para malaikat.
Sementara orang yang tidak begitu pandai membaca Quran, merangkak-rangkak tetap
memperoleh pahala bacaannya namun cubalah belajar untuk memperbaiki tahap
bacaannya. Dia mendapat dua pahala, pahala kerana membaca al-quran dan pahala
kerana tidak lancar. Justeru alasan tidak membaca al-Quran kerana tidak lancar
tidak relevan
4) Daripada Abu Musa al-Asy’ariy ra
bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Perumpamaan seorang
mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah al-utrujah, aromanya
wangi dan rasanya lazat. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca al-Quran
adalah seperti buah kurma, tiada aromanya namun rasanya manis. Perumpamaan
seorang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti bunga raihanah,
baunya wangi namun rasanya pahit. Sementara perumpamaan orang munafik yang
tidak membaca al-Quran adalah seperti hanzalah, ia tidak berbau dan
rasanya pahit,” – Muttafaq ‘alayh
Keterangan Hadis 4
Utrujjah- Buah yang terdapat di negeri arab. Bentuk dan rupanya cantik.
Rasanya pula sedap. Sesetengah tok guru menterjemahkannya dengan buah durian.
Terjemahan ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman bahawa utrujjah
merupakan buah yang berbau harum dan rasanya lazat. Ini menjadi kiasan kepada
kedudukan orang mukmin yang selalu membaca al-Quran. Kedudukannya tinggi di
sisi Allah
Kurma- Perumpamaan kepada orang
mukmin yang baik namun tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma yang
tidak berbau namun rasanya manis. Iman di hatinya umpama rasa kurma yang manis,
namun sikapnya yang tidak membaca al-Quran umpama tiada bau dan aroma yang
menyenangkan manusia. Maksud orang mukmin yang tidak membaca al-Quran di sini
ialah tidak membaca al-Quran di luar solat. Bacaan al-Quran seperti surah
al-fatihah di dalam solat tidak termasuk kerana sebagai seorang mukmin, solat
yang terdiri daripada bacaan al-Quran sudah semestinya ditunaikan
Raihanah- Bunga yang cantik rupanya, wangi aromanya namun rasanya pahit. perumpamaan kepada orang munafik yang membaca
al-Quran. Begitulah sikap orang munafik yang dipandang tinggi di sisi manusia
namun hakikatnya rendah dan tiada nilai di sisi Allah. Walaupun dia membaca
al-Quran, namun sifat munafiknya itu menjadi penghalang utama kepada rahmat
Allah.
Hanzalah- sesetengah kitab mengatakan hanzalah ialah sejenis buah.
Ada sesetengah tok guru menafsirkanya sebagai sejenis rumput yang tidak berbau
harum dan rasanya pahit. Walau bagaimanapun ia sebagai kiasan kepada orang
munafik yang tidak membaca al-Quran. Sifatnya yang tidak berbau menyerupai
sikapnya yang tidak membaca al-Quran dan rasanya yang pahit menyerupai imannya
(iman orang munafik)
Kadang-kadang
Rasulullah SAW menyebut sesuatu hadis secara bandingan dan kiasan untuk
memudahkan kefahaman. Hadis ini menyebut kedudukan orang mukmin dan munafik
yang membaca al-Quran dan tidak.
Kesimpulan
& Pengisian Ihya Ramadan
Al-Quran
sememangnya lubuk pahala, ditambah pula dengan kedatangan Ramadan yang
menjadikan bacaan al-Quran pada waktu ini berlipat ganda pahalanya. Oleh itu,
janganlah biarlah ianya berlalu tanpa pengisian daripada kita semua
Sempena kedatangan Ramadan, Panitia Agama Islam akan meneruskan
acara tahunan dengan bertadarrus. Tentatif dan pengisian Ramadan tahun ini
sentiasa memerlukan kerjasama fizikal dan penambaikan dari segi idea dan
cadangan. Justeru itu, marilah kita yang berkelapangan sama-sama menyertai dan
memeriahkan acara tahunan dan pesta ibadah ini.
RUJUKAN
1) Riyad al-Salihin, Kaherah.
2) Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin
(terjemahan Bahasa Melayu), al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur
3) Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin),
juz 3, Dar al-hadith, Kaherah.
4) CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg
Durian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan