TAZKIRAH
RAMADAN (12)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
KEUTAMAAN SEGERA BERBUKA & KURMA ‘AJWAH
Hadis 1
Daripada Abu ‘Atiyyah, beliau berkata:” Aku dan
Masruq datang mengadap Aisyah ra dan Masruq bertanya kepadanya, ada 2 orang
sahabat Rasulullah SAW yang tidak pernah lepas daripada kebaikan. Salah
seorangnya selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka sementara yang seorang
lagi suka melewatkan solat maghrib dan berbuka. Aisyah lalu bertanya:” Siapakah
yang kamu maksudkan selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka?” Jawab
Masruq:” Abdullah bin Mas’ud.” Aisyah ra kemudiannya berkata bahawa itulah
yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW. - Muslim
Keterangan Hadis 1
Hadis ini menceritakan jawapan Aisyah tentang
perbuatan 2 orang sahabat yang sering melakukan kebaikan. Seorang daripadanya
segera berbuka dan solat. Seorang lagi lewat berbuka dan lewat mengerjakan
solat maghrib. Aisyah ra menegaskan bahawa perbuatan sahabat yang segera
berbuka apabila masuk waktunya dan segera solat itulah yang menepati dengan
perbuatan dan amalan Rasulullah SAW
Hadis 2
Daripada Abu Ibrahim Abdullah bin Abu Aufa ra, beliau
berkata:”Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW sedangkan baginda SAW
berpuasa ketika itu. Apabila matahari tenggelam, baginda berkata kepada
beberapa orang:” Wahai fulan, berhenti dan masaklah untuk kami” Fulan berkata:”
Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau menunggu sehingga ke petang?” Baginda
bersabda:” Berhenti dan masaklah untuk kami”. Orang itu (fulan) berkata:”
Sesungguhnya engkau masih berada dalam waktu siang.” Sabda Baginda:” Berhenti
dan masaklah untuk kami”. Abdullah Abu Aufa berkata:” Akhirnya orang itu pun
menyiapkan makanan untuk rombongan, lalu Rasulullah SAW minum dan kemudian
bersabda:” Apabila kamu melihat malam telah datang dari sana (timur), maka
seorang yang berpuasa telah (boleh) berbuka.” Dan Baginda menunjuk dengan
tangannya ke arah timur.”- Muttafaq Alayh
Keterangan Hadis 2
Hadis ini jelas menunjukkan arahan Rasulullah SAW supaya
segera berbuka sebaik sahaja matahari terbenam walaupun cuaca pada masa itu
masih cerah. Pada mulanya, si fulan (tukang masak) memberi alasan bahawa hari
masih cerah untuk memasak dan berbuka, namun Rasulullah menyuruh untuk memasak
dan memberitahu bahawa apabila malam telah tiba (matahari terbenam) hendaklah segera
berbuka
Terdapat
suatu golongan yang melewatkan berbuka sehingga gelap. Mereka juga melewatkan
solat maghrib. Perbuatan ini bercanggah dengan amalan dan arahan Rasulullah
SAW.
Hadis 3
Daripada Sahl Ibn Saad ra bahawa Rasulullah SAW
bersabda:” Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan
berbuka puasa.” Riwayat Muttafaq ‘Alayh
Hadis ke 4
Daripada Anas ra bahawa Rasulullah SAW berbuka
sebelum melakukan solat dengan rutab, jika tidak ada rutab
baginda akan berbuka dengan kurma dan jika tidak ada kurma baginda akan berbuka
dengan minum beberapa teguk air- Abu Dawud & Tirmiziy
Keterangan Hadis 4
Rutab ialah kurma yang masih basah dan segar. Sementara
perkataan kurma atau tamar merujuk kepada kurma yang telah kering. Menjadi
Sunnah untuk kita sebagai umat Nabi SAW berbuka sebagaimana Baginda SAW. Jika
tidak ada sebarang jenis kurma, berbukalah dengan air sebelum makan sebarang
makanan lain.
Kurma ‘Ajwah Penawar Sihir?
Apabila berbicara tentang rutab atau kurma,
kita akan sering terkenangkan keenakan kurma Madinah atau kurma nabi (kurma ‘Ajwah).
Terdapat satu hadis sahih yang menyebut bahawa sesiapa yang makan kurma nabi
akan terselamat daripada bahaya sihir. Sejauhamanakah dakwaan demikian?
Sabda Rasulullah SAW:”Sesiapa yang makan 7 biji kurma
‘Ajwah setiap pagi maka terpeliharalah dia pada hari itu daripada racun
dan sihir.”- Bukhari, Muslim dan lain-lain
Keistimewaan
Kurma ‘Ajwah jika dibandingkan dengan jenis kurma yang lain ialah kerana
berkat petunjuk pengkhususan Rasulullah SAW ke atasnya. Begitu juga
pengkhususan Baginda SAW terhadap jumlah 7 biji kurma ‘Ajwah pada setiap
pagi. Selain itu, keberkatan juga mungkin berasal daripada keistimewaan tanah
Madinah yang menjadi tempat khas pokok-pokok kurma ‘Ajwah
Sejauhmana
berkesannya kurma ‘Ajwah terhadap racun dan sihir sebenarnya bergantung
kepada Allah SWT. Begitu jugalah dengan sihir, semuanya hanya berkesan dengan
keizinan Allah SWT
Justeru
itu, untuk beramal dengan hadis ini seseorang yang makan kurma ‘Ajwah
hendaklah meletakkan segala pergantungan, penuh harapan akan kurniaan Allah,
rendah diri akan kekuasaan Allah untuk memelihara dan menyembuh dan bertawakkal
sepenuhnya akan keputusan Allah terhadap dirinya.
Kemungkinan
juga kurma ‘Ajwah tidak berkesan terhadap seseorang yang makannya kerana
terdapat bisikan kecil di dalam hatinya yang ingin menduga dan mencabar samada
benar atau tidak sabda dan hadis rasululah SAW. Bisikan dan keraguan inilah
yang menghilangkan keistimewaan kurma ‘Ajwah.
Kesimpulan & Pengisian
Ihya Ramadan
Keseluruhannya Ada 2 poin besar,
iaitu keutamaan berbuka dengan kurma samada jenis rutab atau kurma dan keistimewaan
kurma Ajwah sebagai penawar sihir.
Bagi
yang mampu dan berkesempatan, bolehlah berbuka dengan rutab atau Ajwah yang
sedikit mahal. Bagi yang tidak mampu atau tidak berkesempatan, bolehlah berbuka
dengan tamar biasa atau air kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah
SAW.
RUJUKAN
1)
Riyad al-Salihin, Kaherah.
2)
Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin (terjemahan Bahasa Melayu),
al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur
3)
Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin), juz 3, Dar al-hadith,
Kaherah.
4)
CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg Durian
5)
Kaedah Memahami Hadis Musykil, Hafiz Firdaus Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan