Sabtu, 11 Julai 2015

tazkirah ramadan 14 : aidilfitri & solat sunat hari raya



TAZKIRAH RAMADAN (14)
Edisi kemaskini[1][2]
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
AIDILFITRI & solat sunat hari raya

Di antara amalan-amalan sunat ketika menyambut Aidilfitri ialah:

Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Ini sebagaimana Firman Allah SWT (Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir & bertahmid) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur-185 al-Baqarah). Kita boleh mula bertakbir pada malam hari raya (anak bulan syawal kelihatan) dan berakhir ketika imam selesai dari khutbah.

            Selain itu, kita juga disunatkan bertakbir sepanjang perjalanan ke tempat solat Aidilfitri. Keadaan ini berterusan sehinggalah apabila imam mula melakukan takbiratul ihram untuk memulakan solat. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah bertujuan untuk menyerlahkan syiar Islam di sepanjang perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Takbir dillakukan dengan suara yang kuat dan ianya tidak berbeza di antara Aidilfitri dan aidiladha

Mandi sunat hari raya
Waktu yang diharuskan untuk mandi sunat hari raya ialah bermula dari tengah malam. Waktu sunat pula bermula selepas terbit fajar dan berkekalan sehingga matahari terbenam.

Makan Sebelum Ke Tempat Solat
Kita disunatkan makan sebelum keluar ke tempat solat walaupun ketika sedang memandu. Hikmahnya untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Ia juga bertujuan membezakan antara hari raya dengan hari yang sebelumnya. Jika seseorang itu tidak makan sebelum ke masjid pada aidilfitri, hukumnya makruh. Sementara pada hari raya haji, disunatkan menahan diri daripada makan sehingga balik daripada solat

            Rasulullah SAW makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi hari raya. Dari Anas bin Malik ra katanya (Rasulullah SAW tidak pergi ke musalla pada pagi Aidilfitri hingga baginda makan beberapa buah kurma… Rasulullah SAW memakannya di dalam jumlah yang ganjil- Bukhari

Memakai Pakaian Yang Indah 
Sunat untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah pada hari raya. Hikmahnya ialah pada hari ini kita dikehendaki supaya menzahirkan nikmat yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambaNya. Bagi orang yang memiliki hanya sepasang pakaian, hendaklah dia membersihkan pakaian itu dan memakainya.

            Menurut huraian para ulama, kaum perempuan digalakkan hadir mengerjakan solat hari raya di musalla. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang sederhana dan tidak berhias apatah lagi memakai bau-bauan.

Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
Hukumnya ialah sunat muakkad. Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula difardukan sehinggalah kewafatannya. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjemaah. Namun jika seseorang melakukannya secara bersendirian ia tetap sah. Tuntutan ini merangkumi semua orang Islam yang berakal samada lelaki atau perempuan, orang yang bermukim atau bermusafir dan sebagainya kecuali orang perempuan yang berperhiasan, dia bolehlah melakukannya di rumah. Ini berdasarkan hadis Umm Atiyyah ra (kami diperintahkan supaya keluar pada hari raya, sehingga kami disuruh membawa bersama anak-anak dara dan perempuan yang haid lalu mengambil tempat di belakang orang ramai (bukan tempat solat). Mereka bertakbir dan berdoa bersama orang ramai dalam keadaan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciaanya- Bukhari & Muslim). 

            Waktu untuk solat bermula dengan jelas terbitnya matahari dan tidak semestinya terbit matahari secara keseluruhannya. Ia berakhir apabila matahari tergelincir (waktu zohor). Waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik segalah kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Baginda SAW. Disunatkan melambatkan sedikit waktu solat Aildilfitri berbanding solat sunat Aidiladha untuk memberi masa tambahan kepada mereka yang masih belum membayar zakat fitrah. Sementara solat Aidiladha dilakukan lebih awal untuk memberi masa yang lebih luas kepada orang yang hendak menyembelih korban. Selain itu, para jemaah juga disunatkan hadir ke masjid lebih awal. Bagi imam, disunatkan melambatkan kehadirannya kerana sebaik sahaja imam sampai di masjid maka solat akan didirikan dan dia akan terus mengimamkan solat.


Tempat Solat Hari Raya
Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau di tempat lapang seperti Stadium Sultan Muhammad ke IV. Dalam situasi di Mekah, mendirikan solat hari raya di Masjid Haram lebih afdal. Jika di tempat lain selain daripada Mekah, ada ulama mengatakan lebih afdal mengerjakannya di tanah lapang dan ada pula yang mengatakan lebih afdal di masjid. Dalam mazhab Syafie, lebih afdal mengerjakan solat hari raya di masjid jika masjid sesebuah kampung itu luas dan dapat menampung para jemaah. Ini kerana masjid masjid mempunyai kemuliannya melebihi tempat lain dan para jemaah juga boleh beriktikaf. Sebaliknya jika masjid sesebuah kampung itu sempit dan tidak dapat memenuhi keperluan jemaah hukumnya bertukar menjadi makruh. Pada masa itu, para jemaah boleh mengerjakannya di tanah lapang jika tiada halangan lain seperti hujan dan sebagainya

Hari Raya Pada Hari Jumaat
Apabila hari raya jatuh pada hari jumaat, ada pendapat ulama yang mengharuskan untuk pulang ke kampung. Tinggalkan solat jumaat kerana mereka telah hadir untuk solat hari raya. Keharusan ini memandangkan mereka berada jauh di pedalaman. Apabila mereka pulang, sukar untuk kembali menunaikan solat jumaat di Madinah pada masa itu. Namun seeloknya bagi kita yang mana masjid memenuhi segenap ceruk kampung, ditambah dengan keadaan kita yang mempunyai kemudahan kenderaan, seeloknya lakukan kedua-duanya (solat aidilfitri dan solat jumaat di masjid) kerana keluar daripada perkara khilaf lebih utama.


RUJUKAN
Al-Fiqh al-Manhajiy
Mastika Hadis (jilid ketiga)
Furu’ al-Masail wa Usul al-Masail
http://www.hafizfirdaus.com
http://soaljawab.wordpress.com



[1] Artikel ini merupakan kemaskini dengan sedikit pengubahsuaian daripada edisi asal yang diedarkan dalam siri 8 tahun 2011 (tajuk asal- Aidilfitri).

Tiada ulasan: