Ahad, 29 Jun 2025

Kisah Thumamah bin Uthal (sahabat nabi SAW)

 

Thumamah Bin Uthal (ثمامة بن أثال)

 

Kisah pengIslaman Thumamah bin Uthāl agak menarik. Bermula menjadi seorang tawanan Nabi SAW di Madinah, berubah menjadi seorang sahabat yang agung.

 

Thumamah adalah ketua atau pembesar suku Bani Hanifah, yang tinggal di kawasan Yamamah (sekarang di wilayah Najd, Arab Saudi). Seingat ambo, Najd ni ada yang terletak di Iraq. Ada Najd yang terletak dalam Saudi sekarang. So Thumamah yang disebut dalam kisah ni berasal dari Najd dalam area Arab Saudi sekarang

 

Bani Hanifah ni merupakan suku yang besar dan berpengaruh. Mereka merupakan cabang daripada suku besar Bakar bin Wa'il dari Najd dan termasuk dalam kelompok Rabiah.  Tempat utama mereka dikenali sebagai Al-Yamamah, iaitu kawasan pertanian subur yang penting pada zaman itu. Kiranya suku Bani Hanifah ni agak glamer, kaya, dan ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat arab pada masa tu

 

Thumamah ni pada asalnya merupakan seorang yang sangat anti Islam. Beliau pernah merancang untuk membunuh Baginda SAW.

 

Dalam perjalanan beliau ke Mekah untuk mengerjakan umrah, beliau ditawan oleh suatu pasukan tentera Muslim yang diketuai oleh Muhammad Bin Maslamah

 

Thumamah dibawa ke Madinah. Baginda SAW mengarahkan sahabat supaya mengikat Thumamah di salah satu daripada tiang2 masjid nabi.

 

Pada hari pertama, Baginda SAW mendekatinya dan bertanya “Apa pendapatmu, wahai Thumamah?”

 

Jawab Thumamah "Jika kamu membunuhku, kamu akan membunuh orang yang berdarah mulia. Jika kamu memberi nikmat (bebas), kamu memberi kepada orang yang tahu membalas budi. Dan jika kamu mahukan harta, mintalah apa yang kamu mahu." Maksudnya jika Nabi SAW membunuh Thumamah, kaumnya pasti akan membalas dendam kerana beliau merupakan seorang pemimpin kaum yang terkemuka. Jika Nabi SAW melepaskannya, beliau pasti akan berterima kasih. Jika Nabi SAW menginginkan wang tebusan, kaumnya pasti akan menebusnya kerana Bani Hanifah kaum yang agak ternama dan berharta

 

Keesokannya Nabi SAW mendekati Thumamah dan bertanyakan soalan yang sama. Thumamah juga menjawab dengan jawapan yang sama

 

Selepas 3 hari (atau beberapa hari) Nabi SAW memerintahkan supaya Thumamah dibebaskan. Thumamah seterusnya keluar ke sebuah kebun berdekatan Madinah, mandi, dan kemudian kembali ke Masjid Nabawi untuk mengisytiharkan keislamannya.

 

Thumamah menegaskan bahawa sebelumnya tiada muka yang lebih dibenci melainkan wajah Rasulullah SAW namun selepas ini wajah baginda SAW adalah wajah yang paling disayanginya. Beliau juga berkata bahawa sebelum ini Madinah merupakan tempat yang paling dibenci, namun selepas ini Madinah merupakan tempat yang paling disayanginya. Beliau menyebut lagi bahawa kalua sebelum ini islam merupakan agama yang paling dibencinya, namun selepas ini islam merupakan agamanya

 

Memandangkan Thumamah ditangkap ketika beliau dalam perjalanan menuju ke Mekah, beliau meminta izin Nabi SAW untuk menyambung kembali perjalanannya. Baginda SAW merestui hajat Thumamah untuk meneruskan hajatnya ke Mekah. Thumamah menuju ke Mekah dalam keadaan berita pengIslaman beliau sudah pun tersebar.

Penduduk Mekah yang pada masa itu masih dikuasai oleh musyrikin agak terkejut dengan pengIslaman beliau. Ada yang mengejeknya, ada yang marah, ada yang menuduhnya pengkhianat n etc. Daripada seorang bangsawan yang dihormati, penduduk Mekah membenci Thumamah

 

Apabila pulang ke Yamamah, Thumamah menahan bekalan gandum ke Mekah sebagai membalas langkah Quraisy di Mekah yang memboikot ekonomi Madinah. Yamamah sebelum ini merupakan pembekal utama bekalan gandum ke Mekah. Selepas pengIslamannya, Thumamah memerintahkan untuk menyekat segala bekalan gandum ke Mekah.

 

Qurasiy Mekah mula terkesan dengan terhentinya bekalan gandum Yamamah ke Mekah. Lalu mereka menulis surat kepada Nabi SAW supaya meminta Thumamah kembali menghantar gandum ke Mekah lalu Baginda SAW melakukannya. Baginda SAW memerintahkan Thumamah supaya kembali menghantar gandum ke Mekah seperti sebelumnya

 

Selepas Thumamah memeluk Islam, kehidupannya berubah daripada ketua kabilah musyrik yang memusuhi Nabi SAW kepada seorang muslim yang taat kepada Allah

 

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, muncul nabi palsu dari suku Bani Hanifah sendiri iaitu Musailamah al-Kazzab. Walaupun Thumamah juga dari Bani Hanifah, beliau menolak keras dakwaan palsu Musailamah, dan mengajak kaumnya menolak "kenabian" Musailamah.

 

Beliau berjuang di pihak Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dalam Perang Yamamah menentang golongan murtad dan pengikut Musailamah.

 

Para ulama dan ahli sejarah mengenang Thumamah sebagai tokoh Islam awal yang gigih, berani, dan bijaksana. Namanya disebut dalam kitab seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sirah Ibn Hisham dan Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Ibn Hajar al-Asqalani)

 

 

Tiada ulasan: