TAZKIRAH
RAMADAN (13)
Edisi kemaskini[1]
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
MEMBURU LAILATUL QADR (LQ)
Bilakah
Lailatul Qadr (LQ)
Terdapat 27 atau 45 pendapat tentang bilakah lailatul
qadr. Yang paling masyhur ialah LQ jatuh pada salah satu malam yang
ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.
Rasulullah
SAW bersabda (Carilah LQ pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir
Ramadan – Bukhari)
Ada juga
ulama yang membuat kaedah tertentu untuk mendapatkan LQ. Mereka mengatakan
bahawa jika puasa bermula pada hari ahad, LQ mungkin berlaku pada malam sekian
sekian. Jika puasa bermula pada hari Isnin, LQ akan berlaku pada malam sekian
sekian. Kesemua kaedah ini menunjukkan kesungguhan para ulama untuk beramal
pada malam yang hebat ini.
Tarikh tetap atau berubah?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa tarikh LQ bersifat
tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan. Sebilangan besar ulama
termasuk Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia berubah pada setiap tahun dan
tidak kekal statik hanya pada satu tarikh tertentu.
Selain
dari itu, berdasarkan hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada
tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan hadis
Nabi SAW (Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir,
sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir- Bukhari
& Muslim).
Di antara tarikh 25, 27
dan 29 Ramadan ini, malam 27 merupakan malam yang paling ditunggu oleh
kebanyakan umat Islam di Negara Arab. Pada malam ini mereka akan mengadakan
suatu majlis khusus untuk menyambut malam berkenaan dengan dihadiri oleh raja
atau presiden sendiri. Selain itu, tarikh 27 ini juga dipegang oleh kebanyakan
sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama
Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya
kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada
tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang
menyebut (Malam al-Qadar adalah malam ke 27- Ahmad, Abu Daawud)
Bagaimana Menghidupkan LQ
Kita boleh menghidupkan LQ dengan melakukan Qiyamullail. (A’isyah
r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang
terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan
menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan
keluarganya untuk turut berqiamullail –Muslim)
Kita
juga digalakkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan
kepada Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya:
“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam
daripada LQ, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab
(ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)
Ibadat Wanita Yang Uzur
Bagaimanakah caranya bagi wanita yang uzur melakukan
ibadat pada malam ini? Bagi wanita yang uzur, mereka bolehlah melakukan
pelbagai ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-quran
daripada bacaan orang lain atau pun melalui radio dan gajet.
Persoalan mengenai LQ
Bagaimana dengan persoalan tentang masalah perbezaan
permulaan puasa di antara negara yang berbeza. Contohnya Negara Thailand
berpuasa pada 1 Ramadan yang bersamaan dengan 1 Jun sementara Negara Malaysia
mula berpuasa pada 2 Jun. Justeru itu, malam yang dianggap ganjil di Malaysia
boleh jadi malam yang genap di Thailand dan sebaliknya. Justeru itu, mana
satukah malam yang genap dan mana satukah malam yang ganjil?
Begitu
juga waktu malam yang menimpa Tanah Melayu, pada waktu yang sama hari masih
cerah di Stamford Bridge dan Emirates Stadium, London. Apakah LQ berlaku
serentak di seluruh dunia yang berbeza siang dan malamnya atau LQ berlaku berperingkat
bermula dari timur yang lebih dahulu malam, kemudiannya bergerak menuju ke
barat?
Bagaimana
pula keadaan penghuni negara Scandinavia yang berpuasa lebih 20 jam. Bagamana
mereka yang berada di kutub yang mengalami waktu siang selama beberapa bulan,
adakah LQ juga berlaku di sana? Ini kerana perkataan lail merujuk kepada
waktu malam.
Bagi menjelaskan persoalan ini, Syeikh
Qaradawi menerangkan bahawa seeloknya kita memperbanyakkan amal ibadat pada
setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan tanpa mengambil kira samada malam
genap atau ganjil. Ini kerana apabila kita telah ketahui secara tepat bahawa
malam tertentu merupakan malam al-Qadr maka berkemungkinan kita hanya akan
menambah amal pada malam tersebut sahaja dengan mengabaikan malam-malam yang
lain. Tarikh malam ini sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar kita semua
berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Rahsia ini menjadi suatu motivasi
kepada kita untuk melakukan amal ibadat pada bulan itu seluruhnya dan
melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi
kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana
Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari jumaat agar kita
sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT juga merahsiakan
Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan
dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-NamaNya secara
keseluruhan
Kesimpulannya,
marilah kita memperbanyakkan amal ibadat kita khasnya pada sepertiga malam
akhir Ramadan. Semoga impian kita untuk beramal pada malam itu serta mendapat
keampunanNya tercapai.
RUJUKAN
http://www.zaharuddin.net/
http://elmargi.blogspot.com/2010_08_01_archive.html
http://elmargi.blogspot.com/2010_08_01_archive.html
[1] Artikel ini merupakan kemaskini
daripada edisi asal yang diedarkan dalam siri 3 (2010) dengan sedikit pengubahsuaian. Artikel asal
bertajuk Lailatul Qadr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan