Isnin, 14 Februari 2022

Ringkasan kisah hutang Zubair bin Awwam

 Ringkasan kisah hutang Zubair bin Awwam

1)      Zubair Awwam memanggil anaknya Abdullah lalu menyampaikan wasiat atau pesanan jika beliau meninggal dalam Perang Jamal, Abdullah hendaklah menguruskan harta dan hutang beliau. Beliau juga ada meninggalkan wasiat tertentu untuk dilaksanakan oleh Abdullah

 

2)      Zubair meninggal dalam Perang Jamal. Beliau tidak meninggalkan sebarang dinar atau dirham namun beliau mempunyai harta dalam bentuh tanah dan rumah di pelbagai tempat seperti Madinah, Kufah, Basrah dan Mesir

 

 

3)      Zubair bin Awwam bukanlah seorang peniaga atau gabenor. Beliau seorang mujahid (tentera) yang sering berperang bersama Rasulullah SAW. Namun beliau seorang yang jujur dan amanah. Oleh kerana kejujurannya, terdapat sebilangan orang yang menyerahkan harta kepada Zubair untuk dijaga oleh beliau. Walau bagaimanapun Zubair meminta kepada orang yang ingin menyerahkan harta untuk dijaga oleh beliau menjadi hutang. Justeru itu, harta tersebut boleh diurusniagakan atau dilaburkan oleh Zubair sebaik mungkin. Harta yang menjadi pinjaman oleh Zubair digunakan untuk membeli tanah.

 

4)      Apabila Zubair meninggal, hutang yang ditanggung oleh anaknya berjumlah 2.2 juta lebih (tidak disebut samada dinar atau dirham). Abdullah telah menjual harta2 ayahnya dan mendapat hasil jualan hampir 50 juta. Di antara harta tersebut ialah tanah di Madinah yang dipanggil al-ghabah. Al-ghabah telah dibeli oleh Zubair sebanyak 170000. Abdullah berjaya menjual tanah al-ghabah dengan nilai 1.6 juta

 

 

5)      Setelah selesai membayar hutang, anak2 Zubair yang lain memohon supaya diberikan kepada mereka hak mereka (faraid) namun Ibn Zubair enggan kecuali selepas 4 tahun. Beliau mengumumkan pada setiap tahun jika ada orang yang masih menjadi pemiutang terhadap ayahnya, sila datang berjumpa beliau untuk melunaskan hutang, akhirnya setelah 4 tahun pengumuman dibuat, barulah beliau membahagikan harta peninggalan ayahnya yang bernilai lebih 50 juta. Zubair mempunyai 4 orang balu dengan setiap seorang daripada mereka mendapat harta bernilai 1.2 juta.

 

Ini merupakan ringkasan daripada sebuah hadis yang dimuatkan dalam kitab riyad al-salihin di bawah tajuk perintah menunaikan amanah

Tiada ulasan: