Antara Adab2 Bermusafir
Islam merupakan agama yang sempurna. Ia bukan sahaja mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT malah turut memberikan panduan dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah adab ketika bermusafir. Rasulullah SAW telah mengajar umatnya supaya menjaga keselamatan, kebajikan haiwan dan hak pengguna jalan raya melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra dalam Sahih Muslim. Hadis ni ada juga dalam Riyad al-Solihin.
Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا سَافَرْتُمْ فِي الْخِصْبِ فَأَعْطُوا الْإِبِلَ حَظَّهَا مِنَ الْأَرْضِ، وَإِذَا سَافَرْتُمْ فِي الْجَدْبِ فَأَسْرِعُوا عَلَيْهَا السَّيْرَ، وَبَادِرُوا بِهَا نَقِيَّهَا، وَإِذَا عَرَّسْتُمْ فَاجْتَنِبُوا الطَّرِيقَ، فَإِنَّهَا طُرُقُ الدَّوَابِّ وَمَأْوَى الْهَوَامِّ بِاللَّيْلِ»
(Apabila kamu bermusafir melalui kawasan yang subur, berilah unta peluang untuk mendapatkan bahagiannya daripada bumi (makan rumput). Apabila kamu bermusafir melalui tanah yang kering, percepatkanlah perjalanan dan bersegeralah sebelum habis kekuatannya (kekuatan unta). Apabila kamu berhenti untuk berehat pada waktu malam, jauhilah jalan kerana jalan itu merupakan laluan haiwan dan tempat binatang berbisa pada waktu malam- Muslim)
Banyak benda yang kita boleh amik pengajaran daripada hadis ni. Ia menjelaskan beberapa adab penting ketika seseorang melakukan perjalanan. Baginda SAW bersabda bahawa apabila bermusafir melalui kawasan yang subur, hendaklah diberikan peluang kepada haiwan tunggangan untuk menikmati rumput dan tumbuh-tumbuhan di sepanjang perjalanan. Zaman nabi SAW dulu, mereka biasa bermusafir dengan haiwan tunggangan terutama unta. So bila lalu area yang ada makanan, oasis contohnya. Kalau perlu berhenti, berhenti dan rehatlah dulu. Tunaikan hak unta tu. Maybe unta tu nak berehat, minum atau makan n etc. then teruskanlah perjalanan.
Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan haiwan. Haiwan yang digunakan untuk membawa barang atau penumpang tidak boleh dipaksa bekerja tanpa diberikan makanan dan rehat yang mencukupi. Ambo pernah terbaca bahawa had barangan yang mampu dibawa oleh seekor unta biasanya sehingga 200kg (kena semak balik maklumat ni)
Sebaliknya apabila perjalanan dilakukan melalui kawasan yang kering dan tandus, perjalanan hendaklah dipercepatkan. Tujuannya untuk nak elakkan haiwan daripada keletihan akibat kekurangan makanan dan sumber air.
Agaknya kalau dalam situasi sekarang, kalau dapat kita bayangkan semasa kita bermusafir, then perut tengah lapar, kereta lak melalui area nasi kerabu tersohor, atau ada keperluan untuk tukar pampers anak, buang air n etc, seeloknya raikanlah segala keperluan tu.
Selain itu, hadis di atas juga menyebut supaya menjauhi jalan apabila berhenti untuk berehat pada waktu malam. Baginda saw menjelaskan bahawa jalan merupakan laluan haiwan dan tempat berlindung bagi binatang berbisa pada waktu malam. Oleh itu, berhenti di tengah jalan boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan haiwan. Arahan ini juga mengajar umat Islam supaya memilih tempat yang sesuai, selamat dan tidak mengganggu pengguna jalan.
Hadis ini sangat relevan dengan kehidupan kita skang terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan untuk perjalanan jauh. Kita sebagai pemandu, cari dan pilihlah tempat yang selmat untuk berehat. Maybe boleh singgah area R&R, stesen minyak atau Kawasan yang difikirkan selamat dan tidak mengganggu orang lain.
Hadis ini mengandungi panduan yang amat berharga tentang adab ketika bermusafir, merangkumi penjagaan kebajikan haiwan, pengurusan perjalanan dan pemilihan tempat berhenti yang selamat. Sama-samalah kita cuba untuk menghayati pesan nabi SAW dan beramal dengannya. Nampak simple je tapi penuh hikmah.