Selasa, 30 Disember 2025

Amir Abdul Kader al-Jazā’iriy (AAK)

Amir Abdul Kader al-Jazā’iriy (AAK)

Kali pertama ambo dengar nama negara Algeria ialah masa World Cup Mexico 1986 (darjah 3). Masa tu Algeria ada player hebat bernama Rabah Madjer yg main dengan kelab Porto. Masa tu ambo tak tahu pun bahawa Algeria ni Arab sebab dia mewakili Afrika. Rupanya Algeria ni negara Arab yang terletak di utara Afrika macam Mesir, Libya, Tunisia dan Maghribi

 

Masa kat Kaherah, malam2 kami biasa tgk Nile tv. Saluran Nile tv ni berbahasa Inggeris. So berita2 dalam Nile tv tu agak antarabangsa. Pernah suatu ketika Nile tv siar klip video lagu bertajuk Abdel Kader karya Cheb Khaled, Fadel dan Rachid Taha. Boleh dikatakan klip tu main tiap2 minggu. Ambo terfikir siapa Abdul Kader ni? Ambo mengagak bahawa individu berkenaan merupakan seseorang sosok yang hebat samada orang Algeria, Tunis atau Maghrib berdasarkan lahjah (accent/ slanga) ammiyah mereka tu.

 

Bila jumpa orang Algeria, ambo tanya siapa Abdul Kader. Masa tu internet tak meluas cam skang. So mereka cakap Abdul Kader ni pejuang kemerdekaan negara mereka. Ambo juga tanya pasal Boutafliqa (Presiden Algeria masa tu), terus warga Algeria tu tak nak cakap dengan ambo. Entahlah, dia ingat ambo nak report ke Presiden Boutafliqa kot. Ha ha ha

 

Ringkasnya Abdul Kader ibn Muhyiddin ibn Mustafa al-hasaniy al-Jazā’iri merupakan seorang ulama, ahli sufi, pejuang kemerdekaan Algeria menentang Peranchis pada abad 19. Beliau ni berketurunan nabi daripada jalur hassan bin ali. Lahir di area Mascara, Algeria.

 

Amir Abdul Kader (AAK) dibesarkan dalam suasana ilmu dan tasawwuf. Beliau hafaz AQ pada usia muda dan mendalami pelbagai ilmu islam termasuklah kemahiran berkuda, memanah dan strategi perang. So kemahiran dan ilmu beliau agak seimbang antara rohani dan fizikal

 

Then pada tahun 1830, Peranchis menjajah dan menjarah Algeria. So AAK yang pada masa itu masih muda tampil menyeru penyatuan kabilah-kabilah Arab dan Barbar bergabung menentang Peranchis. Masa umur dia 25 tahun, beliau diangkat sebagai Amir (pemimpin) oleh para ulama dan ketua kabilah, tu la dia digelar Amir Abdul Kader

 

AAK bukan hanya sekadar panglima perang, beliau juga pembina negara. Beliau menstrukturkan sistem pemerintahan masa tu (kawasan tempat dia tu), melantik qadhi, pegawai zakat dan menguatkuasakan undang2 syariah.

 

Then peranchis datang dan menandatangai perjanjian dengan beliau. Antaranya Perjanjian Desmichels 1834 dan Perjanjian Tafna 1837 yang mengiktiraf kekuasan beliau di sebahagian besar wilayah Algeria

 

Namun Peranchis mengkhianati perjanjian tersebut. So peperangan kembali meletus dengan tindakan yang lebih ekstrem. AAK memimpin perang gerila lebih kurang 15 tahun. Beliau berhadapan dengan kekurangan senjata dan peralatan serta pengkhiatan dalaman sesetengah kabilah (perkara biasa terjadi dalam perjuangan kemerdekaan)

 

Setelah melalui siri peperangan yang panjang, AAK amik keputusan menyerah diri untuk mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar. Yang paling terkesan ialah rakyat awam. So dia menyerah diri dan penjajah berjanji memberi peluang kepada AAK menetap di suria. Namun cam biasa la, geng penjajah mungkir janji. AAK dibawa dan dipenjara di bumi Peranchis selama beberapa tahun. Beliau dibebaskan oleh Napoleon III pada 1852

 

Then beliau menetap di Damsyik, Suria dan memberi tumpuan penuh terhadap dunia ilmu, penulisan dan tasawwuf. Beliau banyak menulis karya2 utama dalam tasawuf dan falsafah.

 

Tahun 1860, berlaku rusuhan antara kaum di Damsyik. Beliau melindungi dan mempertahakan geng Kristian daripada dibunuh. Sikapnya mendapat pengiktirafan daripada peranchis, Vatican dan Uthmaniyyah. Beliau menegaskan bahawa tindakannya lahir daripada ajaran Islam, bukan kerana nak jilat geng penjajah mahu pun barat

 

Ada juga kritikan dan komentar para ulama terhadap AAK terutama sikapnya yang menyerah diri dalam perang jihad Algeria. Tindakan ini dilihat sebagai berkompromi dengan penjajah. Namun ada yang mempertahankan tindakan beliau demi menyelamatkan ribuan orang awam yang sengsara menjadi mangsa perang. Ada juga yang mengkritik beliau yang dilihat terpengaruh dalam tasawuf Ibn Arabi n etc

 

Ambo tertarik dengan suatu statement daripada seorang penulis (dah lupa nama) bahawa untuk memahami perjuangan AAK, kita harus memahami dan menilai berdasarkan konteks zamannya, bukan dengan penilaian kaca mata kita yang hidup masa kini

 

AAK meninggal di Damsyik pada 1883. Jenazah beliau dipindahkan ke Algeria pada tahun 1965. Beliau merupakan symbol perjuangan kemerdekaan Algeria dan maruah bangsa.

 

#sedang baca buku AAK terjemahan IBDE. Baca speed reading jer sebab kebanyakan fakta kita dah jumpa

Khamis, 25 Disember 2025

Kisah Tentang Was-Was

 

Masa remaja dulu, ada seorang lelaki yang sering datang bersolat Zohor atau Asar kat masjid mukim kami. Masa tu awal lagi, belum azan lagi. Apabila azan berakhir, entah kenapa beliau masih berada di tempat wuduk. Tak habis lagi amik wuduk rupanya

 

Apabila siap  berwuduk, ambo perhati dia akan tukar kain pelikat lain. Kiranya dia bawa 2 kain pelikat. 1 untuk amik wuduk. 1 lagi untuk solat sebab kain yang dia pakai masa nak amik wuduk tu dah basah

 

Apabila dia masuk dalam saf, ambo tengok ada beberapa ahli Jemaah yang berusia tak nak solat sebelah dia. Memula tu ambo tak tahu lagi. Pelik juga memula tu

 

Then bila imam bertakbir untuk solat, kalau kita tak biasa, rasa terkejut juga bila dia dok ulang lafaz niat dengan suara yang sedikit kuat. Usalli… Usalli… Usalli...

 

Kalau kita bersolat di sebelahnya, maybe kita boleh rasa terganggu. Baru ambo perasan kenapa ada sesetengah ahli Jemaah tak nak bersolat di sebelahnya.

 

Lagi pelik apabila Imam rukuk, tetiba jer niat solat tu dah boleh masuk. Terus jer masuk solat dan rukuk bersama imam. Macam ada gear automatic je. Dah tak sangkut-sangkut macam tadi. Rupanya lelaki tadi ada masalah was-was dalam ibadah

 

Ringkasnya was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan was-was samada telah buat benda tu atau tak buat lagi. Ia juga biasa berlaku kepada seseorang yang terlalu berhati-hati sehingga dia akan ulang buat perkara tersebut secara keterlaluan. Benda ni banyak dibicarakan secara detail dalam kitab2 seperti kitab fegh

 

Ada kisah pengalaman peribadi ambo dengan Ustaz Ismail Mahmud. Bekas pensyarah Syariah UKM, KIAS dan pernah menjadi AJK fatwa Kelantan. Kami panggil beliau sebagai Ust Weil, ada yang panggil beliau sebagai Us Weil Tok Wali.

 

Ust Weil ni pernah belajar di Pondok Hj Daud Bukit Abal. Beliau juga pernah belajar di Nilam Puri (junior al-Marhum Prof Dato Mahmud Zuhdi) dan seterusnya ke al-Azhar.

 

Masa ambo ke mesir tahun 1997 dulu, nama Ust Weil Tok Wali masih disebut orang, kira jadi legenda la bagi kita bebudak Kelantan kat sana. Ambo tanya senior2 kat sana kenapa orang gelar dia dengan gelaran tok wali. Senior2 cakap dia dok kat Mesir dia hanya kenal jalan nak ke kuliah tempat pengajian, jalan ke masjid dan jalan balik ke rumah (kiasan gigihnya dia belajar)

 

Ust Weil Tok Wali pernah sebut bahawa masa dia blaja kat pondok dulu, dia seorang yang was-was. Biasanya was-was akan mengena pada orang yang baru nak blaja dan terlalu nak sempurna dalam amalnya. Beliau bercerita bahawa beliau selalu bawa kain tuala ke surau untuk lap kaki. Pijak je kepala tangga surau terus lap kaki dia supaya kaki dia kering. Beliau rasa was-was dengan lantai surau tu kot ada najis tahi cicak n etc. So bila kaki beliau kering, isu tu tak timbul.

 

Beliau juga pernah bercerita, suatu hari beliau bawa baldi berisi air penuh, then ada air terpercik masuk ke dalam baldi tu. Beliau curahkan dan amik semula sebab rasa was-was dengan kesucian air dalam baldi tu

 

Apabila ke Mesir, kita akan blaja mazhab2 lain dalam ilmu fegh. Kita juga akan didedahkan dengan pandangan para ulama meliputi pelbagai mazhab dan usul fegh dan sebagainya. Lama2 was-was beliau hilang. Beliau selalu berpesan padaku supaya banyak blajar, bukan hanya mazhab kita Syafie, luaskan pembacaan, banyak faedah yang kita dapat bila kita banyak belajar.

 

So salah satu cara nak menangani masalah was-was dalam ibadah ialah banyak belajar dan luaskan pembacaan. Apabila kita tak belajar, kita tak tahu dan rasa sempit dada je. Apabila kita banyak belajar, Insya Allah banyak benda akan nampak lebih mudah.

 

#Moga Allah rahmati guru2 kami samada yang masih hidup atau dah meninggal.

 

Sabtu, 20 Disember 2025

Larangan Bunuh Diri Sendiri

 BINGKISAN SEBELUM TIDUR 

 Larangan Bunuh Diri Sendiri 

Tahniah buat team Maghribi. Juara kejohanan Piala Arab edisi terbaru. Ambo tak sedar dan jarang amik cakna pasal Piala Arab sejak balik Msia tetiba terlintas live kat tiktok pasal kejohanan tu. Tak pasti camana nasib team Mesir. Takperla, kita tunggu AFCON awal tahun depan. 

Bila sebut Maghribi, kekadang ambo suka dengar lahjah mereka biar pun tak faham. Ada satu lagu bertajuk tammanait al-maut (maksudnya secara literal aku bercita-cita nak mati). Memula ambo ingatkan senikata pasal bunuh diri, rupanya hanya kiasan kepada kekecewaan yang mendalam sehingga seolah-olah hidup ni dah tak bererti

Bila taip tamannait elmawt dengan bantuan Chat GPT keluarlah iklan atau peringatan kat bawah

Help is available 
Speak with someone today 
Befrienders Kuala Lumpur
Languages: English, Malay 
Hours: Available 24 hrs 

Siap lagi dengan bombor telefon dan laman web rasmi.  Agaknya enjin carian tu ingat kita yang dok surfing ni nak bunuh diri kot.  Apa pun, usaha sebegini agak bagus sebagai satu program sokongan, galakan kepada mereka yang bermasalah



Islam melarang membunuh diri sendiri. Dalam hadis ada menyebut bahawa jika seseorang tu bunuh diri dengan cara tertentu seperti terjun daripada tempat yang tinggi, maka dia di akhirat nanti akan mengulangi perbuatan tersebut. So jangan dok fikir pasal bunuh diri tak kiralah apa cara pun

Nabi SAW telah bersabda dalam satu hadis:
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
(Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula. (Bukhari & Muslim)
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut mafhumnya:
(Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan minum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus minumnya selama-lamanya. Sesiapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan dirinya dari gunung, maka di neraka Jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya. (Muslim)

Hadis ini menyebut secara jelas balasan yang keras untuk mereka yang membunuh diri sendiri tak kiralah dengan apa cara sekali pun. 

Para ulama menegaskan bahawa kehidupan kita ni, termasuklah nyawa bukanlah milik mutlak kita. Kita ni makhluk yang diciptakan, begitu jugalah dengan anggota tubuh badan kita atau sebarang sel-sel dalam tubuh kita. Justeru itu, tubuh badan dan nyawa manusia semuanya merupakan amanah daripada Allah untuk kita pelihara. Manusia tak boleh nak bertindak sesuka hati je, rasa nak hidup, terus hidup. Rasa nak bunuh diri, terus bunuh diri. Bukan begitu kerana kita adalah hamba

Ambo pernah baca buku yang ditulis oleh bekas student kita di US tulisan Shah Ibrahim. Beliau menulis bahawa di US, apabila masuk musim sejuk (winter) suasana tu agak suram. Tak nampak matahari. Suasana yang sejuk, suram tu macam menjadikan suasana agak dingin, tak bersemangat. Katanya lagi bahawa kes bunuh pada musim sejuk biasanya meningkat jika nak bandingkan pada musim panas, musim luruh atau musim bunga.

So pada masa tu kebanyakan pawagam di US akan menyiarkan atau melancarkan tayangan filem berunsur komedi. Benda ni macam nak mewujudkan keceriaan la. 

Kalau ikut carian google dan chat GPT, statistic kes bunuh diri di US agak tinggi. Menggerunkan. Ada juga disebut punca dan asbab yang membawa kepada kes sebegini


Apapun, sayangilah nyawa dan hidup anda. Selagi masih bernafas, maknanya kita masih ada modal. Modal kita adalah nyawa kita. Selagi masih bernyawa, pintu taubat tetap terbuka. Sayangilah diri kita

Khamis, 11 Disember 2025

Kisah Ringkas Abu Talhah al-Ansariy

Kisah Ringkas Abu Talhah al-Ansariy

 

Abu Talhah al-Ansariy (nama sebenarnya ialah Zaid bin Sahl) adalah salah seorang sahabat besar Rasulullah SAW daripada golongan Ansar. Beliau dari suku Bani Najjar di Madinah. Beliau terkenal sebagai seorang sahabat yang kuat imannya, pemurah, berani, serta memiliki hubungan yang sangat istimewa dengan Baginda SAW.

 

Ambo memula dengar nama Abu Talhah bila jumpa hadis tentang telaga Bairuha’. Kisah tu masyhur. Kisah ni ada dalam kitab2 hadis seperti Riyad al-Salihin. Bukhari juga ada menyebut kisah ni

 

Abu Talhah memiliki sebuah kebun tamar bernama Bairuha’, antara kebun terbaik di Madinah. Kat dalam kebun ni ada sebuah telaga dan  Nabi SAW selalu minum air dari telaga ni.

 

Apabila turun ayat “Kamu tidak akan mencapai kebaikan sehingga kamu membelanjakan sebahagian harta yang kamu cintai” (ayat 92 Ali ‘Imran), Abu Talhah segera berjumpa Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa hartanya yang paling dicintai ialah kebun tersebut, lalu beliau menyedekahkannya kerana mencari keredaan Allah. Rasulullah SAW memuji sedekah itu sebagai harta yang sangat diberkati dan menyarankan agar ia diagihkan kepada kaum kerabatnya.

 

Mengikut cerita daripada kawan2 yang selalu ke Mekah, kawasan ini dahulu ditutup dengan karpet. Sekarang dibiarkan terbuka gitu je. Area ni dekat dengan pintu bernombor 22 (ambo dah lupa nama pintu, rasanya bab al-Malik Fahd atau Aziz). Terletak di antara rak kasut 1421 dan 1422 dan ditandakan dengan symbol bulat. So kat situlah khabarnya lokasi asal telaga Bairuha’

 

Kisah perkahwinannya dengan Ummu Sulaim agak menarik. Pada asalnya Abu Talhah masih belum beriman. Beliau telah meminang Ummu Sulaim binti Milhan, seorang wanita beriman yang sangat teguh pendiriannya. Ummu Sulaim dengan penuh hikmah berkata bahawa mahar yang beliau inginkan hanyalah Syahadah, bukannya harta atau emas permata. Lalu tersentuh dengan keindahan prinsip dan keimanan itu, Abu Talhah memeluk Islam dan pinangannya diterima. Para ulama menyifatkan peristiwa ini sebagai antara mahar paling mulia dalam sejarah, kerana masuk Islam adalah pemberian terbaik bagi seorang lelaki.

 

Setelah memeluk Islam, Abu Talhah menjadi antara sahabat yang paling komited dalam mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam Perang Uhud, beliau berdiri di hadapan Baginda, menjadikan tubuhnya sebagai perisai mempertahankan Rasulullah SAW ketika perang berkecamuk

 

Selain itu, Abu Talhah dikenali sebagai seorang yang sangat rajin beribadah. Beliau sering berpuasa, menghidupkan malam, dan tekun mempelajari hadis. Beliau turut menyertai banyak ekspedisi ketenteraan

 

Pada usia yang sudah lanjut, Abu Talhah masih bersemangat untuk berjihad. Diriwayatkan bahawa beliau meninggal dunia dalam sebuah pelayaran jihad di laut pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Uthman. Para sahabat menunggu sembilan hari sebelum berjaya mengebumikannya kerana kapal belum menemui daratan, tetapi jasadnya tetap terpelihara tanpa rosak, sebagai tanda kemuliaan Allah kepada hambaNya yang soleh.

 

Abu Talhah tak pernah miss untuk keluar Jihad. Suatu ketika pada masa pemerintahan Khalifah Uthman, Abu Talhah masa tu dah tua. Beliau dok bersiap memperlengkapkan barangannya nak keluar berjihad. Anak-anaknya menegur ayahnya dan meminta beliau berehat kerana selama ni beliau dah banyak berjuang. Kata mereka biarlah kami pula yang pergi berjihad bagi pihak ayah. Abu Talhah menjawab dengan membacakan Firman Aallah yang bermaksud pergilah berjihad samada kamu dalam keadaan ringan atau pun berat (mafhum ringkas dari ayat 41 al-Tawbah). Katanya lagi “Aku ingin melaksanakan kedua-dua perintah Allah samada ketika aku kuat (ringan) atau pun lemah (berat).” Nak citer kuatnya semangat seorang sahabat nak menegakkan Islam

 

Biografi Abu Talhah mengajarkan bahawa iman bukan sekadar pengakuan, tetapi perubahan hidup yang total. Keberanian, pengorbanan, keikhlasan, dan kecintaan mendalam terhadap sunnah Nabi SAW. Semoga Allah merahmati beliau dan menjadikan kehidupannya iktibar bagi kita.

 

Khamis, 4 Disember 2025

3 Kisah Yang Membuatkan Ambo Termenung

 SEMBANG-SEMBANG SANTAI

 

3 Kisah Yang Membuatkan Ambo Termenung

 

Kisah 1

Khabarnya dulu ada seorang mufti negeri yang sentiasa menjadi rujukan massa. Pada masa tu, beliau sering dijemput dalam slot2 seperti soal jawab agama di radio atau tv.

 

Sebelum dilantik mufti, beliau merupakan seorang imam dan menyampaikan kuliah maghrib di sebuah surau kecil. Surau tu khabarnya jemaah tak ramai. Ada la 7 8 orang. Penduduk kat kampung tu pun mmg dah tak ramai. Apabila beliau dilantik menjadi mufti kejaraan, beliau tetap hadir menyampaikan kuliah magrib di surau kecil tu walaupun ahli Jemaah yang hadir boleh dibilang dengan jari

 

Kalau nak dikira dengan status dan jawatan beliau, beliau dah tak perlu lagi hadir ke surau berkenaan. Boleh jer arahkan mana2 pegawai atau ustaz lain berkuliah gantikan tempatnya. Dalam masa yang sama, beliau boleh jer hadir ke masjid besar yang lebih ramai ahli Jemaahnya. Namun beliau tetap menyampaikan kuliah seperti biasa walau dah berstatus mufti

 

 

Kisah 2

Guru kami Poksu Weil selalu menyebut frasa memukat dan menjala. Seingat ambo, pernah sekali Poksu Weil menjelaskan kenapa beliau hanya mengajar di Pondok Sungai Durian (PSD). Beliau jarang sekali keluar berceramah di tempat lain selain daripada Masjid al-Rahman PSD. Ada juga sesekali tapi mmg jarang. Beliau stay mengajar kat PSD je


Poksu Weil pernah sebut bahawa beliau hanya ingin memukat (menahan pukat). Beliau tidak mahu menjala. Lagak orang menahan pukat samada merintangi arus atau menyusuri arus, kalau ada ikan yang melanggar pukat, kenalah. Berhasillah pukat yang ditahan.

 

Kalau xde ikan, hampalah. Tak dapat apa-apa bahkan mungkin dapat sampah atau kayu hanyut jer. Ada juga kekadang sampah yang lekat lebih banyak daripada hasil yang diperoleh. Tapi begitulah resam orang yang memukat

 

Lagak orang menjala, sanggup keluar mencari lubuk ikan walaupun jauh di pedalaman. Bahkan ada yang siap bawa khemah dan beras, tinggal di ulu legeh sehari dua mencari lubuk ikan. Di mana lubuk keli, haruan di situlah jala ditebarkan. Kalau beruntung dapat spesis macam kelah dan tengas. Orang menjala sama sekali mengelak tempat yang penuh dengan sampah, ranting kayu dan segala macam halangan. Jala hanya ditebar ke tempat yang disyaki ada hasil sahaja.

 

Pertama kali ambo mendengar kiasan ni, termenung juga sebelum faham.

 

# Poksu Weil ialah Tg Hj Ismail Sulaiman, adik kepada TG hj Abdul Rahman pengasas Pondok  Sg Durian. Beliau meninggal beberapa tahun lepas

 

 

Kisah 3

Teringat cerita daripada guru kami di PSD berkenaan seorang penceramah agama yang glamer. Rata berceramah ke seluruh pelosok negeri. Kebetulannya ada sebuah masjid kecil yang nak sangat supaya penceramah ini datang berceramah di masjid berkenaan. Penceramah ini pada mulanya menolak kerana jadual terlalu padat. Lalu pihak masjid meminta supaya beliau sendiri yang menetapkan jadual ceramahnya dan beliau bersetuju.

 

Then selepas tarikh dipilih, pihak masjid pun bersiap dengan segala kelengkapan yang ada. Namun secara mengejut penceramah ini membatalkan ceramahnya, pada saat akhir, kerana menerima jemputan daripada masjid yang lebih besar pada tarikh yang sama. Tarikh yang telah dipersetujui sebelum ini.

 

Sekali lagi ambo termenung seketika mendengar kisah ni. Moga Allah menuntun dan memberi hidayah kepada kita semua