Rabu, 2 Julai 2025

Si Tempang Dari Timur

 

SEMBANG-SEMBANG SANTAI

TIMUR, SI PENJARAH TEMPANG DARI TIMUR

Kali pertama ambo dengar nama Timur (Ada buku yang menulis nama Timur dengan Timurlame, Tamerlane, Timur i-Lank n etc) ialah pada tahun 1997. Masa tu ambo terbaca buku sejarah islam STPM milik seorang teman. Rasanya tulisan Mahayudin Yahya. Walau pun ambo tak sempat amik STPM kerana kami dah bersiap nak ke Kaherah, tapi keinginan utk baca, tahu dan kenal seorang penjarah ni agak kuat.

 

Beliau merupakan pengasas Empayar Timurid yang berkuasa antara 1300-1500. Pusat kuasa mereka terletak di Samarkand dan Herat. Kakinya tempang kerana kesan peperangan yang dilalui semasa beliau masih muda. Pada tahun 1941, seorang ahli antropologi Soviet telah membuka makam Timur dan mengesahkan bahawa kerangka tulangnya memang ada kecacatan iaitu kaki kanan yang lebih pendek dan tangan kanan juga ada masalah atrofi otot.

 

Oleh kerana beliau tempang (kekcok) sebelah kakinya dan berasal dari bahagian timur dunia Islam dan Arab (merujuk kepada kawasannya iaitu Samarkand) maka beliau digelar si tempang dari timur. Ada sejarawan Eropah menggelarnya sebagai Cemeti Tuhan dari Timur ( The scourge of god from the east)

 

Part yang ambo paling suka baca ialah cara dia masuk ke sesuatu kawasan atau taklukan, dia akan meYakjuk Makjujkan kawasan tu. Kononnya Timur menjadikan kawasan yang penuh dengan bangunan tu jadi sama rata dengan tanah dan pasir. Kemudian tinggalkan kawasan tu (ada juga yang dia takluk, ada kawasan yang ditinggalkan). Sekali imbas, dah nak sama dengan watak Ifrit Utama atau Ji Kao dalam komik Alam Perwira. Tegas di medan, samada membunuh atau dibunuh

 

Apabila tiba di Kaherah, sebagai adik baru (junior), kami akan cari buku2 nipis yang sesuai dengan level newbies kami. Biasanya kami akan belek buku bahagian kanak2. Ambo terjumpa buku Sindbad, the bounty, three musketeers, great expectations, mickey mouse n etc dalam bahasa arab mudah. Namun yang paling menarik perhatian, ambo ternampak buku tertulis TIMUR dalam bahasa arab dengan lukisan karikatur yang nampak gagah. Ya, superhero mesti nampak hebat kan. Bermula dengan buku nipis, ambo meneroka hingga ke buku berkulit keras dan tebal. Baru kita perasan area Asia Tengah tu ceritanya panjang.

 

Strategi perang Timur sangat licik, kejam dan berkesan. Ianya merupakan gabungan antara taktikal Mongol dan kecerdikan politik. Beliau menggabungkan antara kekuatan, kepantasan serta kemajuan teknologi ditambah dengan perang psikologi yang menggerunkan.

 

Timur menyebar ketakutan dan kekejaman dengan membina menara daripada kepala musuh yang dipenggal. Kepala yang terpenggal akan disusun yang akan membentuk timbunan menara. Taktik sebegini akan menimbulkan kegerunan kepada musuh yang ingin melawan seterusnya menyebabkan mereka akan menyerah tanpa berlawan

 

Timur meninggal semasa dalam perjalanan untuk menawan China (Dinasti Ming). Dalam perjalanan, beliau meninggal di Kazakhstan. Jenazahnya dibawa pulang dan disemadikan di Samarkand

 

Ada satu mitos tentang kubur Timur. Khabarnya terdapat tulisan “Sesiapa yang membuka makam ini akan melepaskan bencana yang dahsyat”. Pada tahun 1941, kuburnya dibuka oleh ahli antropologi Soviet dan 3 hari kemudian tentera Nazi Jerman menyerang Soviet. So kisah bencana menimpa Soviet ni dikaitkan dengan apa yang dipanggil sebagai Kutukan Timur

 

Masa zaman belajar dulu, ambo ada kawan dari Uzbekistan. Beliau sudah berumahtangga dan telah berada di Kaherah untuk mengikuti pengajian sejak Maahad Buuth (sek menengah) lagi. Bahasa arabnya agak fasih. Kami selalu bersembang macam2 isu.

 

Sesekali ambo bertanyakan dia ttg Timur, dia bercerita dengan bangga. Katanya Timur menjadi simbol keberanian, kepahlawanan, tokoh agung negaranya. Makam Timur ada di Samarkand. Tempat tu dah jadi tempat pelancongan. Beliau bercerita tentang Timur agaknya sama seperti kita bercerita tentang Hang Tuah, Tok Janggut, Mat Kilau n etc.

 

Ambo sebut timur kalau dalam Bahasa melayu bermaksud arah belah timur (East/ Sharq). Beliau sebut perkataan Timur atau nama Timur tu diambil dari turki monggol. Timur membawa maksud besi. Melambangkan kekuatan, keteguhan, simbolik kepada logam besi

 

Sekali pun dikenali sebagai seorang penjarah, Timur mempunyai sumbangan dalam bidang seni dan kebudayaan terutama di area Asia Tengah. Antaranya ialah membina bangunan yang indah dengan seni bina Parsi yang agam. Beliau juga telah mengarahkan golongan tukang, seniman, arkitek dan ahli seni dari seluruh empayar seperti India, Anatolia n etc untuk berkerja dan membangunkan di Samarkand. Beliau juga terlibat secara tidak langsung dalam menghasilkan manuskrip al-Quran tulisan tangan dalam Bahasa Parsi dan Turki. Gaya seni bina kubah biru, susunan mozek yang rumit namun menarik dan struktur monumental dikatakan ada pengaruh dari zaman Timur. Seni bina ini seterusnya mempengarruhi seni bina Islam di India seperti Taj Mahal.

 

Walau pun pemerintahnnya agak keras, sumbangan Timur kepada seni dan kebudayaan menjadi asas kepada tamadun selepasnya

 

Ahad, 29 Jun 2025

Kisah Thumamah bin Uthal (sahabat nabi SAW)

 

Thumamah Bin Uthal (ثمامة بن أثال)

 

Kisah pengIslaman Thumamah bin Uthāl agak menarik. Bermula menjadi seorang tawanan Nabi SAW di Madinah, berubah menjadi seorang sahabat yang agung.

 

Thumamah adalah ketua atau pembesar suku Bani Hanifah, yang tinggal di kawasan Yamamah (sekarang di wilayah Najd, Arab Saudi). Seingat ambo, Najd ni ada yang terletak di Iraq. Ada Najd yang terletak dalam Saudi sekarang. So Thumamah yang disebut dalam kisah ni berasal dari Najd dalam area Arab Saudi sekarang

 

Bani Hanifah ni merupakan suku yang besar dan berpengaruh. Mereka merupakan cabang daripada suku besar Bakar bin Wa'il dari Najd dan termasuk dalam kelompok Rabiah.  Tempat utama mereka dikenali sebagai Al-Yamamah, iaitu kawasan pertanian subur yang penting pada zaman itu. Kiranya suku Bani Hanifah ni agak glamer, kaya, dan ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat arab pada masa tu

 

Thumamah ni pada asalnya merupakan seorang yang sangat anti Islam. Beliau pernah merancang untuk membunuh Baginda SAW.

 

Dalam perjalanan beliau ke Mekah untuk mengerjakan umrah, beliau ditawan oleh suatu pasukan tentera Muslim yang diketuai oleh Muhammad Bin Maslamah

 

Thumamah dibawa ke Madinah. Baginda SAW mengarahkan sahabat supaya mengikat Thumamah di salah satu daripada tiang2 masjid nabi.

 

Pada hari pertama, Baginda SAW mendekatinya dan bertanya “Apa pendapatmu, wahai Thumamah?”

 

Jawab Thumamah "Jika kamu membunuhku, kamu akan membunuh orang yang berdarah mulia. Jika kamu memberi nikmat (bebas), kamu memberi kepada orang yang tahu membalas budi. Dan jika kamu mahukan harta, mintalah apa yang kamu mahu." Maksudnya jika Nabi SAW membunuh Thumamah, kaumnya pasti akan membalas dendam kerana beliau merupakan seorang pemimpin kaum yang terkemuka. Jika Nabi SAW melepaskannya, beliau pasti akan berterima kasih. Jika Nabi SAW menginginkan wang tebusan, kaumnya pasti akan menebusnya kerana Bani Hanifah kaum yang agak ternama dan berharta

 

Keesokannya Nabi SAW mendekati Thumamah dan bertanyakan soalan yang sama. Thumamah juga menjawab dengan jawapan yang sama

 

Selepas 3 hari (atau beberapa hari) Nabi SAW memerintahkan supaya Thumamah dibebaskan. Thumamah seterusnya keluar ke sebuah kebun berdekatan Madinah, mandi, dan kemudian kembali ke Masjid Nabawi untuk mengisytiharkan keislamannya.

 

Thumamah menegaskan bahawa sebelumnya tiada muka yang lebih dibenci melainkan wajah Rasulullah SAW namun selepas ini wajah baginda SAW adalah wajah yang paling disayanginya. Beliau juga berkata bahawa sebelum ini Madinah merupakan tempat yang paling dibenci, namun selepas ini Madinah merupakan tempat yang paling disayanginya. Beliau menyebut lagi bahawa kalua sebelum ini islam merupakan agama yang paling dibencinya, namun selepas ini islam merupakan agamanya

 

Memandangkan Thumamah ditangkap ketika beliau dalam perjalanan menuju ke Mekah, beliau meminta izin Nabi SAW untuk menyambung kembali perjalanannya. Baginda SAW merestui hajat Thumamah untuk meneruskan hajatnya ke Mekah. Thumamah menuju ke Mekah dalam keadaan berita pengIslaman beliau sudah pun tersebar.

Penduduk Mekah yang pada masa itu masih dikuasai oleh musyrikin agak terkejut dengan pengIslaman beliau. Ada yang mengejeknya, ada yang marah, ada yang menuduhnya pengkhianat n etc. Daripada seorang bangsawan yang dihormati, penduduk Mekah membenci Thumamah

 

Apabila pulang ke Yamamah, Thumamah menahan bekalan gandum ke Mekah sebagai membalas langkah Quraisy di Mekah yang memboikot ekonomi Madinah. Yamamah sebelum ini merupakan pembekal utama bekalan gandum ke Mekah. Selepas pengIslamannya, Thumamah memerintahkan untuk menyekat segala bekalan gandum ke Mekah.

 

Qurasiy Mekah mula terkesan dengan terhentinya bekalan gandum Yamamah ke Mekah. Lalu mereka menulis surat kepada Nabi SAW supaya meminta Thumamah kembali menghantar gandum ke Mekah lalu Baginda SAW melakukannya. Baginda SAW memerintahkan Thumamah supaya kembali menghantar gandum ke Mekah seperti sebelumnya

 

Selepas Thumamah memeluk Islam, kehidupannya berubah daripada ketua kabilah musyrik yang memusuhi Nabi SAW kepada seorang muslim yang taat kepada Allah

 

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, muncul nabi palsu dari suku Bani Hanifah sendiri iaitu Musailamah al-Kazzab. Walaupun Thumamah juga dari Bani Hanifah, beliau menolak keras dakwaan palsu Musailamah, dan mengajak kaumnya menolak "kenabian" Musailamah.

 

Beliau berjuang di pihak Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dalam Perang Yamamah menentang golongan murtad dan pengikut Musailamah.

 

Para ulama dan ahli sejarah mengenang Thumamah sebagai tokoh Islam awal yang gigih, berani, dan bijaksana. Namanya disebut dalam kitab seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sirah Ibn Hisham dan Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Ibn Hajar al-Asqalani)