Sabtu, 19 Februari 2022

Abaikanlah 3 golongan ini

 Guru Kami pernah berpesan, abaikanlah 3 golongan ni. Jangan amik hati atau berkira sangat dengan mereka


1) golongan pertama ialah kanak-kanak. Mereka belum baligh lagi, belum boleh dibuat kira lagi. Justeru itu, perkataan atau cerita kanak-kanak perlu diselidiki terlebih dahulu.

Pernah terjadi suatu kisah, seorang murid balik ke rumah lalu bercerita kepada Ibu bapanya dia dirotan oleh guru. Sampai berparut di tangan atau lengan. Ada kesan lebam. Lalu beranglah ayahnya. keesokan hari, ayahnya datang ke sekolah dan bertanyakan guru dengan sedikit emosi. kemudian para guru memanggil anaknya dan bertanyakan perkara sebenar. maka anaknya pun memberitahu keadaan sebenar. parut dan lebam sebenarnya berpunca daripada beliau yang bergaduh dan bertumbuk dengan rakan. cuba kita bayangkan kalau si ayah terus menumbuk guru anaknya tanpa menyiasat terlebih dahulu perkara sebenar. 

2) golongan kedua ialah orang gila. jangan ambil serius sangat dengan golongan ini. sesetengah orang tua menggelar mereka sebagai dapat lesen besar. orang yang dapat lesen besar ini biasanya kalau melakukan sebarang kesalahan, mereka akan dihantar ke rumah atau hospital orang gila

3) golongan terakhir ialah jin atau syaitan. kita tidak nampak mereka. mereka mungkin benar dan sebaliknya mungkin salah. mereka juga mungkin menipu kita. teringat pulak pengalaman ambo yang pernah membawa teman ke dar shifa bangi, perawat ada bertanyakan beberapa soalan kepada teman ambo. kemudian teman kami bertanyakan soalan tertentu kepada perawat dar shifa bangi. perawat berkenaan siap berpesan jangan terlalu percaya kepada kata-kata pesakit atua bisikan tertentu. apa yang penting kita berikhtiar dan berdoa kepada Allah moga diberi kesembuhan.

Isnin, 14 Februari 2022

Ringkasan kisah hutang Zubair bin Awwam

 Ringkasan kisah hutang Zubair bin Awwam

1)      Zubair Awwam memanggil anaknya Abdullah lalu menyampaikan wasiat atau pesanan jika beliau meninggal dalam Perang Jamal, Abdullah hendaklah menguruskan harta dan hutang beliau. Beliau juga ada meninggalkan wasiat tertentu untuk dilaksanakan oleh Abdullah

 

2)      Zubair meninggal dalam Perang Jamal. Beliau tidak meninggalkan sebarang dinar atau dirham namun beliau mempunyai harta dalam bentuh tanah dan rumah di pelbagai tempat seperti Madinah, Kufah, Basrah dan Mesir

 

 

3)      Zubair bin Awwam bukanlah seorang peniaga atau gabenor. Beliau seorang mujahid (tentera) yang sering berperang bersama Rasulullah SAW. Namun beliau seorang yang jujur dan amanah. Oleh kerana kejujurannya, terdapat sebilangan orang yang menyerahkan harta kepada Zubair untuk dijaga oleh beliau. Walau bagaimanapun Zubair meminta kepada orang yang ingin menyerahkan harta untuk dijaga oleh beliau menjadi hutang. Justeru itu, harta tersebut boleh diurusniagakan atau dilaburkan oleh Zubair sebaik mungkin. Harta yang menjadi pinjaman oleh Zubair digunakan untuk membeli tanah.

 

4)      Apabila Zubair meninggal, hutang yang ditanggung oleh anaknya berjumlah 2.2 juta lebih (tidak disebut samada dinar atau dirham). Abdullah telah menjual harta2 ayahnya dan mendapat hasil jualan hampir 50 juta. Di antara harta tersebut ialah tanah di Madinah yang dipanggil al-ghabah. Al-ghabah telah dibeli oleh Zubair sebanyak 170000. Abdullah berjaya menjual tanah al-ghabah dengan nilai 1.6 juta

 

 

5)      Setelah selesai membayar hutang, anak2 Zubair yang lain memohon supaya diberikan kepada mereka hak mereka (faraid) namun Ibn Zubair enggan kecuali selepas 4 tahun. Beliau mengumumkan pada setiap tahun jika ada orang yang masih menjadi pemiutang terhadap ayahnya, sila datang berjumpa beliau untuk melunaskan hutang, akhirnya setelah 4 tahun pengumuman dibuat, barulah beliau membahagikan harta peninggalan ayahnya yang bernilai lebih 50 juta. Zubair mempunyai 4 orang balu dengan setiap seorang daripada mereka mendapat harta bernilai 1.2 juta.

 

Ini merupakan ringkasan daripada sebuah hadis yang dimuatkan dalam kitab riyad al-salihin di bawah tajuk perintah menunaikan amanah

Jumaat, 4 Februari 2022

Sebahagian kisah Nabi Ibrahim a.s

1)  Kunjungan pertama ialah ketika beliau diperintahkan oleh Allah SWT untuk meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s di tanah yang tandus dan gersang. Setelah Hajar dan Ismail a.s ditinggalkan, Nabi Ibrahim ingin berlalu pergi. Hajar bertanya kenapa meninggalkan kami di tanah ini namun Nabi Ibrahim a.s tidak menjawabnya. Kemudian Hajar bertanya adakah ini perintah Allah? Lalu Ibrahim a.s menjawabnya ya. Maka Hajar berkata bahawa pastinya Allah tidak akan mensia-siakan mereka di tanah yang tandus ini

 

2)      Kunjungan seterusnya ialah ketika Nabi Ibrahim a.s menerima wahyu untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Peristiwa ini agak masyhur dan seringkali disebut dalam khutbah aidil adha

 

3)      Seterusnya diceritakan bahawa Nabi Ibrahim a.s berkunjung ke Mekah ketika Nabi Ismail a.s sudah pun berkahwin. Apabila Nabi Ibrahim tiba, lalu mengucapkan salam, beliau dapati isteri Nabi Ismail (menantu men) menyambutnya. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanyakan keadaan dan kehidupan mereka lalu dijawab oleh menantunya bahawa kehidupan mereka agak susah dan sebagainya (jawapan yang sedkit negatif). Maka Nabi Ibrahim a.s berpesan jika Nabi Ismail pulang, beritahunya supaya menukar pintu rumah beliau (kiasan supaya menceraikan isterinya). Apabila Nabi Ismail a.s pulang ke rumah, isterinya memberitahu beliau tentang kedatangan seorang tua dan menyampaikan pesannya. Lalu Nabi Ismail a.s memberitahu bahawa orang tua berkenaan ialah ayahnya dan maksud pesanannya ialah supaya menceraikan kamu lalu Nabi Ismail a.s menceraikan isterinya.

 

 

4)      Kunjungan ke 4 mirip seperti kisah di nombor 3. Cuma bezanya ialah menantu yang baik. Apabila Nabi Ibrahim as bertanyakan kehidupan mereka. Menantunya menjawab dengan jawapan yang positif. Kehidupan mereka baik, ada makanan dan segalanya bagus. Lalu Nabi Ibrahim a.s berpesan jika Nabi Ismail pulang, beritahu kepadanya supaya menetapkan pintu rumah (tidak menukar pintu rumah). Apabila Nabi Ismail a.s pulang ke rumah, isterinya memberitahu beliau tentang kedatangan seorang tua dan menyampaikan pesannya. Lalu Nabi Ismail a.s memberitahu bahawa orang tua berkenaan ialah ayahnya dan maksud pesanannya ialah supaya tidak menceraikan kamu

 

5)      Kunjungan seterusnya ialah untuk membina kaabah bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail as.

 

 

Rabu, 5 Januari 2022

Kenangan Kaherah (38)

 

RUMAH KELANTAN LAMA (RKL) 1998

September 1998, kami mengambil keputusan untuk berpindah keluar dari shaqqah yang terletak di Baramica Street. Setelah mencari shaqqah di sekitar Hayyu Sabie dan Asyir, senior kami mengambil keputusan untuk ke Rumah Kelantan Lama (RKL). RKL merupakan 2 unit shaqqah yang menjadi milik Kelantan (tak pasti samada under YAKIN atau YIK). 2 unit berkenaan terletak di aras 1 dan 2. Shaqqah RKL ada 5 buah bilik, 2 buah tandas, dapur yang luas dengan 3 atau 4 balkoni yang mengelilingi shaqqah. Di aras 4, ada sebuah keluarga pelarian politik dari Sudan pada era Sadiq al-Mahdi. Sementara di aras paling atas, terletak shaqqah pemilik asal Imarah.

 

Kami tinggal 9 orang. Ambo sebilik dengan Zaki Hussin dari Tumpat. Namun beliau jarang berada di RKL. Selalu menghilang ke shaqqah sahabatnya di Masakin Othman. Justeru itu, ambo selalu keseorangan dalam bilik. Bersebelahan bilik ambo ialah tandas kecil. Di sebelah tandas ialah dapur berserta balkoni. Kemudian diikuti bilik yang dihuni oleh Nik Hamdi bersama Razi Abdullah. Ada bilik kecil bersebelahan yang dihuni oleh Sayuti. Kemudian ada tandas besar, lengkap dengan tab mandi. Di sebelahnya bilik Ustaz Mad, otai lama kami bersama Azni Fauzi. Bilik mereka juga ada balkoni. Kemudian tangga di luar dan satu lagi bilik dihuni oleh Faisal Saidi bersama ex housemate ambo, Ahsan Hilmi. Bilik mereka juga ada balkoni dan mengadap ke arah taman yang diselangi oleh jalanraya. Ada satu lagi balkoni besar yang menghadap ke jalanraya setentang dengan kedai Mok Nab. Kebiasaannya di situlah kami minum teh atau hagah saah pada waktu petang

 

RKL aras dua dihuni oleh 9 orang pelajar. Raja Sharikei bersama Anuwa Shibin. Zailan dan Adli (ex housemate ambo) dalam satu bilik. Nurhalim bersama Farus Saidi, Wan Zamri bersama Asri Hussin dan seorang lagi ialah Tarmizi. Sewa bulanan kami yang perlu dibayar kepada persatuan anak Kelantan ialah LE35 sebulan. Sementara duit dapur yang kami share setiap bulan sekitar LE60-70. Agak murah dengan kadar Kaherah.

 

RKL agak sibuk dan padat. Menjadi kebiasaan mana-mana pelajar Kelantan dari Muhafazah yang berkunjung ke Kaherah dan tiada tempat merebahkan badan, maka RKL akan menjadi destinasi menginap mereka. Selain itu, RKL juga menjadi tempat singgahan pelajar otai yang pulang dari eropah atau yang datang dari Malaysia. Mereka ke eropah (UK) untuk berkerja sebagai pemetik strawberi. Ada juga yang berkerja kilang dan cleaner. Kebiasaannya pada November mereka akan kembali menyambung pengajian di Kaherah. Ada juga yang berada di eropah selama setahun, cari duit dan kembali menyambung pengajian. Ada juga senior yang hanya mempunyai beberapa subjek, mereka akan pulang ke Malaysia untuk berkerja dan ada yang mendirikan rumahtangga. Selepas beberapa tempoh, mereka akan kembali ke Kaherah untuk menduduki peperiksaan (beberapa subjek sahaja). Begitulah hidup sebahagian daripada kami yang biasanya tidak mendapat tajaan atau pinjaman pelajaran daripada mana-mana pihak. Sebagai shaqqah yang ditadbir oleh persatuan, maka RKL menjadi milik semua. Apa yang bagus, ambo dapat kenal ramai senior lama bertaraf otai.

 

Di luar RKL, ada bangunan tinggi. Kat tingkat paling bawah, ada kedai runcit milik perempuan arab. Kami panggil Mok Nab. Entah siapa nama sebenarnya. Kami juga tak tahu statusnya samada bersuami atau tidak, yang pasti kami selalu lihat dia keseorangan di kedai bersama seorang budak lelaki. Kami biasa minum hagah saah di bangku di depan kedainya sambil melihat ke arah RKL.

 

Kadang-kadang bila kita berada lama di sesebuah negara, kita akan terikut dengan budaya tempatan samada kita sedar atau pun tidak. Kami biasa bersembang dengan suara yang kuat. Ada geng RKL yang sedang membeli barangan harian di kedai Mok Nab, tetiba terdengar jeritan dari RKL aras 2 supaya beli garam, gula dan sebagainya. Nak kirim barangan la konon. Kuatnya suara kami, arab tempatan pun berpaling dari balkoni. Ustaz Mad selaku otai RKL selalu menegur kami supaya menghormati budaya tempatan. Jangan sesekali melakukan perbuatan yang mereka tak suka, walaupun perbuatan tersebut mereka juga yang buat.  

 

Bersebelahan dengan kedai Mok Nab, ada ruang terbuka yang dihuni oleh bawwab yang mengawasi 3 buah Imarah secara serentak. Namanya Abu Eid. Abu Eid merupakan bawwab yang bertanggungjawab tentang keselamatan dan urusan keluar masuk bangunan kami. Ambo tak pasti berapakah bayaran yang dibayar oleh pihak persatuan selaku pengurus shaqqah RKL kepada Abu Eid sebagai upah menjadi bawwab

 

Bilik ambo di RKL ada satu tingkap dengan dua daun. Tingkap di Kaherah ada dua lapisan. Lapisan paling luar dibuat daripada kayu. Ada ruang angin kat tingkap. Sebelah lapisan kedua ialah tingkap cermin. Apabila musim panas, kami buka kedua-dua lapisan tingkap. Sementara pada musim sejuk kami akan tutup tingkap cermin sementara tingkap luar kami biarkan terbuka untuk pencahayaan. Bersebelahan dengan bilik ambo, ada lot kosong. Sebelah lot kosong ada bangunan yang dihuni akhawat Malaysia. Justeru itu, tingkap kayu bilik ambo sentiasa tertutup.

 

Selang beberapa lot dari bangunan RKL, ada sebuah masjid kecil yang diuruskan oleh Jemaah Tabligh (JT) arab tempatan. Ambo dah lupa nama masjid. Kami biasa solat jumaat di masjid berkenaan. Kalau lewat AJK masjid akan hamparkan tikar di ruang pejalan kaki, atas jalanraya dan sebagainya. Ada bangunan kosong tanpa penghuni di depan masjid. Entah terbengkalai atau ada masalah lain. Ambo menetap di RKL dari tahun 1998 sehingga 1999 sebelum ke elMarg

Isnin, 3 Januari 2022

Kenangan Kaherah (37)

 

KAHWIN

Antara soalan yang selalu ditanya apabila pulang bercuti atau pulang graduasi ialah kenapa ramai pelajar kita berkahwin semasa masih belajar kat Mesir? Ada juga sesetengah orang tua di Malaysia bertanyakan ambo, sekelas ker dengan akhawat (gelaran merujuk kepada pelajar perempuan Malaysia) masa kat universiti?

 

Soalan sebegini agak sukar dijawab. Ambo tak tahu statistik  melibatkan perkahwinan pelajar Malaysia kat sini. Ambo juga tak tahu bagaimana mereka berjumpa dan boleh berkenalan hingga ke jinjang pelamin. Ada benda yang kita perlu ambil tahu. Ada benda yang kita tidak perlu ambil peduli. Apa yang pasti, kami tidak sekelas dengan akhawat bahkan belajar di tempat yang berbeza. Bangunan fakulti untuk akhawat di Kaherah terletak di Nasr City semetara kami pelajar lelaki (disebut ikhwah) akan ke Husayn (ada yang sebut Darrasah).   

 

Ambo juga tak tahu statistik perkahwinan pelajar kita dengan wanita arab dan sebaliknya antara akhawat Malaysia dengan lelaki arab Mesir (ada tetapi agak nadir). Senior pernah menyebut beberapa nama otai kat sini yang berkahwin dengan wanita arab. Salah seorang daripada anaknya ialah penyampai radio di IKIM (tak pasti sekarang samada masih bertugas atau tak)

 

Bab kahwin ni tak sama. Sebab yang nak kahwin, nak menanggung tanggungjawab dalam rumahtangga, tak sama dengan orang yang tak nak kahwin (belum masanya kahwin). Justeru itu, orang yang ada hajat nak berkahwin takkan sama cara fikirnya dengan orang yang tak pernah terlintas untuk berkahwin kat sini

 

Ada juga teman SEMUARA yang berkahwin kat sini. Ada yang berkahwin sesama geng SEMUARA. Ada yang berkahwin ketika tahun akhir pengajian. Ada juga yang berkahwin ketika tahun2 awal mereka di Kaherah. Jodoh mereka dah sampai. Kita mendoakan semoga mereka semuanya bahagia di bawah rahmat dan Inayah Allah.

 

Ustaz kami kat SEMUARA dulu pernah bercerita, ada kawannya yang dah tak mampu nak belajar (ustaz kami lepasan Azhar era Presiden Anwar Sadat). Dah tak mampu nak baca buku. Nak baca buku pada halaman 100 contohnya, dia akan letakkan gambar tunangnya pada mukasurat 101, barulah dia dapat baca buku tersebut. Seterusnya kalau nak baca buku pada mukasurat 102, dia akan selitkan gambar tunangannya itu kat mukasurat 103. Begitulah seterusnya. Pada masa tu, ramai rakan menasihati beliau supaya berkahwin. Dia berkahwin dengan tunangannya dan dia dapat menghabiskan pengajian pada tahun berikutnya dengan tidak pernah gagal lagi. Ambo teringat kata2 ustaz Azhar Idrus dalam salah satu video youtube, kalau tengok tiang eletrik nampak perempuan, maknanya dah wajib kahwin.

 

Kat sini ada satu unit di bawah persatuan pelajar. Unit Bayt Muslim (UBM). Secara lateral bermaksud Unit Rumah Muslim.  Ambo tak begitu faham fungsi sebenar dan tujuan unit ini. Cuma persepsi awal dalam kepala kami, sapa yang nak kahwin namun takder calon, boleh la pergi ke UBM. Atau mungkin mereka dah ada cadangan, dah kenal masa kat Malaysia lagi dan nak mendirikan rumahtangga, maka UBM inilah yang menjadi rujukan kami. (fungsi UBM boleh dibaca di laman sesawang terkini KPKM). Jujurnya itulah yang ada dalam kepala kami apabila ditanya fungsi UBM ni

 

Ada sahabat sekampung ambo yang berkahwin semasa masih bergelar mahasiswa. Kami sama2 menjejakkan kaki ke bumi Mesir tahun 1997. Beliau lulusan pondok. Pernah belajar di beberapa buah pondok di Kelantan sebelum ke Mesir. Justeru itu, umurnya semasa melanjutkan pengajian kat mesir dah lebih 23 tahun. 2 3 tahun kat Mesir, beliau menzahirkan hasratnya untuk berkahwin kepada seorang senior namun beliau tidak mempunyai calon isteri. Senior tersebut mencadangkan kepada beliau supaya berjumpa dengan AJK UBM. Sahabat kami berkenaan terus ke UBM. AJK UBM akan mencadangkan beberapa nama (ambo tak pasti camana proses tu). Kemudian apabila sahabat kami dah berkenan, mereka akan mengadakan pertemuan. Pertemuan tersebut ditemani oleh pasangan yang dah berkahwin di rumah pasangan berkenaan. Ambo hanya tahu cerita sahabat kami setakat tu jer. Beberapa bulan kemudian, beliau berkahwin dengan pasangannya.

 

Seingat ambo pada tahun 1998 pihak persatuan menganjurkan walimah untuk 5 atau 6 pasangan serentak. Kami tak pasti berapa kg daging (atau sembelih lembu, ambo lupa) yang digunakan untuk walimah. Namun majlis jamuan agak meriah. Teman2 kami dari luar Kaherah juga datang ke RKB untuk sama-sama meraikan pasangan pengantin.

 

Apabila berkahwin, pasangan suami isteri akan menyewa satu shaqqah bersama. Kalau kita menyewa shaqqah di Kaherah, harga sewa untuk rumah kelamin lebih murah daripada rumah bujang. Katakan rumah bujang 3 bilik berharga LE400, rumah kelamin biasanya sekitar antara LE250- LE300 bergantung kepada ihsan tuan rumah. Jika suami belajar di Kaherah dan isteri belajar di al-Azhar muhafazah seperti Mansoura, kebiasaannya mereka akan menyewa di Mansoura (bukan semua). Harga sewa shaqqah di muhafazah kebiasaannya lebih murah jika dibandingkan dengan Kaherah. Justeru itu, si suami akan berulang untuk ke kuliah di Kaherah yang berjarak hampir 150km. kalau tak silap, berdasarkan laporan akhbar tempatan (pada masa itu) hampir 2 juta penduduk Mesir yang berada di muhafazah berulang keluar masuk ke Kaherah atas urusan kerja atau peribadi setiap hari

 

Ambo juga tak tahu sangat pasal urusan pendaftaran perkahwinan di Mesir terutama apabila pulang ke Malaysia nanti. Bab kahwin ni satu jer petua, kalau anda nak kahwin, seriuslah. Jangan buat main-main. Kalau anda tiada cita-cita nak kahwin kat sini, tak perlu fikir apa-apa. Jalan terus. Kalau dah sampai masanya jodoh tetap akan tiba.