Jumaat, 14 Mei 2010

bisik-bisik yang dianjurkan.....al-nisa' 114

tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan2 mereka, kecuali bisikan orang yang menyuruh bersekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (114:4)

Secara mudahnya, orang munafik kerapkali berbicara tentang hal-hal yang tidak memuaskan hati mereka dengan cara berbisik-bisik(cakap belakang) seperti memfitnahkan orang, menyusun khabar bohong yang boleh merosakkan ketenteraman dan keharmonian masyarakat. Justeru itu, mana yang kita tidak setuju katakanlah secara berdepan, terus-terang bahawa kita tidak bersetuju. Kalau banyak sangat bisikan di belakang, perkara tersebut tiada kebaikannya. Kebiasaannya orang yang suka berbisik-bisik(cakap belakang) ni hati mereka tidak baik. Walau bagaimanapun ada 3 keadaan perkara bisik-bisik ni membawa kebaikan. 3 perkara ini seeloknya dirahsiakanlah terlebih dahulu supaya tidak mengalami kegagalan.

1) menyuruh atau menyarankan orang ramai supaya bersedekah.
Kadang2 bila kita ingin bersedekah atau mengeluarkan zakat, kita akan meneliti terlebih dahulu siapakah golongan sasar yang kita hendak keluarkan zakat atau kita beri sedekah itu. Apakah dia termasuk dalam golongan yang sepatutnya menerima zakat? Apakah dia seorang yang selayaknya kita beri sedekah? Ada juga saudara2 kita yang bersikap iffah, iaitu pandai menahan diri daripada meminta2 dan sebagainya sehingga kita menyangka bahawa dia seorang yang kaya(bukan berlagak kaya) sedangkan hakikat sebenarnya dia seorang yang layak menerima zakat dan sedekah. Contohnya kalau kita tahu si A layak menerima zakat, bolehlah kita mengeluarkan zakat kepadanya. Atau kita ingin bersedekah pada si A, bolehlah kita bersedekah padanya dalam keadaan si A tidak mengetahuinya kerana perkara tersebut mungkin memalukannya. Dalam keadaan lain, kita juga boleh menyarankan kepada orang ramai yang ingin mengeluarkan zakat, atau ingin bersedekah perihal keadaan si A, bahawa si A ni sememangnya layak menerima zakat dan sedekah. Begitu juga di pihak penderma, kadang2 penderma tidak suka mewar-warkan dermanya takut riya’. Lalu si penderma ini memberinya secara senyap-senyap. Kesemua perbuatan ini merupakan perbuatan yang terpuji, yang boleh dilakukan secara rahsia dan senyap-senyap.

2) menyuruh perbuatan yang makruf
kadang2 nasihat yang dilakukan secara rahsia, secara bersemuka di dalam bilik tertutup lebih berkesan daripada cara teguran yang kasar dan tegas di khalayak ramai. Ada orang yang bila ditegur di depan orang ramai, dia akan lebih memberontak dan nasihat yang kita beri tidak akan diendahkannya. Ada orang yang mempunyai nama dan kedudukan dalam masyarakat. Bila kita tegur secara rahsia, maruahnya dan kedudukan tetap terjaga dan dia akan lebih mudah menerima teguran kita.

3) mendamaikan di antara manusia
kadang2 berlaku perselisihan di antara 2 orang yang saling mempunyai kedudukan, pangkat, kekayaan dan masing2 mempunyai egonya sendiri. Namun kerana sebab2 tertentu, mungkin kerana ego, malu mata, mereka tetap dalam keadaan perang dingin dan tidak siapa yang mahu menautkan kemabli tali perhubungan yang hampir putus. Mungkin kedua2 orang yang berselisih itu sudah insaf, sudah mula cuba untuk kembali bermaafan, namun kerana ego dan degil serta tidak mahu merendahkan diri untuk menghulurkan salam perdamaian, mereka tetap menunjukkan sikap perang dingin Di sinilah peranan orang yang pandai dan mempunyai kemampuan untuk menautkan kembali tali silaturrahim ini. Seeloknya usaha perdamaian ini dilakukan secara rahsia untuk menjaga ego dan air muka mereka.

Kesimpulannya, ada bisik-bisik yang membawa kecelakaan seperti bisik2 untuk melakukan fitnah, merancang melakukan konspirasi jahat dan sebagainya. Ada juga bisik2 yang dianjurkan Allah SWT dan membawa kebaikan dan kerahmatan dariNYA seperti 3 perkara di atas.


* hamka, tafsir al-azhar semasa membicarakan ayat 114 surah al-nisa'
* tafsir pimpinan rahman

Tiada ulasan: