Isnin, 11 April 2011

Sejarah Qiraat (Zaman Rasulullah SAW)

Qiraat Pada Zaman Rasulullah SAW
Ilmu qiraat telah pun bermula sejak zaman turunnya al-quran. Setiap tahun dalam bulan Ramadan, Rasulullah SAW akan bertalaqqi al-quran dengan Jibril. Kemudiannya Rasulullah SAW akan membacakan al-quran kepada para sahabatnya. Para sahabat yang bertalaqqi dengan Rasulullah SAW pula akan membacakan al-quran kepada sahabat-sahabat yang lain. Walau bagaimanapun bacaan qiraat belum diamalkan lagi secara meluas kerana umat arab ketika itu belum lagi beriman dan al-quran juga belum tersebar luas kepada bebepara lahjah arab yang lain daripada lahjah Quraisy. Manakala hadis yang menerangkan tentang bacaan qiraat belum lagi diwahyukan. Para sahabat pada masa itu mempunyai tahap kefasihan bahasa arab yang baik.

Hadis yang membincangkan tentang bacaan qiraat diwahyukan setelah Rasulullah SAW mengadu kepada Allah di atas kesusahan umatnya membaca al-Quran. Ekoran daripada aduan tersebut, Allah telah memberi keizinan kepada Rasulullah SAW untuk membacanya di atas tujuh ahruf. Banyak hadis yang menunjukkan bahawa qiraat telah pun wujud pada zaman rasulullah SAW. Di antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab bahawa beliau telah berkata: aku mendengar Hisyam bin Hakim mebaca surah al-Furqan pada zaman rasulullah SAW. Aku mendengar bacaannya tiba-tiba dia membaca di atas huruf yang banyak di mana Rasulullah SAW tidak membacanya kepadaku. Aku hampir ingin menariknya di dalam sembahyangnya itu lalu aku bersabar sehingga ia memberi salam, kemudian aku menarik bajunya sambil berkata: siapakah yang membacakan surah ini kepadamu? Dia menjawab: Rasulullah SAW yang membacakan kepadaku yang lain daripada bacaanmu. Lalu aku membawanya kepada Rasulullah SAW dan mengadu tentang bacaan tersebut di atas huruf yang Rasulullah tidak membacanya kepadaku, bawalah Hisyam ke sini dan Rasulullah SAW menyuruhnya membaca sebagaimana yang aku dengar bacaannya, lalu baginda bersabda: begitulah ia diturunkan. Selepas itu Rasulullah SAW menyuruhku membacanya dan aku membaca sebagaimana Rasulullah membacanya kepadaku lalu baginda bersabda: begitulah ia diturunkan dan sesunguhnya al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah daripadanya (Bukhari). Hadis di atas menjadi dalil bahawa ilmu qiraat bermula setelah mendapat keizinan daripada Allah terhadap Rasulullah SAW. Ia juga menjadi dalil bahawa qiraat telah pun wujud pada hayat Rasulullah SAW lagi.

RUJUKAN
Mohd Rahim Jusoh, Pengenalan Ilmu Qiraat, Mahsuri Timur Sdn. Bhd., Selangor, 2001

Tiada ulasan: