Jumaat, 24 Disember 2010

5 soalan seputar membaca fatihah

1) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Di Dalam Solat?
Ya, membaca fatihah merupakan rukun di dalam solat. Jika seorang yang bersolat tidak membacanya di dalam solat secara sengaja, solatnya batal tidak kira samada solat itu solat fardu atau pun solat sunat. Ini merupakan pendapat di dalam mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.


2) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Yang Wajib Dibaca Dalam Setiap Rakaat Solat?
Ya, orang yang bersolat wajib membaca fatihah di dalam setiap rakaat. Jika solatnya ada 4 rakaat, hendaklah membacanya 4 kali(1 kali di dalam satu rakaat). Pengecualian diberikan kepada orang yang masbuq. Masbuq maknanya orang yang ketinggalan. Dalam kuliah maghrib, aku gunakan perkataan orang yang tertinggal keretapi. Contohnya masa dia nak masuk solat, imam baru jer rukuk. So dia bertakbir lalu turun rukuk bersama imam, tak sempat baca fatihah. Fatihah di dalam rakaat itu ditanggung oleh imam walaupun dia tak sempat baca.


3) Adakah Membaca Fatihah Merupakan Rukun Yang Wajib Dibaca Oleh Orang Yang Bersolat Samada Orang Yang Bersolat Itu Solat Sendirian, Atau Menjadi Imam, Atau Menjadi Makmum?
Ya, orang yang bersolat wajib membaca fatihah tidak kira samada dia menjadi imam, makmum, solat sendirian, sembahyang maghrib, isyak, subuh (solat yang imam membaca kuat) atau solat yang imam baca slow (zohor dan asar)

4) Apakah Hukumnya Bagi Orang Yang Tidak Mampu Membaca Fatihah?
Dalam kitab qalyubiy wa umairah, Orang yang tidak mampu membaca fatihah pada masa itu hendaklah membaca 7 ayat dari al-Quran yang diingatinya. Contohnya baca surah apa2 yang dia ingat sebanyak 7 ayat sebab fatihah ada 7 ayat. Ayat al-quran itu hendaklah 7 ayat yang berturut-turut.

Jika dia tidak ingat 7 ayat quran yang berurutan, bolehlah dia baca 7 ayat quran yang berpecah. Contohnya ayat pertama dia baca ayat kursi, ayat kedua dia baca ayat seribu dinar, ayat ketiga baca ayat dari surah …..sehingga 7 ayat kesemuanya.

Jika dia tidak ingat 7 ayat dari al-Quran hendaklah dia menyebut 7 jenis zikir yang berbeza. Contohnya yang pertama tasbih (subahanallah), keduanya tahmid (alhamdulilah), ketiga takbir dan sebagainya hinggalah 7 jenis zikir. Ada juga yang berpendapat tidak perlu kepada 7 jenis zikir.

Jika dia masih tidak mampu, hendaklah dia diam. Kadar lama diamnya sekadar membaca fatihah. Kalau membaca fatihah di dalam solat mengambil masa 1 minit, hendaklah dia diam sekadar 1 minit.

Tidak dibenarkan sama sekali untuk membaca fatihah dengan cara terjemahan sebagaimana takbir.

Dalam kitab fiqh 4 mazhab pula, disebut bahawa dalam mazhab syafie, jika seseorang yang bersolat itu lemah (tidak mampu) untuk baca fatihah dan dia mampu untuk membaca ayat2 quran yang setara dengan fatihah dari segi bilangan huruf dan ayat. Wajibalah dia melakukannya seperti itu. Iaitu dengan membaca ayat2 quran yang setara dengan fatihah dari segi bilangan huruf dan ayat.( ayat fatihah ialah 7 sementara bilangan huruf ialah 156 huruf). Jika dia hanya menghafal satu ayat sahaja atau lebih dia hendaklah mengulangi apa yang dihafaznya dengan kadar ayat2 fatihah. Jika tidak mampu membaca fatihah atau ayat2 quran hendaklah dia berzikir dengan kadar fatihah. Jika tidak mampu berzikir hendaklah dia diam dan panjang diamnya itu sekadar membaca fatihah di dalam solat. Contohnya kadar panjang baca fatihah di dalam solat ialah satu minit, hendaklah dia diam sekadar satu minit.


5) Adakah Disyaratkan Bagi Orang Yang Membaca Fatihah Mendengar Bacaannya?
Ya, disyaratkan orang yang bersolat membaca fatihah mendengar bacaannya dengan syarat pendengarannya elok.

* sebahagian isi kuliah maghrib. aku banyak merujuk kepada qalyubiy dan figh 4 mazhab selain daripada zuhailiy figh adillah.

*dalam kuliah, ada juga aku selitkan pasal mazhab hanafiy, malikiy dan ahmad secara sepintas lalu. selalu aku pesan, jika kita melihat orang bersolat tidak sebagaimana cara kita bersolat contohnya dia bersolat baca bismillah dengan senyap, janganlah kita mudah melatah menyesatkan atau mengkafirkan mereka hanya semata2 perbuatan atau amal mereka sedikit berbeza. artikel ini hanya memberi tumpuan kepada mengarkibkan apa yang aku sebut (mazhab syafie)

Rukun Solat (4) ...membaca fatihah

Membaca fatihah
Rukun seterusnya ialah membaca fatihah pada setiap rakaat samada solat fardu atau sunat.

Ini berdalilkan hadith yang bermaksud (tidak sah solat orang yang tidak membaca al-fatihah- Bukhari & Muslim). Dalam hadis yang lain Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: sesiapa yang mengerjakan sesuatu solat, sedangkan dia tidak membaca padanya ibu al-Quran (al-fatihah), masa solatnya itu adalah cacat ( tidak sah)-Muslim)

Syarat sah fatihah.

1)mendengar bacaan yang dia baca, dengan syarat pendengarannya baik

2)membaca fatihah mengikut turutan ayatnya danmemberi perhatian kepada sabdu, makhraj dan sebagainya


3)tidak melakukan kesalahan bacaan yang membawa kepada perubahan makna. Jika fatihah dibaca dengan kesalahan sebutan yang tidak memberi kesan kepada ketepatan maknanya, fatihah itu tidak batal

4)di dalam bahasa arab. Tidak sah baca dengan bahasa melayu atau dengan cara terjemahan.

5)membaca fatihah ketika berdiri. Jika dia menghabiskan fatihah ketika rukuk bacaan fatihahnya batal dan wajib mengulanginya.

Jika seseorang itu tidak mampu menguasai fatihah kerana dia seorang yang bukan arab, dia hendaklah menggantikannya dengan membaca 7 ayat al-Quran yang dihafaznya, dan jika dia tidak mampu juga hendaklah dia berzikir kepada Allah sekadar masa bacaan fatihah.

* petikan daripada kuliah maghrib (musalli). disalinsiar daripada figh manhajiy

Isnin, 20 Disember 2010

Rukun solat (3).....berdiri tegak

Rukun solat 3 (berdiri tegak)
Rukun solat yang ketiga ialah berdiri tegak bari mereka yang mampu melakukannya. Dalilnya hadith daripada Imran bin Husain ( aku menhidap buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda menjawab, bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mamp;u juga lakukanlah secara mengiring-Bukhari).

Orang yang solat dianggap telah dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak. Jika dia membongkokkan badannya samada ke depan atau ke belakang atau ke kanan atau ke kiri sekira2 bila orang tengok cara dia berdiri camtu, orang tidak lagi mengatakannya berdiri, maka perbuatannya itu tidak sah kerana tidak dinamakan berdiri. Dalam kitab musalli dikatakan membetulkan tulang belakangnya (maksudnya berdiri tegak).

Bagi orang yang mampu berdiri pada awalnya, kemudian dia rasa sakit2 atau tidak berdaya pada rakaat ketiga atau keempat, dia hendaklah berdiri takat dia mampu dan dia boleh duduk pada rakaat yang dia tidak mampu.

Rukun berdiri ini hanya wajib pada solat fardu. Solat sunat tidak diwajibkan berdiri. Justeru jika ada seorang yang sihat bersolat sambil duduk untuk solat sunat, solatnya sah kerana rukun berdiri tegak merupakan rukun bagi solat fardu. Dalilnya dari hadith ( sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah bersabda,, sesiapa yang solat secara berdiri itulah yang afdal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat secara berdiri dan sesiapayang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk- tirmizi, abu daud dll). so jika dia melakukannya sambil duduk, pahalanya kena potong 50%.

Persoalannya kenapa berdiri (qiyam) diletakkan sebagai rukun solat yang ketiga selepas niat dan takbiratul ihram sedangkan sepatutnya qiyam kena letak rukun mula2 sebab masa nak niat pun kena qiyam kan, masa nak takbir pun kena qiyam kan, so qiyam kena letak memula. Ulama silam menjawabnya bahawa qiyam walaupun wajib namun kewajipannya hanya pada solat fardu, sementara niat dan takbiratul ihram diwajibkan pada segala solat samada sunat atau fardu. sementara qiyam pula wajib bagi mereka yang mampu, bagi yang tak mampu boleh solat secara duduk atau berbaring sementara niat dan takbir mesti dilakukan dalam semua keadaan solat samada sunat atau fardu

Secara kesimpulannya, kewajipan solat tidak gugur selagi seseorang itu masih berakal.

* sebahagian isi kuliah maghrib berdasarkan munyatul musalli. Banyak juga aku petik dari manhajiy dan kitab2 lain

Jumaat, 10 Disember 2010

Tabarruj 4 (Hikmah Pensyariatan & BIBLIOGRAFI)

BAHAGIAN IV

HIKMAH PENSYARIATAN

Hikmah utama kenapa wanita diperintah supaya menjaga diri, larangan bertabarruj dan menutup aurat ialah untuk menjaga kehormatan diri mereka daripada pencerobohan dan pencabulan maruah diru, tidak diganggu oleh lelaki yang jahat dan tidak menjadi perhatian lelaki penzina. Selain itu, masyarakat juga akan terpelihara daripada bahaya pendedahan aurat, maksiat dan penzinaan. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberikan ancaman kepada wanita yang berhias melalui hadis yang berbunyi:
صِنْفَانِ من أَهْلِ النَّارِ لم أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بها الناس وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رؤوسهن كأسنة الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ ولا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ من مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Ertinya : "Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: pertama kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam), kedua ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta yang condong. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim). Hadis ini mengandungi amaran kepada wanita yang tabarruj dengan ancaman tidak boleh masuk ke syurga. Maksud perkataan nabi aku belum pernah melihat kedua-duanya itu membuktikan mukjizat Nabi Muhammad SAW kerana perkara yang disabdanya itu kini menjadi kenyataan.(ramai wanita pada zaman sekarang mendedahkan aurat)

BIBLIOGRAFI

al-Baidawiy, Nasir al-Din Abdullah Bin Umar. t.th. Tafsir al-Baidawiy al-Musamma Anwar al-Tanzil Wa Asrar al-Ta’wil. Kaherah. al-Maktabat al-Qayyimah.

Al-Jarullah, Abdullah Jarullah Ibrahim, Muhammad Salih cUthaimin.2000M. Muka & Tangan Wanita Adalah Aurat Di Hadapan Lelaki Ajnabi. Kuala Lumpur. Pustaka Syuhada.

Al-Qurtubiy, Abu Abdullah Muhammad Bin Ahmad al-Ansariy. 1996M. al-Jamic Li Ahkam al-Quran. Kaherah. Dar al-Hadith.

al-Sabuniy, Muhammad cAli. t.th. Safwat al-Tafasir Tafsir Li al-Quran al-cAzim. Makkah al-Mukarramah. Dar al-Sabuniy

al-Sayyid Sabiq. t.th. Fiqh al-Sunnah. Kaherah. al-Fath al-Iclam al-cArabiy.

Atiyah Saqar. 2005. Hijab Antara Tasyrik Dan Sosial. Malaysia. Jasmin Enterprise. (edisi terjemahan oleh Arifin Ladari)

Hamka. 1984M. Tafsir al-Azhar. Surabaya. Yayasan Latimojong.

Ibn Kathir, cImad al-Din Ismail Bin Kathir. t.th. Tafsir al-Quran al-cAzim. Kaherah. al-Maktabat al-Taufiqiyyah.

Muhammad Fuad Abdul al-Baqiy. 1994M. al-Mucjam al-Mufahras Li Alfaz Al-Quran al-Karim. Beirut. Dar al-Macrifah.

Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran. 2000M. Kuala Lumpur. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Walid al-Suaidan. Isu-Isu Perubatan Semasa. Johor Bahru. Penerbitan Jahabersa (edisi terjemahan)

Zaharuddin Abd Rahman. 2009M. Untukmu Umat. Selangor. Karya Bestari Sdn. Bhd.

http://al-fikrah.net ( 31 Oktober 2010)

http://www.mykhilafah.com/ (31 Oktober 2010)

http://www.ukhwah.com/( 31 Oktober 2010)

http://www.scribd.com/doc/19289115/HUKUM-BERSOLEK-Tabarruj

http://www.zaharuddin.net/ ( 31 Oktober 2010)

tabarruj 3 (pandangan para ulama......)

BAHAGIAN III

PANDANGAN PARA ULAMA BERKENAAN ASPEK DIBENARKAN DAN DILARANG SYARAK

3.1 Pendahuluan
Umumnya perbuatan tabarruj atau berhias di hadapan suami tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Ianya dibenarkan. Apa yang menjadi perselisihan pendapat ialah apabila wanita berhias dan keluar dari rumah untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Oleh itu, keadaan wanita berkenaan seolah-olah berhias bukan lagi untuk suaminya kerana di luar sana terdapat lelaki yang bukan mahramnya yang akan memandangnya. Di sinilah fokus persoalan bahagian ini.

Ada 2 isu utama di sini, pertama isu wanita keluar rumah untuk berkerja dan keduanya isu tabarruj. Walaupun isu keluar rumah dan tabarruj merupakan dua perkara yang berbeza namun ianya berkait rapat sehingga jarang sekali kita dapati kitab-kitab fiqh dan tafsir membicarakannya secara berasingan. Ini kerana tabarruj yang diharamkan secara asasnya berlaku apabila wanita keluar daripada rumah mereka.

3.2 Wanita Keluar Rumah Untuk Bekerja
Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya. Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT yang bermaksud: (Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan). Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :
ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده
Ertinya : (Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri) ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan akal bagi menanggung keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut.
Kebanyakan wanita di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian wanita Islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan. Contohnya Ummu Atiyah yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan disamping menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam. Selain itu, Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Al-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau Shariah auditor di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Syarak. Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut Syeikh Atiyah Saqar di antaranya:
1) Terdapat keperluan: menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga).
2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekerja dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.
Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :
وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki). Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya". (Al-Qasas : 24 )
5) Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami.
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.
3.3 Tabarruj
3.3.1 Muka dan tapak tangan adalah aurat?
Ada sebahagian ulama khasnya dari Arab Saudi berpegang dengan pendapat bahawa muka dan tapak tangan adalah aurat. Justeru itu, wanita wajib memakai purdah dan sarung tangan untuk menutup muka dan tangan mereka. Mereka berdalilkan dengan ayat 31 dari surah al-Nur yang bermaskud (dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan daripadanya).

Di dalam ayat ini Allah SWT melarang wanita mempamerkan perhiasan, kecuali apa yang zahir daripada mereka. Jadi dapat difahami bahawa perhiasan ada dua jenis iaitu perhiasan zahir dan tersembunyi. Para ulama yang mengatakan muka itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah rantai leher, gelang, anting-anting dan sebagainya.

Sementara dalil daripada hadis pula ialah hadis riwayat Bukhari dan Muslim (ketika Rasulullah SAW memerintahkan kaum wanita untuk keluar melaksanakan solat hari raya, salah seorang wanita bertanya kepada Rasulullah SAW sambil berkata,”wahai Rasulullah, salah seorang daripada kami tidak memiliki jilbab”. Jawab Baginda SAW,” hendaklah ia meminjam jilbab kawannya”.)

Manakala menurut ulama yang berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher, anting-anting dan sebagainya.

3.3.2 Gincu bagi wanita
Gincu yg dipakai oleh perempuan dgn tujuan perhiasan di hadapan lelaki ajnabi adalah haram, ia termasuk alat solek secara umum (al-mikyaj). Demikian kata Imam al-Nawawi. Dalilnya ialah keumuman ayat al-Quran (dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu).

3.3.3 Bedak pemutih muka bagi wanita yang tidak kekal
Dalam konsep rawatan kecantikan, ada tahap tahsiniyyat (kecantikan), hajiyyat (keperluan) dan daruriyyat (keperluan yang mendesak). Tahap yang dibolehkan dalam rawatan kecantikan ialah pada tahap hajiyyat dan daruriyyat sahaja. Sementara untuk tujuan tahsiniyyat, ianya tidak dibolehkan kerana ia bertujuan pembaziran, tabarruj (bersolek untuk tatapan lelaki asing dan pembaziran) atau dengan kata lain ianya dilakukan untuk tujuan syahwat dan hawa nafsu

3.4 Kesimpulan
Dalam bahagian ini, penulis hanya sempat memfokuskan isu kepada masalah wanita yang keluar dari rumah untuk mencari nafkah dan tabarruj yang melibatkan masalah muka dan tapak tangan, gincu dan bedak pemutih sahaja. Sebenarnya isu-isu dalam tabarruj cukup luas melibatkan semua jenis cara dan teknik berhias kuno dan moden seperti bersolek, braces, scrub, gel serbuk emas dan sebagainya. Apa yang dapat penulis kemukakan ialah sebahagian ulama yang berpegang kepada nas kebiasaannya mempunyai pendapat yang agak keras dan sebahagian ulama maqasid yang lain memberi kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat.

Tabarruj 2 (hukum & dalil....)

BAHAGIAN II

HUKUM TABARRUJ & DALIL PENSYARIATAN

2.1 Pendahuluan
Allah SWT melarang para wanita untuk tabarruj setelah memerintahkan mereka menetap di rumah. Tetapi apabila ada keperluan yang mengharuskan mereka keluar rumah, hendaknya tidak keluar dengan cara mempertontonkan keindahan dan kecantikannya kepada laki-laki asing yang bukan muhrimnya. Allah juga melarang mereka melakukan tabarruj seperti tabarrujnya orang-orang jahiliyah terdahulu. Ini berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis.

Secara umumnya perkataan tabarruj disebut di dalam al-Quran sebanyak 2 kali iaitu di dalam surah al-Ahzab(ayat 33) dan surah al-Nur (ayat 60).

2.2 Dalil al-Quran

2.2.1 Surah al-Ahzab (ayat 33)
وَقَرۡنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ
Maksudnya : dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah zaman dahulu

Ayat ini secara khusus diturunkan kepada keluarga Nabi SAW terutama para isteri baginda seramai 9 orang. Ia sepatutnya di baca bermula pada ayat 28 lagi, semuanya mengenai etika ahli bayt demi ketinggian dan kesucian institusinya. Walau bagaimanapun secara umumnya, wanita-wanita lain boleh mencontohi mengambil pelajaran dari ayat ini.

Perintah yang ada dalam ayat ini ialah supaya isteri Nabi Muhammad SAW sentiasa tetap berada di rumah. Para isteri Nabi SAW tidak perlu keluar bekerja kerana perbelanjaan dan elaun sudah ada peruntukan dari baitul mal (khumus). Sementara bagi wanita-wanita selain isi rumah Nabi SAW boleh saja keluar untuk belajar, ke pasar dan bekerja. Syaratnya ialah apabila keluar rumah tidak berhias ala tabarruj jahiliyah. Cuma, kalau tidak bekerja adalah lebih utama kepada wanita Islam kerana itulah yang lebih ideal dan terpelihara.

Apabila diteliti, ayat di atas memang ditujukan kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW tetapi sebenarnya ayat itu juga ditujukan terhadap seluruh wanita muslimah kerana para isteri nabi itulah yang menjadi teladan dan ikutan bagi semua wanita muslimah pada setiap tempat dan waktu. Keumuman ayat tersebut dapat dilihat daripada ayat sebelumnya dan ayat sesudahnya di mana disebutkan larangan wanita bercakap secara lemah-lembut kepada lelaki asing, serta suruhan supaya mereka berbicara dengan baik dan sopan. Cara ini pastinya dapat mengelakkan timbulnya rangsangan kepada lelaki.

Ayat yang khusus kepada keluarga baginda sudah tentu berakhir bila kesemua isteri baginda sudah wafat (yang terakhir wafat ialah ummul mukminin Aisyah ra di zaman Muawiyah). Ayat itu tidak melarang secara mutlak para isteri Nabi Muhammad SAW keluar rumah. Ia cuma suatu larangan umum tapi jika ada keperluan seperti solat di masjid, mengerjakan haji dan umrah, ianya tidak mengapa. Buktinya Aisyah selepas kewafatan Nabi SAW, masih mengerjakan haji dan umrah beberapa kali.

Al-Qurtubiy semasa menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini membawa suruhan supaya tetap di rumah. Walaupun ayat ini ditujukan kepada para isteri nabi namun kandungannya mengandungi juga suruhan buat muslimah yang lain. Menurut al-Qurtubi lagi, pengertian janganlah kamu berhias-hias seperti orang jahiliah yang pertama ialah supaya tidak memperbanyakkan keluar rumah, berhias-hias dan memakai pakaian yang menarik perhatian yang merupakan perkara kebiasaan wanita jahiliah.

Pelaksanaan hukum secara langsung ayat ini sudah mansuh kerana objek ayat sudah pupus (kesemua isteri Rasulullah SAW yang menjadi objek ayat telah wafat), tapi yang tinggal ialah pengajaran kepada wanita-wanita Islam yg lain. Begitu juga ayat-ayat al-Quran yang diturunkan khusus untuk Bani Israel. Walaupun ia ditujukan kepada Bani Israel namun umat Islam hendaklah mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya.

2.2.2 Surah al-Nur (ayat 31)
Allah telah berfirman dalam al- Quran yang bermaksud: ( Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera- putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung).

Ayat ini secara umumnya menegah wanita daripada menzahirkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka sahaja. Perhiasan itu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pakaian yang cantik, perhiasan dan solekan. Ketiga-tiga perkara ini adalah perhiasan yang Allah SWT menyuruh kepada kaum wanita supaya tidak menunjukkannya kepada kaum lelaki kecuali barang yang sememangnya dikecualikan oleh Allah SWT iaitu melainkan yang biasa nampak daripadanya. Maksudnya bahagian yang zahir dan tidak mungkin menyembunyikannya daripada pandangan orang lain seperti bahagian luar pakaian, mantel serta yang zahir sahaja tanpa disengaja dan diusahakan .

Al-Qurtubiy pula berkata bahawa zinah (perhiasan) itu boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:
1) perhiasan yang semulajadi. Perhiasan ini seperti kejelitaan wajah dan kecantikan bentuk badan.
2) perhiasan yang diusahakan. Perhiasan yang diusahakan bermaksud usaha perempuan mengubah dan mencantikkan keadaan dirinya seperti pakaian, perhiasan daripada emas dan lain-lain.

Itulah pendapat mereka tentang maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Semetara itu berdasarkan pendapat daripada Ibnu Abbas, Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dahhak, mereka mengatakan bahawa apa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka ialah celak. Kalau di telapak tangan ialah cincin. Cuma ada beberapa ulama yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.

Tabarruj 1 ( Definisi)

BAHAGIAN I

DEFINISI TABARRUJ

1.1 Tabarruj dari segi bahasa
Ibn Manzur di dalam Lisan al-Arab menafsirkan tabarruj sebagai wanita yang memamerkan keindahan dan perhiasannya kepada laki-laki. Tabarrajatil mar’ah artinya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya, dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada laki-laki dengan maksud untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.

1.2 Tabarruj dari segi istilah
Menurut istilah, tabarruj adalah setiap perhiasan atau kecantikan yang ditujukan wanita kepada mata-mata orang yang bukan muhrim. Termasuk orang yang mengenakan cadar (purdah), di mana seorang wanita membungkus wajahnya, apabila warna-warnanya terlala menarik perhatian dan ditujukan agar dinikmati orang lain, ini termasuk tabarruj orang jahiliyah terdahulu.

1.3 Pengertian tabarruj di dalam kitab-kitab tafsir

1.3.1 Tafsir Ibn Kathir
Di dalam tafsir Ibn Kathir, banyak dimuatkan petikan kata-kata ulama salaf tentang makna perkataan tabarruj. Di antaranya kata-kata Mujahid bahawa wanita dahulu keluar dan berada di antara para lelaki. Inilah maksud dari tabarruj jahiliyyah terdahulu. Sementara Qatadah pula memberikan gambaran tabarruj sebagai perbuatan wanita dahulu dalam keadaan berlenggak-lenggok serta genit. Allah melarang perkara sebegini. Muqatil bin Hayyan berkata, “Maksud tabarruj adalah wanita yang menanggalkan kerudungnya lalu nampaklah kalung dan lehernya. Inilah tabarruj terdahulu di mana Allah melarang wanita-wanita beriman untuk melakukannya.”

1.3.2 Tafsir al-Baidawiy
Al-Baidawiy semasa menafsirkan ayat ke 60 surah al-Nur memberi pengertian
tabarruj sebagai perbuatan mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan.

1.3.3 Tafsir al-Sabuniy (Sofwat al-Tafasir)
Al-Sabuniy pula mengatakan bahawa tabarruj ialah perbuatan menzahirkan perhiasan dan kecantikan seseorang perempuan kepada lelaki asing. Perbuatan ini sebenarnya merupakan perbuatan perempuan jahiliah yang keluar ke pasar-pasar dalam keadaan mendedahkan aurat, berhias dengan cara berlebihan serta mendedahkan apa yang sepatutnya didedahkan hanya untuk suami mereka.

1.3.4 Tafsir al-Qurtubiy
Al-Qurtubiy pula semasa menafsirkan ayat 60 surah al-Nur mengatakan bahawa tabarruj ialah perbuatan mendedahkan atau menzahirkan supaya menjadi tempat pandangan orang.

1.4 Pengertian tabarruj di sisi Sayyid Sabiq
Sayyid Sabiq di dalam karya monumentalnya Fiqh al-Sunnah memberi definisi tabarruj sebagai perbuatan menzahirkan seuatu perkara/perhiasan yang wajib bagi wanita menutupnya. Atau dengan kata lain tabarruj ialah sengaja menunjukkan apa jua yang seharusnya wanita sembunyikan, kemudian menghilangkan sifat malunya lalu menzahirkan sesuatu yg menarik pada dirinya.

1.5 Pengertian tabarruj di sisi al-Maududiy
Al-Maududiy berkata bahawa jika perkataan tabarruj digunakan terhadap kaum wanita, ia mengandungi 3 pengertian:

1)wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (lelaki yang bukan mahramnya)

2)wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing

3)wanita yang memperlihatkan dirinya, gerak gerinya dan kemegahan

1.6 Kesimpulan
Di dalam bahagian ini, penulis telah membawa pelbagai pengertian tabarruj yang dikutip daripada pelbagai sumber. Secara keseluruhannya pengertian tabarruj yang diberikan oleh para ulama tidak begitu berbeza daripada maksud asalnya dari segi bahasa iaitu perbuatan mendedahkan atau menzahirkan. Pendedahan di sini bermaksud pendedahan kecantikan fizikal wanita(aurat), pendedahan dengan cara memakai pakaian atau bau-bauan yang menarik perhatian lelaki dan perbuatan wanita yang bercakap atau berkomunikasi dengan lelaki asing dengan cara yang menggoda dan genit. Para ulama banyak mengaitkan perkataan tabarruj di sini kepada perbuatan wanita kerana itulah pengertian perkataan tabarruj yang diambil daripada pengertian ayat al-Quran di dalam surah al-Ahzab dan al-Nur.

cerita lama....kenangan bersama guru (pasal was-was)

Semasa saya masih belajar di Bandar Baru Bangi dulu, ada seorang guruku yang dikenali sebagai ustaz wil tok wali. Ust ni belajar di pondok hj daud bukit abal, ke nilam puri (YPTIK) dan seterusnya masters di al-azhar. Dia buat PHD di al-azhar tapi tak sempat habiskan. Dengar khabar katanya arab jealous dengan dier sebab dia budak melayu dapat siapkan PHD di al-azhar dalam tempoh tak sampai setahun, so supervisor tu menimbulkan kesusahan padanya dan akhirnya guruku pulang tanpa PHD dari al-azhar. Namun dia sempat amik doctorate dari UKM. Sekarang dia kat Brunei, jadi pensyarah di sana. Masa aku ke mesir tahun 1997 dulu, nama ust wil tok wali masih disebut orang, kira jadi legenda la bagi kita bebudak malizi kat sana. Aku tanya senior2 kat sana kenapa orang panggil dia tok wali. Senior2 cakap dia dok kat mesir dia hanya kenal jalan nak ke kuliah tempat pengajian, jalan ke masjid dan jalan balik ke rumah dia, tu jer.

Ust wil tok wali pernah sebut dalam suatu kuliahnya bahawa masa dia blaja kat pondok dulu, dia seorang yang was-was. Biasanya was-was akan mengena pada orang yang baru nak blaja, dia terlalu nak sempurna dalam amalnya. Dia citer dia ke surau bawa kain tuala. Pijak je kepala tangga surau terus lap kaki dia supaya kaki dia kering. Tujuannya supaya kalau terpijak karpet, lantai surau tu tak jadi bernajis sebab lantai, karpet surau tu maybe ada tahi cicak dan sebagainya. So bila kaki dia kering, terpijak tempat yang maybe ada najis cicak takder la najis sebab kaki dia kering. Bila dia banyak belajar khasnya bila ke al-azhar, dia blaja mazhab2 lain, hadis2 dan sebagainya lama2 was-was dia hilang. Dia selalu pesan padaku supaya banyak blajar, bukan hanya mazhab kita syafie, banyak faedah yang kita dapat bila kita banyak belajar. Tu pasal bila aku berdepan dengan orang ramai kat surau, kekadang aku panjanglebarkan sesuatu perkara. Kekadang aku pendek dan ringkaskan sesuatu perkara. Kekadang aku sebut benda2 yang dah glamer dan menjadi amalan penduduk setempat. Kekadang aku tak begitu sebut benda yang pelik2 takut menimbulkan fitnah. Bagiku, audien yang berada di depanku harus aku tuntunkan supaya datang ke masjid, berjemaah, bersolat, perbetulkan apa yang tak betul dalam solat. Itu yang penting. Soal pendapat2 ulama, mazhab2, istilah2 dan sebagainya aku ketepikan dulu kecuali bila ada orang tanya, aku jawab sekadar kemampuanku.

bila jer aku dapat tauliah ngajar agama daripada MAIK, aku diminta bermuzakarah pasal kitab musalli di surau. sempat aku tanya beberapa orang kawanku, minta nasihat, pandangan dan dorongan mereka kerana aku rasa aku masih jahil dan tidak layak berada di depan. ada yang doakanku supaya dipermudahkan, ada yang minta supaya teruskan asalkan jangan dok ngajar ilmu sesat. namun ada sesuatu yang menarik daripada seorang sahabatku yang pernah blaja di pakistan dan al-azhar serta mempunyai banyak sanad hadis(sekarang menjadi guru j-QAF dan pengajar di sebuah pondok..dia cakap..teruskanlah amalan yang mulia ini dan elakkanlah daripada mempertikaikan amalan2 yang dilakukan oleh ulama silam selagi mana tidak jelas kebatilannya.....

Masalah Muqaranah Niat

MASALAH MUQARANAH NIAT.
Muqaranah maknanya penyertaan/pengiringan/combine. Apabila mulut kita menyebut perkataan ALLAHU AKBAR, hati kita menyebut/menyertakan di dalam hati sahaja aku solat……………………………………..Sebutan/lintasan hati itu dinamakan muqaranah

Dalam kitab musalli, pengarang menyebutkan bahawa muqaranah itu ada 3:
1) Muqaranah Kamaliyah (kamaliyah maknanya sempurna) mungkin kita boleh terjemahkan sebagai pengiringan niat yang sempurna. Muqaranah Kamaliyah terbahagi kepada 2 iaitu:

a: Muqaranah Kamaliyah Ijmaliyah.(ijmaliyah maknanya secara umum/pukul rata). Mungkin kita boleh terjemahkan sebagai pengiringan niat yang sempurna secara umum. Mengqasadkan solat, mentaarrudkan fardunya, mentacyinkan waktunya, imaman atau makmuman pada solat jumaat, qasran pada solat qasar maka diisytiharkan perkara itu di dalam hatinya. Maka dimuqaranahkan pada alif (ALLAHU AKBAR) lalu dikekalkan sehingga sempurna huruf ra’ pada ALLAHU AKBAR (lafaz ALLAHU AKBAR terdiri daripada 8 huruf, iaitu alif (huruf pertama), lam (huruf kedua), lam (3), ha’(4), alif (5), kaf (6), ba’(7) dan ra’(8). Jangan hilang daripada mengingat pada segala huruf itu. Inilah muqaranah yang dimuktamadkan oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam Tuhfah dan Syeikh Ramli di dalam Nihayah dan yang lainnya. Muqaranah Kamaliyah Ijmaliyah wajib dikerjakan bagi orang yang berkuasa sekira-kira tidak membawa kepada waswas. Jika tidak mampu menghadirkan hati seperti yang demikian itu atau membawa kepada was-was maka tiada mengapa kita bersolat dengan membawa Muqaranah Urfiyyah seperti yang dipilih oleh Imam Ghazali dan Imam Nawawi dan lain2nya. Muqaranah Kamaliyah Ijmaliyah ini juga dinamakan sebagai Muqaranah Bastiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nuruddin Al-Raniriy.

b: Muqaranah Kamaliyah Tafsiliyyah. (tafsiliyyah maknanya secara terperinci. Mungkin kita boleh terjemahkan sebagai pengiringan niat yang sempurna secara terperinci). Muqaranahkan niat pada takbiratul ihram itu. Iaitu zat solat. Diingatkan segala rukun solat daripada takbir hingga salamnya, taarrudnya dan taayyunnya. Maka disertakan pada alif (ALLAHU AKBAR) hingga sempurna huruf ra’. Maka muqaranah ini sangat jauh pada dapat kebanyakan manusia yang pengajian, apatah lagi orang awam kecuali orang yang berpaling hatinya daripada taklukan dunia dan segala isinya. Muqaranah ini telah dibantah oleh Imam Haramain kerana ia di luar kuasa manusia. Maksudnya semasa kita mengucapkan lafaz ALLAHU AKBAR, hati kita mengiringkan semua perkara yang patut ada dalam niat (qasad, taarrud, taayun) + hakikat solat yang terdiri daripada segala rukun (takbir, sujud, rukuk, tahiyat etc). masalahnya ada ker orang boleh buat camni?? Maybe ada, tapi kadang2 bila kita inginkan terlalu sempurna, kita akan jadi was-was sehingga 4, 5, 6 kali kita takbir namun tetap tak dapat bersolat kononnya niat tak masuk lagi. So kalau kita tak mampu nak muqaranahkan benda camni, memadailah dengan Muqaranah Urfiyyah

2) Muqaranah cUrfiyyah.
Menghadirkan niat tersebut di dalam takbirnya, jikalau hadir niat itu pada satu suku(bahagian) daripada takbir samada pada lafaz ALLAH atau AKBAR.

Contohnya apabila kita menyebut lafaz ALLAHU AKBAR, kita iringkan di dalam hati kita niat ( sahaja aku solat fardu zohor…..). Ketika kita baru sahaja sebut lafaz ALLAHU, tak sampai AKBAR lagi, hati kita dah pun selesai berniat semuanya. Maknanya niat kita lebih laju daripada mulut (lafaz) kita. Dengan kata lain, niat telah pun terlintas di dalam hati kita semasa kita baru jer sebut ALLAHU, tak sampai AKBAR lagi. Maka ini dinamakan muqaranah Urfiyyah.

3) Muqaranah Tauziciyyah
(Tauziciyyah maknanya menghamparkan atau membahagikan. Mungkin kita boleh terjemahkan sebagai pengiringan yang dibahagikan mengikut pecahan lafaz. Setiap lafaz yang disebut dengan lidah, diiringkan dengan hati sebahagian daripada niat yang terdiri daripada qasad, taarrud dan taayun). Iaitu mensukukan atau membahagikan akan suku niat pada suku takbir. Iaitu dimuqaranahkan qasad pada ALLAH dan taayyun pada AKBAR. Maka dinamakan Tauziciyyah kerana menghampirkan suku niat pada suku takbir. Muqaranah ini tiada memada ia pada niat dengan muafakat ulama padanya. Suku kat sini bukannya macam suku, luak, undang kat negeri sembilan. Suku ni maknanya membahagikan sebahagian niat pada sebahagian lafaz takbir. Muqaranah ini maksudnya begini, semasa kita menyebut lafaz ALLAHU AKBAR. Kita sebut ALLAHU (sebahagian daripada ALLAHU AKBAR), kita iringkan (muqaranah) di dalam hati kita bahagian qasad (sahaja aku solat). Kemudian bila lidah kita sebut AKBAR, hati kita iringkan taayyun(zohor/asar dan sebagainya). Maknanya bila kita sebut suatu suku (suatu bahagian) daripada lafaz ALLAHU AKBAR dengan lidah, maka hati kita mengiringkan suatu suku daripada takbir tersebut dengan suatu suku daripada perkara yang mesti kita hadirkan sewaktu niat iaitu qasad, taarud dan taayyun. Muqaranah jenis ini tiada memada, maksudnya tidak sah. Demikianlah pendapat ulama.

Kesimpulan
Muqaranah ni merupakan sesuatu perbahasan yang secara panjang lebar disebut dalam kitab2 fegh mazhab syafie. Saya tidak suka sangat nak memanjangkan kalam dalam bab muqaranah ni sebenarnya, bimbang kalau2 penerangan saya tak jelas, sehingga orang ramai boleh menjadi was-was. Benda ni dari segi terminologinya nampak sukar, tapi yang pentingnya niat sebahagian daripada rukun solat. Tempatnya di hati. Sementara waktu nak berniat ialah semasa mulut kita melafazkan takbiratul ihram.

* entri ini sebagai memenuhi permintaan daripada seorang pelawat dan sempat aku selitkan dalam kuliah maghrib. aku banyak merujuk kepada musalli, bughyah al-tullab, sabila al-muhtadin, fiqh 4 mazhab, fiqh adillah zuhaili, ceramah ustaz abdul basit sg durian dan cd musalli utaz haron din.

Sabtu, 4 Disember 2010

Rukun solat (2) …takbiratul ihram

Dalil bagi rukun yang ke-2 ini ialah hadith nabi yang bermaksud, kunci solat ialah suci, ihramnya ialah takbir dan tahallulnya ialah salam (tirmizi, abu daud dll)

Dinamakan takbiratul ihram (takbir yang mengharamkan) kerana takbir ini mengharamkan kita melakukan sesuatu yang sebelumnya halal dilakukan. Contohnya apabila seseorang hendak melakukan solat, dia akan berdiri dan bertakbir. Dengan melafazkan takbir bererti dia sedang bersolat. Apabila bersolat, banyak perkara yang sebelumnya kita boleh buat seperti makan, minum dan sebagainya kita tidak lagi boleh lakukan. Jika kita lakukan juga, solat kita terbatal. Itulah yang dimaksudkan mengharamkan perkara yang sebelumnya halal dilakukan. Keadaan ini samalah seperti orang yang berniat ihram untuk mengerjakan haji di mekah. Apabila berniat ihram, maka perkara yang sebelum ini bleh dilakukan seperti memakai wangian, cukur misaim, cabut bulu dan sebagainya tidak lagi boleh dilakukan sehinggalah kita melaksanakan sebahagian besar rukun dan wajib haji dan bertahallul.

Syarat sah takbiratul ihram.
1) Melafazkan takbiratul ihram setelah berdiri. Justeu itu takbir yang dilakukan oleh seseorang yang sedang bangun untuk bersolat tidak sah

2) Mengadap kiblat. Hendaklah bertakbir dalam keadaan mengadap kiblat.

3) Bertakbir dalam bahasa arab. Orang yang tidak mampu bertakbir dalam bahasa arab dan tidak mungkin belajar pada waktu itu bolehlah menterjemahkan maksudnya dalam apa-apa bahasa yang dikehendakinya. Contohnya si A baru memeluk Islam dan sebelum ini tinggal berjauhan daripada komuniti Islam, dia tidak biasa mendengar lafaz takbir. Kemudiannya si A telah memeluk Islam ketika jam 12.59 tengahari. Waktu masuk zohor pula ialah 1.00 petang. Si A berada dalam keadaan tidak mengetahui/tidak mampu bertakbir dalam bahasa arab dan waktu yang ada tidak mungkin baginya untuk belajar tentang solat. Pada masa itu bolehlah si A menuruti gerak geri orang yang bersolat dan bertakbir dalam bahasa yang dia kehendaki. Namun dia wajib mempelajarinya jika berkemampuan. Kalau dia melayu dia boleh bertakbir dengan menyebut Allah Maha Besar. Kemudian katalah selepas 2 hari dia telah mampu menyebut Allahu akbar dengan baik, apakah solatnya selama 2 hari yang dilakukan dengan bertakbir secara menterjemahkannya wajib diqadak? Jawabnya tidak kecuali jika si A mampu belajar, namun dia tidak belajar maka hendaklah diqada solatnya yang dilakukan dengan cara terjemahan takbir itu. Berkenaan dengan orang yang bisu, wajib dia cuba dan berusaha menggerakkan lidah dan bibirnya sedaya mungkin untuk melakukan takbir

4) Mendengar semua huruf takbiratul ihram yang diucapkannya sendiri jika pendengarannya baik

5) Bertakbir berserta dengan niat (muqaranah niat). Qasad, taarad, taayun. Dalam masalah muqaranah ini banyak sangat perbahasan yang rasanya tidak perlu dipanjanglebarkan di sini. Di dalam musallli disebut muqaranah ada 3 iaitu muqaranah kamaliyyah, urfiyyah dan tauziiyyah.


6) Bertakbir dengan lafaz ALLAHU AKBAR seperti yang sedia maklum

7) Bertakbir di dalam waktu solat kerana takbiratul ihram dilakukan ketika kita hndak solat. Maka jika seseorang bertakbir sebelum masuk waktu solat, tidak sah solatnya