Selasa, 10 November 2015

Kisah imam Ahmad dan si alim pencercanya

Imam ahmad dan si alim pencerca...
Ada seorang alim di zaman imam ahmad bin hanbal yang selalu mencaci, memburukkan imam ahmad dalam ceramah dan kuliahnya. Pada suatu hari imam ahmad berjumpa dengan beberapa orang anak murid si alim berkenaan.
Selepas bertanya anak murid berkenaan ttg diri mereka, imam ahmad berpesan supaya belajarlah dgn si alim berkenaan, dabitlah(tanda) kitab semasa belajar dengannya,  tulislah apa yang  dipelajari daripadanya, pelajar berkenaan terkejut kerana si alim berkenaan selalu mengutuk dan mencerca imam ahmad dalam kuliah dan ceramahnya.
Imam ahmad berkata aku nak buat macamana, Allah balakan ustaz tu dengan kerja dia yg mencerca aku. Aku yang dapat pahala dan dia dapat dosa

# dipetik daripada sebahagian cd audio kuliah Dr abdul basit sg durian ttg kitab penawar bagi hati dalam bab dengki

Khamis, 29 Oktober 2015

Barca, elclassico dan la liga

KALAU catalan merdeka, bagaimana dgn barca?
Isu ni muncul semula bila undi yg latest tunjuk bahawa catalan nak merdeka. So kalau catalan merdeka, bagaimana nasib barca, elclasico dan la liga....
1) Law Spain x benarkan mana mana pasukan luar Spain bermain dalam la liga kecuali kelulusan parlimen. Setakat ni ada pasukan dari andora( kalau x silap) bermain dalam la liga, x pasti liga ke berapa. So kalau catalan merdeka dari Spain, maknanya barca bukan lagi sebahagian dari Spain. Kalau nak main dalam la liga, kena kelulusan khas dari parlimen. Kalau parlimen undi ok, go on.elclasico akan diteruskan. Kalau sebaliknya, maka timbul isu barca akan ke liga lain

2) Dari segi geografi, yg paling hampir n liganya meriah ialah league one France. France jg nampak x keberatan nak terima barca, sebab boleh menyemarakkan lagi kemeriahan liga di samping faktor komersial. Lagi pon France dah ada pasukan luar iaitu Monaco( Monaco negara ada autonomi sendiri) yg bermain dalam league one. Pilihan seterusnya ialah seria a, bpl, etc yg taraf liganya tinggi.

3) Uefa ada cara bagi penarafan liga. Setakat ni la liga, bpl, bundesliga dan serie a ada byk kerusi samada secara automatik atau playoff utk ke ucl. So jangan tanya kenapa x disebut haluan barca ke liga Portugal, Belgium, Luxembourg etc...

4) Ada jg yg Soal kenapa barca x wujudkan liga sendiri kalau benar benar merdeka lepas ni. Maybe liga sendiri buleh wujud, tp x kompetitif. X mungkin Messi and Co nak bermain mati matian berlawan dgn kelab dalam catalan yg bertaraf majlis bandaraya atau jabatan air..etc. So kalau catalan merdeka sekalipun, barca mesti diselamatkan dgn cara bermain dalam liga lain di luar catalan

5) elclasico?
Dalam forum terbaru, laporta bekas presiden barca zaman ronaldinho menegaskan sukar untuk bayangkan barca berundur dari la liga.pertamanya elclasico merupakan perlawanan Derby yg paling ramai penonton di kaca TV seluruh dunia. Laporta juga cakap kalau catalan merdeka sekalipon, seharusnya la liga menerima barca sebagaimana mereka menerima pasukan dari andora dan league one menerima Monaco.
Javier tebas, orang no 1 la liga jg menegaskan, tanpa barca, runtuhlah la liga kerana faktor barca dan madrid memberi keuntungan kepada la liga hampir 50%. (angka kena semak sebab data lama lebih 6 bulan).

6) kesan kepada basques.
Kalau catalan merdeka, pengaruhnya akan merebak merentas ke basque yg lebih fanatik. Wilayah basque ada wakil yg lebih byk dalam la liga berbanding catalan yg hanya mempunyai barca dan espanyol. Athletic bilbao dan sociedad antaranya merupakan pencabar kepada 2 gergasi la liga walaupon dalam tempoh 10 tahun lepas, juara la liga hanya sekali sahaja berjaya dicelahi oleh atletico madrid. Justeru itu, kemerdekaan catalan akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan basque. Kalau catalan boleh merdeka, kami pun buleh merdeka juga. Pastinya laungan ini akan meruntuhkan Spain sebagai sebuab negara dan la liga sebagai sebuah liga yg kompetitif di eropah.

7) kita masih tunggu dan lihat apa yg berlaku. Namun seperti kata laporta, semuanya hanya isu sensasi mainan media yg dipolitikkan....

Jumaat, 14 Ogos 2015

kelebihan berdoa

Kelebihan berdoa

Orang yang berdoa bersungguh-sungguh disayangi oleh Allah SWT. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW riwayat Abu Hurairah:

Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, Allah murka kepadanya 

Abu Hurairah ra juga pernah menyatakan bahawa sesiapa yang dikurniakan dengan tujuh perkara, tidak akan diharamkan daripada memperolehi tujuh perkara iaitu:

1) sesiapa yang dikurniakan kesyukuran dalam menghadapi nikmat, tidak akan diharamkan daripada memperolehi penambahan nikmat daripada Allah SWT kerana Allah SWT menyatakan dalam Surah Ibrahim ayat 7

(Dan ingatlah ketika tuhan kamu memberitahu demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras)

2) sesiapa yang dikurniakan dengan kesabaran, tidak akan diharamkan dari menikmati ganjaran dan pahala kerana Allah SWT menyatakan dalam surah zumar ayat 10

(Sesungguhnya orang orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira)

3) sesiapa yang dikurniakan dengan taubat, tidak akan diharamkan daripada memperoleh penerimaan taubat kerana Allah SWT menyatakan dalam surah assyura ayat 25

(Dan dialah tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNYA yang bertaubat serta memaafkan kejahatan-kejahatan yang mereka lakukan dan dia mengetahui akan apa yang kamu kerjakan)

4) sesiapa yang dikurniakan istighfar, tidak akan diharamkan daripada memperolehi keampunan keran Allah SWT menyatakan dalam surah nuh ayat 10

(Sehingga aku berkata kepada mereka pohonkanlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun)

5) sesiapa yang dikurniakan daripada keinginan untuk berdoa, tidak akan diharamkan daripada perkenan dia kerana Allah SWT menyatakan dalam surah ghafir ayat 60

(Dan tuhan kamu berfirman berdoalah kepadaku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang takabbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina)

6) sesiapa yang dikurniakan dengan sifat pemurah untuk membelanjakan harta kepada yang memerlukan, tidak akan diharakan daripada memperolehi gantian yang lebih baik. Ini kerana Allah SWT menyatakan dalam surah saba ayat 39

(Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikanya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki)   

7) sesiapa yang dikurniakan dengan keseungguhan dalam melakukan sesuatu perkara kebaikan, tidak akan diharamkan daripada menikmati taufiq dan hidayah daripada Allah SWT. Ini kerana Allah SWT menyatakan dalams surah al-ankabut ayat 69

(Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami yang menjadikan mereka bergembira serta memperoleh keredaan. Dan sesungguhnya pertolongan dan bantuan Allah SWT adalah berserta orang-orang yang bersusaha membaiki amalannya)

-disalinsiar daripada buku pembersihan jiwa menurut al-quran, sunnah dan amalan salafussalih karya basri ibrahim, safri ali dan tarmizi taha....dipetik daripada tanbihul ghafilin


Sabtu, 11 Julai 2015

tazkirah ramadan 14 : aidilfitri & solat sunat hari raya



TAZKIRAH RAMADAN (14)
Edisi kemaskini[1][2]
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
AIDILFITRI & solat sunat hari raya

Di antara amalan-amalan sunat ketika menyambut Aidilfitri ialah:

Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Ini sebagaimana Firman Allah SWT (Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir & bertahmid) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur-185 al-Baqarah). Kita boleh mula bertakbir pada malam hari raya (anak bulan syawal kelihatan) dan berakhir ketika imam selesai dari khutbah.

            Selain itu, kita juga disunatkan bertakbir sepanjang perjalanan ke tempat solat Aidilfitri. Keadaan ini berterusan sehinggalah apabila imam mula melakukan takbiratul ihram untuk memulakan solat. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah bertujuan untuk menyerlahkan syiar Islam di sepanjang perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Takbir dillakukan dengan suara yang kuat dan ianya tidak berbeza di antara Aidilfitri dan aidiladha

Mandi sunat hari raya
Waktu yang diharuskan untuk mandi sunat hari raya ialah bermula dari tengah malam. Waktu sunat pula bermula selepas terbit fajar dan berkekalan sehingga matahari terbenam.

Makan Sebelum Ke Tempat Solat
Kita disunatkan makan sebelum keluar ke tempat solat walaupun ketika sedang memandu. Hikmahnya untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Ia juga bertujuan membezakan antara hari raya dengan hari yang sebelumnya. Jika seseorang itu tidak makan sebelum ke masjid pada aidilfitri, hukumnya makruh. Sementara pada hari raya haji, disunatkan menahan diri daripada makan sehingga balik daripada solat

            Rasulullah SAW makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi hari raya. Dari Anas bin Malik ra katanya (Rasulullah SAW tidak pergi ke musalla pada pagi Aidilfitri hingga baginda makan beberapa buah kurma… Rasulullah SAW memakannya di dalam jumlah yang ganjil- Bukhari

Memakai Pakaian Yang Indah 
Sunat untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah pada hari raya. Hikmahnya ialah pada hari ini kita dikehendaki supaya menzahirkan nikmat yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambaNya. Bagi orang yang memiliki hanya sepasang pakaian, hendaklah dia membersihkan pakaian itu dan memakainya.

            Menurut huraian para ulama, kaum perempuan digalakkan hadir mengerjakan solat hari raya di musalla. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang sederhana dan tidak berhias apatah lagi memakai bau-bauan.

Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
Hukumnya ialah sunat muakkad. Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula difardukan sehinggalah kewafatannya. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjemaah. Namun jika seseorang melakukannya secara bersendirian ia tetap sah. Tuntutan ini merangkumi semua orang Islam yang berakal samada lelaki atau perempuan, orang yang bermukim atau bermusafir dan sebagainya kecuali orang perempuan yang berperhiasan, dia bolehlah melakukannya di rumah. Ini berdasarkan hadis Umm Atiyyah ra (kami diperintahkan supaya keluar pada hari raya, sehingga kami disuruh membawa bersama anak-anak dara dan perempuan yang haid lalu mengambil tempat di belakang orang ramai (bukan tempat solat). Mereka bertakbir dan berdoa bersama orang ramai dalam keadaan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciaanya- Bukhari & Muslim). 

            Waktu untuk solat bermula dengan jelas terbitnya matahari dan tidak semestinya terbit matahari secara keseluruhannya. Ia berakhir apabila matahari tergelincir (waktu zohor). Waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik segalah kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Baginda SAW. Disunatkan melambatkan sedikit waktu solat Aildilfitri berbanding solat sunat Aidiladha untuk memberi masa tambahan kepada mereka yang masih belum membayar zakat fitrah. Sementara solat Aidiladha dilakukan lebih awal untuk memberi masa yang lebih luas kepada orang yang hendak menyembelih korban. Selain itu, para jemaah juga disunatkan hadir ke masjid lebih awal. Bagi imam, disunatkan melambatkan kehadirannya kerana sebaik sahaja imam sampai di masjid maka solat akan didirikan dan dia akan terus mengimamkan solat.


Tempat Solat Hari Raya
Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau di tempat lapang seperti Stadium Sultan Muhammad ke IV. Dalam situasi di Mekah, mendirikan solat hari raya di Masjid Haram lebih afdal. Jika di tempat lain selain daripada Mekah, ada ulama mengatakan lebih afdal mengerjakannya di tanah lapang dan ada pula yang mengatakan lebih afdal di masjid. Dalam mazhab Syafie, lebih afdal mengerjakan solat hari raya di masjid jika masjid sesebuah kampung itu luas dan dapat menampung para jemaah. Ini kerana masjid masjid mempunyai kemuliannya melebihi tempat lain dan para jemaah juga boleh beriktikaf. Sebaliknya jika masjid sesebuah kampung itu sempit dan tidak dapat memenuhi keperluan jemaah hukumnya bertukar menjadi makruh. Pada masa itu, para jemaah boleh mengerjakannya di tanah lapang jika tiada halangan lain seperti hujan dan sebagainya

Hari Raya Pada Hari Jumaat
Apabila hari raya jatuh pada hari jumaat, ada pendapat ulama yang mengharuskan untuk pulang ke kampung. Tinggalkan solat jumaat kerana mereka telah hadir untuk solat hari raya. Keharusan ini memandangkan mereka berada jauh di pedalaman. Apabila mereka pulang, sukar untuk kembali menunaikan solat jumaat di Madinah pada masa itu. Namun seeloknya bagi kita yang mana masjid memenuhi segenap ceruk kampung, ditambah dengan keadaan kita yang mempunyai kemudahan kenderaan, seeloknya lakukan kedua-duanya (solat aidilfitri dan solat jumaat di masjid) kerana keluar daripada perkara khilaf lebih utama.


RUJUKAN
Al-Fiqh al-Manhajiy
Mastika Hadis (jilid ketiga)
Furu’ al-Masail wa Usul al-Masail
http://www.hafizfirdaus.com
http://soaljawab.wordpress.com



[1] Artikel ini merupakan kemaskini dengan sedikit pengubahsuaian daripada edisi asal yang diedarkan dalam siri 8 tahun 2011 (tajuk asal- Aidilfitri).

Tazkirah Ramadan 13 : Memburu Lailatul Qadr (LQ)



TAZKIRAH RAMADAN (13)
Edisi kemaskini[1]
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR

 MEMBURU LAILATUL QADR (LQ)

Bilakah Lailatul Qadr (LQ)
Terdapat 27 atau 45 pendapat tentang bilakah lailatul qadr. Yang paling masyhur ialah LQ jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.

            Rasulullah SAW bersabda (Carilah LQ pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir Ramadan – Bukhari)

            Ada juga ulama yang membuat kaedah tertentu untuk mendapatkan LQ. Mereka mengatakan bahawa jika puasa bermula pada hari ahad, LQ mungkin berlaku pada malam sekian sekian. Jika puasa bermula pada hari Isnin, LQ akan berlaku pada malam sekian sekian. Kesemua kaedah ini menunjukkan kesungguhan para ulama untuk beramal pada malam yang hebat ini.

Tarikh tetap atau berubah?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa tarikh LQ bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan. Sebilangan besar ulama termasuk Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia berubah pada setiap tahun dan tidak kekal statik hanya pada satu tarikh tertentu.
           
            Selain dari itu, berdasarkan hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan hadis Nabi SAW (Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir- Bukhari & Muslim).

Di antara tarikh 25, 27 dan 29 Ramadan ini, malam 27 merupakan malam yang paling ditunggu oleh kebanyakan umat Islam di Negara Arab. Pada malam ini mereka akan mengadakan suatu majlis khusus untuk menyambut malam berkenaan dengan dihadiri oleh raja atau presiden sendiri. Selain itu, tarikh 27 ini juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut (Malam al-Qadar adalah malam ke 27- Ahmad, Abu Daawud)

Bagaimana Menghidupkan LQ
Kita boleh menghidupkan LQ dengan melakukan Qiyamullail. (A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamullail –Muslim)

            Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada LQ, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)

Ibadat Wanita Yang Uzur
Bagaimanakah caranya bagi wanita yang uzur melakukan ibadat pada malam ini? Bagi wanita yang uzur, mereka bolehlah melakukan pelbagai ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-quran daripada bacaan orang lain atau pun melalui radio dan gajet.

Persoalan mengenai LQ
Bagaimana dengan persoalan tentang masalah perbezaan permulaan puasa di antara negara yang berbeza. Contohnya Negara Thailand berpuasa pada 1 Ramadan yang bersamaan dengan 1 Jun sementara Negara Malaysia mula berpuasa pada 2 Jun. Justeru itu, malam yang dianggap ganjil di Malaysia boleh jadi malam yang genap di Thailand dan sebaliknya. Justeru itu, mana satukah malam yang genap dan mana satukah malam yang ganjil?

            Begitu juga waktu malam yang menimpa Tanah Melayu, pada waktu yang sama hari masih cerah di Stamford Bridge dan Emirates Stadium, London. Apakah LQ berlaku serentak di seluruh dunia yang berbeza siang dan malamnya atau LQ berlaku berperingkat bermula dari timur yang lebih dahulu malam, kemudiannya bergerak menuju ke barat?

            Bagaimana pula keadaan penghuni negara Scandinavia yang berpuasa lebih 20 jam. Bagamana mereka yang berada di kutub yang mengalami waktu siang selama beberapa bulan, adakah LQ juga berlaku di sana? Ini kerana perkataan lail merujuk kepada waktu malam.

Bagi menjelaskan persoalan ini, Syeikh Qaradawi menerangkan bahawa seeloknya kita memperbanyakkan amal ibadat pada setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan tanpa mengambil kira samada malam genap atau ganjil. Ini kerana apabila kita telah ketahui secara tepat bahawa malam tertentu merupakan malam al-Qadr maka berkemungkinan kita hanya akan menambah amal pada malam tersebut sahaja dengan mengabaikan malam-malam yang lain. Tarikh malam ini sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Rahsia ini menjadi suatu motivasi kepada kita untuk melakukan amal ibadat pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT juga merahsiakan Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-NamaNya secara keseluruhan

            Kesimpulannya, marilah kita memperbanyakkan amal ibadat kita khasnya pada sepertiga malam akhir Ramadan. Semoga impian kita untuk beramal pada malam itu serta mendapat keampunanNya tercapai.

RUJUKAN
http://www.zaharuddin.net/
 http://elmargi.blogspot.com/2010_08_01_archive.html






[1] Artikel ini merupakan kemaskini daripada edisi asal yang diedarkan dalam siri 3 (2010)  dengan sedikit pengubahsuaian. Artikel asal bertajuk Lailatul Qadr

Sabtu, 27 Jun 2015

tazkirah ramadan 12





TAZKIRAH RAMADAN (12)

PANITIA AGAMA ISLAM SKLR


KEUTAMAAN SEGERA BERBUKA & KURMA ‘AJWAH


Hadis 1

Daripada Abu ‘Atiyyah, beliau berkata:” Aku dan Masruq datang mengadap Aisyah ra dan Masruq bertanya kepadanya, ada 2 orang sahabat Rasulullah SAW yang tidak pernah lepas daripada kebaikan. Salah seorangnya selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka sementara yang seorang lagi suka melewatkan solat maghrib dan berbuka. Aisyah lalu bertanya:” Siapakah yang kamu maksudkan selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka?” Jawab Masruq:” Abdullah bin Mas’ud.” Aisyah ra kemudiannya berkata bahawa itulah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW. - Muslim


Keterangan Hadis 1

Hadis ini menceritakan jawapan Aisyah tentang perbuatan 2 orang sahabat yang sering melakukan kebaikan. Seorang daripadanya segera berbuka dan solat. Seorang lagi lewat berbuka dan lewat mengerjakan solat maghrib. Aisyah ra menegaskan bahawa perbuatan sahabat yang segera berbuka apabila masuk waktunya dan segera solat itulah yang menepati dengan perbuatan dan amalan Rasulullah SAW


Hadis 2

Daripada Abu Ibrahim Abdullah bin Abu Aufa ra, beliau berkata:”Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW sedangkan baginda SAW berpuasa ketika itu. Apabila matahari tenggelam, baginda berkata kepada beberapa orang:” Wahai fulan, berhenti dan masaklah untuk kami” Fulan berkata:” Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau menunggu sehingga ke petang?” Baginda bersabda:” Berhenti dan masaklah untuk kami”. Orang itu (fulan) berkata:” Sesungguhnya engkau masih berada dalam waktu siang.” Sabda Baginda:” Berhenti dan masaklah untuk kami”. Abdullah Abu Aufa berkata:” Akhirnya orang itu pun menyiapkan makanan untuk rombongan, lalu Rasulullah SAW minum dan kemudian bersabda:” Apabila kamu melihat malam telah datang dari sana (timur), maka seorang yang berpuasa telah (boleh) berbuka.” Dan Baginda menunjuk dengan tangannya ke arah timur.”- Muttafaq Alayh


Keterangan Hadis 2

Hadis ini jelas menunjukkan arahan Rasulullah SAW supaya segera berbuka sebaik sahaja matahari terbenam walaupun cuaca pada masa itu masih cerah. Pada mulanya, si fulan (tukang masak) memberi alasan bahawa hari masih cerah untuk memasak dan berbuka, namun Rasulullah menyuruh untuk memasak dan memberitahu bahawa apabila malam telah tiba (matahari terbenam) hendaklah segera berbuka


            Terdapat suatu golongan yang melewatkan berbuka sehingga gelap. Mereka juga melewatkan solat maghrib. Perbuatan ini bercanggah dengan amalan dan arahan Rasulullah SAW.


Hadis 3

Daripada Sahl Ibn Saad ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:” Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” Riwayat Muttafaq ‘Alayh



Hadis ke 4

Daripada Anas ra bahawa Rasulullah SAW berbuka sebelum melakukan solat dengan rutab, jika tidak ada rutab baginda akan berbuka dengan kurma dan jika tidak ada kurma baginda akan berbuka dengan minum beberapa teguk air- Abu Dawud & Tirmiziy


Keterangan Hadis 4

Rutab ialah kurma yang masih basah dan segar. Sementara perkataan kurma atau tamar merujuk kepada kurma yang telah kering. Menjadi Sunnah untuk kita sebagai umat Nabi SAW berbuka sebagaimana Baginda SAW. Jika tidak ada sebarang jenis kurma, berbukalah dengan air sebelum makan sebarang makanan lain.


Kurma ‘Ajwah Penawar Sihir?

Apabila berbicara tentang rutab atau kurma, kita akan sering terkenangkan keenakan kurma Madinah atau kurma nabi (kurma ‘Ajwah). Terdapat satu hadis sahih yang menyebut bahawa sesiapa yang makan kurma nabi akan terselamat daripada bahaya sihir. Sejauhamanakah dakwaan demikian?


Sabda Rasulullah SAW:”Sesiapa yang makan 7 biji kurma ‘Ajwah setiap pagi maka terpeliharalah dia pada hari itu daripada racun dan sihir.”- Bukhari, Muslim dan lain-lain


            Keistimewaan Kurma ‘Ajwah jika dibandingkan dengan jenis kurma yang lain ialah kerana berkat petunjuk pengkhususan Rasulullah SAW ke atasnya. Begitu juga pengkhususan Baginda SAW terhadap jumlah 7 biji kurma ‘Ajwah pada setiap pagi. Selain itu, keberkatan juga mungkin berasal daripada keistimewaan tanah Madinah yang menjadi tempat khas pokok-pokok kurma ‘Ajwah


            Sejauhmana berkesannya kurma ‘Ajwah terhadap racun dan sihir sebenarnya bergantung kepada Allah SWT. Begitu jugalah dengan sihir, semuanya hanya berkesan dengan keizinan Allah SWT


            Justeru itu, untuk beramal dengan hadis ini seseorang yang makan kurma ‘Ajwah hendaklah meletakkan segala pergantungan, penuh harapan akan kurniaan Allah, rendah diri akan kekuasaan Allah untuk memelihara dan menyembuh dan bertawakkal sepenuhnya akan keputusan Allah terhadap dirinya.


            Kemungkinan juga kurma ‘Ajwah tidak berkesan terhadap seseorang yang makannya kerana terdapat bisikan kecil di dalam hatinya yang ingin menduga dan mencabar samada benar atau tidak sabda dan hadis rasululah SAW. Bisikan dan keraguan inilah yang menghilangkan keistimewaan kurma ‘Ajwah.


Kesimpulan & Pengisian Ihya Ramadan

Keseluruhannya Ada 2 poin besar, iaitu keutamaan berbuka dengan kurma samada jenis rutab atau kurma dan keistimewaan kurma Ajwah sebagai penawar sihir.

           

            Bagi yang mampu dan berkesempatan, bolehlah berbuka dengan rutab atau Ajwah yang sedikit mahal. Bagi yang tidak mampu atau tidak berkesempatan, bolehlah berbuka dengan tamar biasa atau air kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.



RUJUKAN

1) Riyad al-Salihin, Kaherah.

2) Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin (terjemahan Bahasa Melayu), al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur

3) Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin), juz 3, Dar al-hadith, Kaherah.

4) CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg Durian

5) Kaedah Memahami Hadis Musykil, Hafiz Firdaus Abdullah



Isnin, 22 Jun 2015

tazkirah ramadan 11




TAZKIRAH RAMADAN (11)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN & BERAMAL DENGANNYA

1) Daripada Abu Umamah ra bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya.”- Riwayat Muslim

Keterangan Hadis 1
Anjuran Nabi SAW supaya membaca al-Quran kerana pahala dan ganjaranya yang besar. Ia akan menjadi pemberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkankannya

Dikatakan bahawa Allah akan menjadikan pahala bacaan al-Quran itu seperti suatu bentuk atau rupa yang dapat dilihat oleh manusia di hari akhirat lalu diletakkan di atas timbangan untuk ditimbang

2) Daripada al-Nawwas ibn Sam’an ra beliau berkata bahawa aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Akan didatangkan pada hari kiamat al-Quran dan orang-orangnya iaitu orang yang mengamalkannya di dunia. Ia akan didahului oleh surah al-Baqarah dan Ali Imran, keduanya akan berhujah untuk membela orang yang mengamalkannya.”- Riwayat Bukhari

Keterangan Hadis 2
Orang yang suka membaca al-Quran semasa hayatnya akan mendapat syafaat di akhirat nanti. Al-Quran yang dibaca itu seolah-olah akan menjadi peguam bela yang akan berbicara dan mempertahankannya.

Sementara surah al-Baqarah secara khusus mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disebut di dalam hadis lain seperti jin tidak dapat memasuki rumah yang dibaca surah al-Baqarah. Di dalam surah al-Baqarah juga terdapat ayat kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah yang kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri yang disebut dalam hadis lain

3) Daripada Aisyah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda,” Orang-orang yang boleh membaca al-Quran dan dia seorang yang mahir membacanya akan bersama malaikat yang mulia dan taat. Sedangkan orang yang membaca al-Quran dengan sukar (kerana tidak mahir) dan bacaan itu terasa sulit baginya maka dia mendapat dua pahala.”- Muttafaq ‘Alayh

Keterangan Hadis 3
Orang yang mahir, pandai membaca Quran meliputi makhrajnya, tajwid dan sebagainya akan bersama para malaikat. Sementara orang yang tidak begitu pandai membaca Quran, merangkak-rangkak tetap memperoleh pahala bacaannya namun cubalah belajar untuk memperbaiki tahap bacaannya. Dia mendapat dua pahala, pahala kerana membaca al-quran dan pahala kerana tidak lancar. Justeru alasan tidak membaca al-Quran kerana tidak lancar tidak relevan

4) Daripada Abu Musa al-Asy’ariy ra bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah al-utrujah, aromanya wangi dan rasanya lazat. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, tiada aromanya namun rasanya manis. Perumpamaan seorang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti bunga raihanah, baunya wangi namun rasanya pahit. Sementara perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti hanzalah, ia tidak berbau dan rasanya pahit,” – Muttafaq ‘alayh

Keterangan Hadis 4
Utrujjah- Buah yang terdapat di negeri arab. Bentuk dan rupanya cantik. Rasanya pula sedap. Sesetengah tok guru menterjemahkannya dengan buah durian. Terjemahan ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman bahawa utrujjah merupakan buah yang berbau harum dan rasanya lazat. Ini menjadi kiasan kepada kedudukan orang mukmin yang selalu membaca al-Quran. Kedudukannya tinggi di sisi Allah

Kurma- Perumpamaan kepada orang mukmin yang baik namun tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma yang tidak berbau namun rasanya manis. Iman di hatinya umpama rasa kurma yang manis, namun sikapnya yang tidak membaca al-Quran umpama tiada bau dan aroma yang menyenangkan manusia. Maksud orang mukmin yang tidak membaca al-Quran di sini ialah tidak membaca al-Quran di luar solat. Bacaan al-Quran seperti surah al-fatihah di dalam solat tidak termasuk kerana sebagai seorang mukmin, solat yang terdiri daripada bacaan al-Quran sudah semestinya ditunaikan

Raihanah- Bunga yang cantik rupanya, wangi aromanya namun rasanya pahit.  perumpamaan kepada orang munafik yang membaca al-Quran. Begitulah sikap orang munafik yang dipandang tinggi di sisi manusia namun hakikatnya rendah dan tiada nilai di sisi Allah. Walaupun dia membaca al-Quran, namun sifat munafiknya itu menjadi penghalang utama kepada rahmat Allah.

Hanzalah- sesetengah kitab mengatakan hanzalah ialah sejenis buah. Ada sesetengah tok guru menafsirkanya sebagai sejenis rumput yang tidak berbau harum dan rasanya pahit. Walau bagaimanapun ia sebagai kiasan kepada orang munafik yang tidak membaca al-Quran. Sifatnya yang tidak berbau menyerupai sikapnya yang tidak membaca al-Quran dan rasanya yang pahit menyerupai imannya (iman orang munafik)

Kadang-kadang Rasulullah SAW menyebut sesuatu hadis secara bandingan dan kiasan untuk memudahkan kefahaman. Hadis ini menyebut kedudukan orang mukmin dan munafik yang membaca al-Quran dan tidak.

Kesimpulan & Pengisian Ihya Ramadan
Al-Quran sememangnya lubuk pahala, ditambah pula dengan kedatangan Ramadan yang menjadikan bacaan al-Quran pada waktu ini berlipat ganda pahalanya. Oleh itu, janganlah biarlah ianya berlalu tanpa pengisian daripada kita semua

Sempena kedatangan Ramadan, Panitia Agama Islam akan meneruskan acara tahunan dengan bertadarrus. Tentatif dan pengisian Ramadan tahun ini sentiasa memerlukan kerjasama fizikal dan penambaikan dari segi idea dan cadangan. Justeru itu, marilah kita yang berkelapangan sama-sama menyertai dan memeriahkan acara tahunan dan pesta ibadah ini.


RUJUKAN
1) Riyad al-Salihin, Kaherah.
2) Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin (terjemahan Bahasa Melayu), al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur
3) Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin), juz 3, Dar al-hadith, Kaherah.
4) CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg Durian