Sabtu, 27 Jun 2015

tazkirah ramadan 12





TAZKIRAH RAMADAN (12)

PANITIA AGAMA ISLAM SKLR


KEUTAMAAN SEGERA BERBUKA & KURMA ‘AJWAH


Hadis 1

Daripada Abu ‘Atiyyah, beliau berkata:” Aku dan Masruq datang mengadap Aisyah ra dan Masruq bertanya kepadanya, ada 2 orang sahabat Rasulullah SAW yang tidak pernah lepas daripada kebaikan. Salah seorangnya selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka sementara yang seorang lagi suka melewatkan solat maghrib dan berbuka. Aisyah lalu bertanya:” Siapakah yang kamu maksudkan selalu menyegerakan solat maghrib dan berbuka?” Jawab Masruq:” Abdullah bin Mas’ud.” Aisyah ra kemudiannya berkata bahawa itulah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW. - Muslim


Keterangan Hadis 1

Hadis ini menceritakan jawapan Aisyah tentang perbuatan 2 orang sahabat yang sering melakukan kebaikan. Seorang daripadanya segera berbuka dan solat. Seorang lagi lewat berbuka dan lewat mengerjakan solat maghrib. Aisyah ra menegaskan bahawa perbuatan sahabat yang segera berbuka apabila masuk waktunya dan segera solat itulah yang menepati dengan perbuatan dan amalan Rasulullah SAW


Hadis 2

Daripada Abu Ibrahim Abdullah bin Abu Aufa ra, beliau berkata:”Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW sedangkan baginda SAW berpuasa ketika itu. Apabila matahari tenggelam, baginda berkata kepada beberapa orang:” Wahai fulan, berhenti dan masaklah untuk kami” Fulan berkata:” Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau menunggu sehingga ke petang?” Baginda bersabda:” Berhenti dan masaklah untuk kami”. Orang itu (fulan) berkata:” Sesungguhnya engkau masih berada dalam waktu siang.” Sabda Baginda:” Berhenti dan masaklah untuk kami”. Abdullah Abu Aufa berkata:” Akhirnya orang itu pun menyiapkan makanan untuk rombongan, lalu Rasulullah SAW minum dan kemudian bersabda:” Apabila kamu melihat malam telah datang dari sana (timur), maka seorang yang berpuasa telah (boleh) berbuka.” Dan Baginda menunjuk dengan tangannya ke arah timur.”- Muttafaq Alayh


Keterangan Hadis 2

Hadis ini jelas menunjukkan arahan Rasulullah SAW supaya segera berbuka sebaik sahaja matahari terbenam walaupun cuaca pada masa itu masih cerah. Pada mulanya, si fulan (tukang masak) memberi alasan bahawa hari masih cerah untuk memasak dan berbuka, namun Rasulullah menyuruh untuk memasak dan memberitahu bahawa apabila malam telah tiba (matahari terbenam) hendaklah segera berbuka


            Terdapat suatu golongan yang melewatkan berbuka sehingga gelap. Mereka juga melewatkan solat maghrib. Perbuatan ini bercanggah dengan amalan dan arahan Rasulullah SAW.


Hadis 3

Daripada Sahl Ibn Saad ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:” Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” Riwayat Muttafaq ‘Alayh



Hadis ke 4

Daripada Anas ra bahawa Rasulullah SAW berbuka sebelum melakukan solat dengan rutab, jika tidak ada rutab baginda akan berbuka dengan kurma dan jika tidak ada kurma baginda akan berbuka dengan minum beberapa teguk air- Abu Dawud & Tirmiziy


Keterangan Hadis 4

Rutab ialah kurma yang masih basah dan segar. Sementara perkataan kurma atau tamar merujuk kepada kurma yang telah kering. Menjadi Sunnah untuk kita sebagai umat Nabi SAW berbuka sebagaimana Baginda SAW. Jika tidak ada sebarang jenis kurma, berbukalah dengan air sebelum makan sebarang makanan lain.


Kurma ‘Ajwah Penawar Sihir?

Apabila berbicara tentang rutab atau kurma, kita akan sering terkenangkan keenakan kurma Madinah atau kurma nabi (kurma ‘Ajwah). Terdapat satu hadis sahih yang menyebut bahawa sesiapa yang makan kurma nabi akan terselamat daripada bahaya sihir. Sejauhamanakah dakwaan demikian?


Sabda Rasulullah SAW:”Sesiapa yang makan 7 biji kurma ‘Ajwah setiap pagi maka terpeliharalah dia pada hari itu daripada racun dan sihir.”- Bukhari, Muslim dan lain-lain


            Keistimewaan Kurma ‘Ajwah jika dibandingkan dengan jenis kurma yang lain ialah kerana berkat petunjuk pengkhususan Rasulullah SAW ke atasnya. Begitu juga pengkhususan Baginda SAW terhadap jumlah 7 biji kurma ‘Ajwah pada setiap pagi. Selain itu, keberkatan juga mungkin berasal daripada keistimewaan tanah Madinah yang menjadi tempat khas pokok-pokok kurma ‘Ajwah


            Sejauhmana berkesannya kurma ‘Ajwah terhadap racun dan sihir sebenarnya bergantung kepada Allah SWT. Begitu jugalah dengan sihir, semuanya hanya berkesan dengan keizinan Allah SWT


            Justeru itu, untuk beramal dengan hadis ini seseorang yang makan kurma ‘Ajwah hendaklah meletakkan segala pergantungan, penuh harapan akan kurniaan Allah, rendah diri akan kekuasaan Allah untuk memelihara dan menyembuh dan bertawakkal sepenuhnya akan keputusan Allah terhadap dirinya.


            Kemungkinan juga kurma ‘Ajwah tidak berkesan terhadap seseorang yang makannya kerana terdapat bisikan kecil di dalam hatinya yang ingin menduga dan mencabar samada benar atau tidak sabda dan hadis rasululah SAW. Bisikan dan keraguan inilah yang menghilangkan keistimewaan kurma ‘Ajwah.


Kesimpulan & Pengisian Ihya Ramadan

Keseluruhannya Ada 2 poin besar, iaitu keutamaan berbuka dengan kurma samada jenis rutab atau kurma dan keistimewaan kurma Ajwah sebagai penawar sihir.

           

            Bagi yang mampu dan berkesempatan, bolehlah berbuka dengan rutab atau Ajwah yang sedikit mahal. Bagi yang tidak mampu atau tidak berkesempatan, bolehlah berbuka dengan tamar biasa atau air kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.



RUJUKAN

1) Riyad al-Salihin, Kaherah.

2) Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin (terjemahan Bahasa Melayu), al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur

3) Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin), juz 3, Dar al-hadith, Kaherah.

4) CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg Durian

5) Kaedah Memahami Hadis Musykil, Hafiz Firdaus Abdullah



Isnin, 22 Jun 2015

tazkirah ramadan 11




TAZKIRAH RAMADAN (11)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN & BERAMAL DENGANNYA

1) Daripada Abu Umamah ra bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya.”- Riwayat Muslim

Keterangan Hadis 1
Anjuran Nabi SAW supaya membaca al-Quran kerana pahala dan ganjaranya yang besar. Ia akan menjadi pemberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkankannya

Dikatakan bahawa Allah akan menjadikan pahala bacaan al-Quran itu seperti suatu bentuk atau rupa yang dapat dilihat oleh manusia di hari akhirat lalu diletakkan di atas timbangan untuk ditimbang

2) Daripada al-Nawwas ibn Sam’an ra beliau berkata bahawa aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Akan didatangkan pada hari kiamat al-Quran dan orang-orangnya iaitu orang yang mengamalkannya di dunia. Ia akan didahului oleh surah al-Baqarah dan Ali Imran, keduanya akan berhujah untuk membela orang yang mengamalkannya.”- Riwayat Bukhari

Keterangan Hadis 2
Orang yang suka membaca al-Quran semasa hayatnya akan mendapat syafaat di akhirat nanti. Al-Quran yang dibaca itu seolah-olah akan menjadi peguam bela yang akan berbicara dan mempertahankannya.

Sementara surah al-Baqarah secara khusus mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disebut di dalam hadis lain seperti jin tidak dapat memasuki rumah yang dibaca surah al-Baqarah. Di dalam surah al-Baqarah juga terdapat ayat kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah yang kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri yang disebut dalam hadis lain

3) Daripada Aisyah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda,” Orang-orang yang boleh membaca al-Quran dan dia seorang yang mahir membacanya akan bersama malaikat yang mulia dan taat. Sedangkan orang yang membaca al-Quran dengan sukar (kerana tidak mahir) dan bacaan itu terasa sulit baginya maka dia mendapat dua pahala.”- Muttafaq ‘Alayh

Keterangan Hadis 3
Orang yang mahir, pandai membaca Quran meliputi makhrajnya, tajwid dan sebagainya akan bersama para malaikat. Sementara orang yang tidak begitu pandai membaca Quran, merangkak-rangkak tetap memperoleh pahala bacaannya namun cubalah belajar untuk memperbaiki tahap bacaannya. Dia mendapat dua pahala, pahala kerana membaca al-quran dan pahala kerana tidak lancar. Justeru alasan tidak membaca al-Quran kerana tidak lancar tidak relevan

4) Daripada Abu Musa al-Asy’ariy ra bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah al-utrujah, aromanya wangi dan rasanya lazat. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, tiada aromanya namun rasanya manis. Perumpamaan seorang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti bunga raihanah, baunya wangi namun rasanya pahit. Sementara perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti hanzalah, ia tidak berbau dan rasanya pahit,” – Muttafaq ‘alayh

Keterangan Hadis 4
Utrujjah- Buah yang terdapat di negeri arab. Bentuk dan rupanya cantik. Rasanya pula sedap. Sesetengah tok guru menterjemahkannya dengan buah durian. Terjemahan ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman bahawa utrujjah merupakan buah yang berbau harum dan rasanya lazat. Ini menjadi kiasan kepada kedudukan orang mukmin yang selalu membaca al-Quran. Kedudukannya tinggi di sisi Allah

Kurma- Perumpamaan kepada orang mukmin yang baik namun tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma yang tidak berbau namun rasanya manis. Iman di hatinya umpama rasa kurma yang manis, namun sikapnya yang tidak membaca al-Quran umpama tiada bau dan aroma yang menyenangkan manusia. Maksud orang mukmin yang tidak membaca al-Quran di sini ialah tidak membaca al-Quran di luar solat. Bacaan al-Quran seperti surah al-fatihah di dalam solat tidak termasuk kerana sebagai seorang mukmin, solat yang terdiri daripada bacaan al-Quran sudah semestinya ditunaikan

Raihanah- Bunga yang cantik rupanya, wangi aromanya namun rasanya pahit.  perumpamaan kepada orang munafik yang membaca al-Quran. Begitulah sikap orang munafik yang dipandang tinggi di sisi manusia namun hakikatnya rendah dan tiada nilai di sisi Allah. Walaupun dia membaca al-Quran, namun sifat munafiknya itu menjadi penghalang utama kepada rahmat Allah.

Hanzalah- sesetengah kitab mengatakan hanzalah ialah sejenis buah. Ada sesetengah tok guru menafsirkanya sebagai sejenis rumput yang tidak berbau harum dan rasanya pahit. Walau bagaimanapun ia sebagai kiasan kepada orang munafik yang tidak membaca al-Quran. Sifatnya yang tidak berbau menyerupai sikapnya yang tidak membaca al-Quran dan rasanya yang pahit menyerupai imannya (iman orang munafik)

Kadang-kadang Rasulullah SAW menyebut sesuatu hadis secara bandingan dan kiasan untuk memudahkan kefahaman. Hadis ini menyebut kedudukan orang mukmin dan munafik yang membaca al-Quran dan tidak.

Kesimpulan & Pengisian Ihya Ramadan
Al-Quran sememangnya lubuk pahala, ditambah pula dengan kedatangan Ramadan yang menjadikan bacaan al-Quran pada waktu ini berlipat ganda pahalanya. Oleh itu, janganlah biarlah ianya berlalu tanpa pengisian daripada kita semua

Sempena kedatangan Ramadan, Panitia Agama Islam akan meneruskan acara tahunan dengan bertadarrus. Tentatif dan pengisian Ramadan tahun ini sentiasa memerlukan kerjasama fizikal dan penambaikan dari segi idea dan cadangan. Justeru itu, marilah kita yang berkelapangan sama-sama menyertai dan memeriahkan acara tahunan dan pesta ibadah ini.


RUJUKAN
1) Riyad al-Salihin, Kaherah.
2) Riyad al-Salihin Min Kalam Sayid al-Mursalin (terjemahan Bahasa Melayu), al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur
3) Dalil al-Falihin (syarah riyad al-salihin), juz 3, Dar al-hadith, Kaherah.
4) CD Audio Riyad al-Salihin, Dr Abdul Basit Pondok Sg Durian