Melawat Tempat yang Pernah Diturunkan Bala
Ada beberapa tempat yang pernah ditimpa bala bencana oleh Allah SWT. Antaranya ialah Madain Saleh (al-Hijr atau Hegra, tempat Kaum Thamud, Nabi Saleh), Kota Iram (dipercayai tempat kaum Ad, Nabi Hud), Laut Merah yang menjadi tempat tenggelamnya Firaun, Laut Mati (dipercayai tempat kaum Nabi Lut) n etc.
Masa Nabi SAW dan para sahabat dalam perjalanan pulang dari Tabuk, mereka melalui al-Hijr yang pernah menjadi penempatan kaum Thamud (Al-Hijr sekarang terletak dalam area Saudi).
Nabi SAW bersabda:
(Janganlah kamu memasuki tempat-tempat tinggal orang yang telah menzalimi diri mereka sendiri, melainkan kamu dalam keadaan menangis, kerana bimbang kamu ditimpa seperti apa yang telah menimpa mereka- Bukhari)
Antara beberapa perkara yang kita boleh amik daripada hadis ni ialah, jangan dok galok sangat melawat tempat sebegini. Janganlah jadikan ziarah kita tu semata2 untuk berseronok, bermegah atau sekadar amik video untuk tiktok atau medsos sahaja tanpa amik iktibar daripada peristiwa di sebalik tu.
Boleh je nak melawat, namun biarlah kita melawat sambil amik iktibar dan pengajaran daripada ziarah dan perjalanan kita. Menangis dalam hadis tersebut boleh difahami secara lateral, boleh juga boleh difahami sebagai gambaran hati yang tunduk, takut dan insaf terhadap kekuasaan Allah SWT. Tempat yang menjadi saksi kehancuran sesuatu kaum sepatutnya menimbulkan rasa kesedihan dan renungan utk kita.
Seseorang yang memasuki tempat kaum yang diazab dalam keadaan bersuka ria yg melampau dikhuatiri tidak mengambil pengajaran daripada nasib umat terdahulu. Oleh itu, suasana lawatan hendaklah dipelihara daripada perbuatan yang boleh menghilangkan nilai pengajaran dan penghormatan terhadap peristiwa sejarah tersebut. Macam kita gi kat kubur la, biarlah ziarah kita ke kubur tu menimbulkan keinsafan, tak perlu la bawa meggi cup dan air panas then hampar tikar berkelah kat kubur. Dah hilang hikmahnya tu.
Seterusnya, Rasulullah SAW menunjukkan contoh supaya tidak berlama-lama di tempat tersebut. Dalam hadis di atas, selepas memberi peringatan kepada para sahabat, Baginda SAW menutup kepala dan mempercepatkan perjalanan sehingga keluar dari kawasan al-Hijr. Perbuatan Baginda SAW ni menjadi panduan bahawa seseorang tidak seharusnya menetap atau bersantai terlalu lama di kawasan yang dikaitkan dengan azab Allah
Kebanyakan ulama berpandangan bahawa memasuki kawasan yang pernah diazab adalah MAKRUH, takder la sampai haram. Kalau kita ni pengkaji, contohnya nak kaji batu2 kat area tu, atau nak kaji iklim dan cuaca, yang ni kena stay lama, yang ni lain la. Pandangan ini menegaskan bahawa Islam tidak menolak pembelajaran sejarah, tetapi menetapkan adab dan tujuan yang betul dalam mengunjunginya.
Seorang Muslim juga perlu menjadikan kunjungan tersebut sebagai muhasabah terhadap diri sendiri. Kehancuran kaum terdahulu bukan sekadar cerita untuk dibaca, tetapi merupakan peringatan bahawa kekuatan, kekayaan dan kemajuan sesebuah masyarakat tidak mampu menyelamatkan mereka apabila mereka melampaui batas dan menolak kebenaran. Justeru, selepas melihat kesan sejarah tersebut, pengunjung sepatutnya memperbaharui keimanan, meninggalkan dosa dan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, melawat tempat yang pernah diturunkan bala bukanlah dilarang secara mutlak. Namun hendaklah dilakukan dengan adab yang betul. Antaranya ialah menghadirkan rasa takut dan insaf, mengambil pengajaran, mengelakkan sikap berseronok secara melampau serta tidak berlama-lama di tempat tersebut. Dengan adab yang betul, perjalanan tersebut bukan sahaja menambah pengetahuan sejarah, bahkan mampu memperkukuh keimanan dan kesedaran bahawa setiap manusia perlu sentiasa tunduk kepada kekuasaan Allah SWT.
#riyad al-Salihin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan