Selasa, 28 Januari 2014

amanah dalam kitab tafsir

BAB II

AMANAH DI DALAM TAFSIR

2.1 Pendahuluan
Perkataan amanah disebut di dalam al-Quran sebanyak 5 kali.[1] Ada yang disebut secara mufrad, jamak, berserta alif lam dan sebagainya. Kelima-lima tempat tersebut ialah:
1) Surah al-Baqarah ayat 283. Perkataan amanah disebut dengan sambungan damir di belakangnya (أمانته)
2) Surah al-Nisa’ ayat 58. Perkataan ini disebut dalam kata jamak (الأمانات).
3) Surah al-Ahzab ayat 72, disebut dengan tambahan alif dan lam di hadapan (الأمانة).
4) Kata jamak dengan damir (ganti nama kamu) di belakang (أماناتكم). Perkataan ini disebut di dalam ayat ke 27 surah al-Anfal
5) Kata jamak dengan damir (ganti nama mereka) di belakang (أماناتهم). Terdapat 2 ayat al-Quran yang sama dalam soal ini iaitu di dalam surah al-Mu’minun ayat ke 8 dansurah al-Maarij ayat ke 32
Selain perkataan amanah, perkataan ini juga disebut di dalam al-Quran dalam bentuk lain seperti al-amn (الأمن) amnan (أمنا), amanatan ( أمنتة) dan sebagainya. Ia cukup banyak cuma dalam bentuk yang lain. Walau bagaimanapun kertas ini hanya akan membicarakan ayat-ayat al-Quran yang menyebut perkataan amanah dalam 5 tempat sahaja



2.2 Ayat-Ayat al-Quran Tentang Amanah
2.2.1 Ayat 283 Surah al-Baqarah
وإن كنتم على سفر ولم تجدوا كاتبا فرهن مقبوضة فإن أمن بعضكم بعضا فليؤد الذي اؤتمن أمانته وليتق الله ربه ولا تكتموا الشهادة ومن يكتمها فإنه ءاثم قلبه والله بما تعملون عليم
Maksudnya: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayakan itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya,  dan hendaklah ia bertakwa kepada tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang disaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa yang kamu kerjakan[2]

2.2.2 Ayat 58 Surah al-Nisa’
إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.


a) Sebab Turun Ayat
Ayat ini diturunkan berkenaan dengan kisah Uthman bin Talhah yang menjadi pemegang anak kunci kaabah. Nama sebenar Uthman ialah Uthman bin Abu Talhah bin Abdul Uzza bin Uthman bin Abdul Dar bin Qusay bin Kilab al-Qurahiy al-Abdariy.[3]
Ringkasnya apabila berlaku peristiwa pembukaan semula kota Mekah, Uthman telah mengunci dan menyembunyikan dirinya di dalam rumah. Beliau tidak mahu keluar daripada rumahnya. Kemudian Ali bin Abu Talib telah mengambil anak kunci kaabah daripada Uthman, lalu pintu kaabah dibuka. Rasulullah SAW masuk ke dalam kaabah, melakukan solat dan memusnahkan berhala-berhala yang terdapat di dalamnya. Apabila Baginda SAW keluar daripada kaabah datanglah Abbas dan meminta hak jagaan kaabah diberi kepadanya lalu turunlah ayat ini. Baginda SAW kemudian memerintahkan Ali supaya memanggil Uthman bin Talhah lalu membacakan ayat ini di hadapan Uthman lantas Uthman bin Talhah segera menyatakan keislamannya. Kemudian turunlah malaikat Jibril memberitahu bahawa hak jagaan kaabah diberikan kepada keturunan Uthman bin Talhah selama-lamanya. Pendapat ini disandarkan kepada Said Musayyib dan Muhammad bin Ishaq.[4]
Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW telah meminta Uthman bin Talhah supaya menyerahkan anak kunci kaabah kepada Baginda SAW. Pada mulanya Uthman ingin memberikan anak kuncinya namun beliau kembali menggenggamnya sambil menyatakan supaya berjaga-jaga dengan amanah Allah. Rasululah SAW memintanya sekali lagi dan begitu jugalah Uthman apabila hendak menyerahkannya kembali menggemgamnya sambil menyebut tentang amanah Allah. Setelah Baginda SAW memintanya untuk kali ketiga, Uthman menyerahkannya lalu Baginda SAW bangun dan tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian Baginda SAW ingin menyerahkannya kepada Abbas sebagai hak bersama pemegang anak kunci Kaabah lalu turunlah ayat ini. Baginda SAW lalu menyerahkan kepada Uthman dan keturunannya sebagai pemegang anak kunci kaabah buat selama-lamanya.[5]

b) Sejarah Siqayah dan Hijabah[6]
Sejak zaman Nabi Ibrahim, penduduk Mekah menjadi penjaga kaabah yang diiktiraf oleh semua kabilah Arab. Hak ini kemudiannya telah dirampas oleh kaum Azad dari Yaman. Mereka merampas hak sebagai penjaga Kaabah daripada keturunan Nabi Ibrahim dan Ismail.
Hak ini (hak sebagai penjaga Kaabah) akhirnya kembali ke tangan keturunan Nabi Ibrahim melalui usaha Qusay, salah seorang datuk nenek Rasulullah SAW yang terkemuka. Qusay seterusnya menyusun segala adat-istiadat Quraisy khasnya berkenaan dengan kawalan dan kemuliaan kaabah. Dialah yang menubuhkan Dar al-Nadwah yang menjadi sidang parlimen atau tempat bermesyuarat segala pecahan suku quraisy. Qusay jugalah yang memegang teraju bendera apabila terjadinya peperangan di antara suku. Selain itu, beliau juga memegang anak kunci kaabah (hijabah) dan bertanggungjawab terhadap urusan memberi makan minum orang-orang yang menunaikan haji(siqayah). Apabila Qusay meninggal, tugasnya diambil alih oleh puteranya Abdul Manaf bersama saudaranya iaitu Abdul Dar berikutan wasiat ayahnya supaya hak berkenaan dibahagi sama rata.
Abdul Manaf pula meninggalkan 4 orang anak lelaki iaitu Hashim, Abdu Syam, Abdul Muttalib dan Naufal. Keempat-empat anak Abdul Manaf ini bersaing pula dengan anak-anak Abdul Dar untuk merebut pengaruh dan kekuasaan dengan anak-anak Abdul Dar sehingga hampir berlaku pertumpahan darah. Kedua-dua belah pihak ingin mempunyai hak berkenaan Kaabah khasnya hijabah dan siqayah. Mereka juga mempunyai penyokong. Walau bagaimanapun perselisihan ini dapat ditamatkan dengan dilakukan pembahagian kuasa iaitu hak pemegang bendera (al-Liwa’), hak selenggaraan Dar al-Nadwah dan urusan Hijabah diserahkan kepada Bani Abdul Dar. Sementara hak melibatkan urusan jemaah haji meliputi penyediaan makan minum, urusan keselamatan jemaah dan sebagainya diserahkan kepada Bani Abdul Manaf. Pembahagian ini diterima oleh kedua-dua belah pihak. Sementara Bani Abdul Manaf pula menyerahkan urusan ini kepada Hashim, anak Abdul Manaf yang terkemuka. Hashim inilah merupakan ayah kepada Abdul Muttalib, jurai keturunan Rasulullah SAW.

2.2.3 Surah al-Ahzab, ayat 72
إنا عرضنا الأمانة على السموات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسن إنه كان ظلوما جهولا
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah!) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan[7]
Ayat ini telah menjelaskan bahawa Allah telah menawarkan kepada tujuh lapis langit, apakah mereka sanggup memikul amanah yang akan diberikan Allah kepada mereka. Langit dengan penuh hormat telah menolak tawaran itu. Lalu tawaran itu kemudiannya ditawarkan pula kepada bumi namun bumi juga tidak sanggup untuk memikulnya.. seterusnya ia ditawarkan kepadda gunung namun juga tidak sanngup. Lalu amanah itu dipikul oleh manusia. Dalam hujung ayat Allah menjelaskan bahawa manusia suka melakkukan kezaliman dengan bersunggu-sungguh memikul amanah itu, menyia-nyiakannya dengan berbuat syirik kepada Allah.[8]
Ulama terkenal nusantara, Hamka mengatakan bahawa kesemua yang disebut di dalam ayat itu sebagai suatu ibarat. Bahkan al-Quran sendiri penuh berisi ibarat dan tamsilan. Beliau menukilkan pandangan seorang mufassir terkenal, al-Quffal bahawa sekiranya langit, bumi dan gunung bertubuh seperti tubuh manusia, mereka akan menolak tanggungjawab untuk menerima amanah lantaran beratnya tanggungjawab itu serta mulianya. Namun manusia yang menerima amanah ini namun disia-siakannya.[9]
Muhammad Ali al-Sabuniy menukilkan pandangan Abu al-Saud bahawa maksud amanah dalam ayat ini ialah gambaran bahawa beratnya dan besarnya amanah. Sedangkan langit, bumi dan gunung merasa berat untuk memikul amanah,apatah lagi manusia. Justeru itu manusia harus memikul amanah ini dengan penuh hati-hati[10]

2.2.4 Surah al-Mukminun ayat 8 dan al-Maarij ayat 32
والذين هم لأماناتهم وعهدهم رعون
Maksudnya: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya
Hamka di dalam tafsirnya semasa menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa amanah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu amanah raya dan amanah peribadi. Amanah raya ialah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada seluruh manusia sebagai khalifah di bumi. Amanah ini merupakan amanah besar yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung. Hanya hati orang mukmin yang sanggup memikulnya kerana hati orang mukmin lebih luas daripada langit dan bumi serta lebih tinggi daripada gunung.[11]
Sementara amanah peribadi ialah tugas kita masing-masing mengikut kesanggupan, bakat dan nasib. Allah mengingatkan kita bahawa tugas hidup merupakan suatu jenis pembahagian dalam perkerjaan, bukannya suatu kemuliaan dan kehinaan. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling tinggi takwanya.


2.2.5 Surah al-Anfal ayat 27
ياأيها الذين ءامنوا لا تحونوا الله والرسول وتخونوا أماناتكم وأنتم تعلمون
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)


[1] Muhammad Fuad Abdul al-Baqiy, al-Mucjam al-Mufahris Li Alfaz al-Quran al-Karim, Dar al-Macrifah, Beirut-Lubnan, hlm.113
[2] Al-Baqarah ayat 283, tafsir bagi kesemua ayat dalam kertas ini dirujuk kepada Tafsir Pimpinan Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

[3] Ibn Kathir, cImad al-Din Ismail bin Kathir, Tafsir al-Quran al-cAzim, al-Maktabat al-Tawfiqiyyah, Kaherah, Jil.2, hlm.245-247
[4] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143, Ibn Kathir, Imad al-Din Ismail bin Kathir, Tafsir al-Quran al-cAzim, al-Maktabat al-Tawfiqiyyah, Kaherah, Jil.2, hlm.245-247, al-Alusiy, Shihab al-Din al-Sayyid Mahmud, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut-Lubnan, Jil.5, hlm.63
[5] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[6] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Juz.5, hlm. 116-120

[7][7] Al-Ahzab, ayat 72

[8] Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Safwat al-Tafasir, Dar al-Sabuniy Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Madinat Nasr-Kaherah, Jil2, hlm539-540,  Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Jil.22, hlm. 111-113

[9] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Jil.22, hlm. 111-113

[10] Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Safwat al-Tafasir, Dar al-Sabuniy Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Madinat Nasr-Kaherah, Jil2, hlm539-540

[11] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Juz.18, hlm. 14

konsep amanah dan integriti



BAB I

PENGERTIAN AMANAH DAN INTEGRITI

1.1 Pendahuluan
Amanah dan integriti merupakan 2 perkataan yang saling beriringan dan memerlukan. Ini kerana dengan amanah, lahirlah kepercayaan atau integriti.
Dalam bab ini, penulis akan mengemukakan pengertian amanah dan integriti dari segi bahasa dan istilah.
Selain itu pengertian amanah dalam bahasa arab mempunyai sedikit perbezaan dengan bahasa Melayu walaupun ianya hampir sama. Begitu juga dengan perkataan integiriti yang berasal daripada perkataan bahasa Inggeris. Apabila integrity menjadi integriti, pemakaiannya sedikit berbeza
1.1 Amanah Dari Segi Bahasa
Dalam kamus Dewan Edisi Keempat, amanah atau amanat diertikan sebagai sesuatu yang dipercayakan kepada seseorang.[1] Maksud ini boleh digunakan untuk barangan atau sesuatu yang dipercayakan untuk disimpan.
Maksud kedua ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang. Amanah juga boleh diertikan keamanan dan ketenteraman.[2]
Tegasnya perkataan penting bagi maksud amanah dan amanat ialah kepercayaan dan ketenteraman.
Dalam Bahasa Arab, amanah juga disebut amanah (امانة). Ia berasal daripada gabungan tiga huruf iaitu alif, mim dan nun. Seperti bahasa Melayu, amanah dalam bahasa Arab juga bermaksud ketenteraman hati. Dari gabungan ketiga-tiga huruf ini lahirlah perkataan amn (أمن ), amanah (أمانة ) dan iman (ايمان ). Sementara makna perkataan yang terhasil daripada ketiga-tiga huruf ini ialah ketenangan hati. Ini kerana amanah menunjukkan kepada kepercayaan, kepercayaan pula melahirkan rasa ketenteraman. Sementara perkataan amn juga menunjukkan kepada makna tiada ketakutan.[3] Lawan bagi amanah ialah khianat
1.2 Pengertian Amanah Dari Segi Istilah
Ahmad Mustafa Al-Maraghiy, pengarang kitab Tafsir al-Maraghiy menjelaskan bahawa amanah adalah sesuatu yang harus dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya[4]

Syeikh Muhammad Abduh menafsirkan amanah sebagai menyampaikan hak kepada pemiliknya, tidak mengambil sesuatu yang melebihi haknya dan tidak mengurangi hak orang lain samada dalam bentuk harga atau pun jasa. Tegasnya lagi amanahadalah hak bagi orang yang memikul beban yang berkaitan dengan hak orang lain untuk menunaikannya kerana menyampaikan amanah kepada orang yang berhak adalah suatu kewajipan[5]

Syekh Muhammad Al-Ghazali pula menafsirkan amanah dengan makna yang pelbagai, namun, poinnya ialah menjaga hak-hak Allah. Mana-mana hamba yang tidak mampun menunaikan amanah maka dia bukanlah seorang yang beriman dan seseorang yang tidak menunaikan janjinya maka sebenarnya dia seorang yang tidak beragama[6]

Al-Qurtubiy berkata amanah ialah segala fardu atau kewajipan yang Allah bentangkan kepada langit , bumi dan gunung-ganang. Kalau mereka menunaikannya pasti diberi pahala. Sebaliknya jika mengabaikannya, maka akan diazab. Mereka kemudiannya tidak sanggup membesarkanagama Allah, kemudian ianya dibentangkan kepada Adam lantas sanggup menerimanya.[7]

Imam al-Raziy pula menafsirkan amanah sebagai suatu ibarat apabila seseorang mewajibkan kamu melaksanakan sesuatu dan kamu melakukannya maka itu dinamakan amanah.[8]


1.3 Pengertian Integriti Dari Segi Bahasa

Perkataan integrity berasal daripada perkataan latin iaitu integritas yang berasal dari perkataan intact dan whole. Menurut Oxford Dictionary, integrity dalam Bahasa Inggeris yang sama maksudnya dengan integriti ditakrifkan sebagai the quality of being honest and morally upright.[9] Integriti membawa 2 maksud iaitu kejujuran dan keadaan sempurna, keutuhan dan ketelusan.
Maksud integriti mengikut Kamus Dewan, Edisi Keempat ialah kejujuran, mencemarkan nama baik dan jabatan. Ia juga bermaksud keadaan sempurna dan utuh[10]
Kesimpulannya integriti merujuk kepada sifat-sifat positif seperti jujur, benar, amanah dan bertanggugjawab. Walau bagaimanapun perkataan ini lebih mengkhususkan kepada sifat benar, jujur dan tulus atau dalam bahasa arab disebut dengan perkataan siddiq.
1.4 Pengertian Integriti Dari Segi Istilah
Dari segi istilah, integriti ialah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar. Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan akidah dan spiritual[11]
1.5 Kesimpulan
Amanah merupakan perkataan yang berasal dari Bahasa Arab dan digunakan dalam bahasa Melayu. Perkataan yang paling tepat dan ringkas untuk menggambarkan maksud amanah ialah kepercayaan. Sementara amanah dari segi istilah, kita dapat melihat kepelbagaian pandangan para ulama dalam menjustifikasikan makna amanah. Namun asasnya ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya
Integriti pula berasal dari perkataan latin dan diserap masuk ke dalam Bahasa Melayu. Terdapat banyak pandangan tentang makna integiriti, namun makna yang diterjemahkan di dalam Kamus Dewan ialah kepercayaan. Justeru itu, perkataan integriti di dalam kertas ini ditafsirkan sebagai kepercayaan kecuali dinyatakan sebaliknya.





[1] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.42

[2] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.42

[3] http://www.kasnazan.com/article.php?id=1338
[4] Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa al-Maraghiy, Tafsir al-Maraghiy, Sharikat Maktabat Wa Matbacah Mustafa al-Halabiy, Mesir, Jil.5, hlm.70, http://azizuljalali.blogspot.com/2012/04/normal-0-false-false-false-in-x-none-ar.html
[6] Ibid

[7] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, jil.10, hlm.423, www.scribd.com/doc/3048690/INTEGRITI-MENURUT-PERSPEKTIF-ISLAM-DR-ZUL
[8] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar. 1981. Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[9] Zikirbersulamcinta89.wordpress.com
[10] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.583

[11] Aminiamir.blogspot.com/2010/01/nilai-integriti-dan-akuntabiliti.html