Khamis, 23 Julai 2026

Tazkirah Ringkas Kat Kubur

 Ada satu hadis tentang tazkirah semasa kat kubur. Saidina Ali ra bercerita bahawa para sahabat pada masa tu sedang kebumi orang yang meninggal dunia. Then Rasulullah SAW datang. Nabi SAW duduk sambil dikelilingi oleh para sahabat. Nabi SAW ada pegang sebatang kayu then Baginda SAW memusingkannya sambil bersabda "Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan telah ditulis kedudukannya di syurga atau neraka. Serta telah dituliskan sama ada dia derita ataupun bahagia. Maka pada masa tu seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, tidakkah patut kita sekadar berserah kepada apa yang telah tertulis untuk kita dan kita meninggalkan beramal ? Maka sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan yang bahagia, ia akan membawanya kepada amalan golongan yang bahagia. Dan sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan derita (celaka) maka itu akan membawanya kepada amalan golongan yang derita’’. Baginda SAW bersabda lagi “Adapun golongan yang bahagia, mereka akan dipermudahkan untuk beramal dengan amalan golongan yang bahagia. Manakala golongan yang derita, akan dipermudahkan untuk mereka beramal dengan amalan golongan yang derita’’. Kemudian Baginda SAW membaca ayat “Maka sesiapa yang diberikan kurniaan dan dia bertakwa”. – Bukhari

 

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini. Tulisan ni sentuh pasal keharusan beri tazkirah semasa pengebumian sahaja. Maksud pengebumian ialah semasa proses pengebumian atau selepas proses pengebumian tu. So kalau ada tok imam ker, ustaz ke yang beri tazkirah masa tu, janganlah rasa pelik sangat.

 

Hadis ini mengajar kita bahawa kematian merupakan satu hakikat yang pasti akan ditempuh oleh setiap manusia. Teringat kata2 arwah Ust Ismail Kamus dalam salah satu ceramahnya, (nak mati pun mati, tak nak mati pun tetap akan mati). So tak boleh elak daripada mati.

 

Tanah perkuburan ni bukan sekadar tempat menghantar jenazah, bahkan ia merupakan tempat terbaik untuk bermuhasabah dan mengingati akhirat. Rasulullah SAW sendiri mengambil kesempatan tersebut untuk mendidik para sahabat agar tidak lalai dengan kehidupan dunia yang sementara. Setiap kubur yang dilihat menjadi peringatan bahawa suatu hari nanti kita juga akan berada di tempat yang sama dengan meninggalkan segala harta, pangkat dan kemewahan dunia.

 

Masa ustaz kami baca hadis ini dulu, ustaz sebut tazkirah kat kubur ni kita buat secara ringkas je. Amik pengajaran. Maybe sekadar 2 hingga 5 minit. Tak perlulah sampai 30-45 minit macam kuliah maghrib atau kuliah dhuha tu. Juga tak perlulah bawa portable speaker berserta gegantung, flyer atau risalah. Itu dah macam kuliah maghrib perdana. Sekadar buat renungan dan amik iktibar je

 

Selain itu, tazkirah di tanah perkuburan ni mengajar kita bahawa saat melihat kematian bukanlah masa untuk berbual perkara duniawi atau bergelak ketawa. Namun sebaliknya inilah masa yang paling sesuai untuk menginsafi diri. Tiap kali kita menghadiri pengebumian, kita sepatutnya bertanya kepada diri sendiri, apakah bekalan yang kita ada jika hari ini merupakan giliran kita dipanggil menghadap Allah SWT.

 

Semoga hadis ini menyedarkan hati kita agar sentiasa mengingati kematian, memperbanyakkan amal soleh, bertaubat dan menjauhi maksiat serta memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan husn al-khatimah serta ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga. Amin.

 

 

Tiada ulasan: