Ucapan Ketika Melawat Orang Sakit
أنَّ النَّبيَّ ﷺ دَخَلَ على أعْرابِيٍّ يَعُودُهُ، قالَ: وكانَ النَّبيُّ ﷺ إذا دَخَلَ على مَرِيضٍ يَعُودُهُ قالَ: لا بَأْسَ، طَهُورٌ إنْ شاءَ اللَّهُ، فَقالَ له: لا بَأْسَ، طَهُورٌ إنْ شاءَ اللَّهُ، قالَ: قُلتَ: طَهُورٌ؟ كَلّا، بَلْ هي حُمّى تَفُورُ -أوْ تَثُورُ- على شَيخٍ كَبِيرٍ، تُزِيرُهُ القُبُورَ، فَقالَ النَّبيُّ ﷺ: فَنَعَمْ إذنْ.
(Ibn abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW menziarahi seorang arab badwi yang sedang sakit. Kebiasaan Baginda SAW apabila menziarahi orang sakit akan mengucapkan doa:
لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Tidak mengapa, semoga penyakit ini menjadi penyuci dosa, insya-Allah.” Namun Si Badwi itu menjawab "Engkau mengatakan ia penyuci? Sama sekali tidak! Bahkan ini hanyalah demam yang sangat panas (atau bergelora), menimpa seorang tua yang sudah lanjut usia, yang akan menghantarnya ke kubur." Lalu Nabi SAW menjawab “Kalau begitu, begitulah jadinya” – Bukhari)
Hadis ini menunjukkan akhlak Rasulullah SAW yang amat mulia ketika menziarahi orang sakit. Baginda tidak sekadar bertanya khabar, bahkan mengucapkan kata-kata yang mampu menenangkan hati pesakit. Lafaz (Lā ba’sa) tu membawa maksud tidak mengapa atau jangan bimbang. Ucapan ini merupakan satu bentuk sokongan emosi agar pesakit tidak berasa putus asa atau terlalu takut dengan penyakit yang dihadapinya. Islam mengajar agar seseorang sentiasa memberikan harapan dan kata-kata yang baik kepada orang lain, khususnya ketika mereka berada dalam keadaan lemah.
Perkataan Ṭahūrun bermaksud penyuci. Para ulama menjelaskan bahawa penyakit yang menimpa seorang mukmin boleh menjadi sebab penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi Allah SWT apabila dihadapi dengan penuh kesabaran dan reda. Penyakit bukan semata-mata suatu musibah, bahkan boleh menjadi rahmat sekiranya seseorang menerima ujian tersebut dengan keimanan yang teguh. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa di sebalik kesakitan terdapat hikmah yang besar.
Ucapan In Syāa Allāh pula menggambarkan adab seorang Muslim dalam memohon sesuatu. Walaupun Rasulullah SAW mendoakan kesembuhan dan kebaikan kepada pesakit, Baginda tetap mengaitkan segala ketentuan dengan kehendak Allah SWT. Hal ini menunjukkan bahawa hanya Allah Yang Maha Berkuasa menentukan sama ada seseorang itu sembuh, terus diuji dengan penyakit, atau dipanggil kembali kepadaNya. Seorang Muslim hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah serta meyakini bahawa setiap ketentuanNya mengandungi hikmah yang terbaik.
Hadis ini juga mengajar adab menziarahi orang sakit. Antaranya ialah kkecek mmolek, mengeluarkan perkataan yang boleh menghiburkan hati pesakit, mendoakan kesembuhannya, mengurangkan kebimbangannya serta tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh melemahkan semangat.
Seorang yang melawat orang sakit juga hendaklah menunjukkan wajah yang ceria, bercakap dengan lemah lembut dan mengingatkan pesakit agar sentiasa berharap kepada rahmat Allah SWT. Sikap ini dapat memberikan kekuatan psikologi kepada pesakit, di samping mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.
Dalam kisah hadis ini, Arab Badwi tersebut menjawab bahawa penyakitnya bukanlah penyuci dosa, bahkan hanyalah demam panas yang akan membawanya kepada kematian. Rasulullah SAW tidak memaksa pandangannya, sebaliknya bersabda bahawa jika demikian yang diyakininya, maka itulah yang akan berlaku. Para ulama menjelaskan bahawa jawapan Arab Badwi itu menunjukkan sikap pesimis dan kurang berbaik sangka kepada Allah SWT. Oleh itu, hadis ini turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersangka baik terhadap Allah dan tidak berputus asa daripada rahmatNya.
Kesimpulannya, hadis ini mengandungi pengajaran yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim. Penyakit bukan sekadar ujian fizikal, bahkan peluang untuk membersihkan dosa, meningkatkan darjat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hadis ini mengajar umat Islam supaya menziarahi orang sakit dengan penuh kasih sayang, memberikan kata-kata yang membina serta sentiasa mendoakan kesembuhan mereka. Sikap optimis, sabar dan husn al-zann kepada Allah merupakan antara kunci untuk menghadapi setiap ujian kehidupan dengan penuh keimanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan