Saturday, October 3, 2009

panduan ringkas tentang perceraian......talak


TALAK
1.1 Pengertian Talak
Talak dari segi bahasa bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari segi syarak ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak boleh berlaku dengan lafaz yang jelas dan juga kiasan. Contoh lafaz yang jelas ialah: aku ceraikan engkau dengan talak satu

Lafaz talak yang digunakan di atas menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud selain daripada talak. Ia dinamakan lafaz secara sorih (nyata) sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talak secara jelas yang boleh diandaikan dengan maksud selain talak dinamakan lafaz kiasan (kinayah)

Ada 3 lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talak iaitu talak, sarah (lepas) dan firaq (pisah) dan kata terbitan daripada kalimah tersebut seperti engkau aku ceraikan atau engkau aku lepaskan atau aku menceraikanmu. Lafaz yang nyata juga termasuklah terjemahan lafaz talak dalam bahasa lain selain bahasa arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talak yang biasa digunakan oleh orang arab

Lafaz talak kiasan adalah semua lafaz yang membawa maksud talak dan maksud lain. Contohnya :
Engkau tiada apa-apa lagi denganku
Engkau berasing daripadaku
Kembalilah kepada keluargamu
Engkau haram bagiku
Engkau putus hubungan denganku

1.2 Hukum Lafaz Talak Yang Nyata Dan Kiasan
Lafaz talak yang nyata menyebabkan jatuh talak sama ada berniat talak atau pun tidak. Ini kerana lafaz yang nyata dan maksud yang pasti menunjukkan kepada talak tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya

Sementara lafaz talak kiasan tidak menyebabkan jatuh talak melainkan suami berniat menceraikan isterinya. Jika suami tidak berniat cetai, talak tidak jatuh

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya

1.3 Talak Sunniy, Bidciy, Bukan Sunniy Dan Bidciy
Talak Sunniy adalah talak yang mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh suci tersebut. Dengan kata lain, sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.
Talak bidciy adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
1) Talak diucapkan oleh suami ketika isteri uzur (haid).
2) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersetubuh dengannya.
Hukumnya haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan di dalam al-Quran dan Hadith. Namun talak tetap jatuh. Sebab diharamkan talak jenis ini kerana ia memudaratkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam tempoh iddah. Selain itu, haram juga menceraikan isterinya yang telah disetubuhinya ketika dalam tempoh suci kerana berkemungkinan akan mengandung.
Sementara talak yang bukan sunniy atau bidciy ialah talak ke atas perempuan yang masih kecil belum dating haid, atau perempuan yang telah putus haid, atau perempuan mengandung yang nyata, atau perempuan yang belum atau tidak pernah disetubuhi suaminya, atau perempuan yang meminta cerai secara khuluk. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak mendatangkan mudarat kepada isteri. Isteri yang masih kecil dan yang putus haid, mereka beriddah dengan kiraan bulan. Isteri yang mengandung, iddahnya selesai dengan lahirnya anak. Isteri yang bercerai dengan cara khuluk, perbuatan menebus diri daripada suami dengan harta menunjukkan keinginannya untuk bercerai dan kerelaannya menunggu tempoh iddah yang panjang.
1.4 Syarat Sah Dan Jatuh Talak
Ada beberapa syarat sah berlakunya talak iaitu akad nikah sebelumnya mestilah sah, suami sempurna akalnya dan suami tidak dipaksa melakukannya

1.5 Cerai Taklik
Taklik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai taklik ini berlaku dalam beberapa hal :

Taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan. Perceraian seumpama ini (taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Taklik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu. Jika Hakim dapati suami telah melanggar taklik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.

Taklik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh: "Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau". Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari, lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya

No comments: