Sabtu, 31 Oktober 2009
santai di LR 2 ( hardcore MU.....puaka bongsu)
Setiausaha KPBskLR
Yang ni lak SU, ni posing hari raya bersama isterinya. Tuan Adira Tuan Ghazali, berasal dari tanah tok janggut n penykg tegar Manchester united. Dia ni skg MU jer n sokogannya tahap majnun khinzir. Kalau ronaldo hijrah ke Madrid ker, skgannya x ilang, kira skg parti la bukannya skg batang tubuh. Dier ni di antara cikgu yg plg lama kat sini. Kira kalu GB nak wat mascot untuk sklr ni, dier ni la salah seorangnya. kalau GB aku tu macam presiden America, nak pahat bukit wat muka presiden amerika yg berjasa tu, aku rasa muka dier ni akan terpahat kat bukit blkg sek aku. Masa memula aku dtg sini, dier ni jer aku tgk plg rileks, maklumla dah jadi orla. tapi bila dok lama, boleh ngam pulak.
Jumaat, 30 Oktober 2009
santai di LR (JJJ6008 / CCC6008)
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak skLR
Dengan namaNYA Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ari ni aku nak sembang ngan engkorang semua pasal soccer fan kat sek aku. Kami secara bawah tanahnya dah tubuhkan Kelab Penyokong Bolasepak skLR. Kira macam gerakan klu klux klan kat America gak la kelab ni. X pun plg koman macam gerakan revolusi abbasiah peringkat pra lagi, stay kat bawah tanah.
Okla…yang ni aku perkenalkan zairullah yusuf. Dier ni la presiden kami, merangkap perancang utama, macam asman sudin yg jadi penggerak kumpulan Hijaz tu, xpun macam JS Kevin yang sinonim dgn XPDC n Wings tu. Kalau xde asman ni x iduplaa Hijaz. Byk lagu2 hit Hijaz tu si Asman yang cipta. Kami pun sama la, kalu hp aku masuk sms masa kelantan main bola tu, xder orang lain dah, tuan presiden hantar laporan la tu. Berasal dari Kubang Kerian, dkt istana n pernah bertugas di selatan. Kira ada tulah gak la dier ni skit2, korang jgn main2 tau. Ni pykong hardcore Liverpool. Skang on de way smbg blaja. Moga2 berjaya.
Sabtu, 3 Oktober 2009
panduan ringkas tentang perceraian......ila'
ILA’
6.1 Pengertian Ila’
Dari segi bahasa ia bermaksud sumpah. Dari segi istilah pula, ia bermaksud suami yang mempunyai hak talak bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau dalam tempoh yang melebihi 4 bulan.
Contoh cerai secara Ila' iaitu seorang suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya selama 4 bulan. Setelah berlakunya sumpah itu, mahkamah hendaklah memerintahkan suaminya menyetubuhi isterinya dalam tempoh empat bulan. Selepas empat bulan, jika mahkamah mendapati suaminya tidak mematuhi arahan tersebut, mahkamah akan menasihati si suami agar menceraikan isterinya. Selepas itu, jika dia masih enggan, maka mahkamah berhak menjatuhkan talak kepada isterinya
6.2 Hukum Ila’
Apabila suami bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau selama lebih daripada 4 bulan, dia telah melakukan Ila’ kepada isterinya. Hal ini menimbulkan pelbagai hukum kepada suami, iaitu hakim memberi tempoh selama 4 bulan dikira pada hari dia melakukan sumpah tersebut untuk melaksanakan salah satu daripada 2 perkara di bawah. Tempoh itu diberikan sebagai satu peluang kepada suami menarik balik sumpahnya semula serta memberi kaffarah sumpah, atau suami mengambil keputusan menceraikan isterinya itu jika dia tidak mahu menarik balik sumpahnya semula dan tidak mahu membayar kaffarah.
Apabila berlalu tempoh 4 bulan sedangkan suami tetap dengan sumpahnya maka dia telah memudaratkan isterinya. Oleh itu, hakim memerintahkan suami berdasarkan permohonan isteri dengan satu daripada dua perkara berikut:
1) menarik balik sumpahnya dan menggauli isterinya semula serta menunaikan kaffarah sumpahnya jika dia bersumpah dengan nama Allah atau sifat-sifatNYA. Jika dalam sumpah suami, dia bersumpah untuk melakukan sesuatu seperti bersedekah, dia hendaklah melaksanakan sumpahnya itu.
2) Menceraikan isterinya jika suami enggan menarik balik sumpahnya semula
Jika suami tetap enggan dan menolak kedua-dua perkara tersebut hakim hendaklah menjatuhkannya dengan satu talak. Ini kerana sudah menjadi tugas hakim mengelakkan berlakunya kemudaratan kepada orang lain. Dalam hal ini, tiada cara lain untuk mengelakkan kemudaratan tersebut melainkan hakim menjatuhkan talak bagi pihak suami. Keadaan ini samalah seperti melunaskan hutang dan menunaikan hak-hak yang lain. Dalam hal di atas, hakim menjatuhkan talak bagi pihak suami yang enggan dan berkeras melakukan salah satu daripada 2 perkara di atas dengan syarat suami tiada keuzuran yang menghalangnya daripada persetubuhan. Jika terdapat keuzuran yang menghalang persetubuhan seperti sakit atau seumpamanya, suami diminta menarik balik sumpah Ila’nya semula dengan berkata, apabila aku mampu melakukan persetubuhan aku menarik sumpahku semula
panduan ringkas tentang perceraian......Lian
LIcAN
5.1 Pengertian Lican
Lican dari segi bahasa bermaksud buang dan menjauhkan. Ia dinamakan lican kerana suami isteri menjauhkan diri antara satu sama lain. Lican juga bermaksud laknat.
Dari segi Syarak, lican bermaksud perkataan-perkataan tertentu yang dijadikan hujah oleh suami orang yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan menyebabkan aib kepada suami. Sementara mengikut definisi lain, lican ialah sumpah suami yang disandarkan dengan laknat daripada Allah untuk menolak hukuman qazaf disebabkan tiduhan zina terhadap isteri atau menafikan nasab. Selain itu, isteri juga hendaklah bersumpah disertakan kemurkaan Allah untuk menolak tuduhan zina suaminya
5.2 Sebab Berlaku Li'an
Suami menuduh isteri berzina tanpa membawa 4 orang saksi untuk membenarkan tuduhannya. Mengikut syarak, tuduhan zina terhadap mana-mana perempuan atau lelaki beriman merupakan satu kesalahan besar. Jika yang menuduh gagal mengemukakan 4 orang saksi dengan syarat-syaratnya, dia telah melakukan jenayah Qazaf( tuduhan zina) dan jika sabit kesalahan, boleh dirotan 80 kali sebatan.
Walau bagaimanapun dalam kes suami menuduh isterinya berzina, ada kelonggaran diberikan. Suami hendaklah bersumpah lican untuk membenarkan tuduhannya. Isteri juga dikehendaki bersumpah lican bagi menolak tuduhan suaminya jika tidak mengaku bersalah
5.3 Proses Berlaku Lican
Suami menuduh isteri berzina atau menafikan keturunan anaknya tanpa membawa 4 orang saksi. Lican dilakukan dengan suami berkata di hadapan hakim dan khalayak ramai. Sunat bagi khalayak ini terdiri daripada ketua-ketua masyarakat dan orang soleh dan ia dilakukan di masjid. Suami hendaklah berkata, aku bersaksi dengan Allah bahawa sesungguhnya aku daripada kalangan orang yang benar tentang tuduhan zina yang aku lemparkan kepada isteriku yang bernama si *** dan anak ini (jika isteri mempunyai anak zina, atau pun sedang mengandung) ialah anak zina dan bukan daripada zuriatku. Sumai dikehendaki mengulanginya sebanyak 4 kali. Jika isterinya ada bersama-sama suami hendaklah menunjukkan tangannya ke arah isteri tersebut. Kemudian pada kali kelima, setelah hakim memberikan peringatan kepadanya bahaya dan risiko berdusta suami hendaklah berkata, Laknat Allah akan menimpaku jika aku terdiri daripada orang-orang yang dusta
Isteri menolak tuduhan suami dan melakukan lican dengan berkata, aku bersaksi dengan nama Allah bahawa si**** itu orang yang berdusta tentang tuduhan zinanya terhadap aku. Lafaz ini diulangi sebanyak 4 kali dan pada kali yang kelima isteri berkata, kemurkaan Allah akan menimpaku jika dia di kalangan orang yang benar
5.4 Kesan Lican Terhadap Suami Isteri
Suami tidak dikenakan hukuman Qazaf (menuduh orang lain berzina)
Isteri yang dituduh akan dikenakan hukuman hudud kecuali dia juga melakukan lican
Hubungan perkahwinan terputus. Suami isteri itu diharamkan bersatu semula selama-lamanya
Isteri akan dikenakan had zina jika tidak menolak tuduhan dengan sumpah li'an
Anak zina dinafikan nasabnya kepada suami jika suami menyebut penafiannya ketika melakukan lican. Anak zina itu dinasab kepada ibunya
5.5 Hikmah Disyariatkan Lican
Suami dapat mencari jalan penyelesaian secara adil dan diredhai Allah
Isteri dapat menjaga maruahnya daripada tercemar dengan melakukan sumpah li'an dihadapan orang ramai
Suami dapat mempertahankan kesucian nasabnya daripada dicemari oleh isteri yang melakukan perbuatan zina
panduan ringkas tentang perceraian......khuluk
KHULUK
4.1 Pengertian Khuluk
Khuluk bermaksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan membuat gantirugi (bayaran) kepada suami. Cara ini juga dipanggil tebus talak. Cerai secara khuluk (tebus talak) berlaku di mana seorang isteri yang sudah tidak berminat dengan suaminya lagi walaupun suaminya itu seorang yang baik, maka dia boleh dengan izin mahkamah dan persetujuan suami membayar sejumlah harta kepada suaminya untuk mendapatkan cerai. Kadar jumlah ditentukan oleh pihak mahkamah
Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya. Jika suami ingin kembali kepada isteri atau sebaliknya mereka perlu bernikah semula dengan akad yang baru. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajarnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.
Perpisahan antara suami dengan isteri melalui tebus talak samada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Khuluk merupakan perceraian yang disertakan dengan bayaran tertentu oleh pihak isteri di mana suami enggan melafazkan cerai, tetapi hanya bersetuju sekiranya dia dibayar. Maka suami hendaklah menceraikan isterinya setelah si isteri membayar dengan jumlah atau harta yang telah ditentukan.
4.2 Hukum Khuluk
Hukum melakukan khuluk ialah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada waktu suci atau waktu iddah. Hukum khuluk berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud:
‘Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan ALLAH S.W.T . Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan ALLAH maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.’
4.3 Penjelasan Mengenai Khuluk (Tebus Talak)
1) Bayaran tebus talak bergantung kepada persetujuan bersama antara suami dan isteri yang ingin bercerai
2) Contoh lafaz khuluk ialah kata suami kepada isterinya: ‘Saya ceraikan kamu dengan bayaran sebanyak RM 10 000.’ Jawab isterinya: ‘Saya menerimanya’.
3) Apabila suami melafazkan demikian dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajib beriddah.
4) Bayaran khuluk boleh juga dengan barang-barang yang bernilai seperti rumah, tanah, kereta dan sebagainya.
5) Apabila berlaku khuluk, suami isteri tidak boleh rujuk kembali kecuali akad nikah semula.
4.4 Tujuan Khuluk
1) Memelihara hak-hak wanita.
2) Menolak bahaya kemudaratan yang bakal menimpanya.
3) Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah.
4.1 Pengertian Khuluk
Khuluk bermaksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan membuat gantirugi (bayaran) kepada suami. Cara ini juga dipanggil tebus talak. Cerai secara khuluk (tebus talak) berlaku di mana seorang isteri yang sudah tidak berminat dengan suaminya lagi walaupun suaminya itu seorang yang baik, maka dia boleh dengan izin mahkamah dan persetujuan suami membayar sejumlah harta kepada suaminya untuk mendapatkan cerai. Kadar jumlah ditentukan oleh pihak mahkamah
Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya. Jika suami ingin kembali kepada isteri atau sebaliknya mereka perlu bernikah semula dengan akad yang baru. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajarnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.
Perpisahan antara suami dengan isteri melalui tebus talak samada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Khuluk merupakan perceraian yang disertakan dengan bayaran tertentu oleh pihak isteri di mana suami enggan melafazkan cerai, tetapi hanya bersetuju sekiranya dia dibayar. Maka suami hendaklah menceraikan isterinya setelah si isteri membayar dengan jumlah atau harta yang telah ditentukan.
4.2 Hukum Khuluk
Hukum melakukan khuluk ialah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada waktu suci atau waktu iddah. Hukum khuluk berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud:
‘Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan ALLAH S.W.T . Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan ALLAH maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.’
4.3 Penjelasan Mengenai Khuluk (Tebus Talak)
1) Bayaran tebus talak bergantung kepada persetujuan bersama antara suami dan isteri yang ingin bercerai
2) Contoh lafaz khuluk ialah kata suami kepada isterinya: ‘Saya ceraikan kamu dengan bayaran sebanyak RM 10 000.’ Jawab isterinya: ‘Saya menerimanya’.
3) Apabila suami melafazkan demikian dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajib beriddah.
4) Bayaran khuluk boleh juga dengan barang-barang yang bernilai seperti rumah, tanah, kereta dan sebagainya.
5) Apabila berlaku khuluk, suami isteri tidak boleh rujuk kembali kecuali akad nikah semula.
4.4 Tujuan Khuluk
1) Memelihara hak-hak wanita.
2) Menolak bahaya kemudaratan yang bakal menimpanya.
3) Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah.
panduan ringkas tentang perceraian......fasakh
FASAKH
3.1 Pengertian Fasakh
membatalkan nikah dengan kuasa kadi disebabkan tidak memenuhi syarat syarat pada masa akad nikah atau berlaku perkara yang membolehkan isteri atau suami menuntut cerai . Hukumnya harus bila ada sebab
Fasakh boleh berlaku apabila salah satu pasangan memohon membatalkan perkahwinan kepada mahkamah dengan sebab terdapat kecacatan di pihak yang satu lagi yang tidak diketahuinya sebelum bernikah seperti gila, AIDS, sopak, mati pucuk dan seumpamanya. Jika mahkamah berpuashati, maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinannya.
Aib yang dibolehkan fasakh perkahwinan terbahagi kepada 2:
1) aib yang menghalang persetubuhan seperti zakar terputus, mati pucuk, faraj yang tersumbat oleh tulang atau daging.
2) aib yang tidak menghalang persetubuhan yang merupakan penyakit yang menjijikkan atau berbahaya yang tidak mungkin diterima kecuali sanggup menghadapi mudaratnya seperti kusta, sopak, gila dan sebagainya.
3.2 Jenis Aib Suami Isteri
1) aib yang dihidapi oleh suami atau isteri seperti kusta, sopak dan gila
seseorang yang mendapati pasangannya gila, kusta, sopak dan sebagainya boleh memfasakh perkahwinannya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar, Nabi SAW mengahwini seorang wanita keturunan Ghifar. Apabila dia dibawa masuk menemui Nabi SAW, Baginda terlihat sopak di rusuknya lalu Baginda bersabda, pakailah baju dan baliklah kepada keluargamu. Baginda juga bersabda kepada keluarga perempuan itu, kamu telah menyembunyikan aibnya.
2) aib yang khusus kepada isteri seperti faraj tersumbat oleh tulang atau daging
suami yang mendapati faraj isterinya tertutup oleh tulang atau daging boleh memfasakhkan perkahwinannya. Ini kerana penyakit tersebut menghalang persetubuhan yang merupakan tujuan perkahwinan
3) aib yang khusus kepada suami seperti zakar terputus atau mati pucuk
isteri yang mendapati zakar suaminya telah terputus atau mati pucuk berhak memfasakhkan perkahwinannya. Hal ini disepakati oleh ulama kerana aib tersebut menghalang maksud perkahwinan. Walau bagaimanapun mati pucuk yang berlaku selepas persetubuhan menggugurkan hak isteri untuk memfasakhkan perkahwinan kerana tujuan perkahwinan iaitu mas kahwin dan persetubuhna telah sempurna sebelum berlaku aib tersebut.
3.3 Aib Yang Boleh Dirawat
Faraj yang tersumbat oleh tulang atau daging yang boleh dirawat melalui pembedahan dengan persetujuan isteri maka suami tidak lagi berhak memilih untuk memfasakh perkahwinan. Begitu juga penyakit seperti gila, sopak, kusta dan sebagainya yang boleh dirawat melalui kaedah perubatan moden. Ini kerana sebab yang membolehkan fasakh telah gugur
3.4 Hak Wali Memfasakh Perkahwinan
Wali bagi perempuan berhak memfasakh perkahwinan jika mendapati aib pada suami wujud sebelum akad nikah, samada perempuan itu bersetuju atau pun tidak. Walau bagaimanapun wali tidak berhak memfasakh perkahwinan bagi aib yang berlaku selepas persetubuhan. Wali juga tidak boleh memfasakh perkahwinan bagi aib mati pucuk atau zakar terpotong semasa akad nikah
3.5 Fasakh Dilakukan Dengan Segera
Pilihan untuk memfasakh perkahwinan dengan aib yang dinyatakan hendaklah dilakukan dengan segera. Ini kerana fasakh disebabkan aib, suami isteri hendaklah segera menyatakan ketidakredaannya dengan membawa perkara itu ke mahkamah dengan menuntut fasakh. Jika seorang daripada pasangannya itu mengetahui aib pasangannya tetapi mendiamkannya, maka gugurlah haknya untuk menuntut fasakh kecualilah dia tidak mengetahui haknya itu. Dalam kes tidak mengetahui haknya itu, hak untuk menuntut fasakh tidak gugur.
3.6 Permohonan Fasakh Perlulah Dikemukakan Kepada Hakim
Suami atau isteri tidak boleh memfasakh perkahwinannya disebabkan aib tersebut bersendirian. Mereka mestilah membawa perkara itu ke mahkamah untuk menuntut fasaskh
3.7 Mati Pucuk
Jika suami mati pucuk, hakim hendaklah memberi tempoh selama setahun Qamariyyah. Ini kerana mati pucuk berkemungkinan boleh sembuh dengan perubahan musim. Jika aib itu hilang dalam tempoh tersebut, maka perkahwinan diteruskan. Jika tidak sembuh, hakim hendaklah memfasakh perkahwinan itu.
Semua jenis aib boleh disabitkan dengan pengakuan dan laporan doktor. Namun dalam masalah mati pucuk, ianya perlu disabitkan dengan pengakuan suami di hadapan hakim, atau dengan sumpah isteri apabila suami enggan bersumpah atau menafikan dirinya mati pucuk ketika diminta oleh hakim berbuat demikian
panduan ringkas tentang perceraian......zihar
ZIHAR
2.1 Pengertian Zihar
Zihar diambil daripada perkataan al-zahr yang bermaksud belakang. Hal ini kerana pada asalnya zihar adalah berlaku apabila suami berkata kepada isterinya, engkau bagiku seperti belakang ibuku.
Zihar pada istilah pula adalah apabila seorang suami menyamakan isterinya dari sudut pengharaman dengan salah seorang daripada mahramnya seperti ibu dan adik-beradik perempuannya. Ada yang mendefinisikan zihar sebagai suami menyamakan isterinya atau mana-mana anggota isterinya dengan ibunya atau dengan mana-mana perempuan muhram baginya. Orang arab pada zaman jahiliah menganggap zihar sebagai salah satu daripada cara talak. Namun Islam memberikannya satu tanggapan lain dan menentukan beberapa hukum yang lain selain daripada talak.
Contoh zihar seperti suami berkata kepada isterinya : " Punggung engkau seperti punggung ibuku " disertai dengan niat suami tidak lagi berminat dengan isterinya. Apabila suami berkata demikian kepada isterinya, maka haramlah bagi suami bersetubuh dengan isterinya, dan wajiblah suami membayar kafarah jika dia ingin kembali bersama dan bersetubuh dengan isterinya. Apabila lafaz ini telah diucapkan, mahkamah hendaklah memberi pilihan kepada suami samada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Jika si suami ingin merujuk kembali kepada isterinya, hendaklah dia membayar kaffarah. Sebaliknya jika dia engggan kembali kepada isterinya, dia hendaklah menceraikan isterinya dan tidak boleh rujuk semasa iddah
2.2 Hukum Zihar
Para ulama menyatakan bahawa zihar adalah haram dan berdosa. Allah SWT menamakannya sebagai mungkar dan dusta.
2.3 Lafaz Zihar
Lafaz yang membawa makna zihar terbahagi kepada 2 iaitu lafaz nyata dan lafaz kiasan. Lafaz yang nyata ialah lafaz yang tidak membawa makna selain makna zihar. Contohnya seorang suami berkata kepada isterinya, bagiku engkau seperti belakang ibuku, atau padaku engkau seperti belakang adik perempuanku. Apabila suami berkata demikian dia telah menzihar isterinya, samada dengan niat ataupun tidak selagi dia mempunyai syarat sah talak, iaitu cerdik berakal serta sedar makna yang diucapnya.
Lafaz zihar kiasan ialah lafaz yang boleh diandaikan membawa makna zihar dan bukan zihar. Contohnya suami berkata kepada isterinya bagiku engkau seperti ibuku atau padaku engkau seperti kakak perempuanku. Apabila suami berkata demikian maka makna ungkapan tersebut adalah menurut apa yang dimaksudkannya. Jika maksud suami ialah zihar, maka ia menjadi zihar. Sebaliknya jika seorang suami bertujuan menyamakan isterinya dengan mahramnya dari segi kemuliaan, penghormatan dan sebagainya ia tidak dianggap zihar.
2.4 Kesan Perbuatan Zihar
Apabila suami melafazkan zihar, samada secara nyata atau secara kiasan dengan niat zihar maka kesannya adalah seperti berikut:
1) Jika lafaz zihar zihar diikuti dengan lafaz talak, maka ianya dikira talak. Lafaz zihar tidak memberi sebarang kesan.
2) Jika lafaz zihar itu tidak diikuti dengan lafaz talak, atau dengan sebarang perkara yang memutuskan ikatan perkahwinan maka perbuatan suami itu dianggap menarik balik kata-katanya serta bertentangan dengan kata-kata tersebut. Perbuatannya tidak meninggalkan isteri yang dizihar itu dianggap membatalkan lafaz ziharnya. Justeru itu, suami perlu membayar kaffarah dengan segera
2.5 Kaffarah Zihar
1) Memerdekakan seorang hamba yang mukmin dan hamba tersebut tiada kecacatan yang boleh menjejaskan usaha dan kerjayanya seperti sangat tua atau kudung tangan atau kaki.
2) jika suami tidak mampu, atau ketiadaan hamba seperti pada zaman kita sekarang, suami hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut (bulan Qamariyyah)
3) jika suami tidak mampu berpuasa, atau tidak berdaya meneruskannya berturut-turut kerana sakit atau tua, dia hendaklah memberi makanan kepada 60 orang miskin dengan kadar secupak makanan asasi sesebuah negara
2.6 Kaffarah Zihar Perlu Disegerakan
Suami yang menzihar isterinya dituntut menunaikan kaffarah zihar dengan segera. Dia tidak halal bersetubuh dengan isterinya selagi mana kaffarah belum disempurnakan. Jika dia menyetubuhi isterinya yang telah dizihar sebelum menunaikan kafarahnya bermakna dia telah melakukan dosa dan maksiat
panduan ringkas tentang perceraian......talak
TALAK
1.1 Pengertian Talak
Talak dari segi bahasa bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari segi syarak ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak boleh berlaku dengan lafaz yang jelas dan juga kiasan. Contoh lafaz yang jelas ialah: aku ceraikan engkau dengan talak satu
Lafaz talak yang digunakan di atas menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud selain daripada talak. Ia dinamakan lafaz secara sorih (nyata) sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talak secara jelas yang boleh diandaikan dengan maksud selain talak dinamakan lafaz kiasan (kinayah)
Ada 3 lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talak iaitu talak, sarah (lepas) dan firaq (pisah) dan kata terbitan daripada kalimah tersebut seperti engkau aku ceraikan atau engkau aku lepaskan atau aku menceraikanmu. Lafaz yang nyata juga termasuklah terjemahan lafaz talak dalam bahasa lain selain bahasa arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talak yang biasa digunakan oleh orang arab
Lafaz talak kiasan adalah semua lafaz yang membawa maksud talak dan maksud lain. Contohnya :
Engkau tiada apa-apa lagi denganku
Engkau berasing daripadaku
Kembalilah kepada keluargamu
Engkau haram bagiku
Engkau putus hubungan denganku
1.2 Hukum Lafaz Talak Yang Nyata Dan Kiasan
Lafaz talak yang nyata menyebabkan jatuh talak sama ada berniat talak atau pun tidak. Ini kerana lafaz yang nyata dan maksud yang pasti menunjukkan kepada talak tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya
Sementara lafaz talak kiasan tidak menyebabkan jatuh talak melainkan suami berniat menceraikan isterinya. Jika suami tidak berniat cetai, talak tidak jatuh
Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya
1.3 Talak Sunniy, Bidciy, Bukan Sunniy Dan Bidciy
Talak Sunniy adalah talak yang mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh suci tersebut. Dengan kata lain, sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.
Talak bidciy adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
1) Talak diucapkan oleh suami ketika isteri uzur (haid).
2) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersetubuh dengannya.
Hukumnya haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan di dalam al-Quran dan Hadith. Namun talak tetap jatuh. Sebab diharamkan talak jenis ini kerana ia memudaratkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam tempoh iddah. Selain itu, haram juga menceraikan isterinya yang telah disetubuhinya ketika dalam tempoh suci kerana berkemungkinan akan mengandung.
Sementara talak yang bukan sunniy atau bidciy ialah talak ke atas perempuan yang masih kecil belum dating haid, atau perempuan yang telah putus haid, atau perempuan mengandung yang nyata, atau perempuan yang belum atau tidak pernah disetubuhi suaminya, atau perempuan yang meminta cerai secara khuluk. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak mendatangkan mudarat kepada isteri. Isteri yang masih kecil dan yang putus haid, mereka beriddah dengan kiraan bulan. Isteri yang mengandung, iddahnya selesai dengan lahirnya anak. Isteri yang bercerai dengan cara khuluk, perbuatan menebus diri daripada suami dengan harta menunjukkan keinginannya untuk bercerai dan kerelaannya menunggu tempoh iddah yang panjang.
1.4 Syarat Sah Dan Jatuh Talak
Ada beberapa syarat sah berlakunya talak iaitu akad nikah sebelumnya mestilah sah, suami sempurna akalnya dan suami tidak dipaksa melakukannya
1.5 Cerai Taklik
Taklik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai taklik ini berlaku dalam beberapa hal :
Taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan. Perceraian seumpama ini (taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Taklik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu. Jika Hakim dapati suami telah melanggar taklik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
Taklik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh: "Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau". Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari, lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya
muqaddimah panduan ringkas tentang perceraian
MUQADDIMAH
Dengan NamaNYA Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, syukur kepada Allah SWT saya berjaya menyusun risalah ini walau pun dengan kadar yang cukup ringkas. Sememangnya saya tidak begitu berminat dengan subjek munakahat atau ahwal al-shaksiyyah sejak zaman persekolahan lagi. Sememangnya sikap tidak begitu berminat ini menjadi hambatan dan kekangan sepanjang saya menyusun risalah ini.
Asas penulisan risalah ini ialah kitab feqh mazhab syafie yang bertajuk al-Fiqh al-manhaji cala madhhab al-Imam al-Shaficiyy ditambah dengan sedikit rujukan daripada kitab lain seperti Feqh 4 Mazhab, Tafsir al-Munir dan laman sesawang di internet. Saya tidak mengarang, hanyalah menyusun, mengedit, dan sesetengahnya menaip semula untuk memudahkan lagi bahasa penyampaian.
Dari segi teknik dan gaya penulisan, saya cuba menulis dengan gaya penulisan tesis UKM dan penggunaan footnote. Saya akui masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan saya di dalam teknik penulisan ini
Apa yang tertulis di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan asas, bahan mentah yang hanya berfungsi sebagai pembuka jalan untuk memahami konsep perceraian di dalam Islam. Saya tidak sempat untuk merujuknya kepada kawan-kawan atau ustaz yang bertugas di Pejabat Kadi Kuala Krai, Jabatan Agama Islam Kelantan, JAKIM Putrajaya mahu pun guru-guru saya di tanah Bangi dan Sungai Durian. Saya cuba juga untuk melihat laman web jabatan-jabatan agama di Malaysia khasnya Kelantan dan Terengganu namun pada masa risalah ini ditulis server internet streamyx saya nampaknya bermasalah. Justeru itu, sebaiknya anda cuba merujukkan kepada mana-mana imam, ustaz atau di pejabat kadi jika anda berdepan sebarang kemusykilan tentang munakahat. Apa yang tertulis hanyalah sebagai bahan mentah yang belum diproses menjadi set kerusi meja, perabot dan sebagainya. Harus diingat, kita harus meraikan sebarang pendapat fiqh yang telah digubal di dalam enakmen atau undang-undang agama di sesebuah negeri.
Jika apa yang tertulis di dalam risalah ini bertentangan dengan apa yang anda telah pelajari, atau bertentangan dengan ilmu dan pengetahuan sedia ada anda, atau bertentangan dengan mana-mana pendapat orang lain, hormatilah pendapat orang lain tersebut dan raikanlah mereka semua sesuai dengan adab perbezaan pendapat di dalam Islam. Ilmu fiqh sememangnya terlalu luas. Semoga kita semua dapat terus belajar, mengkaji dan beramal sebagai bekalan kita ke seberang sana.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyediaan artikel ini samada secara langsung atau tidak langsung. Semoga apa yang kita fikirkan, apa yang kita rancang dan buatkan dapat menjadi penolong kita di hari yang tidak ada penolong lagi kecuali dengan izinNYA. Terimalah seadanya….
Langgan:
Catatan (Atom)