Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat(seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap2 sesuatu.
Al-Nisa’ 86 ( 86:4)
Orang arab di zaman dahulu apabila bertemu mereka akan mengucapkan hayyakallah, secara mudah maksudnya semoga hidupmu dipelihara tuhan (umur panjang). Apabila Islam datang, Islam menganjurkan ucapan yang lebih baik dari ucapan sekadar hidup, iaitu ucapan assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Salam bererti damai, bahagia dan sihat. Sihat juga bererti salam. Itulah sebab dalam ucapan assalamualaikum, banyak perkara yang dirangkumkan di dalamnya, bukan hanya hidup, sekadar sihat dan umur panjang. Apalah ertinya umur panjang kalau seluruh hidupnya dihabiskan untuk melakukan maksiat pada Allah. Salam merangkumi pengharapan dan doa supaya yang diberi salam diberi kesihatan, umur panjang, kerahmatan Allah dan keberkatan dariNYA.
Ayat di atas menyeru kita supaya menjawab salam dengan cara yang lebih baik daripada salam yang diberikan kepada kita, atau sekurang-kurangnya dengan cara yang sama taraf diucapkan kepada kita. Jika ada orang mengucapkan assalamualaikum jawablah dengan wa alaikumussalam wa rahmatullah. Jika ada yang mengucapkan salam dengan tambahan wa rahmatulllah balaslah dengan ucapan salam yang ditambah warahmatullah wa barakatuh. Dan jika salam diucapkan kepada kita dengan kesemua tambahan warahmatullah wabarakatuh jawablah sepertinya. Ada dalam sebuah hadis dari salman al-farisiy bahawa ada seorang lelaki datang menemui rasulullah SAW lalu berkata: assalamualaika ya rasulullah, rasulullah SAW menjawab: wa alaikassalam wa rahmatullah. Kemudian datang seorang lelaki lain lalu mengucapkan assalamualaika ya rasulullah wa rahmatullah, maka baginda menjawab: wa alaikassalam wa rahmatullah wa barakatuh. Kemudian datang seorang lelaki lain lalu mengucapkan salam: assalamualaika ya rasulullah wa rahmatullah wa barakatuh, lalau jawab baginda: wa alaika. Lalu lelaki itu berkata: wahai utusan Allah, telah datang kepadamu si fulan dan si fulan lalu mereka mengucapkan salam terhadapmu maka engkau jawab dengan balasan yang lebih banyak daripada apa yang engkau jawab kepadaku. Lalu jawab baginda: engkau tidak tingalkan lagi apa2 kepada kami. Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa kalau ada orang yang mengucapkan salam kepada kita dengan lafaz yang penuh (assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh), tiada lagi lafaz tambahan atau level yang lebih tinggi untuk kita jawab salam melainkan dengan lafaz yang sama taraf dengannya ( wa alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuh). Kalau ada lagi level yang lebih tinggi untuk kita jawab salam, pastinya rasulullah SAW akan sebut dan ajarkan kepada kita.
* tafsir pimpinan al-Rahman kepada pengertian al-Quran
* Hamka, tafsir al-Azhar
* Ibn Kathir, tafsir al-Quran al-Azim, tafsiran ayat 86 al-nisa’. Hadis diambil dari kitab berkenaan. Terjemahan hadis secara bebas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan