Khamis, 19 Ogos 2010

Tazkirah ramadan 2.....rukun puasa ke-2: Imsak

TAZKIRAH RAMADAN (2)
RUKUN PUASA KE-2: IMSAK

Rukun puasa yang kedua ialah imsak. Imsak bermaksud menahan diri daripada perkara2 yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Berikut ialah perkara2 yang membatalkan puasa:

1) Makan dan minum membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja. Jika terlupa, puasa tersebut tidak batal walaupun banyak yang dimakan dan diminum. Ini bersandarkan dalil dari hadis (sesiapa yang terlupa sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum itu.-Bukhari & muslim).

2) Muntah yang disengajakan membatalkan puasa sekalipun kita pasti tiada sisa muntahan tersebut yang masuk kembali ke perut. (sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa dia tidak wajib mengqada puasanya dan jika sengaja muntah dia hendaklah mengqadanya- Abu Dawud, Tirmizi dll). Muntah yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa

3) Bersetubuh dengan sengaja walau pun tanpa keluar mani. Persetubuhan tidak membatalkan puasa jika terlupa bahawa kita sedang berpuasa, diqiaskan kepada makan dan minum (dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehinga waktu malam (maghrib), dan janganlah kamu sentuhi isteri2 kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid……-al-baqarah: 187)

4) Mengeluarkan mani samada dengan tangan atau kerana berkucup. Begitu juga dihukumkan makruh berkucup di dalam bulan Ramadan ketika sedang berpuasa

5) Haid dan nifas. Ini berdasarkan hadis (Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang maksud perempuan yang agamanya kurang, Bukankah perempuan apabila haid dia tidak bersolat dan berpuasa?-Bukhari & Muslim)

6) Gila dan murtad. Kedua-dua perkara ini telah mengeluarkan seseorang daripada kelayakan asas untuk mengerjakan ibadat.

7) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga melalui ruang sedia terbuka. Benda bermaksud sesuatu yang dapat dilihat. Rongga bermaksud ruang selepas halkum sehingga ke usus dan tali perut. Ruang yang sedia terbuka bermaksud mulut, telinga, qubul dan dubur. Justeru itu titisan melalui telinga membatalkan puasa kerana telinga merupakan ruang yang terbuka. Sementara titisan di mata (seperti sisa cecair solution bagi yang memakai contact lens) tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka.Begitu juga suntikan melalui dubur membatalkan puasa kerana dubur merupakan ruang yang terbuka sementara suntikan melalui urat tidak membatalkan puasa.

Puasa tidak batal jika lalat, asap lori, debu jalan masuk ke dalam rongga kerana terlalu sukar untuk mengelakkannya. Begitu juga menelan air liur (tidak batal). Walau bagaimanapun sepakat ulama mengatakan bahawa menghisap rokok ketika berpuasa membatalkannya.

Jika sisa air berkumur atau air yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga, ia tidak membatalkan puasa jika perbuatan tersebut dilakukan dengan tidak melampau dan sisa air itu sedikit. Sekiranya jika dilakukan dengan berlebih-lebihan, puasanya menjadi batal.

Awas: Puasa tidak batal jika kita terlupa. Namun jika kita tersilap sangka, contohnya kita menyangkakan bahawa waktu maghrib telah masuk, lalu kita berbuka dengan segelas air, kemudian kita dapati bahawa matahari masih belum terbenam, maka puasa kita batal dan wajib mengqada puasa yang batal itu. Oleh itu, berwaspadalah. Kita boleh bersabar sejak fajar menantikan saat manis berbuka puasa, jangan dibiarkan detik-detik emas itu hilang kerana kegopohan dan kegelojohan kita untuk makan.

RUJUKAN
1) al-fiqh al-manhajiy ( kitab puasa )

Tiada ulasan: