Sabtu, 21 Ogos 2010

tazkirah ramadan 2.....isu-isu seputar ramadan

ISU-ISU SEPUTAR RAMADAN
1) Beraya/berpuasa di negeri lain. Berdasarkan sebuah hadis yang panjang (hadis Kuraib riwayat Muslim bernombor 1087), ulama telah menetapkan bahawa sesiapa di kalangan penduduk negeri yang anak bulan Syawal tidak kelihatan, pergi ke negeri yang mana negeri tersebut telah merayakan aidilfitiri, dia hendaklah berbuka bersama-sama mereka tanpa mengira dia telah berpuasa 28 atau 29 hari. Namun jika puasanya hanya 28 hari, dia wajib mengqada puasanya sehari kerana bilangan hari dalam sebulan samada 29 atau 30 hari. Begitu jugalah keadaan penduduk di sebuah negeri yang telah berhari raya (1 syawal) telah pergi ke negeri yang masih berpuasa (29/30 Ramadan) dia wajib imsak bersama-sama mereka.

2) Keluar darah dari tubuh samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, derma darah, berdarah hidung dan sebagainya. Hukumnya: tidak batal puasa. Perkara yang membatalkan puasa ialah jika memasukkan sesuatu melalui saluran terbuka hingga ke perut. Walau bagaimanapun dalam masalah berbekam, para ulama mengatakan bahawa ianya makruh dilakukan di dalam bulan Ramadan kerana ia boleh melemahkan tubuh.

3) Penggunaan pil elak haid untuk berpuasa sebulan penuh dan mendapatkan malam lailatulqadar. Kebiasaannya para wanita yang ingin melaksanakan haji di mekah akan menggunakan pil hormon seperti primolut, norculut, pil perancang keluarga, suntikan hormon dan sebagainya. Terlebih dahulu penggunaan pil ini mestilah mendapat kebenaran doktor. Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah lain

4) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal: Terdapat dua jenis, samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa. Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan. Pandangan majoriti adalah ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa

5) Mandi junub selepas terbit fajar. Keadaan janabah (berjunub) tidak menghalang puasa tetapi lebih baik menghilangkannya sebelum terbit fajar. Justeru itu, seorang yang tidak sempat mandi junub sebelum subuh bolehlah melaksanakannya selepas waktu subuh. Ini berdasarkan hadis (Nabi SAW dalam keadaan janabah pada waktu subuh lantaran persetubuhan yang bukannya mimpi. Kemudian baginda mandi janabah dan berpuasa- Bukhari)

6) Melakukan maksiat seperti tidak solat. Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah- Ibn Hibban)


RUJUKAN
1) Al-fiqh al-manhaji
2) Sabil al-muhtadin
3) Bughyat al-tullab
4) http://www.zaharuddin.net/
5) http://www.hamidarshat.com/
6) http://fiqhmedic.wordpress.com/

Tiada ulasan: