Rabu, 25 Ogos 2010

TAZKIRAH RAMADAN (3)......LAILATUL QADR

TAZKIRAH RAMADAN (3)
LAILATUL QADR
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2010

Pengertian Lailatul Qadr
Menurut Hamka, Lailatul Qadr memberi dua maksud, pertama kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan, kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah SAW didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia.

Sebab Dinamakan Lailatul Qadr
Para ulama berpendapat dinamakan sedemikian kerana pada malam itu Allah menetapkan segala rezeki, juga menetapkan ajal dan seluruh kejadian alam di mana Allah SWT menyerahkan urusan itu kepada para malaikat untuk melaksanakannya (di malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah- al-Dukhan ayat ke 4). Imam nawawi berkata bahawa yang dimaksudkan dengan Allah menetapkan segala sesuatu ialah pada malam itu segala ketetapan Allah telah diperlihatkan kepada malaikat untuk mereka laksanakan pada tahun itu.

Kehebatan Malam al-Qadr
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran secara sekali gus dari Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat selama hampir 23 tahun. Justeru itu ia disifatkan sebagai malam penuh berkat.

2) Dituliskan pada malam tersebut ketetapan (qadar) bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu. Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa maksud mulia atau agung

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat. Para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan. Imam At-Tabari berkata bahawa erti seribu bulan adalah beramal di lailatul qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiada lailatul qadr.

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as). Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus silatarurrahim dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera hinggakan syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan di dalamnya. Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah. Ia berdasarkan hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim

Bilakah Berlakunya Lailatul Qadr
Terdapat 27 atau 45 pendapat tentang bilakah lailatul qadr. Yang paling masyhur ialah lailatul qadr jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan (Carilah Lailatul Qadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan -Bukhari)

Presiden Majlis Ulama Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan hikmah kenapa Allah SWT menyembunyikan Lailatul Qadr. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadr berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT juga merahsiakan Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama secara keseluruhan.

Beberapa Alamat Lailatul Qadr
Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadr. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. (Shahih al-Jami al-Shaghir). Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadr, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik.( Muslim)
Sekali pun telahh diterangkan dua alamat Lailatul Qadr, seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin bilakah Lailatul Qadr setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza. Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua dua alamat sekali gus. Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadr bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus melakukan amal ibadat.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya. Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?. Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu

Bagaimana Menghidupkan Malam al-Qadr
Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). (A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamullail –Muslim)

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadr, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)

Sekilas Tentang Sebab Turun Surah al-Qadr
Mujahid (seorang ahli tafsir dari kalangan tabiin) menceritakan bahawa di kalangan Bani Israil terdapat seorang lelaki yang bangun beribadah di waktu malam sehinggalah menjelang subuh. Sesudah itu disambungnya dengan jihad sehinggalah menjelang petang. Dia melakukan perbuatan demikian sehinggalah 1000 bulan. Justeru itu, baginda SAW dan orang2 mukmin merasa kagum dengan kesanggupan lelaki berkenaan, maka Allah menurunkan ayat ini di malam al-qadr kepada umat Muhammad SAW.

Menurut riwayat daripada Malik bin Anas pula, dia berkata bahawa Rasulullah SAW melihat dan memerhaatikan kepada umur manusia di zaman lampau, lalu baginda merasa umur umatnya adalah singkat dan baginda bimbangkan amalan2 umatnya tidak akan dapat menyamai amalan umat lain. Maka Allah mengurniakan kepada beliau sesuatu malam di mana dia lebih baik daripada 1000 malam

Diriwayatkan bahawa di hari kiamat nanti akan didatangkan seorang Bani Israil yang memperhambakan diri kepada Allah SWT selama 400 tahun, lalu dibawa juga seorang lelaki dari kalangan umat Islam yang telah memperhambakan diri selama 40 tahun, tiba-tiba pahala ibadah umat ini didapati lebih banyak. Orang Bani Israil pun berkata kepada orang Islam,” engkau memiliki pundi2 yang besar”. Kemudian diperlihatkan kepadanya pahala yang lebih banyak. Lalu orang Bani Israil itu menyambung,” ini disebabkan keadaan kami yang takutkan seksaan yang segera di dunia lalu kami menyembahNYA, sedangkan kamu umat Muhammad berada dalam keadaan aman (tidak takut) namun kamu benar2 menyembah Allah, maka dengan sebab inilah ibadah mereka diberi ganjaran sehingga menjadi lebih banyak. (INFO PENTING- kebiasaannya apabila sesebuah kitab menerangkan sesuatu berita dengan lafaz diriwayatkan/ ada orang berkata/ telah diceritakan, ia menunjukkan bahawa khabar ini daif, lemah. Namun boleh kita beramal dengan khabar dan hadis daif dengan syarat2 tertentu- tambahan oleh panitia agama SKLR).


RUJUKAN
Abdullah al-Qari, Bagaimana Mencari Malam al-Qadr Menurut Rasulullah SAW
Hamka, Tafsir al-Azhar
Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim
http://www.ikim.gov.my
http://hafizfirdaus.com
http://www.zaharuddin.net/
http://al-fikrah.net/

Tiada ulasan: