TAZKIRAH RAMADAN (1)
PENGERTIAN & RUKUN PUASA (NIAT)
Pengertian Puasa
Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap.
Dari segi istilah Syarak ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa
Rukun Puasa
Puasa mempunyai 2 rukun yang asas iaitu niat dan menahan diri daripada perbuatan yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Ada juga sesetengah ulama yang menambah satu lagi rukun ketiga iaitu orang yang berpuasa. Mengapa pada rukun sembahyang tidak disebutkan orang yang sembahyang sebagai rukun sedangkan pada puasa, orang yang puasa menjadi rukun?Ini kerana orang yang sedang sembahyang dapat dilihat kelakuan dia sedang sembahyang, manakala orang yang sedang berpuasa tidak dapat kita lihat kelakuan dia sedang berpuasa.
Rukun Pertama: Niat
Niat ialah mengqasadkan puasa. Tempatnya di hati dan tidak memadai hanya dengan lidah. Ungkapan lafaz niat hanyalah untuk membantu niat di hati
Syarat Niat Puasa Ramadan
1) Berniat Pada Waktu Malam
Waktu malam bermula apabila terbenam matahari sehingga terbit fajar. Jika tidak berniat puasa dalam waktu berkenaan, puasa tidak sah. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: (sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka puasanya tidak sah) (hadis al-Daruqutni & Baihaqiy)
2) Menentukan Jenis Puasa
Seseorang yang hendak berpuasa mestilah menentukan jenis puasa samada puasa Ramadan, puasa sunat, puasa nazar dan sebagainya. (sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat, dan seseorang hanya mendapat apa yang diniatkannya-hadis Bukhari & Muslim). Ini bererti perbuatan seseorang adalah mengikut jenis apa yang diniatkannya
3) Niat Berulang-Ulang (Setiap Malam)
Seseorang hendaklah berniat puasa untuk hari yang berikutnya pada setiap malam sebelum fajar terbit. Tidak memadai niat sekali sahaja untuk sebulan kerana puasa Ramadan bukanlah ibadat yang tunggal tetapi ia adalah ibadat yang berulang-ulang, dan setiap satu ibadat mempunyai niat yang tersendiri.
Walau bagaimanapun, Syeikh Daud al-Fattaniy di dalam kitabnya menyarankan supaya kita berniat puasa sebulan pada malam pertama Ramadan supaya terhasil pahala Ramadan dan jika kita lupa untuk berniat puasa pada hari-hari seterusnya di dalam bulan Ramadan, puasa kita tetap sah mengikut pendapat dan mazhab yang mengharuskan berniat puasa sebulan sekali gus.
Syekih Dr. Al-qaradawiy pula cenderong kepada pendapat majoriti ulama bahawa puasa perlu niat pada malam hari setiap malam. Namun beliau juga menetapkan pendapat Imam lain boleh diamalkan. Inilah fatwa daripada Lajnah Daimah dan Ifta KSA (badan fatwa Arab Saudi). Sementara Syeikh ibn Uthaimin memilih pendapat Imam Malik, iaitu memadai sekali niat sahaja untuk sebulan Ramadan kecuali puasa itu terputs dengan musafir atau sakit, maka hendaklah diulangi semula niat itu. Allah SWT saja yg mengetahui urusan yg diperselisihkan. Namun yang baiknya kita berniat sebulan sekali gus dan kita tambahi lagi dengan niat puasa pada setiap malam.
Sementara puasa sunat, tidak disyaratkan berniat pada waktu malam dan tidak disyaratkan menentukan jenis puasa. Justeru itu, sah puasa apabila berniat sebelum matahari gelincir (waktu zohor) dan hanya dengan niat puasa. Ini berdasarkan hadis (daripada Aisyah RA, bahawa pada satu hari Nabi bersabda kepadanya, “adakah pada kamu apa-apa untuk makan tengahari?” Jawab aisyah “tidak”. Lalu baginda bersabda,”kalau begitu aku berpuasa”.-hadis al-Daruqutniy)
RUJUKAN
1) al-Fiqh al-Manhajiy
2) Bughyat al-Tullab
3) Sabil al-Muhtadin..
4) http://al-fikrah.net
5) http://almalakawi.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan