2.1 Nifaq Dari Segi Bahasa
Nifaq secara bahasa berasal dari kata nafaqa – yunafiqu – nifaqan wa munafaqan yang diambil dari kata al-nafiqa’ iaitu salah satu lubang tempat keluarnya yarbu’ (sejenis tikus) dari sarangannya di mana jika ia diburu dari lubang yang satu, maka ia akan keluar dari lubang yang lain. Dikatakan pula, ia berasal dari kata al-nafaqa (nafaq) iaitu lubang tempat bersembunyi.
Perkataan munafiq diambil dari kata al-nafiqa’ kerana ada persamaan di antara kedua-duanya iaitu binatang yarbu’ akan melarikan diri dengan cara menyelinap masuk ke dalam lubang tempat persembunyian dan muncul di lubang yang satu lagi. Begitu juga dengan orang munafiq, mereka menzahirkan keislaman untuk melindungi kekafiran yang terdapat di dalam hati mereka.
Munafiq dengan makna umum ialah menyembunyikan kekafiran dan menzahirkan keimanan dan kebenaran. Ada juga yang menyebut munafiq sebagai hipokrit.
2.2 Nifaq Dari Segi Istilah
Nifaq menurut syarak iaitu menampakkan keislaman dan menyembunyikan kekufuran. Ia dinamakan demikian kerana dia masuk pada syariat dari satu pintu dan keluar dari pintu yang lain. Justeru itu Allah memperingatkan dengan firmanNya
(Sesungguhnya orang-orang munafiq itu mereka adalah orang-orang yang fasiq)
Di dalam kamus feqh, munafiq diertikan sebagai orang yang menzahirkan perangai berbeza dengan apa yang mereka percaya. Ringkasnya orang yang menyembunyikan kekafiran dan menzahirkan keislaman.
Abdul Karim Zaidan menakrifkan munafiq sebagai perbuatan menzahirkan keislaman dan menyembunyikan kekafiran, maksiat dan dosa. Maksiat dan dosa tersembunyi ini merupakan tanda-tanda munafiq
Sementara Abdullah Nasih Ulwan pula mengatakan bahawa nifaq bermaksud perbuatan orang munafiq menzahirkan diri sebagai islam, namun menyembunyikan kekafiran untuk tujuan dan maksud yang buruk.
Mungkin makna yang lebih sesuai bagi perkataan munafiq ialah mereka yang menzahirkan kata-kata keislaman serta mendakwa beriman sedangkan semuanya palsu dan menipu orang islam yang lain. Selain itu, mereka juga menyembunyikan kekafiran dan ketidakpercayaan mereka kepada Allah serta mana-mana bahagian daripada rukun iman yang lain. Diriwayatkan daripada Ibn Jarir dari Huzaifah bahawa dia ditanya orang apakah yang dimaksudkan dengan nifaq? Katanya nifaq ialah mana-mana lelaki yang bercakap tentang Islam namun tidak beramal dengannya.
2.3 Jenis-Jenis Nifaq
Nifaq ada dua jenis iaitu nifaq dari segi iktikad dan nifaq dari segi amalan. Nifaq dari segi amalan dapat dipecahkan kepada 2 bahagian iaitu nifaq dari sudut ibadat dan akhlak. Walau bagaimanapun perbicangan terperinci berkenaan pecahan berkenaan akan dibincangkan dalam bab seterusnya
2.3.1 Nifaq Akidah / Nifaq Besar
Nifaq dari segi iktikad atau nifaq besar merupakan suatu keadaan di mana pelakunya menampakkan keislaman, tetapi menyembunyikan kekufuran. Nifaq jenis ini menjadikan pelakunya keluar dari agama dan berada di dalam kerak neraka. Allah menyifati para pelaku nifaq ini dengan berbagai kejahatan, seperti kekufuran, ketiadaan iman dan sebagainya.
Orang-orang munafiq jenis ini sentiasa ada pada setiap zaman. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada dalam keadaan kuat dan mereka tidak mampu membendungnya. Dalam situasi begini, mereka menzahirkan keimanan untuk melakukan tipu daya terhadap agama dan pemeluknya dari dalam. Mereka juga dapat hidup di tengah komuniti Islam dan merasa selamat terhadap jiwa dan harta benda mereka. Justeru itu, seorang munafiq menzahirkan keimanannya kepada Allah dan segala rukun iman yang lain namun mereka tidak percaya dan mendustakakannya di dalam hati. Nifaq jenis ini ada empat jenis iaitu:
1) mendustakan Rasulullah SAW atau mendustakan sebahagian daripada ajarannya.
2) membenci Rasulullah SAW atau membenci sebahagian daripada ajarannya.
3) merasa gembira dengan kemunduran agama Islam.
4) tidak senang dengan kemenangan Islam.
2.3.2 Nifaq Amalan / Nifaq Kecil
Iaitu melakukan sesuatu yang merupakan perbuatan orang-orang munafiq, tetapi hatinya masih percaya kepada Allah dan rukun iman yang lain. Nifaq jenis ini tidak mengeluarkan pelakunya dari agama, tetapi merupakan perantara kepada yang demikian. Pelakunya berada di antara mukmin dan munafiq. Jika perbuatan nifaqnya banyak, ini boleh menyebabkan pelakunya boleh menjadi munafiq. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud (Ada empat perkara yang jika berada pada diri seseorang, maka ia menjadi seorang munafiq, dan jika seseorang memiliki kebiasaan salah satu daripadanya, maka bererti ia memliki satu ciri nifaq sampai ia meninggalkannya, apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia berdosa, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila bertengkar ia melewati batas)
2.4 Perbezaan Di Antara Nifaq Besar Dan Nifaq Kecil
Nifaq Besar
Melibatkan soal keyakinan dan iktikad. Contohnya seorang yang menzahirkan keislaman namun hatinya tidak percaya kepada Allah dan hari akhirat.
Nifaq Kecil
Melibatkan perbuatan. Contohnya seorang muslim yang tidak sama perbuatan dan percakapannya seperti berdusta
Nifaq Besar
Boleh menyebabkan pelakunya terkeluar daripada islam kerana pelakunya tidak mempercayai Allah atau apa-apa yang diturunkan oleh Allah.
Nifaq Kecil
Tidak menyebabkan pelakunya terkeluar daripada agama kerana pelakunya masih percaya dan beriman kepada Allah dan hari akhirat
Nifaq Besar
Tidak terjadi daripada seorang mukmin. Apabila seseorang tidak percaya kepada Allah dan mana-mana bahagian rukun iman, dia sebenarnya telah terkeluar daripada Islam. Justeru itu, sifat mukmin (beriman) tidak boleh berada bersama sifat munafiq jenis ini
Nifaq Kecil
Biasa terjadi daripada kalangan mukmin
2.5 Perbezaan Di Antara Nifaq Dengan Syirik, Murtad, Fasiq Dan Taqiyyah
2.5.1 Syirik
Syirik bermakna menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain daripada sifat uluhiyyah (berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahnya) atau sifat rububiyyah (sifat menjadikan, mentadbir dan menguruskan alam). Justeru itu, sesiapa yang menganggap mana-mana satu sifat tersebut ada kepada sesuatu selain Allah, maka dia telah melakukan syirik dengan Allah walaupun pada masa itu dia masih mengaku beriman kepada Allah. Beza dengan munafiq ialah orang munafiq sentiasa menunjukkan keislaman dan keimanannya.
2.5.2 Murtad
Murtad bermakna keluar daripada Islam. Ijmak ulama menyatakan bahawa seseorang muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah adalah murtad kecuali jika dia benar-benar jahil. Jika diberitahu dan diberi penerangan namun dia masih ingkar maka dia dihukumkan dengan kufur dan murtad. Perbezaannya ialah orang munafiq sentiasa menunjukkan keislamannya namun orang yang murtad diketahui kemurtadannya
2.5.3 Fasiq
Fasiq pada umumnya ialah maksiat atau meninggalkan perintah Allah dan keluar dari jalan yang dibenarkan. Contohnya seseorang yang tidak bersolat, tidak berpuasa dan sebagainya. Beza fasiq ialah pelakunya dikenali tidak bersolat namun seorang munafiq sentiasa menampakkan dirinya seorang yang baik
2.5.4 Taqiyyah
Menurut akidah Syiah, taqiyyah ialah menyatakan dengan lisan apa yang menyalahi hati kerana takut kemudaratan diri walaupun yang disembunyikan itu perkara yang benar. Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali di dalam masalah arak dan menyapu dua khuf. Mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sifat ini perlu dijauhi kerana ia mempunyai ciri-ciri sifat nifaq. Tidak ada taqiyyah seperti ini dalam ajaran Islam, yang ada di dalam Islam ialah masalah rukhsah, umpamanya jika seseorang itu dipaksa dan diugut dengan kekerasan supaya melafazkan kata-kata kafir, maka waktu itu diharuskan orang itu melafazkannya, tetapi hatinya tetap dengan iman yang sebenar.
Ringkasnya taqiyyah ialah menyembunyikan keimanan sedangkan munafiq ialah menyembunyikan kekafiran.
RUJUKAN
Muhammad Hanif Mohd Ghazali, Sifat al-Munafiqin Fi Surat al-Taubah, Universiti Sains Islam Malaysia,
http://www.tarbiyah.net/artikel-islam/50-Nifaq%20Definisi%20dan%20Jenisnya,
http://annashr.wordpress.com/2009/12/11/makna-nifaq/, http://www.scribd.com/doc/8263965/Antara-Ciriciri-Orang-Munafik
Al-Humaydiy, Abdul Aziz Abdullah, al-Munafiqun Fi al-Quran al-Karim. Dar al-Majmuc al-Tawzic, t.tmpt., hlm 13,
Ruhiy al-Bacalbakkiy, al-Mawrid Qamus cArabiy-Injliziy, Dar al-cIlm Li al-Malayin, Beirut Lubnan hlm. 1114
Saad Abu Jayb, al-Qamus al-Fiqhiy, Damsyik, Dar al-Fikr, hlm.358
Abdul Karim Zaidan, Usul Dacwah, Kaherah, Muassasah Risalah, hlm. 396
Abdullah Nasih Ulwan, Hurriyah al-Ictiqad Fi al-Syaricah al-Islamiyyah, T.tmpt., Dar al-Tabcah al-Thalithah, Cet. 3, hlm. 121
al-Maidaniy, Abdul Rahman Hanbakah, Zahirat al-Nifaq Wa Khabaith al-Munafiqin Fi al-Tarikh, Damsyik, Dar al-Qalam, hlm.53
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/01/033-nifaq-definisi-dan-jenisnya.html,
http://www.scribd.com/doc/8263965/Antara-Ciriciri-Orang-Munafik
http://www.al-madina.s5.com/Aqidah.htm, http://belajartauhid.wordpress.com/category/nifaq/,
http://abuayaz.posterous.com/2010/07/jenis-jenis-nifaq-munafik.html,
http://www.sabah.org.my/
http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/532-syiah--penjelasan-oleh-jakim.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan