1.5 Keistimewaan Tafsir al-Quran al-‘Azim
Ibn Kathir sering memberi peringatan kepada pembaca tentang riwayat Israiliyyat yang tertolak. Beliau menerangkan bagaimana riwayat ini menyerap masuk ke dalam Islam, dari mana ia datang dan sebagainya. Perkara ini tidaklah pelik kerana beliau seorang yang alim di dalam ilmu hadis meliputi matan dan sanad hadis, keadaan perawi ditambah dengan pengetahuannya yang luas tentang agama samawiy dan kitab-kitab mereka[1]
Ibn Kathir juga merupakan seorang sejarawan. Lazimnya seorang sejarawan akan mempermudahkan periwayatan sesuatu berita. Namun keadaan ini tidak berlaku terhadap Ibn Kathir. Ini mungkin disebabkan beliau seorang yang mahir dalam ilmu hadis. Kata al-Zahabi, kita tidak menjumpai seorang ahli tafsir yang mempunyai kehebatan dalam kritikan terhadap sesuatu sumber sehingga dapat membezakan yang mana sahih dan batil seperti Ibn Kathir.[2]
Selain itu, Ibn Kathir juga telah membuang hadis-hadis yang daif, hadis sahih yang berulang, sanad dan juga Israiliyyat. Tuntasnya tafsir al-Quran al-‘Azim merupakan sebuah kitab tafsir yang cukup baik bagi seorang pengkaji baru di dalam ilmu tafsir
Beliau juga membincangkan persoalan cabang dalam bidang fiqh. Beliau akan mengemukakan pendapat ulama berkenaan sesuatu tafsiran berserta dalilnya.[3]
Beliau juga mengemukakan cara qira’at dalam tafsirnya dan Asbab al-nuzul bagi sesuatu ayat. Asbab al-nuzul akan diterangkan secara terperinci mengikut riwayat hadis yang menyebut tentang ayat berkenaan[4]
Dari segi penggunaan bahasa, tafsir ini dianggap sebagai tafsir yang mudah difahami kerana beliau menggunakan lafaz yang ringkas tetapi memberi makna yang menyeluruh.[5]
Abu Syuhbah berkata bahawa tafsir ini merupakan sebaik-baik tafsir yang menggabungkan di antara tafsir dan takwil, riwayat dan dirayat dengan memberi tumpuan khusus terhadap sanad dari sudut kesahihan dan kelemahannya. Ia juga banyak memasukkan unsur-unsur kritikan perawi (naqd al-rijal) dan jarh takdil. [6]
Ibn Hajar pula mengeluarkan pandangannya terhadap tafsir ini: “ Beliau (Ibn Kathir) adalah ahli hadis yang faqih. Karya-karya penulisannya tersebar luas di pelbagai negeri semasa hidupnya dan dimanfaatkan oleh orang ramai setelah beliau meninggal.[7]
[1] Ramzi Nakna’ah, al-Israiliyyat wa Atharuha fi Kutub al-Tafsir, Dar al- ‘Ilm & Dar al-Diya, Beirut & Dimasyq, (t.thn.), hlm.321-322, Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, Pengantar Usul Tafsir, Intel Multimedia & Publication, Selangor, 2010, hlm.93, Al-Zahabi, Muhammad Husayn, al-Israiliyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith, Maktabah Wahbah, Qaherah, (t.thn.), hlm.107-108, Abu Syuhbah, Muhammad bin Muhammad, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, Maktabah Sunnah, (t.tmpt), (t.thn.), hlm. 129
[2] Ramzi Nakna’ah, al-Israiliyyat wa Atharuha fi Kutub al-Tafsir, Dar al- ‘Ilm & Dar al-Diya, Beirut & Dimasyq, (t.thn.), hlm.107, Al-Zahabi, Muhammad Husayn, al-Israiliyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith, Maktabah Wahbah, Qaherah, (t.thn.), hlm.107-108
[3] Manna’ Qattan, Mabahith Fi ‘Ulum al-Quran, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Riyadh, 2000, hlm. 377
[4] Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.88
[5] Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.88
[6]Abu Syuhbah, Muhammad bin Muhammad, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, Maktabah Sunnah, (t.tmpt), (t.thn.), hlm. 128
[7] Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, Pengantar Usul Tafsir, Intel Multimedia & Publication, Selangor, 2010, hlm.94
Tiada ulasan:
Catat Ulasan