Khamis, 21 Jun 2012

Metodologi Penulisan Ibn Kathir dalam tafsir


1.3 Metodologi Penulisan Ibn Kathir
Secara keseluruhannya ada 3 perkara penting yang menjadi asas metodologi Ibn Kathir dalam tafsirnya iaitu pergantungan kepada sumber yang ma’thur, penerangan tentang Israiliyyat dan penjelasan tentang hukum.[1]

1.3.1 Sumber Yang Ma’thur
Apabila mentafsirkan sesuatu ayat, Ibn Kathir akan merujuk kepada sumber yang ma’thur. Sumber ma’thur( tafsir bil ma’thur) ialah penafsiran al-Quran yang bersandar kepada riwayat-riwayat yang sahih menurut urutan yang telah disebutkan di dalam syarat-syarat seorang ahli tafsir iaitu tafsir al-Quran dengan al-Quran, dengan sunnah, pendapat sahabat dan tabiin.[2]Ringkasnya tafsir bil ma’thur ada 4 jenis iaitu:[3]
a) mentafsirkan al-Quran dengan al-Quran
Contohnya apabila Ibnu Kathir mentafsirkan Istiazah dan menjelaskan hukumnya semasa mentafsirkan surah al-Fatihah, beliau menyebut ayat yang memerintahkan orang mukmin supaya memohon perlindungan dari Allah SWT dari surah al-a’raf yang mentafsirkan makna isti’azah itu.[4]
واما ينزغنك من الشيطان نزغ فاستعذ بالله انه سميع عليم  
)Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan Maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.(

b)      mentafsirkan al-Quran dengan sunnah
Jika tidak didapati keterangan daripada ayat al-Quran, maka Ibn Kathir akan mentafsirkannya berdasarkan hadis yang sahih. Contohnya semasa menafsirkan ayat 284 surah al-Baqarah:[5]

لله ما في السموت وما في الأرض وان تبدوا ما في أنفسكم أو تحفوه يحاسبكم به الله فيغفر لمن يشاء ويعذب من يشاء ولله علي كل شيء قدير
(Kepunyaan Allahlah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu)

Semasa mentafsirkan ayat ini, Ibnu Kathir menyebut hadith-hadith ketika turunnya ayat ini yang menunjukkan ianya sangat berat bagi sahabat kerana Allah memberitahu bahawa Dia(Allah) akan menghitung lintasan hati mereka. Walaubagaimanapun lintasan di hati tidak akan dihukum sehinggalah ialah dizahirkan dalam bentuk perbuatan. Di antara hadis berkenaan ialah:

1)      (Sesungguhnya Allah tidak menghukum umatku dalam perkara yang terlintas dihati selagi mana tidak dilakukan atau diperkatakan-Bukhari)

2)      (Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman: Sekiranya hambaku berniat untuk melakukan sesuatu keburukan maka ia tidak akan ditulis, dan sekiranya dilakukan maka dicatat satu keburukan, Sekiranya hambaku berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan maka akan ditulis satu kebaikan, sekiranya dilakukan maka dicatat sepuluh kebaikan-Muslim)


c)      mentafsirkan al-Quran dengan pendapat sahabat.
Apabila tidak terdapat keterangan daripada al-Quran dan hadis, beliau akan merujuk kepada pendapat para sahabat. Ini kerana para sahabat merupakan orang yang adil dan mereka merupakan orang yang paling mengetahui tentang keadaan wahyu semasa ianya diturunkan. Ini berdasarkan kata-kata IbnuMas’ud: Demi  Allah  tidak suatu ayat itu turun kecuali aku tahu bagi siapa ayat itu turun dan di mana turunnya. Dan, jika ada seseorang yang lebih mengetahui dariku mengenai kitab Allah, pastilah aku akan mendatanginya.
Contohnya seperti tafsiran beliau untuk ayat 10 surah al-Baqarah berkenaan dengan orang munafik. Firman Allah SWT:[6]
في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون
( Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta)
Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini menyebut beberapa tafsiran yang diberikan oleh sahabat dan tabiin. Di antaranya tafsiran dari Ibnu Abbas, Ibnu Masud dan beberapa sahabat nabi yang lain bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah dalam hati mereka (orang munafik) ada perasaan syak lalu Allah menambah syak mereka. Beliau juga menyebut pendapat para sahabat dan tabiin yang lain di dalam menafsirkan ayat ini

d)     merujuk kepada pendapat tabiin
Cara ini merupakan cara terakhir dalam menafsirkan al-Quran dengan metode bil ma’thur. Ibn Kathir berpendapat tafsiran tabiin dapat diterima apabila mereka tidak berselisih pendapat mengenai sesuatu perkara. Jika mereka berselisih pendapat terhadap sesuatu tafsiran, maka pendapat tersebut hendaklah diteliti terlebih dahulu dengan merujuk kepada kaedah bahasa al-Quran atau sunnah atau merujuk kepada keumuman bahasa arab atau pendapat para sahabat untuk menentukan kebenarannya.[7]

1.3.2 Penjelasan Tentang Israiliyat
Beliau juga menjelaskan dalam tafsirnya riwayat-riwayat Israiliyyat dan memberikan pendapatnya berkaitan riwayat itu. Contohnya semasa menafsirkan kisah lembu betina, selepas beliau mengemukakan riwayat-riwayat berkaitan lembu betina beliau menegaskan bahawa riwayat ini diambil daripada kitab-kitab Bani Israel. Ia merupakan riwayat yang harus untuk kita menukilkannya namun kita tidak sekali-kali membenarkannya dan tidak juga menolaknya. Justeru itu, kita tidak berpegang dengannya kecuali apa yang bersamaan dengan al-Quran dan sunnah[8]

1.3.3 Perbincangan Hukum Feqh
Selain itu, Ibn Kathir juga turut membicarakan masalah feqh. Apabila beliau mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan hukum, beliau akan menyebut pandangan para ulama disertai dengan dalil masing-masing. Kemudian beliau akan mentarjihkan pendapat itu berdasarkan dalil yang paling mantap. Sebagai contohnya semasa beliau mentafsirkan ayat 185 al-baqarah, jika kamu dapat melihatnya maka berpuasalah. Beliau menyebut 4 masalah yang berkaitan dengan ayat ini. Kemudian beliau menyebutkan pandangan para ulama tentangnya berserta dalil mereka.[9]


[3] Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, PengantarUsulTafsir, Intel Multimedia & Publication, 2010, hlm.93, Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.18, www.sabknilai.bpi.edu.my/.../4-fail?...ibn-kathir

[7] Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, Pengantar Usul Tafsir, Intel Multimedia & Publication, Selangor, 2010, hlm.93

[8] Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.88, http://www.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=38745

[9] Al-Zahabi, Muhammad  Husayn, al-Tafsir wa al-Mufassirun, MaktabahWahbah, Qaherah, jil.1, 2000, hlm.176, Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar binKathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Al-Matabah al-Taufiqiyyah, Qaherah, jil.1-2, t.thn., Hlm. 280, http://www.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=38745





Tiada ulasan: