Jumaat, 2 Ogos 2013

karl marx dan agama candu masyarakat



1) PENGENALAN
Agama candu masyarakat. Inilah ungkapan Karl Marx yang selalu dicanang orang. Candu sememangnya diketahui ramai sebagai sesuatu yang memabukkan sementara agama pula dilihat sebagai suatu yang kudus. Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan agama sebagai candu masyarakat? Apakah sebenarnya yang ingin diutarakan oleh Marx. Kertas kerja ini akan menghuraikan secara ringkas pengertian berkenaan di samping mengemukakan pandangan pengkritik Marx. Sebelum itu, akan dihuraikan biografi ringkas dan pandangan Marx terhadap agama secara umum

2) BIOGRAFI RINGKAS KARL MARX
Pendidikan awalnya bermula di rumah sehingga umurnya 13 tahun. Kemudian beliau ke Gymnasium Trier dan setelah lulus, Marx melanjutkan pelajarannya di Universiti Bonn dalam fakulti undang-undang. Beliau tidak berjaya di sini lalu ayahnya memaksa Marx untuk belajar di Universiti Friedrich-Wilhems di Berlin. (http://en.wikipedia.org/wiki/Karl_Marx)
Di Berlin Marx banyak menulis tentang puisi dan makna kehidupan dengan menggunakan ungkapan-ungkapan teologi. Minatnya mula mengarah kepada falsafah dan menyertai kelab Young Hegelian, kelab yang menggunakan metodologi dialektika Hegel sebagai senjata untuk mengkritik politik dan agama pada waktu itu (ibid)
Marx menyambung pengajiannya di University Jena dan mendapat ijazah kedoktoran. ketika berusia 23 tahun. Tamat belajar Marx bertugas di pejabah akhbar. Kemudiannya di atas tekanan daripada pihak pemerintah, Marx berpindah ke Paris dan mendirikan rumahtangga.
Semasa berada di Paris Marx bertemu dengan tokoh-tokoh sosialis serta berkenalan rapat dengan Friedrich Engels. Tempohnya di Paris menjadikannya seorang sosialis. Terdapat 3 karya penting yang ditulisnya semasa berada di Peranchis. Pertamanya Philosophical and Economic Manuscripts yang dikarang pada 1884. Sementara penulisannya yang kedua berjudul The Holy Family (sebahagian tulisannya ditulis oleh Engels) dan ketiga naskah usahasama bersama Engels yang bertajuk The German Idealogy (1846) (http://www.spartacus.schoolnet.co.uk/)
            Pada 1845 Marx berpindah ke Brussel kerana dihalau oleh pemerintah Peranchis di atas permintaan Prussia. Di Belgium, Marx dan Engels menulis The Comunist manifesto yang disifatkan sebagai karyanya yang paling terkenal
Seterusnya pada 1848 Marx diusir sekali lagi dan berpindah ke London dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sana. (http://id.wikipedia.org/wiki/Karl_Marx)

3) KARL MARX DALAM THE INTELECTUAL
Karl Marx merupakan seorang pemikir yang disanjung oleh aktivis kiri. Para pengikutnya menggelarnya sebagai seorang pejuang sejati atau hero yang membela kaum buruh dan mereka yang tertindas
Walau bagaimanapun Paul Johnson dalam bukunya The Intelectual menjelaskan bahawa Marx seorang yang pemarah dan tidak mampu menguruskan kehidupannya dengan sempurna. Ketika bergelar pelajar, dia sering membazir dan menghabiskan wang yang dikirim oleh ayahnya bahkan selalu meminta duit lebih walaupun ayahnya tidak mempunyai wang. Ketika ayahnya meninggal dunia, Marx tidak menghadiri majlis pengebumiannya. Setelah ayahnya meninggal, Marx bergantung hidup kepada ibunya yang janda (http://el-zaila.blogspot.com)
Karl Marx juga seorang penganggur dan tidak pernah serius mencari kerja. Dia pernah berkerja di syarikta penerbitan milik Moses Hess, seorang pengkagum Marx. Kehidupannya susah bahkan ketikda hidup dalam buangan di England, rakan baiknya Engels yang menyara hidupnya. Buku tersebut juga menyebut Marx seorang pemabuk dan perokok tegar. Rumah dan bilik tidurnya kotor. Marx juga pernah melakukan keganasan rumahtangga sehingga pernah dipanggil mengadap polis. Hidupnya tidak teratur (http://el-zaila.blogspot.com)

4) PANDANGAN UMUM MARX TERHADAP AGAMA
Apabila berbicara tentang kritikan Marx terhadap agama, kita tidak dapat lari daripada turut berbicara tentang 2 orang tokoh yang sangat mempengaruhi Marx. Mereka ialah Friedrich Hegel (1770-1831) dan Ludwig Feuerbach (1804-1872).

Hegel berpendapat bahawa Allah mengungkapkan diriNya dalam kesedaran manusia. Manusia memiliki autonomi dan kebebasan pada dirinya namun kebebasan itu mempunyai reailiti yang tersirat. Hegel menegaskan bahawa Allah yang diimani oleh manusia merupakan kerja roh semesta. Manusia kemudiannya dilihat sebagai wayang yang memiliki kesedaran, pengertian atau makna dan kemahuan sendiri sedangkan tok dalangnya adalah roh semesta itu. Secara eksistensial, manusia itu ada dan bertindak dari dirinya sendiri. Namun pelaku yang sebenarnya adalah Roh Semesta itu sendiri. (http://yornesofm.blogspot.com/)

Sementara tokoh yang kedua ialah Feuerbach. Bagi Feuerbach Allah merupakan suatu yang abstrak, ciptaan fikiran manusia. Manusia dapat memahami dirinya sendiri. Justeru itu, tiada sesuatu yang lain di luar manusia. Beliau juga berpendapat bahawa agama muncul dari sifat ego manusia itu sendiri. Tegasnya lagi bahawa manusia beragama bukannya atas dasar keimanan, namun di atas dasar ego atau kemahuan. Ringkasnya Feuerbach mengatakan bahawa agama hanyalah sebuah fantasi manusia untuk mencapai kesejahteraan. (ibid)
      
Karl Marx pula menolak pendekatan Hegel terhadap agama. Ia sependapat dengan Feuerbach bahawa manusia yang mencipta agama, bukan sebaliknya. Bagi Marx, manusia merasakan dirinya terpencil atau terasing disebabkan pelbagai persoalan tentang  penderitaan dan kemelaratan yang tidak mampu dijawab lalu membawa pengasingan dirinya kepada agama. Justeru itu cara hidup beragama sebenarnya merupakan produk dari proses pemencilan dirinya sendiri (ibid)

5) AGAMA SEBAGAI CANDU MASYARAKAT
Marx pernah menulis dalam Toward the Critique of Hegel's Philosophy of Right yang dikarangnya pada tahun 1844, bahawa agama adalah candu masyarakat. Ini ialah pendapat Marx muda. Kata-katanya ini menimbulkan polemik dan menjadi tajuk perdebatan yang panjang
Jika diteliti, pendapat ini berpunca daripada pengalaman Marx yang melihat pemimpin dan gereja eropah menindas rakyat dengan menggunakan agama. Mereka bukan sahaja menjadi penyokong kuat kepada kerajaan yang menindas, bahkan mereka juga turut meracuni pemikiran rakyat supaya pasrah dan reda dengan keadaan mereka yang ditindas. (http://matamin02.blogspot.com, http://atheism.about.com/)
Golongan agama juga mengajar penganutnya supaya pasrah dan reda dengan kemelaratan hidup dan sebagai balasannya mereka akan mendapat kenikmatan selepas mati dan beroleh syurga. Justeru itu, masyarakat bawahan yang selama ini hidup melarat dan tertindas menjadi pasif dan tidak berkeinginan untuk mengubah taraf hidup mereka. Itulah puncanya Marx mengatakan agama sebagai candu rakyat.  (http://fajrulislam.wordpress.com)
Sementara itu, golongan kelas atas pula mengeksploitasi kelas bawah dengan menggunakan agama. Ini kerana agama mengajar penganutnya (kelas bawah) seupaya sentiasa berpuas hati dengan kemelaratan serta reda dengan kesusahan dan taraf hidup. Ini ditambah pula dengan tawaran syurga dan kenikmatan hidup selepas mati jika bersabar dan pasrah. (http://atheism.about.com/)
Marx juga menyifatkan agama seperti candu yang memberi kelegaan dan keseronokan sementara kepada pengisapnya. Seperti penghisap candu, mereka akan dapat merasakan kepuasan atau keseronokan dan melupakan sementara masalah-masalah hidup yang mereka hadapi. Apabila kesan candu itu hilang, mereka akan kembali ke dunia realiti dan berhadapan dengan masalah yang mereka hadapi seperti kemiskinan dan kemelaratan hidup dan sebagainya. Tegasnya, candu hanya memberikan kepuasan sementara dan realiti masalah yang dihadapi sebenarnya tetap wujud bahkan mungkin bertambah. (http://filsafat.kompasiana.com, http://atheism.about.com/)

Agama dalam fahaman Marx tidak memberi jalan keluar kepada semua permasalahan hidup manusia. Permasalahan hidup di sini ialah masalah yang melibatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan manusia secara material. Agama mengajar penganutnya supaya sentiasa bersabar dan bersedia menanggung penderitaan daripada menyuruh penganutnya berusaha membaiki dan mengubah keadaan hidup mereka yang menderita. Agama dalam masalah ini cenderung meninggalkan usaha manusia untuk berkerja keras memperbaiki taraf hidupnya di dunia dan sentiasa menjanjikan kenikmatan hidup mereka sesudah mati. Lama-kelamaan manusia yang tertindas ini menjadi tidak produktif dan sentiasa berfikir (atau berkhayal) tentang nikmat hidup sesudah mati. Kesemua ini telah menjadikan agama membiarkan manusia yang telah pun sengsara dan tertindas kekal dalam keadaan berikut dan mereka menerima apa sahaja walaupun mereka berada dalam keadaan menderita. Agama mengajak orang untuk berani menanggungnya karena sikap menanggung itu sendiri dipandang sebagai keutamaan. Justeru untuk melepaskan diri daripada penderitaan hidup, manusia akan mengalihkan tumpuan kepada agama tanpa memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki taraf hidup merreka. Inilah yang disifatkan oleh Marx sebagai candu kerana ianya memberi keseronokan sementara sahaja (http://fajrulislam.wordpress.com/ http://atheism.about.com/)
Menurut Marx lagi, agama merupakan tanda keterasingan manusia daripada realiti hidup.  Orang-orang yang beragama mempunyai perasaan takut dan sangat cemas tentang suatu jawapan yang belum atau tidak pasti tentang hakikat manusia. Agama dilihat sebagai suatu penderitaan yang berpunca daripada protes terhadap kesusahan dan kemelaratan hidup (http://euroninila.hubpages.com/, http://diglotting.com/)
Marx berpendapat bahawa sebelum manusia dapat mencapai kebahagiaan sejati, agama mestilah dihapuskan kerana agama menjadi suatu kebahagiaan sementara bagi mereka yang tertindas. Walau bagaimanapun agama tidak dapat dihapuskan kerana agama merupakan suatu produk sosial kecuali dengan terlebih dahulu menghapuskan keadaan sosial tersebut. Marx juga yakin bahawa agama tidak mempunyai masa depan kerana baginya agama bukanlah naluri manusia yang ingin beragama tetapi hanyalah merupakan produk dari lingkungan dan persekitaran sosial manusia. Pendapat Marx ini merujuk kepada tesis Feurbach yang ketujuh bahawa sentiment agama itu merupakan suatu produk sosial (http://diglotting.com, http://el-zaila.blogspot.com/ )
6) KRITIKAN TERHADAP PANDANGAN MARX
Secara ringkasnya terdapat 3 poin penting kritikan karl Marx terhadap agama. Justeru itu bahagian ini akan memberi tumpuan kepada 3 isi penting ini sahaja iaitu agama sebagai produk sosial manusia, menyebabkan manusia tidak produktif dan pasif serta tidak mampu menjadi penyelesai kepada masalah manusia
1) agama merupakan produk sosial manusia.
Secara ringkasnya agama boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu agama semitik dan bukan semitik. Agama semitik seperti yahudi, kristian dan Islam bukanlah merupakan hasil jalur pemikiran manusia yang berinteraksi dengan zaman. Walau bagaimanapun agama-agama semitik terdedah kepada tafsiran manusia yang mempunyai kepentingan peribadi. Justeru setiap tafsiran terhadap agama mestilah dihalakan kepada ahlinya dan melalui sumbernya yang sah. Walau pun mungkin ada agama yang boleh dianggap sebagai idealogi, namun tidak semestinya itu mencerminkan kesemua agama sebagai produk sosial. Ringkasnya Marx tidak melihat keseluruhan agama sebagai pusat kajiannya. 

2) agama menyebabkan manusia menjadi tidak produktif dan pasif
Islam merupakan agama yang berbeza dengan kristian. Islam bukan hanya mempunyai ibadat-ibadat yang dikatakan ritual agama, bahkan Islam mempunyai system ekonomi, sistem jenayah, tort, dan sebagainya. Islam juga menyeru penganutnya supaya bertebaran di muka bumi mencari rezeki. Jelasnya Islam menentang pengangguran dan kemiskinan. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh usmat Islam keluar berkerja mencari rezeki
Namun tidak dinafikan terdapat sebahagian penganut Islam yang malas berkerja dan berfikiran negatif dan pasif. Mereka juga menyerahkan nasibnya semata-mata kepada Tuhan tanpa berusaha memperbaiki nasib mereka. Mereka kadang-kadang akan menyalahtafsirkan ayat-ayat Quran untuk membenarkan tidakan mereka. Perbuatan mereka ini tidak boleh dijadikan hujah bahawa Islam merupakan agama yang menyeru penganutnya supaya pasrah dan reda dengan tidak berusaha.
Weber juga mengkritik marx di dalam bukunya kerana setelah dibuat pemerhatian, kawasan yang dihuni ramai golongan kristian protestan lebih maju dan mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi berbanding kawasan yang ramai penganutnya bukan protestan. Justeru itu, pandangan Marx bahawa agama menyebabkan manusia menjadi tidak proaktif tidak tepat kerana kelihatan pengamatannya berpusatkan kepada Katolik. (http://subalternholic.blogspot.com)

3) agama bukannya penyelesai kepada masalah manusia.
kemungkinan besar apa yang disebut oleh Marx itu merujuk kepada agama yang dominan di sekitarnya dan pada zamannya. Ini ditambah pula dengan segolongan elitis agama yang mengambil kesempatan di atas nama agama untuk menindas golongan bawahan. Marx terlupa bahawa Islam pernah menjadi sebuah empayar yang menyatukan pelbagai bangsa dan menjadi penyelesai kepada masalah manusia
Kesimpulannya penilaian yang dilakukan Marx terhadap agama tidaklah menyeluruh sementara pemusatan kajiannya lebih kepada agama kristian Katolik. Marx juga melakukan kritkannya berpaksikan kepada faktor ekonomi semata-mata. Justeru itu beliau gagal melihat kemunculan agama sebagai suatu faktor kekuatan yang mendorong kepada berlakunya transformasi sosial sepertimana kemunculan agama kristian sebagai reaksi terhadap pemerintahan rom yang zalim. Selain itu, analisanya terhadap agama tidak boleh dilakukan kepada agama yang tidak mempercayai adanya kehidupan selepas mati. (http://filsafat.kompasiana.com)
7) BANTAHAN WEBER TERHADAP MARX
Pandangan Marx bahawa agama sebagai candu dan tempat pelarian (melarikan diri atau melupakan masalah) dibantah oleh Max Weber dalam bukunya Protestan Ethic and Spirit Of Capitalism. Beliau menjelaskan bahawa ada perbezaan di antara kehidupan penganut kristian Katolik dan Protestan. Setelah melakukan penelitian, Weber merumuskan bahawa tempat atau kawasan yang sebahagian besar penduduknya Protestan mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik berbanding tempat yang penduduknya tidak beragama kristian Protestan. (http://subalternholic.blogspot.com)
Weber juga menjelaskan bahawa sebuah agama juga mempunyai nila-nilai positif kapitalisme. Contohnya ungkapan Benjamin Franklin yang masyhur bahawa waktu atau masa ialah wang. Ungkapan ini sebenarnya merupakan suatu semangat atau nilai kapitalis yang muncul di dalam Protestan dan ia telah menjadi suatu bentuk motivasi kepada manusia untuk berusaha dan berkerja keras mencari rezeki (wang). Ungkapan ini sebenarnya bukanlah suatu anak kunci yang menjamin kebahagiaan di dunia tetapi menjadi suatu etika yang khusus yang memberi kesan ekonomi yang besar kepada penganut Protestan. Para penganut Protestan percaya bahawa kejayaan atau kegagalan hidup di dunia menjadi cermin kejayaan atau kegagalan manusia tersebut selepas mati. Selain itu, konsep berjimat cermat, disiplin, jujur dan selainnya menjadi etika yang mesti diamalkan oleh seorang Protestan (ibid)
Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa Weber menjelaskan kesesuaian dan peranan agama dalam meningkatkan kualiti dan taraf hidup manusia. Dogma-dogma agama menjadi faktor penting dalam membentuk dan mengembangkan taraf ekonomi para kapitalis. Tuntaasnya kapitalis bukan hanya bergantung kepada logic, namun juga kepada dogma agama yang ada (Weber, M. 1992. Etika Protestan dan Spirit Kapitalisme. Yogyakarta: Pustaka Pelajar)
8) PENUTUP
Secara keseluruhannya, perkataan Marx bahawa agama merupakan candu masyarakat harus dlihat dan dihayati sebagai suatu hasil pemikiran Marx yang hidup dalam suasana dan zaman yang berbeza dengan hari ini. Ia merupakan hasil kritis Marx menghadapi kelesuan dan ketakutan manusia pada zaman itu untuk berfikir secara rasional dan kritis yang melihat sebagai perjuangan untuk meningkatkan taraf kehidupan sebagai suatu yang sia-sia. Justeru itu, Marx lebih melihat isu ini sebagai isu yang berpusatkan kenyataan dan realiti masyarakat bukannya suatu isu yang mempersoalkan perkara pokok dalam agama. 
Walau bagaimanapun tidak semua yang Marx katakan itu sesuai untuk kita umat manusia di nusantara khasnya yang beragama Islam. Apa yang boleh disimpulkan ialah pemikiran Marx kalaulah bermanfaat sekalipun lebih merupakan preskripsi ubat untuk menghadapi penyakit masyarakatnya dan pada zamannya. Realitinya banyak ramalan dan andaian Marx agak tersasar dan tidak menepati sasarannya
RUJUKAN
Weber, M. 1992. Etika Protestan dan Spirit Kapitalisme. Yogyakarta: Pustaka Pelajar

Sabtu, 27 Julai 2013

tazkirah ramadan (10)



TAZKIRAH RAMADAN (10)

10 MALAM TERAKHIR RAMADAN &
LAILATUL QADR

PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2013



Hadis 10 Malam Terakhir Ramadan
Terdapat hadis-hadis yang menceritakan keadaan Rasulullah SAW pada 10 malam terakhir Ramadan.

Di antaranya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah ra (Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain- Muslim)
(Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)- Bukhari & Muslim)
(Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)- Bukhari & Muslim)
Rahsia Kesungguhan Nabi SAW
Menurut Qaradawi, Baginda SAW melakukan ibadat dengan begitu bersungguh-sungguh pada period ini disebabkan 2 faktor.

Faktor pertama ialah ia merupakan penghujung Ramadan sedangkan setiap amalan dikira pada akhirnya. Justeru itu, salah satu daripada doa Rasulullah SAW (Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik hariku ialah hari aku menemuiMu, dan sebaik-baik umurku ialah pada akhirnya, dan sebaik-baik amalanku ialah pada penghujungnya)

Faktor kedua ialah kerana pada malam ini terdapatnya suatu malam yang cukup istimewa iaitu malam al-Qadr.

Bilakah Lailatul Qadr
Terdapat 27 atau 45 pendapat tentang bilakah lailatul qadr. Yang paling masyhur ialah lailatul qadr jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan (Carilah Lailatul Qadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan -Bukhari)

Tarikh tetap atau berubah?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa tarikh Lailatul Qadr bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan. Sebilangan besar ulama termasuk Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia berubah pada setiap tahun dan tidak kekal statik hanya pada satu tarikh tertentu
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan hadis Nabi SAW(Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir- Bukhari & Muslim)
Di antara tarikh 25, 27 dan 29 Ramadan ini, malam 27 merupakan malam yang paling ditunggu oleh kebanyakan umat Islam di Negara Arab. Pada malam ini mereka akan mengadakan suatu majlis khusus untuk menyambut malam berkenaan dengan dihadiri oleh raja atau presiden sendiri.
Selain itu, tarikh 27 ini juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut (Malam al-Qadar adalah malam ke dua puluh tujuh- Ahmad, Abu Daawud)

Bagaimana Menghidupkan Malam al-Qadr
Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). (A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamullail –Muslim)

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadr, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)

Ibadat Wanita Yang Uzur
Bagaimanakah caranya bagi wanita yang uzur melakukan ibadat pada malam ini? Bagi wanita yang uzur, mereka bolehlah melakukan pelbagai ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-quran daripada bacaan orang lain atau pun melalui radio.


Persoalan Lailatul Qadr
Ada juga orang yang menimbulkan persoalan tentang masalah perbezaan permulaan puasa di antara negara yang berbeza. Contohnya Negara Thailand berpuasa pada 1 Ramadan yang bersamaan dengan 1 Julai sementara Negara Malaysia mula berpuasa pada 2 Julai. Justeru itu, malam yang dianggap ganjil di Malaysia boleh jadi malam yang genap di Thailand dan sebaliknya. Justeru itu, mana satukah malam yang genap dan mana satukah malam yang ganjil?

Bagi menjelaskan persoalan ini, Syeikh Qaradawi menerangkan bahawa seeloknya kita memperbanyakkan amal ibadat pada setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan tanpa mengambil kira samada malam genap atau ganjil. Ini kerana apabila kita telah ketahui secara tepat bahawa malam tertentu merupakan malam al-Qadr maka berkemungkinan kita hanya akan menambah amal pada malam tersebut sahaja dengan mengabaikan malam-malam yang lain. Tarikh malam ini sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Rahsia ini menjadi suatu motivasi kepada kita untuk melakukan amal ibadat pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT juga merahsiakan Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama secara keseluruhan




 RUJUKAN
http://www.zaharuddin.net/
 http://elmargi.blogspot.com/2010_08_01_archive.html

Sabtu, 20 Julai 2013

tazkirah ramadan 9




TAZKIRAH RAMADAN (9)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
SOLAT TARAWIH
(edisi kemaskini)


1) Sejarah Solat Tarawih
Daripada Urwah bahawa Aisyah mengkhabarkan kepadanya bahawa pada satu malam Rasulullah SAW keluar pada waktu tengah malam lalu Baginda solat di masjid. Lalu beberapa orang sahabat bersolat mengikuti solat Baginda. Pada waktu pagi orang ramai bercerita, (maka pada waktu malam berikutnya) behimpunlah lebih ramai daripada mereka (yang sebelumnya), maka rasulullah SAW pun solat, lalu orang ramai solat mengikutinya. Pada waktu pagi orang ramai bercerita, maka pada malam yang ketiganya ramailah orang di masjid, maka Rasulullah SAW keluar (dan menuju ke dalam masjid) lalu bersolat, maka orang ramai solat dengan solat Baginda. Maka pada malam keempatnya penuh sesaklah masjid dengan ahlinya sehigga baginda keluar untuk menunaikan solat subuh, selepas baginda menunaikan solat subuh, baginda menghadap kepada orang ramai dan mengucap syahadah kemudian bersabda,”amma Ba’d, sesungguhnya aku tahu tentang kamu, tetapi aku takut akan difardukan ia ke atas kamu maka kamu lemah (tidak mampu)”. Rasulullah SAW wafat dan keadaannya seperti yang demikian (Riwayat Bukhari)

Hadis ini menjadi dalil mengenai pensyariatan solat tarawih yang dilakukan secara berjemaah dengan berimamkan Rasulullah SAW. Ia bukanlah merupakan suruhan atau perintah daripada Baginda SAW tetapi merupakan kehendak para sahabat selama 3 malam. Pada malam yang keempat baginda tidak keluar ke masjid untuk bersolat. Keesokan harinya selesai solat subuh, baginda menerangkan sebab tidak keluar ke masjid pada malam yang keempat kerana bimbang solat tarawih akan difardukan

Dalam riwayat yang lain pula diceritakan bahawa terdapat ramai sahabat yang menunggu lalu Baginda SAW menjenguk mereka dan bersabda “Lakukanlah amalan itu mengikut apa yang kamu mampu, sesunguhnya Allah tidak jemu sehinga kamu yang jemu”. Kata Aisyah “Adalah sebaik-baik amalan kepada Rasulullah SAW ialah yang kekal sekalipun sedikit dan Rasulullah SAW apabila melakukan satu solat baginda sentiasa mengekalinya”. (melakukannya secara berterusan- Riwayat Ahmad)

Khalifah Umar bin Al-Khatab ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat tarawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab. Walau bagaimanapun ada sesetengah ulama tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana Rasulullah SAW terlebih dahulu bersolat tarawih secara berjemaah sebelum baginda SAW tidak mahu keluar rumah menunaikan tarawih berjamaah kerana takut solat berkenaan akan difardukan ke atas orang muslimin. Semenjak peristiwa rasulullah tidak keluar bersolat bersama-sama orang ramai menyebakan orang islam bersolat merata tempat di dalam masjid nabawi secara bersendirian. Keadaan ini berterusan sehinggalah zaman Khalifah Abu Bakar. Pada zaman Khalifah Umar barulah beliau mengumpulkan para ahli jamaah di bawah seorang imam pimpinan Ubay bin Kaab.


2) Niat Solat Tarawih
Solat tarawih tidak sah dilakukan dengan hanya berniat semata-mata untuk solat (niat solat mutlak). Ia hendaklah dilaksanakan dengan menyebut tarawih atau qiyam Ramadan. Seperti sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat kerana Allah Taala.

Ia juga hendaklah dilakukan dengan 2 rakaat 1 salam. Jika seseorang itu melakukan solat tarawih dengan 4 rakaat 1 salam, ianya tidak sah kerana menyalahi apa yang telah disyariatkan.

3) Bacaan Surah Dalam Solat
Imam Nawawi di dalam kitabnya al-Azkar menjelaskan bahawa ramai ulama mengatakan seelok-eloknya dibaca keseluruhan al-Quran di dalam solat tarawih sepanjang Ramadan. Ringkasnya al-Quran dibaca satu juzu’ pada setiap malam.

Walau bagaimanapun bacaan ini bukanlah merupakan suatu kemestian atau kewajipan. Oleh itu, bacalah apa sahaja daripada al-Quran dan pilihlah mana-mana surah yang dikehendaki.

4) Bilangan Rakaat Solat Tarawih.
Persoalan ini merupakan persoalan yang sentiasa ditimbulkan setiap kali tibanya Ramadan.

Apabila dikaji semua riwayat berkenaan dengan jumlah rakaat solat tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan generasi salaf, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat tarawih. Solat tarawih termasuk dalam kategori solat sunat pada waktu malam dan ianya boleh dilaksanakan selepas solat isyak sehinggalah terbitnya fajar.

Pendapat yang mengatakan 11 rakaat termasuk witir diambil daripada riwayat Bukhari. Walau bagaimanapun tiada terdapat nas yang melarang jika dilakukan solat tarawih lebih daripada 11 rakaat

Pendapat yang mengatakan 13 rakaat termasuk witir merupakan salah satu riwayat mengenai bilangan rakaat yang dilakukan dalam zaman Saidina Umar sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar

Pendapat yang mengatakan 20 rakaat adalah bilangan solat tarawih yang dilakukan oleh Saidina Umar menurut salah satu riwayat. Pendapat ini merupakan pendapat ramai ulama termasuk Imam Syafie. Imam al-Syafie’ di dalam kitabnya al-Umm berkata: aku melihat mereka di Madinah solat dengan 39 rakaat, dan yang lebih aku sukai ialah 20 rakaat, kerana ia diriwayatkan daripada Umar, dan begitu juga mereka lakukan di Makkah, dan mereka berwitir dengan 3 rakaat.

Dalam riwayat yang lain pula, bilangan rakaat yang dilakukan pada zaman Saidina Umar adalah 11 rakaat. Menurut Imam al-Suyuti, mula-mula yang dilakukan pada zaman Saidina Umar adalah 11 rakaat termasuk witir dan selepas itu 20 rakaat.

Syeikh Yusuf al-Qardawiy pula menjelaskan bahawa soal 40 rakaat, 11 rakaat termasuk witir, 23 rakaat termasuk witir, 39 rakaat atau 41 rakaat adalah dibolehkan sekalipun yang lebih disukai oleh Qardawi ialah 11 rakaat termasuk witir dengan solat dan bacaan yang panjang.

Kesimpulannya ialah…solatlah tarawih, lakukanlah solat tarawih, ambillah kesempatan di bulan Ramadan ini dengan melakukan ibadat tarawih khasnya bersama imam di masjid, bukannya berapa rakaatkah anda solat tarawih.

5) Berjemaah atau bersendirian?
Kata Imam Syafie: adapun qiam bulan Ramadan (solat tarawih) maka solat seorang diri adalah lebih aku sukai.

Imam Tirmizi menjelaskan bahawa Ibn Mubarak, Ahmad dan Ishaq memilih solat berjemaah dalam bulan Ramadan bersama imam. Manakala al-Syafie memilih bahawa seseorang itu solat bersendirian jika dia adalah qari.

Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ mengatakan bahawa ada 2 pendapat yang masyhur. Apa yang sahih dan disepakati oleh ulama-ulama mazhab Syafie, bahawa berjemaah lebih afdal. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa solat tarawih yang dilakukan secara bersendirian lebih afdal. Walau bagaimanapun khilaf di sini adalah bagi orang yang hafal al-Quran, tidak takut malas dan tidak cacat Jemaah dengan ketiadaannya. Jika kita tidak mempunyai salah satu daripada 3 kriteria tersebut maka lebih afdal melakukan solat tarawih secara berjemaah

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.
Justeru itu, marilah sama-sama kita menyambut Ramadan tahun ini dengan melaksanakan solat tarawih dan amalan-amalan yang lain semampu mungkin. Marilah juga kita sama-sama penuhkan masjid dan surau-surau kita tahun ini dengan sama-sama melakukan ibadat kepada Allah. Moga-moga kita diberi kekuatan dan kerahmatan untuk melaksanakannya


Rujukan:
1) Udah Mohsin, Eksklusif Solat-solat Sunat
2) Syeikh Daud Fattani, Munyat al-Musalli