Sabtu, 27 Julai 2013

tazkirah ramadan (10)



TAZKIRAH RAMADAN (10)

10 MALAM TERAKHIR RAMADAN &
LAILATUL QADR

PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2013



Hadis 10 Malam Terakhir Ramadan
Terdapat hadis-hadis yang menceritakan keadaan Rasulullah SAW pada 10 malam terakhir Ramadan.

Di antaranya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah ra (Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain- Muslim)
(Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)- Bukhari & Muslim)
(Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)- Bukhari & Muslim)
Rahsia Kesungguhan Nabi SAW
Menurut Qaradawi, Baginda SAW melakukan ibadat dengan begitu bersungguh-sungguh pada period ini disebabkan 2 faktor.

Faktor pertama ialah ia merupakan penghujung Ramadan sedangkan setiap amalan dikira pada akhirnya. Justeru itu, salah satu daripada doa Rasulullah SAW (Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik hariku ialah hari aku menemuiMu, dan sebaik-baik umurku ialah pada akhirnya, dan sebaik-baik amalanku ialah pada penghujungnya)

Faktor kedua ialah kerana pada malam ini terdapatnya suatu malam yang cukup istimewa iaitu malam al-Qadr.

Bilakah Lailatul Qadr
Terdapat 27 atau 45 pendapat tentang bilakah lailatul qadr. Yang paling masyhur ialah lailatul qadr jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan (Carilah Lailatul Qadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan -Bukhari)

Tarikh tetap atau berubah?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa tarikh Lailatul Qadr bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan. Sebilangan besar ulama termasuk Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia berubah pada setiap tahun dan tidak kekal statik hanya pada satu tarikh tertentu
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan hadis Nabi SAW(Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir- Bukhari & Muslim)
Di antara tarikh 25, 27 dan 29 Ramadan ini, malam 27 merupakan malam yang paling ditunggu oleh kebanyakan umat Islam di Negara Arab. Pada malam ini mereka akan mengadakan suatu majlis khusus untuk menyambut malam berkenaan dengan dihadiri oleh raja atau presiden sendiri.
Selain itu, tarikh 27 ini juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut (Malam al-Qadar adalah malam ke dua puluh tujuh- Ahmad, Abu Daawud)

Bagaimana Menghidupkan Malam al-Qadr
Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). (A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamullail –Muslim)

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadr, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)

Ibadat Wanita Yang Uzur
Bagaimanakah caranya bagi wanita yang uzur melakukan ibadat pada malam ini? Bagi wanita yang uzur, mereka bolehlah melakukan pelbagai ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-quran daripada bacaan orang lain atau pun melalui radio.


Persoalan Lailatul Qadr
Ada juga orang yang menimbulkan persoalan tentang masalah perbezaan permulaan puasa di antara negara yang berbeza. Contohnya Negara Thailand berpuasa pada 1 Ramadan yang bersamaan dengan 1 Julai sementara Negara Malaysia mula berpuasa pada 2 Julai. Justeru itu, malam yang dianggap ganjil di Malaysia boleh jadi malam yang genap di Thailand dan sebaliknya. Justeru itu, mana satukah malam yang genap dan mana satukah malam yang ganjil?

Bagi menjelaskan persoalan ini, Syeikh Qaradawi menerangkan bahawa seeloknya kita memperbanyakkan amal ibadat pada setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan tanpa mengambil kira samada malam genap atau ganjil. Ini kerana apabila kita telah ketahui secara tepat bahawa malam tertentu merupakan malam al-Qadr maka berkemungkinan kita hanya akan menambah amal pada malam tersebut sahaja dengan mengabaikan malam-malam yang lain. Tarikh malam ini sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Rahsia ini menjadi suatu motivasi kepada kita untuk melakukan amal ibadat pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal ini sebagaimana Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT juga merahsiakan Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama secara keseluruhan




 RUJUKAN
http://www.zaharuddin.net/
 http://elmargi.blogspot.com/2010_08_01_archive.html

Tiada ulasan: