TAZKIRAH RAMADAN (9)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
SOLAT TARAWIH
(edisi
kemaskini)
1)
Sejarah Solat Tarawih
Daripada Urwah bahawa Aisyah mengkhabarkan kepadanya
bahawa pada satu malam Rasulullah SAW keluar pada waktu tengah malam lalu
Baginda solat di masjid. Lalu beberapa orang sahabat bersolat mengikuti solat
Baginda. Pada waktu pagi orang ramai bercerita, (maka pada waktu malam
berikutnya) behimpunlah lebih ramai daripada mereka (yang sebelumnya), maka
rasulullah SAW pun solat, lalu orang ramai solat mengikutinya. Pada waktu pagi
orang ramai bercerita, maka pada malam yang ketiganya ramailah orang di masjid,
maka Rasulullah SAW keluar (dan menuju ke dalam masjid) lalu bersolat, maka
orang ramai solat dengan solat Baginda. Maka pada malam keempatnya penuh sesaklah
masjid dengan ahlinya sehigga baginda keluar untuk menunaikan solat subuh,
selepas baginda menunaikan solat subuh, baginda menghadap kepada orang ramai
dan mengucap syahadah kemudian bersabda,”amma
Ba’d, sesungguhnya aku tahu tentang kamu, tetapi aku takut akan difardukan
ia ke atas kamu maka kamu lemah (tidak mampu)”. Rasulullah SAW wafat dan
keadaannya seperti yang demikian (Riwayat Bukhari)
Hadis ini
menjadi dalil mengenai pensyariatan solat tarawih yang dilakukan secara
berjemaah dengan berimamkan Rasulullah SAW. Ia bukanlah merupakan suruhan atau
perintah daripada Baginda SAW tetapi merupakan kehendak para sahabat selama 3
malam. Pada malam yang keempat baginda tidak keluar ke masjid untuk bersolat.
Keesokan harinya selesai solat subuh, baginda menerangkan sebab tidak keluar ke
masjid pada malam yang keempat kerana bimbang solat tarawih akan difardukan
Dalam
riwayat yang lain pula diceritakan bahawa terdapat ramai sahabat yang menunggu
lalu Baginda SAW menjenguk mereka dan bersabda “Lakukanlah amalan itu mengikut
apa yang kamu mampu, sesunguhnya Allah tidak jemu sehinga kamu yang jemu”. Kata
Aisyah “Adalah sebaik-baik amalan kepada Rasulullah SAW ialah yang kekal
sekalipun sedikit dan Rasulullah SAW apabila melakukan satu solat baginda
sentiasa mengekalinya”. (melakukannya secara berterusan- Riwayat Ahmad)
Khalifah
Umar bin Al-Khatab ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan
solat tarawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab. Walau
bagaimanapun ada sesetengah ulama tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana
Rasulullah SAW terlebih dahulu bersolat tarawih secara berjemaah sebelum
baginda SAW tidak mahu keluar rumah menunaikan tarawih berjamaah kerana takut
solat berkenaan akan difardukan ke atas orang muslimin. Semenjak peristiwa
rasulullah tidak keluar bersolat bersama-sama orang ramai menyebakan orang
islam bersolat merata tempat di dalam masjid nabawi secara bersendirian.
Keadaan ini berterusan sehinggalah zaman Khalifah Abu Bakar. Pada zaman
Khalifah Umar barulah beliau mengumpulkan para ahli jamaah di bawah seorang
imam pimpinan Ubay bin Kaab.
2) Niat
Solat Tarawih
Solat tarawih tidak sah dilakukan dengan
hanya berniat semata-mata untuk solat (niat solat mutlak). Ia hendaklah
dilaksanakan dengan menyebut tarawih atau qiyam Ramadan. Seperti sahaja aku
solat sunat tarawih 2 rakaat kerana Allah Taala.
Ia juga hendaklah
dilakukan dengan 2 rakaat 1 salam. Jika seseorang itu melakukan solat tarawih
dengan 4 rakaat 1 salam, ianya tidak sah kerana menyalahi apa yang telah
disyariatkan.
3) Bacaan
Surah Dalam Solat
Imam Nawawi di dalam kitabnya al-Azkar menjelaskan bahawa ramai ulama
mengatakan seelok-eloknya dibaca keseluruhan al-Quran di dalam solat tarawih
sepanjang Ramadan. Ringkasnya al-Quran dibaca satu juzu’ pada setiap malam.
Walau bagaimanapun
bacaan ini bukanlah merupakan suatu kemestian atau kewajipan. Oleh itu, bacalah
apa sahaja daripada al-Quran dan pilihlah mana-mana surah yang dikehendaki.
4)
Bilangan Rakaat Solat Tarawih.
Persoalan ini merupakan persoalan yang sentiasa ditimbulkan
setiap kali tibanya Ramadan.
Apabila
dikaji semua riwayat berkenaan dengan jumlah rakaat solat tarawih yang
dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan generasi salaf, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tidak ada ketetapan
tertentu bagi jumlah rakaat solat tarawih. Solat tarawih termasuk dalam
kategori solat sunat pada waktu malam dan ianya boleh dilaksanakan selepas
solat isyak sehinggalah terbitnya fajar.
Pendapat
yang mengatakan 11 rakaat termasuk witir diambil daripada riwayat Bukhari.
Walau bagaimanapun tiada terdapat nas yang melarang jika dilakukan solat
tarawih lebih daripada 11 rakaat
Pendapat
yang mengatakan 13 rakaat termasuk witir merupakan salah satu riwayat mengenai
bilangan rakaat yang dilakukan dalam zaman Saidina Umar sebagaimana yang
disebut oleh Ibn Hajar
Pendapat
yang mengatakan 20 rakaat adalah bilangan solat tarawih yang dilakukan oleh
Saidina Umar menurut salah satu riwayat. Pendapat ini merupakan pendapat ramai
ulama termasuk Imam Syafie. Imam al-Syafie’ di dalam kitabnya al-Umm berkata: aku melihat mereka di
Madinah solat dengan 39 rakaat, dan yang lebih aku sukai ialah 20 rakaat,
kerana ia diriwayatkan daripada Umar, dan begitu juga mereka lakukan di Makkah,
dan mereka berwitir dengan 3 rakaat.
Dalam
riwayat yang lain pula, bilangan rakaat yang dilakukan pada zaman Saidina Umar
adalah 11 rakaat. Menurut Imam al-Suyuti, mula-mula yang dilakukan pada zaman
Saidina Umar adalah 11 rakaat termasuk witir dan selepas itu 20 rakaat.
Syeikh Yusuf
al-Qardawiy pula menjelaskan bahawa soal 40 rakaat, 11 rakaat termasuk witir,
23 rakaat termasuk witir, 39 rakaat atau 41 rakaat adalah dibolehkan sekalipun
yang lebih disukai oleh Qardawi ialah 11 rakaat termasuk witir dengan solat dan
bacaan yang panjang.
Kesimpulannya ialah…solatlah
tarawih, lakukanlah solat tarawih, ambillah kesempatan di bulan Ramadan ini
dengan melakukan ibadat tarawih khasnya bersama imam di masjid, bukannya berapa
rakaatkah anda solat tarawih.
5) Berjemaah
atau bersendirian?
Kata Imam Syafie: adapun qiam bulan Ramadan
(solat tarawih) maka solat seorang diri adalah lebih aku sukai.
Imam Tirmizi
menjelaskan bahawa Ibn Mubarak, Ahmad dan Ishaq memilih solat berjemaah dalam
bulan Ramadan bersama imam. Manakala al-Syafie memilih bahawa seseorang itu
solat bersendirian jika dia adalah qari.
Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ mengatakan bahawa ada 2
pendapat yang masyhur. Apa yang sahih dan disepakati oleh ulama-ulama mazhab
Syafie, bahawa berjemaah lebih afdal. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa
solat tarawih yang dilakukan secara bersendirian lebih afdal. Walau
bagaimanapun khilaf di sini adalah bagi orang yang hafal al-Quran, tidak takut
malas dan tidak cacat Jemaah dengan ketiadaannya. Jika kita tidak mempunyai salah
satu daripada 3 kriteria tersebut maka lebih afdal melakukan solat tarawih
secara berjemaah
Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga
selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang
malam.
Justeru
itu, marilah sama-sama kita menyambut Ramadan tahun ini dengan melaksanakan
solat tarawih dan amalan-amalan yang lain semampu mungkin. Marilah juga kita
sama-sama penuhkan masjid dan surau-surau kita tahun ini dengan sama-sama
melakukan ibadat kepada Allah. Moga-moga kita diberi kekuatan dan kerahmatan
untuk melaksanakannya
Rujukan:
1) Udah Mohsin, Eksklusif Solat-solat Sunat
2) Syeikh Daud Fattani, Munyat al-Musalli
Tiada ulasan:
Catat Ulasan