Syair Quss Saida al-Iyadiy Tentang Kematian
Dok belek2 Qatrunnada, terjumpa syair ni. Masa belajar kat sekolah menengah dulu, takder la jelira sangat dengan benda sebegini. Subjek paling ambo tak suka ialah pasal syair2 arab. Rasa macam susah nak hafal, kalau hafal pun tak faham.
Entah macana apabila kita semakin belajar, barulah kita tahu dan rasa kepentingan syair2 arab. Selain AQ, syair2 arab sentiasa menjadi syahid (bukti, dalil, hujjah) tentang sesuatu perkara terutama tentang nahu dan sebagainya.
Sakni dok belek2 Qatrunnada, ada syair Quss ni dalam bab almabniy dan almukrab (kata nama) melibatkan penggunaan perkataan AMSI di antara ahli Hijaz dan ahli Tamim. Rasa menarik lak….
Penyair bermadah:
مَنَعَ البَقاءَ تَقَلُّبُ الشَّمسِ
وَطُلوعُها مِن حَيثُ لا تُمسي
(Takder yang kekal, sebagaimana kita lihat pergerakan mentari # yang muncul dari satu ufuk dan tenggelam di ufuk yang lain)
Penyair menggunakan pergerakan matahari sebagai tanda atau bukti bahawa alam ini sentiasa berubah. Matahari tidak berada dalam keadaan yang tetap. Ia terbit, bergerak dan terbenam mengikut ketentuan Allah. Sama la dengan manusia. Tidak kekal atau statik dalam satu keadaan. Apabila masa terus berlalu, usia semakin berkurang. Kematian semakin menghampiri. Syair ini mengajak manusia merenungkan hakikat dunia yang tidak kekal dan bersedialah untuk kehidupan akhirat.
وَطُلوعُها حَمراءَ صافِيَةً
وَغُروبُها صَفراءُ كَالوَرسِ
Ia (matahari) muncul dengan sinar merah yang hening # lalu tenggelam dengan warna kuning keemasan seperti Bunga Wars.
Al-wars (الوَرْس) ialah sejenis tumbuhan yang menghasilkan pewarna kuning. Kiranya wars ni dikenali dan digunakan dalam kalangan masyarakat Arab. So ungkapan ini menggambarkan warna matahari ketika terbenam yang kekuning-kuningan.
Dalam rangkap ini, penyair menggambarkan perubahan keadaan matahari dari waktu terbit hingga terbenam. Gambaran tersebut digunakan sebagai kiasan bahawa segala sesuatu di dunia sentiasa berubah dan tidak kekal dalam satu keadaan. Sebagaimana matahari berubah warna dan kedudukan sepanjang hari, demikian juga kehidupan manusia yang sentiasa mengalami perubahan. Manusia bermula dari kecil sehingga besar, dari muda kepada tua, dari kuat kepada lemah, semuanya akan berubah dan tidak statik. Pada akhirnya kita akan mati.
تَجري عَلى كَبِدِ السَماءِ كَما
يَجري حِمامُ المَوتِ في النَفسِ
Ia (matahari) bergerak merentasi dada langit # sebagaimana ajal yang semakin menghampiri setiap insan
Dalam rangkap ini, penyair membuat bandingan pergerakan matahari yang tak pernah berhenti tu dengan ajal yang semakin mendekati kita. Sebagaimana matahari tak pernah berhenti rehat, sentiasa bergerak mengikut orbit perjalanannya, tak kira samada kira perasan atau tak pergerakan matahari, maka begitulah ajal kita. Samada kita perasan atau tak perasan, sedar atau tak sedar, umur kita tetap berjalan dan maut tetap menghampiri kita. Setiap detik yang berlalu membawa seseorang semakin hampir kepada kematiannya, justeru manusia perlu sentiasa bersedia dengan amal soleh dan mengingati kehidupan akhirat.
Penyair rangkap ni ialah Quss ibn Saida al-Iyadi. Beliau ni kiranya seorang tokoh Arab yang terkenal pada zaman Jahiliah sebelum kemunculan Islam. Beliau berasal daripada kabilah Iyad dan dikenali sebagai seorang pendeta Kristian yang tinggal di kawasan Najran. Dalam tradisi Arab, beliau glamer dengan kebijaksaan, fasih berpidato dan kehebatan serta kemampuannya menyampaikan nasihat yang menyentuh hati. Nama beliau sering disebut dalam karya-karya sejarah dan kesusasteraan Arab sebagai salah seorang ahli pidato yang hebat pada zamannya.
Keistimewaan Quss ibn Saida ni terletak pada pemikirannya yang mendahului masyarakat Arab ketika itu. Pada masa tu kebanyakan masyarakat Arab tenggelam dalam amalan penyembahan berhala, beliau menyeru manusia supaya merenungkan kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, hakikat kehidupan, kematian dan hari pembalasan. Pidatonya banyak mengandungi peringatan tentang kefanaan dunia serta kematian yang pasti menjelma. Justeru itu, sebahagian sarjana menganggap beliau sebagai antara golongan yang cenderung kepada tauhid sebelum kedatangan Islam.
Dalam sirah, KHABARNYA Rasulullah SAW pernah mendengar khutbah Quss ibn Saida ketika berada di Pasar Ukaz. Pasar Ukkaz ni kiranya macam pusat pertemuan masyarakat Arab pada masa tu. Dalam khutbah tersebut, Quss dikatakan menyeru manusia supaya mengambil iktibar daripada kematian dan perubahan zaman. Antara kata-katanya yang masyhur ialah bahawa sesiapa yang hidup pasti akan mati, sesiapa yang mati pasti akan pergi, dan segala yang bakal berlaku pasti akan datang. Ucapan ini menggambarkan kebijaksanaan beliau dalam mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan yang sementara. (kisah ni KHABARNYA sebelum Nabi Muhamad SAW dilantik menjadi nabi)
Walaupun Quss hidup sebelum Islam, beliau sering digambarkan sebagai seorang yang menyeru kepada keesaan Tuhan dan mengkritik penyembahan berhala. Sebahagian ulama dan sejarawan meletakkannya bersama tokoh-tokoh hanif seperti Waraqah ibn Nawfal (bapa saudara Sayyidatina Khadijah Ummahat lmukminin)
Quss ibn Sa‘ida tetap diingati sebagai seorang tokoh yang mempunyai pemikiran mendalam dan akhlak yang mulia. Beliau sering dijadikan contoh seorang pencari kebenaran yang berusaha memahami hakikat ketuhanan sebelum turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, dalam sejarah Arab dan Islam, Quss ibn Saida al-Iyadi dikenang sebagai simbol kebijaksanaan, kefasihan bahasa dan kecenderungan kepada ajaran tauhid sebelum kedatangan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan