Khamis, 21 Jun 2012

Metodologi Penulisan Ibn Kathir dalam tafsir


1.3 Metodologi Penulisan Ibn Kathir
Secara keseluruhannya ada 3 perkara penting yang menjadi asas metodologi Ibn Kathir dalam tafsirnya iaitu pergantungan kepada sumber yang ma’thur, penerangan tentang Israiliyyat dan penjelasan tentang hukum.[1]

1.3.1 Sumber Yang Ma’thur
Apabila mentafsirkan sesuatu ayat, Ibn Kathir akan merujuk kepada sumber yang ma’thur. Sumber ma’thur( tafsir bil ma’thur) ialah penafsiran al-Quran yang bersandar kepada riwayat-riwayat yang sahih menurut urutan yang telah disebutkan di dalam syarat-syarat seorang ahli tafsir iaitu tafsir al-Quran dengan al-Quran, dengan sunnah, pendapat sahabat dan tabiin.[2]Ringkasnya tafsir bil ma’thur ada 4 jenis iaitu:[3]
a) mentafsirkan al-Quran dengan al-Quran
Contohnya apabila Ibnu Kathir mentafsirkan Istiazah dan menjelaskan hukumnya semasa mentafsirkan surah al-Fatihah, beliau menyebut ayat yang memerintahkan orang mukmin supaya memohon perlindungan dari Allah SWT dari surah al-a’raf yang mentafsirkan makna isti’azah itu.[4]
واما ينزغنك من الشيطان نزغ فاستعذ بالله انه سميع عليم  
)Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan Maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.(

b)      mentafsirkan al-Quran dengan sunnah
Jika tidak didapati keterangan daripada ayat al-Quran, maka Ibn Kathir akan mentafsirkannya berdasarkan hadis yang sahih. Contohnya semasa menafsirkan ayat 284 surah al-Baqarah:[5]

لله ما في السموت وما في الأرض وان تبدوا ما في أنفسكم أو تحفوه يحاسبكم به الله فيغفر لمن يشاء ويعذب من يشاء ولله علي كل شيء قدير
(Kepunyaan Allahlah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu)

Semasa mentafsirkan ayat ini, Ibnu Kathir menyebut hadith-hadith ketika turunnya ayat ini yang menunjukkan ianya sangat berat bagi sahabat kerana Allah memberitahu bahawa Dia(Allah) akan menghitung lintasan hati mereka. Walaubagaimanapun lintasan di hati tidak akan dihukum sehinggalah ialah dizahirkan dalam bentuk perbuatan. Di antara hadis berkenaan ialah:

1)      (Sesungguhnya Allah tidak menghukum umatku dalam perkara yang terlintas dihati selagi mana tidak dilakukan atau diperkatakan-Bukhari)

2)      (Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman: Sekiranya hambaku berniat untuk melakukan sesuatu keburukan maka ia tidak akan ditulis, dan sekiranya dilakukan maka dicatat satu keburukan, Sekiranya hambaku berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan maka akan ditulis satu kebaikan, sekiranya dilakukan maka dicatat sepuluh kebaikan-Muslim)


c)      mentafsirkan al-Quran dengan pendapat sahabat.
Apabila tidak terdapat keterangan daripada al-Quran dan hadis, beliau akan merujuk kepada pendapat para sahabat. Ini kerana para sahabat merupakan orang yang adil dan mereka merupakan orang yang paling mengetahui tentang keadaan wahyu semasa ianya diturunkan. Ini berdasarkan kata-kata IbnuMas’ud: Demi  Allah  tidak suatu ayat itu turun kecuali aku tahu bagi siapa ayat itu turun dan di mana turunnya. Dan, jika ada seseorang yang lebih mengetahui dariku mengenai kitab Allah, pastilah aku akan mendatanginya.
Contohnya seperti tafsiran beliau untuk ayat 10 surah al-Baqarah berkenaan dengan orang munafik. Firman Allah SWT:[6]
في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون
( Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta)
Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini menyebut beberapa tafsiran yang diberikan oleh sahabat dan tabiin. Di antaranya tafsiran dari Ibnu Abbas, Ibnu Masud dan beberapa sahabat nabi yang lain bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah dalam hati mereka (orang munafik) ada perasaan syak lalu Allah menambah syak mereka. Beliau juga menyebut pendapat para sahabat dan tabiin yang lain di dalam menafsirkan ayat ini

d)     merujuk kepada pendapat tabiin
Cara ini merupakan cara terakhir dalam menafsirkan al-Quran dengan metode bil ma’thur. Ibn Kathir berpendapat tafsiran tabiin dapat diterima apabila mereka tidak berselisih pendapat mengenai sesuatu perkara. Jika mereka berselisih pendapat terhadap sesuatu tafsiran, maka pendapat tersebut hendaklah diteliti terlebih dahulu dengan merujuk kepada kaedah bahasa al-Quran atau sunnah atau merujuk kepada keumuman bahasa arab atau pendapat para sahabat untuk menentukan kebenarannya.[7]

1.3.2 Penjelasan Tentang Israiliyat
Beliau juga menjelaskan dalam tafsirnya riwayat-riwayat Israiliyyat dan memberikan pendapatnya berkaitan riwayat itu. Contohnya semasa menafsirkan kisah lembu betina, selepas beliau mengemukakan riwayat-riwayat berkaitan lembu betina beliau menegaskan bahawa riwayat ini diambil daripada kitab-kitab Bani Israel. Ia merupakan riwayat yang harus untuk kita menukilkannya namun kita tidak sekali-kali membenarkannya dan tidak juga menolaknya. Justeru itu, kita tidak berpegang dengannya kecuali apa yang bersamaan dengan al-Quran dan sunnah[8]

1.3.3 Perbincangan Hukum Feqh
Selain itu, Ibn Kathir juga turut membicarakan masalah feqh. Apabila beliau mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan hukum, beliau akan menyebut pandangan para ulama disertai dengan dalil masing-masing. Kemudian beliau akan mentarjihkan pendapat itu berdasarkan dalil yang paling mantap. Sebagai contohnya semasa beliau mentafsirkan ayat 185 al-baqarah, jika kamu dapat melihatnya maka berpuasalah. Beliau menyebut 4 masalah yang berkaitan dengan ayat ini. Kemudian beliau menyebutkan pandangan para ulama tentangnya berserta dalil mereka.[9]


[3] Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, PengantarUsulTafsir, Intel Multimedia & Publication, 2010, hlm.93, Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.18, www.sabknilai.bpi.edu.my/.../4-fail?...ibn-kathir

[7] Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah, Pengantar Usul Tafsir, Intel Multimedia & Publication, Selangor, 2010, hlm.93

[8] Mohd Sukki Othman, IlmuTafsir, Open University Malaysia, Selangor, 2011, hlm.88, http://www.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=38745

[9] Al-Zahabi, Muhammad  Husayn, al-Tafsir wa al-Mufassirun, MaktabahWahbah, Qaherah, jil.1, 2000, hlm.176, Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar binKathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Al-Matabah al-Taufiqiyyah, Qaherah, jil.1-2, t.thn., Hlm. 280, http://www.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=38745





Jumaat, 15 Jun 2012

al-fatihah buat ustaz yahya othman

lama aku tak dengar berita pasal ustaz yahya othman (ustaz ya). tetiba pagi ni aku dikejutkan dengan berita pemergian beliau buat selama-lamanya. lantas aku buka internet, satu persatu berita pasal kematiannya aku baca. apa yang aku boleh cakap ialah, umat islam di kelantan khasnya kehilangan seorang ulama. seorang ilmuan hebat khasnya dalam ilmu bahasa arab.
aku mengenalinya semasa bersekolah agama lagi. ustaz pernah datang ke rahmaniah melakukan lawatan dan pertemuan dengan guru2 sekolah. kadang2 kalau aku pergi ke tempat mukhayyam, nama ustaz yahya othman agak familiar kerana nama ini biasanya akan menyampaikan ucapan penutup atau pun ucaptama dalam sesuatu program.
walau pun aku tak begitu mengenalinya secara rapat, namun aku mengaguminya. keilmuannya khasnya dalam ilmu bahasa arab cukup mengagumkan. kalau beliau berceramah di depan kami pelajar2 sekolah agama, beliau akan menyelitkan ikrab bagi setiap kalimah, disusuli dengan pengertian atau makna yang pelbagai dan dikuatkan lagi dengan syair2 dan cerita pengalaman beliau semasa belajar di tanah arab.
semoga Allah merahmati dan mengampunkan segala dosa beliau dan kita semua. takziah buat seluruh ahli keluarga ustaz, anak-anak murid beliau dan semua yang menasabkan diri padanya. kekal hanyalah milikNYA

* gambar diambil daripada http://limbongan.net/umum/cikgu-din-ziarah-guru.html/attachment/ustaz-yahya-othman-1

Ahad, 3 Jun 2012

saham: beza saham dengan bon

Perbezaan Saham Dengan Bon[1]
Saham adalah pemilikan dalam sesebuah syarikat. Oleh itu, pemegang sijil saham merupakan pemilik syarikat dan ia mempunyai hak serta tanggungjawab terhadp syarikat. Berbeza dengan bon, ia merupakan hutang ke atas syarikat. Pemiliknya merupakan pemiutang kepada syarikat.

Pemilik saham akan mendapat keuntungan melalui dividen apabila syarikat mendapat keuntungan. Sebaliknya apabila syarikat menanggung kerugian, pemilik saham akan sama-sama menangung rugi. Berbeza dengan pemilik bon, mereka akan mendapat keuntungan melalui faedah tetap tahunan sama ada syarikat tersebut mendapat keuntungan atau kerugian.[2] Apabila syarikat dibubarkan, pemilik bon akan diberi keutamaan berbanding pemilik saham. [3]

Pemilik bon tidak memiliki hak untuk masuk campurtangan dalam urusan pentadbiran syarikat seperti hak untuk mengundi dalam mesyuarat agung, hak untuk melantik dan memecat ahli lembaga pengarah sebagaimana yang dimiliki oleh pemilik saham


[1] al-Zuhailiyy, al-Fiqh al-Islamiyy , hlm.166
               
[2] Muhammad Sabri Harun, Ahkam al-aswaq al-maliyyah, hlm. 34

                [3] ibid

Ahad, 20 Mei 2012

saham: ciri-ciri saham

Saham mempunyai beberapa ciri-ciri yang membezakannya dengan sekuriti-sekuriti lain khasnya dengan bon.

Ciri-ciri tersebut ialah:
 1) Saham boleh dipindah-milik melalui cara perniagaan atau jual-beli biasa. contohnya kita beli saham pada januari 2012, then selepas melalui satu tempoh masa kita boleh memindahkan milik kita kepada orang lain dengan cara menjualnya

 2) Saham mempunyai nilai tara yang sama. Nilai tara adalah nilai muka sesuatu saham semasa ia diterbitkan. Biasanya saham yang diterbitkan mempunyai nilai tara RM1. Kebiasaannya saham yang dijual kepada orang ramai adalah pada harga tara terutamanya bagi perniagaan yang baru ditubuhkan

3) Tanggungan pelabur terhadap syarikat adalah mengikut kadar jumlah saham mereka. Oleh itu, mereka tidak bertanggungjawab terhadap hutang-hutang syarikat kecuali mengikut kadar saham yang mereka milik sahaja. Sekiranya sesebuah syarikat itu bankrap dan tidak mampu untuk menjelaskan hutang-hutangnya, pelabur tidak perlu membayar hutang tersebut dengan harta peribadinya.


RUJUKAN

al-Zuhailiyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, 1996, Jil. 9, hlm.165

Ismail Ibrahim, Saham, hlm. 3

 al-Khayyat, cAbdul cAziz, al-Asham wa al-sanadat min manzur Islamiyy, Dar al-Salam Li al-Tabacah Wa al-Nashri Wa al-Tawzic, Sharic al-Azhar, al-Ghuriyyah, 1997, hlm. 39

Sabtu, 19 Mei 2012

saham...pengenalan

untuk menakrifkan saham, ada macam2 pendapat yang dikemukan oleh ahli ekonomi. ada sebahagian mereka yang mengatakan saham ini merujuk kepada sijil atau skrip.

 ada juga di kalangan mereka yang mengatakan bahawa saham ini ialah bahagian tertentu daripada modal yang kita berikan kepada syarikat untuk dilaburkan. kemudian sijil akan dikeluarkan sebagai pengesahan bahawa individu berkenaan telah membeli saham syarikat tertentu apabila seseorang individu telah membeli saham syarikat tertentu, maknanya dia telah memberikan modal kepada syrikat berkenaan. individu berkenaan (pelabur) pada dasarnya bersetuju untuk menghadapi sebarang risiko seperti rugi jika saham syarikat berkenaan lingkup. sebaliknya jika syarikat berkenaan dapat untung, maka individu atau pelabur berkenaan akan mendapat dividen. modal ini dikenali sebagai ekuiti dan tiada jaminan untuk mendapatkan keuntungan, juga tiada jaminan untuk mendapatkan semula wang modalnya

 # hamba akan cuba membaca sambil menulis kembali pasal saham. sebahagian besar artikel ini (dan selepas ini) merupakan gabungan asingment dan disertasi semasa blaja dulu