2.5
HIKMAH PENGHARAMAN RIBA
Dalam masalah ini, para ulama telah
berselisih pendapat kepada 2 golongan. Golongan yang pertama mengatakan bahawa
hikmat pengharaman riba merupakan perkara tacabudiyyah
(ibadat). Maknanya Allah telah mengharamkan riba ke atas kita dengan kita
tidak perlu lagi mencari hikmat pengharamannya kerana ia termasuk di dalam
perkara tacabbudiy.
Keadaan ini samalah seperti kita tidak tahu hikmat kenapa solat zohor 4 rakaat,
bukannya 5 atau 3 rakaat.[1]
Sementara golongan kedua berpendapat
bahawa hikmat pengharaman riba merupakan perkara yang dapat diketahui dan
difahami. Ini kerana pengharaman riba termasuk di dalam ketegori urusan
muamalat sesama manusia. Menurut kebiasaannya, akal manusia mampu untuk mencari
dan melihat sesuatu hikmah di sebalik sebarang hukum yang bersangkut paut
dengan urusan muamalat.[2]
Di antara hikmat pengharaman riba
ialah:[3]
1) riba merupakan perbuatan mengambil
harta orang lain tanpa berlaku sebarang pertukaran. Ini kerana orang yang
menjual 1 dirham dengan harga 2 dirham dengan cara lani atau tangguh sebenarnya
telah menghasilkan dirham tambahan tanpa sebarang pertukaran melalui proses
jual beli dan sebagainya. Ini merupakan suatu perbuatan eksploitasi dan
penindasan.
2) riba juga menyuburkan sikap malas
berkerja kerana orang kaya yang berharta tidak perlu lagi bersusah-payah untuk
berniaga, berfikir bagaimana memasarkan barangan jualanya atau projek
pelaburannya. Apa yang perlu mereka lakukan ialah memberi hutang atau pinjaman kepada mana-mana pihak yang
memerlukannya dengan kadar faedah. Keadaan ini akan mewujudkan golongan yang
malas berkerja dan perbuatan ini bertentangan dengan Islam
3) riba juga boleh menyebabkan
penindasan dan menyuburkan sifat permusuhan sesame manusia. Ia juga dapat
menghilangkan rasa kasih-sayang dan saling menolong sesama manusia. Ini cukup
bertentangan dengan sifat agama langit khasnya Islam yang sentiasa menyeru
kepada tolong-menolon ke arah kebaikan.[4]
[1] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk
Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah,
hlm.15; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan
Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2-3
[2] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga
Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2
[3] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk
Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah,
hlm.15-16; Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar
al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.668; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga
Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2
[4] Al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, al-Fath Li al-I’lam al-Arabiy, Kaherah, jil.3,
hlm.124
Tiada ulasan:
Catat Ulasan