Sabtu, 3 Oktober 2009

panduan ringkas tentang perceraian......zihar



ZIHAR
2.1 Pengertian Zihar
Zihar diambil daripada perkataan al-zahr yang bermaksud belakang. Hal ini kerana pada asalnya zihar adalah berlaku apabila suami berkata kepada isterinya, engkau bagiku seperti belakang ibuku.

Zihar pada istilah pula adalah apabila seorang suami menyamakan isterinya dari sudut pengharaman dengan salah seorang daripada mahramnya seperti ibu dan adik-beradik perempuannya. Ada yang mendefinisikan zihar sebagai suami menyamakan isterinya atau mana-mana anggota isterinya dengan ibunya atau dengan mana-mana perempuan muhram baginya. Orang arab pada zaman jahiliah menganggap zihar sebagai salah satu daripada cara talak. Namun Islam memberikannya satu tanggapan lain dan menentukan beberapa hukum yang lain selain daripada talak.

Contoh zihar seperti suami berkata kepada isterinya : " Punggung engkau seperti punggung ibuku " disertai dengan niat suami tidak lagi berminat dengan isterinya. Apabila suami berkata demikian kepada isterinya, maka haramlah bagi suami bersetubuh dengan isterinya, dan wajiblah suami membayar kafarah jika dia ingin kembali bersama dan bersetubuh dengan isterinya. Apabila lafaz ini telah diucapkan, mahkamah hendaklah memberi pilihan kepada suami samada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Jika si suami ingin merujuk kembali kepada isterinya, hendaklah dia membayar kaffarah. Sebaliknya jika dia engggan kembali kepada isterinya, dia hendaklah menceraikan isterinya dan tidak boleh rujuk semasa iddah

2.2 Hukum Zihar
Para ulama menyatakan bahawa zihar adalah haram dan berdosa. Allah SWT menamakannya sebagai mungkar dan dusta.

2.3 Lafaz Zihar
Lafaz yang membawa makna zihar terbahagi kepada 2 iaitu lafaz nyata dan lafaz kiasan. Lafaz yang nyata ialah lafaz yang tidak membawa makna selain makna zihar. Contohnya seorang suami berkata kepada isterinya, bagiku engkau seperti belakang ibuku, atau padaku engkau seperti belakang adik perempuanku. Apabila suami berkata demikian dia telah menzihar isterinya, samada dengan niat ataupun tidak selagi dia mempunyai syarat sah talak, iaitu cerdik berakal serta sedar makna yang diucapnya.

Lafaz zihar kiasan ialah lafaz yang boleh diandaikan membawa makna zihar dan bukan zihar. Contohnya suami berkata kepada isterinya bagiku engkau seperti ibuku atau padaku engkau seperti kakak perempuanku. Apabila suami berkata demikian maka makna ungkapan tersebut adalah menurut apa yang dimaksudkannya. Jika maksud suami ialah zihar, maka ia menjadi zihar. Sebaliknya jika seorang suami bertujuan menyamakan isterinya dengan mahramnya dari segi kemuliaan, penghormatan dan sebagainya ia tidak dianggap zihar.

2.4 Kesan Perbuatan Zihar
Apabila suami melafazkan zihar, samada secara nyata atau secara kiasan dengan niat zihar maka kesannya adalah seperti berikut:
1) Jika lafaz zihar zihar diikuti dengan lafaz talak, maka ianya dikira talak. Lafaz zihar tidak memberi sebarang kesan.
2) Jika lafaz zihar itu tidak diikuti dengan lafaz talak, atau dengan sebarang perkara yang memutuskan ikatan perkahwinan maka perbuatan suami itu dianggap menarik balik kata-katanya serta bertentangan dengan kata-kata tersebut. Perbuatannya tidak meninggalkan isteri yang dizihar itu dianggap membatalkan lafaz ziharnya. Justeru itu, suami perlu membayar kaffarah dengan segera

2.5 Kaffarah Zihar
1) Memerdekakan seorang hamba yang mukmin dan hamba tersebut tiada kecacatan yang boleh menjejaskan usaha dan kerjayanya seperti sangat tua atau kudung tangan atau kaki.
2) jika suami tidak mampu, atau ketiadaan hamba seperti pada zaman kita sekarang, suami hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut (bulan Qamariyyah)
3) jika suami tidak mampu berpuasa, atau tidak berdaya meneruskannya berturut-turut kerana sakit atau tua, dia hendaklah memberi makanan kepada 60 orang miskin dengan kadar secupak makanan asasi sesebuah negara

2.6 Kaffarah Zihar Perlu Disegerakan
Suami yang menzihar isterinya dituntut menunaikan kaffarah zihar dengan segera. Dia tidak halal bersetubuh dengan isterinya selagi mana kaffarah belum disempurnakan. Jika dia menyetubuhi isterinya yang telah dizihar sebelum menunaikan kafarahnya bermakna dia telah melakukan dosa dan maksiat

panduan ringkas tentang perceraian......talak


TALAK
1.1 Pengertian Talak
Talak dari segi bahasa bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari segi syarak ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak boleh berlaku dengan lafaz yang jelas dan juga kiasan. Contoh lafaz yang jelas ialah: aku ceraikan engkau dengan talak satu

Lafaz talak yang digunakan di atas menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud selain daripada talak. Ia dinamakan lafaz secara sorih (nyata) sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talak secara jelas yang boleh diandaikan dengan maksud selain talak dinamakan lafaz kiasan (kinayah)

Ada 3 lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talak iaitu talak, sarah (lepas) dan firaq (pisah) dan kata terbitan daripada kalimah tersebut seperti engkau aku ceraikan atau engkau aku lepaskan atau aku menceraikanmu. Lafaz yang nyata juga termasuklah terjemahan lafaz talak dalam bahasa lain selain bahasa arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talak yang biasa digunakan oleh orang arab

Lafaz talak kiasan adalah semua lafaz yang membawa maksud talak dan maksud lain. Contohnya :
Engkau tiada apa-apa lagi denganku
Engkau berasing daripadaku
Kembalilah kepada keluargamu
Engkau haram bagiku
Engkau putus hubungan denganku

1.2 Hukum Lafaz Talak Yang Nyata Dan Kiasan
Lafaz talak yang nyata menyebabkan jatuh talak sama ada berniat talak atau pun tidak. Ini kerana lafaz yang nyata dan maksud yang pasti menunjukkan kepada talak tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya

Sementara lafaz talak kiasan tidak menyebabkan jatuh talak melainkan suami berniat menceraikan isterinya. Jika suami tidak berniat cetai, talak tidak jatuh

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya

1.3 Talak Sunniy, Bidciy, Bukan Sunniy Dan Bidciy
Talak Sunniy adalah talak yang mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh suci tersebut. Dengan kata lain, sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.
Talak bidciy adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
1) Talak diucapkan oleh suami ketika isteri uzur (haid).
2) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3) Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersetubuh dengannya.
Hukumnya haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan di dalam al-Quran dan Hadith. Namun talak tetap jatuh. Sebab diharamkan talak jenis ini kerana ia memudaratkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam tempoh iddah. Selain itu, haram juga menceraikan isterinya yang telah disetubuhinya ketika dalam tempoh suci kerana berkemungkinan akan mengandung.
Sementara talak yang bukan sunniy atau bidciy ialah talak ke atas perempuan yang masih kecil belum dating haid, atau perempuan yang telah putus haid, atau perempuan mengandung yang nyata, atau perempuan yang belum atau tidak pernah disetubuhi suaminya, atau perempuan yang meminta cerai secara khuluk. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak mendatangkan mudarat kepada isteri. Isteri yang masih kecil dan yang putus haid, mereka beriddah dengan kiraan bulan. Isteri yang mengandung, iddahnya selesai dengan lahirnya anak. Isteri yang bercerai dengan cara khuluk, perbuatan menebus diri daripada suami dengan harta menunjukkan keinginannya untuk bercerai dan kerelaannya menunggu tempoh iddah yang panjang.
1.4 Syarat Sah Dan Jatuh Talak
Ada beberapa syarat sah berlakunya talak iaitu akad nikah sebelumnya mestilah sah, suami sempurna akalnya dan suami tidak dipaksa melakukannya

1.5 Cerai Taklik
Taklik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai taklik ini berlaku dalam beberapa hal :

Taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan. Perceraian seumpama ini (taklik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Taklik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu. Jika Hakim dapati suami telah melanggar taklik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.

Taklik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh: "Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau". Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari, lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya

muqaddimah panduan ringkas tentang perceraian



MUQADDIMAH
Dengan NamaNYA Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, syukur kepada Allah SWT saya berjaya menyusun risalah ini walau pun dengan kadar yang cukup ringkas. Sememangnya saya tidak begitu berminat dengan subjek munakahat atau ahwal al-shaksiyyah sejak zaman persekolahan lagi. Sememangnya sikap tidak begitu berminat ini menjadi hambatan dan kekangan sepanjang saya menyusun risalah ini.

Asas penulisan risalah ini ialah kitab feqh mazhab syafie yang bertajuk al-Fiqh al-manhaji cala madhhab al-Imam al-Shaficiyy ditambah dengan sedikit rujukan daripada kitab lain seperti Feqh 4 Mazhab, Tafsir al-Munir dan laman sesawang di internet. Saya tidak mengarang, hanyalah menyusun, mengedit, dan sesetengahnya menaip semula untuk memudahkan lagi bahasa penyampaian.

Dari segi teknik dan gaya penulisan, saya cuba menulis dengan gaya penulisan tesis UKM dan penggunaan footnote. Saya akui masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan saya di dalam teknik penulisan ini

Apa yang tertulis di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan asas, bahan mentah yang hanya berfungsi sebagai pembuka jalan untuk memahami konsep perceraian di dalam Islam. Saya tidak sempat untuk merujuknya kepada kawan-kawan atau ustaz yang bertugas di Pejabat Kadi Kuala Krai, Jabatan Agama Islam Kelantan, JAKIM Putrajaya mahu pun guru-guru saya di tanah Bangi dan Sungai Durian. Saya cuba juga untuk melihat laman web jabatan-jabatan agama di Malaysia khasnya Kelantan dan Terengganu namun pada masa risalah ini ditulis server internet streamyx saya nampaknya bermasalah. Justeru itu, sebaiknya anda cuba merujukkan kepada mana-mana imam, ustaz atau di pejabat kadi jika anda berdepan sebarang kemusykilan tentang munakahat. Apa yang tertulis hanyalah sebagai bahan mentah yang belum diproses menjadi set kerusi meja, perabot dan sebagainya. Harus diingat, kita harus meraikan sebarang pendapat fiqh yang telah digubal di dalam enakmen atau undang-undang agama di sesebuah negeri.

Jika apa yang tertulis di dalam risalah ini bertentangan dengan apa yang anda telah pelajari, atau bertentangan dengan ilmu dan pengetahuan sedia ada anda, atau bertentangan dengan mana-mana pendapat orang lain, hormatilah pendapat orang lain tersebut dan raikanlah mereka semua sesuai dengan adab perbezaan pendapat di dalam Islam. Ilmu fiqh sememangnya terlalu luas. Semoga kita semua dapat terus belajar, mengkaji dan beramal sebagai bekalan kita ke seberang sana.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyediaan artikel ini samada secara langsung atau tidak langsung. Semoga apa yang kita fikirkan, apa yang kita rancang dan buatkan dapat menjadi penolong kita di hari yang tidak ada penolong lagi kecuali dengan izinNYA. Terimalah seadanya….

Sabtu, 19 September 2009

mengimbau kenangan lama(ARMA..Kaherah)

ni gambar last aku, 2 3 hari sebelum dipanggil balik malaysia..gambar ni diambil cara analog, then lama kat album sampai dah nak rosak..so aku scan dan uploadkan kat sini sebagai kenangan. kenangan akhir aku di kaherah, masa tu kena pindah tinggalkan ARMA untuk renovate. ni lepas solat jumaat akhir aku, masa nak kemas barang2 akhir. aku ingatkan tinggalkan abbasiah jer, rupanya tinggalkan kaherah terus sampai sekarang. kalu kawan2 yang ada muka dia dia kat sini....kira halal laa. semoga dapat bersahabat semula di sana di bawah kerahmatan dan kasih sayangNYA.





Sabtu, 12 September 2009

panduan ringkas zakat (7)...nota hujung



NOTA HUJUNG

Berdasarkan temubual penulis dengan salah seorang penjual emas di Guchil, kiraan emas di Kelantan mengikut timbangan lama, riyal berat. Unit ukuran ini samalah dengan kiraan cupak, gantang, mungkin juga kaki, ela, depa dan sebagainya. Inilah masalah utama penulis setiap kali membaca bab zakat kerana ukuran timbangan yang digunakan di Kelantan tidak sama dengan ukuran standard atau ukuran buku. Penulis memang tidak faham cara pengukuran riyal berat sebelum ini. Sememangnya penulis lahir dalam zaman persekolah rendah yang menggunakan ukuran km, meter, kg, gram dan sebagainya.

-1 riyal berat bersamaan dengan lebih kurang 2.72 gram.

-Nisab wajib zakat bagi emas ialah 85 gram.

-Oleh itu 85 gram yang menjadi nisab emas ialah lebih kurang 32 riyal berat.

-1 riyal berat bagi emas baru nilainya lebih kurang RM290 (12 Sept 2009) sementara bagi emas lama RM 260 (12 Sept 2009)

Ringkasnya, mana-mana wanita yang menyimpan emas melebihi nisab berkenaan diwajibkan mengeluarkan zakat sebanyak 2.5%. Walau bagaimanapun apa yang terbaik ialah pemilik emas menimbang semua emas miliknya yang tidak dipakai selama setahun di kedai emas, kemudian mengeluarkan zakatnya mengikut timbangan yang telah dibuat

Berkenaan dengan barang kemas yang dipakai, mengikut mazhab syafii tidak diwajibkan zakat dengan syarat pemakaiannya tidaklah melampau dari segi uruf (adat setempat).