Selasa, 28 Januari 2014

konsep amanah dan integriti



BAB I

PENGERTIAN AMANAH DAN INTEGRITI

1.1 Pendahuluan
Amanah dan integriti merupakan 2 perkataan yang saling beriringan dan memerlukan. Ini kerana dengan amanah, lahirlah kepercayaan atau integriti.
Dalam bab ini, penulis akan mengemukakan pengertian amanah dan integriti dari segi bahasa dan istilah.
Selain itu pengertian amanah dalam bahasa arab mempunyai sedikit perbezaan dengan bahasa Melayu walaupun ianya hampir sama. Begitu juga dengan perkataan integiriti yang berasal daripada perkataan bahasa Inggeris. Apabila integrity menjadi integriti, pemakaiannya sedikit berbeza
1.1 Amanah Dari Segi Bahasa
Dalam kamus Dewan Edisi Keempat, amanah atau amanat diertikan sebagai sesuatu yang dipercayakan kepada seseorang.[1] Maksud ini boleh digunakan untuk barangan atau sesuatu yang dipercayakan untuk disimpan.
Maksud kedua ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang. Amanah juga boleh diertikan keamanan dan ketenteraman.[2]
Tegasnya perkataan penting bagi maksud amanah dan amanat ialah kepercayaan dan ketenteraman.
Dalam Bahasa Arab, amanah juga disebut amanah (امانة). Ia berasal daripada gabungan tiga huruf iaitu alif, mim dan nun. Seperti bahasa Melayu, amanah dalam bahasa Arab juga bermaksud ketenteraman hati. Dari gabungan ketiga-tiga huruf ini lahirlah perkataan amn (أمن ), amanah (أمانة ) dan iman (ايمان ). Sementara makna perkataan yang terhasil daripada ketiga-tiga huruf ini ialah ketenangan hati. Ini kerana amanah menunjukkan kepada kepercayaan, kepercayaan pula melahirkan rasa ketenteraman. Sementara perkataan amn juga menunjukkan kepada makna tiada ketakutan.[3] Lawan bagi amanah ialah khianat
1.2 Pengertian Amanah Dari Segi Istilah
Ahmad Mustafa Al-Maraghiy, pengarang kitab Tafsir al-Maraghiy menjelaskan bahawa amanah adalah sesuatu yang harus dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya[4]

Syeikh Muhammad Abduh menafsirkan amanah sebagai menyampaikan hak kepada pemiliknya, tidak mengambil sesuatu yang melebihi haknya dan tidak mengurangi hak orang lain samada dalam bentuk harga atau pun jasa. Tegasnya lagi amanahadalah hak bagi orang yang memikul beban yang berkaitan dengan hak orang lain untuk menunaikannya kerana menyampaikan amanah kepada orang yang berhak adalah suatu kewajipan[5]

Syekh Muhammad Al-Ghazali pula menafsirkan amanah dengan makna yang pelbagai, namun, poinnya ialah menjaga hak-hak Allah. Mana-mana hamba yang tidak mampun menunaikan amanah maka dia bukanlah seorang yang beriman dan seseorang yang tidak menunaikan janjinya maka sebenarnya dia seorang yang tidak beragama[6]

Al-Qurtubiy berkata amanah ialah segala fardu atau kewajipan yang Allah bentangkan kepada langit , bumi dan gunung-ganang. Kalau mereka menunaikannya pasti diberi pahala. Sebaliknya jika mengabaikannya, maka akan diazab. Mereka kemudiannya tidak sanggup membesarkanagama Allah, kemudian ianya dibentangkan kepada Adam lantas sanggup menerimanya.[7]

Imam al-Raziy pula menafsirkan amanah sebagai suatu ibarat apabila seseorang mewajibkan kamu melaksanakan sesuatu dan kamu melakukannya maka itu dinamakan amanah.[8]


1.3 Pengertian Integriti Dari Segi Bahasa

Perkataan integrity berasal daripada perkataan latin iaitu integritas yang berasal dari perkataan intact dan whole. Menurut Oxford Dictionary, integrity dalam Bahasa Inggeris yang sama maksudnya dengan integriti ditakrifkan sebagai the quality of being honest and morally upright.[9] Integriti membawa 2 maksud iaitu kejujuran dan keadaan sempurna, keutuhan dan ketelusan.
Maksud integriti mengikut Kamus Dewan, Edisi Keempat ialah kejujuran, mencemarkan nama baik dan jabatan. Ia juga bermaksud keadaan sempurna dan utuh[10]
Kesimpulannya integriti merujuk kepada sifat-sifat positif seperti jujur, benar, amanah dan bertanggugjawab. Walau bagaimanapun perkataan ini lebih mengkhususkan kepada sifat benar, jujur dan tulus atau dalam bahasa arab disebut dengan perkataan siddiq.
1.4 Pengertian Integriti Dari Segi Istilah
Dari segi istilah, integriti ialah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar. Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan akidah dan spiritual[11]
1.5 Kesimpulan
Amanah merupakan perkataan yang berasal dari Bahasa Arab dan digunakan dalam bahasa Melayu. Perkataan yang paling tepat dan ringkas untuk menggambarkan maksud amanah ialah kepercayaan. Sementara amanah dari segi istilah, kita dapat melihat kepelbagaian pandangan para ulama dalam menjustifikasikan makna amanah. Namun asasnya ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya
Integriti pula berasal dari perkataan latin dan diserap masuk ke dalam Bahasa Melayu. Terdapat banyak pandangan tentang makna integiriti, namun makna yang diterjemahkan di dalam Kamus Dewan ialah kepercayaan. Justeru itu, perkataan integriti di dalam kertas ini ditafsirkan sebagai kepercayaan kecuali dinyatakan sebaliknya.





[1] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.42

[2] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.42

[3] http://www.kasnazan.com/article.php?id=1338
[4] Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa al-Maraghiy, Tafsir al-Maraghiy, Sharikat Maktabat Wa Matbacah Mustafa al-Halabiy, Mesir, Jil.5, hlm.70, http://azizuljalali.blogspot.com/2012/04/normal-0-false-false-false-in-x-none-ar.html
[6] Ibid

[7] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, jil.10, hlm.423, www.scribd.com/doc/3048690/INTEGRITI-MENURUT-PERSPEKTIF-ISLAM-DR-ZUL
[8] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar. 1981. Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[9] Zikirbersulamcinta89.wordpress.com
[10] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.583

[11] Aminiamir.blogspot.com/2010/01/nilai-integriti-dan-akuntabiliti.html

Tiada ulasan: