Selasa, 28 Januari 2014

pembahagian amanah




2.3 Pembahagian Amanah
Kebanyakan ulama di dalam kitab-kitab tafsir membahagikan amanah kepada 3 jenis utama iaitu amanah terhadap Allah, amanah sesama manusia lain atau sesama makhluk dan amanah terhadap diri sendiri. Ada juga sebahagian ulama yang memperincikan lagi pembahagian amanah namun secara keseluruhannya tidak terkeluar daripada 3 jenis pembahagian utama ini.
2.3.1 Amanah Manusia Kepada Allah
Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghiy di dalam tafsirnya menjelaskan bahagian ini melibatkan hubungan manusia dengan Allah. Ia menuntut manusia supaya melaksanakan kesemua perintah Allah dan meninggalkan kesemua laranganNya. Selain itu, manusia juga dituntut untuk menggunakan semua anggota tubuhnya untuk benda-benda yang bermanfaat. Sesungguhnya perbuatan anggota tubuh manusia yang melakukan maksiat merupakan suatu pengkhianatan[1]
Termasuklah dalam amanah kepada Allah ialah amanah dalam ibadat. Amanah dalam ibadah menuntut seseorang muslim melakukan segala taklif dengan menunaikan segala tuntutan dan suruhan Allah seperti menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat, berbuat baik terhadap kedua ibu bapa dan sebagainya.[2]Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:
عَنْ عَبْداللهِ بْنِ عَمْروٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ؛ أَنَّهُ ذَكَرَ الصَّلاَةَ يَوْمًا، فَقَالَ : مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا ، كَانَتْ لَهُ نُورًا ، وَبُرْهَانًا ، وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا ، لَمْ يَكُنْ لَهُ نًورٌ ، وَلاَ بُرْهَانٌ ، وَلاَ نَجَاةٌ ، وَكَانَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ قَارُونَ ، وَفِرْعَونَ ، وَهَامَانَ ، وَأبَيِّ بْنِ خَلَفٍ
Maksudnya: Ketika Baginda SAW menyebut solat, Baginda melanjutkan lagi sabdanya dengan menyebut bahawa sesiapa yang menjaga solat akan dikurniakan cahaya dan petunjuk serta terselamat pada hari akhirat. Sesiapa yang tidak menjaga solat tidak akan diberi cahaya dan petunjuk dan mereka akan berada dalam kesesatan. Di hari kiamat kelak mereka akan bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubay bin Khalaf[3]
Kata Saidina Umar al-Khattab:[4]
من حفظها و حافظ عليها حفظ دينه ومن ضيعها فهو لما سواها أضيع
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan solat dan menjaga solatnya dengan sungguh-sungguh bererti dia telah menjaga agamanya dan siapa tidak menjaga solatnya bererti dia mengabaikan agamanya
Ibn Masud berkata bahawa amanah mesti dilaksanakan dalam semua perkara samada wuduk, janabah, solat, zakat dan puasa.[5]
Selain itu, terdapat juga sesetengah ulama memasukkan amanah terhadap pancaindera dan tubuh badan kita termasuk dalam amanah terhadap Allah. Ia menuntut seseorang muslim supaya mengetahui bahawa anggota tubuh badan kita kesemuanya amanah dari Allah. Justeru itu, kita wajib menjaganya dengan hanya menggunakannya pada jalan yang diredai Allah.
Contohnya mata. Kita hendaklah menggunakan mata untuk melihat benda-benda yang halal dan mengelakkan pandangan kita daripada melihat benda-benda yang diharamkan oleh Allah.
Begitu juga dengan anggota tubuh badan yang lain seperti lidah. Ia juga merupakan suatu amanah. Kita dilarang berbohong, mengumpat, melakukan bidaah dan sebagainya. begitu juga mata dan telinga, ianya merupakan suaatu amanah. Kita dilarang melihat perkara yang haram dan mendengar suatu yang boleh melalaikan.[6]
Tersebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
الْعَيْنُ تَزْنِي ، وَالْقَلْبُ يَزْنِي ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ ، وَزْنَا الْقَلْبِ التَّمَنِّي ، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ مَا هُنَالِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ
Maksudnya: mata boleh melakukan zina. Hati juga boleh melakukan zina. Maka zina mata ialah pandangan dan zina hati ialah khayal dan bayangan. Sementara kemaluanlah yang membenarkan zina itu atau tidak membenarkannya[7]
Ibn Umar pula menegaskan bahawa Allah menciptakan kemaluan manusia sebagai suatu amanah, maka jagalah supaya tidak melakukan suatu perkara terlarang dengannya.[8]
Kesimpulannya kesemua nikmat pancaindera dan anggota tubuh badan kita merupakan suatu amanah. Justeru itu, kita tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya pada tempat yang haram

2.3.2 Amanah Sesama Manusia / Makhluk
Amanah sesama manusia merangkumi suatu bab yang cukup luas. Ini kerana merupakan suatu sifat yang terdapat dalam semua bidang hidup manusia meliputi muamalat, kehakiman, perundangan, tort dan sebagainya.
a) Amanah dalam Muamalah
Bidang muamalat merupakan suatu bidang yang cukup luas, bahkan terdapat suatu disiplin ilmu khas yang membicarakan tentang muamalat. Walau bagaimanapun penulis hanya mengemukan contoh tentang al-wadiah, al-ariyah, al-rahn dan luqatah sahaja untuk menjelaskan bahawa tunjang bagi transaksi ini ialah amanah sesama manusia. Tanpa sifat ini, transaksi ini tidak akan berlaku dengan baik atau akan timbul kesan negatif seperti perbalahan, pergaduhan dan sebagainya
Al-Wadiah adalah suatu bentuk transaksi di mana seseorang mengamanahkan orang lain untuk menjaga barangannya[9]
Al-cAriyah pula merupakan keizinan yang diberikan seseorang kepada orang lain untuk memanfaatkan harta benda yang dimilikinya tanpa sebarang insentif
Penerima amanah ini, samada dalam bentuk wadiah atau cAriyah wajiblah menunaikan amanah pemilik barangan itu dengan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun jika barangan yang diamanahkan itu rosak atau hilang, penerima amanah tidak berkewajipan untuk mengganti atau membaikinya kecuali jika kerosakan dan kehilangan itu berpunca daripada kelalaian penerima amanah
Rahn ialah barangan yang dicagarkan sebagai jaminan hutang. Jika orang yang berhutang dapat melunaskan hutangnya maka barangan tersebut dikembalikan. Justeru itu, pihak pemiutang yang memegang barangan cagaran mestilah mengembalikan barangan tersebut apabila lunas hutangnya.
Luqatah ialah barang yang hilang di suatu tempat, kemudiaannya ditemui oleh orang lain dan barangan tersebut akan diisytiharkan hilang dalam tempoh tertentu. Jika tempoh telah habis, maka orang yang menemuinya boleh menggunakannya dengan syarat tertentu.[10]
Dalam kelima-lima transasksi ini, asasnya ialah amanah. Firman Allah SWT:
Dalam suatu hadis, Baginda SAW menyebut:[11]
أدالامانة إلى من اؤتمنك ولا تخن من خانك
Maksudnya: Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu, janganlah kamu melakukan khianat kepada orang yang mengkhianati kamu
Dalam surah al-Baqarah juga Allah SWT berfirman:
فإن أمن بعضكم بعضا فليؤد الذي اؤتمن أمانته
Maksudnya: Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayakan itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya
Para ulama juga dikehendaki menunaikan amanah ilmu dengan cara menyampaikan ilmu yang sahih dan tidak membawa orang awam kepada taksub yang batil
Bagi pemerintah pula, mereka hendaklah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah dengan berlaku adil. Tanggungjawab ini merupakan suatu amanah daripada Allah dan bukannya suatu penghormatan

2.3.3 Amanah Manusia Terhadap Dirinya Sendiri
Bahagian ini menuntut manusia berlaku adil terhadap dirinya sendiri dengan melakukan sesuatu yang terbaik dan bermanfaat bagi dirinya dalam urusan agama dan dunia serta tidak melakukan sesuatu yang memudaratkannya. Kita juga diingatkan bahawa kita bertanggungjawab terhadap diri kita dan akan disoal kembali tentang tanggungjawab kita sebagagimana hadis Nabi SAW:[12]
كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته
Maksudnya: Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan kamu semua akan disoal tentang jagaan (tanggungjawab) kamu.
Dalam hadis lain pula Nabi SAW menyebut:[13]
لا إيمان لمن لا أمانة له
Maksudnya: tidak beriman orang yang tiada amanah
Maimun bin Mahran berkata:[14]
ثلاثة يؤدين الى البر والفاجر الأمانة والعهد والرحم
Maksudnya: Ada 3 perkara yang boleh membawa kepada kebaikan atau kejahatan iaitu amanah, janji dan silaturrahim
Dalam suatu hadis Baginda SAW bersabda:[15]
ثلاث من كن فيه فهو منافق وإن صام وصلي وزعم أنه مسلم من إذا حدث كذب وإذا وعد أحلف وإذا اؤتمن خان
Maksudnya: Tiga perkara jika terdapat pada seseorang maka dia termasuk dalam golongan munafik walaupun dia berpuasa, bersolat dan mendakwa dirinya Muslim. Apabila dia bercakap, dia bohong, apabila berjanji, dia mungkir dan apabila diberi amanah dia khianat.


2.4 Kesimpulan
Dalam bab ini, penulis telah mengutarakan ayat-ayat al-Quran untuk menerangkan konsep amanah. Secara keseluruhannya, banyak ayak al-Quran yang menjelaskan tentang amanah namun penulis hanya memilih 5 tempat sahaja disertai dengan pandangan serta tafsiran para ulama dalam menerangkan makna amanah.
Daripada pembentangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa tujuan kedatangan manusia ke bumi ini merupakan suatu amanah dari Allah iaitu untuk menjadi khalifah, memakmurkan dunia ini. Justeru itu, walaupun para ulama menafsirkan maksud amanah di dalam al-Quran dengan kepelbagaian maksud, namun poin utamanya ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya



[1] Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa al-Maraghiy, Tafsir al-Maraghiy, Sharikat Maktabat Wa Matbacah Mustafa al-Halabiy, Mesir, Jil.5, hlm.70

[2] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143, Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Safwat al-Tafasir, Dar al-Sabuniy Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Madinat Nasr-Kaherah, Jil1, hlm.284-285

[5] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[6] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[8] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[9] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, jil.6, hlm.425

[10] http://abyyasha.wordpress.com/2011/10/03/pengertian-amanah-dalam-islam/
[11] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, jil.6, hlm.425

[12] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[13] al-Alusiy, Shihab al-Din al-Sayyid Mahmud, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut-Lubnan,  jil.5, hlm.64, al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143

[14] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy al-Mushtahar Bi Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic, Beirut, jil 32, hlm.143, al-Alusiy, Shihab al-Din al-Sayyid Mahmud, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut-Lubnan,  jil.22, hlm.64

[15] al-Alusiy, Shihab al-Din al-Sayyid Mahmud, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut-Lubnan,  jil.5, hlm.64

Tiada ulasan: