BAB II
PENGHARAMAN ARAK DALAM SYARIAH
2.1 Pendahuluan
Syariat Islam dibina
berdasarkan 5 prinsip asas iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan
harta.
Imam Ghazali di dalam al-Mustasfa mengatakan
bahawa ada 5 maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama, nyawa,
akal, keturunan dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi
penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima
asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah.[1]Inilah
yang dipanggil maqasid syariah
Al-cIzz bin Abd al-Salam berkata bahawa
Allah SWT tidak mensyariatkan suatu hukuman kecuali untuk kemaslahatan dunia,
maslahah akhirat atau untuk maslahah kedua-duanya sebagai limpahan kurniaanNya
kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat
dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang
tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat.[2]
Bab ini akan menerangkan maqasid syariah secara
ringkas diikuti dengan peringkat pengharaman arak dan hikmat pengharamannya
serta tadarruj.
2.2 Maqasid Syariah
Maqasid Syariah
atau tujuan syariat mempunyai 5 iaitu menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan
akal. Berikut adalah perincian Maqasid Syariah:
2.2.1 Menjaga Nyawa[3]
Sesungguhnya Islam cukup memuliakan anak adam. Justeru itu, Islam
melarang keras perbuatan membunuh samada membunuh orang lain mahupun membunuh
diri sendiri. Al-Quran menegaskan di dalam surah
وَلاَ
تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksud: dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu[4]
Al-Quran juga menerangkan bahawa
anak adam merupakan khalifah di bumi. Justeru itu Syarak mengharamkan setiap
jenayah yang berlaku terhadap nyawa manusia kerana nyawa manusia adalah milik
Allah yang dipinjamkan kepada manusia. Untuk menjaga nyawa manusia, Syarak
menetapkan hukuman Qisas. Firman Allah SWT:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِيْ الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُون
Maksud: dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup
bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa[5]
Hukuman qisas yang ditetapkan
oleh Allah ini menjadi jaminan atau insuran kepada anggota badan dan jiwa
manusia. Ini kerana pembunuhan dan kecederaan bukanlah suatu perkara mainan
yang sewenag-wenangnya. Oleh itu, al-Quran menentukan hukuman ini untuk
memelihara nyawa manusia daripada sebarang bentuk ancaman. Keindahan icjaz
di sini dapat diperhatikan melalui kerasionalan dan keseimbangan hukuman tersebut
yang mencetuskan norma-norma keadilan dan kesaksamaan yang boleh memuaskan hati
kedua-dua pihak yang bertelagah. Al-Quran telah menetapkan bahawa keampunan dan
kemaafan diterimapakai dalam mengendalikan hukuman qisas apabila kedua-kedua
pihak setuju berdamai. Ini kerana apabila kedua-dua pihak yang bertelagah
setuju dengan keampunan atau kemaafan, maka maksud hukuman itu telah tercapai
dan telah selesai[6]
2.2.2 Menjaga Akal
Islam mengharamkan arak kerana ia memabukkan. Walau bagaimanapun
proses pengharaman ini bukanlah berlaku secara sekaligus, sebaliknya dilakukan
dalam 3 peringkat disebabkan orang arab pada masa itu sudah biasa dengan
hidangan dan minuman yang memabukkan.
2.2.3 Menjaga Maruah
Untuk menjaga maruah keturunan manusia, Islam mengharamkan zina dan
menetapkan hukum hudud kepada penzina. Firman Allah SWT:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا
مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن
كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا
طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِين
Maksud: perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah
kami sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus kali sebat, dan
janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat,dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu
oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman[7]
Hukuman ini dikenakan ke atas
penzina yang masih bujang. Jika penzina berkenana merupakan seorang yang sudah
berkahwin, mengikut nas daripada hadis yang sahih mereka akan direjam
Selain zina, Islam juga menetapkan
hukuman qazaf, iaitu menuduh perempuan atau lelaki yang baik dengan
tuduhan zina.
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا
بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا
لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksud: dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan
yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang
saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima
persaksianmereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang
fasik[8]
Dalam masa yang sama,Islam juga
memerintahkan agar kita menundukkan pandangan dan menegah daripada mendedahkan
aurat yang sepatutnya dilindungi
2.2.4 Menjaga
Harta
Untuk menjaga harta benda, Islam menetapkan hukum hudud bagi
kesalahan mencuri.
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا
كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksud: dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang
mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan
sebab apa yang mereka telah usahakan., (juga sebagai) suatu hukuman pencegah
dari Allah. Dan ingatlah Allah maha kuasa, lagi mana bijaksana.[9]
Kita juga dapat melihat contoh
teladan daripada Rasulullah SAW yang menolak rayuan daripada Usamah bin Zaid
dalam kes perempuan al-Makhzumiyyah yang mencuri. Dalam kes ini, seorang
perempuan yang ternama dari kalangan Quraisy telah mencuri. Lalu orang-orang
Quraisy meminta Usamah, seorang anak angkat kesayangan Baginda SAW untuk
mengemukakan rayuan terhadap perempuan itu namun ditaolak dengan tegas oleh
Rasulullah SAW. Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa kalaulah anak
kesayangannya sendiri iaitu Fatimah yang mencuri, baginda SAW sendiri yang akan
menjatuhkan hukuman terhadapnya
2.2.5 Menjaga Ketenteraman Awam
Untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam, serta menjamin kestabilan
dalam sesebuah negara, Syarak menetapkan hukuman bagi kesalahan memberontak
kepada pemerintah Islam yang sah. Orang-orang yang memerangi Allah dan rasulnya
ialah orang yang menzahirkan penentangan dengan terbuka serta mempunyai
kekuatan. Mereka melakukan kerosakan dengan pembunuhan, mencuri dan merompak
serta mengganggu laluan
2.3 Peringkat Pengharaman Arak
Untuk menjaga kemuliaan akal, Syarak mengharamkan arak. Walau
bagaimanapun pengharaman ini bukanlah berlaku secara mengejut atau sekali gus
namun ia berlaku secara berperingkat.
2.3.1 Peringkat 1: Ayat 219 Surah
al-Baqarah
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ
وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak
dan judi. Katakanlak pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat
bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Hamka menjelaskan di dalam tafsirnya
bahawa ayat ini memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikan ajaran berfikir
kepada umat dengan 2 cara. Cara pertama ialah pilihlah atau timbanglah sesuatu
perkara yang mana lebih besar di antara dosa (mudarat) dan manfaat. Cara kedua
ialah Nabi Muhammad SAW sudah diwahyukan supaya menyuruh orang beriman supaya
memikirkan sedalam-dalamnya setiap perbuatan. Ini kerana kata Hamka lagi,
setiap perkara dalam dunia ini tidaklah ada yang semata-mata buruk, dalam buruk
ada baiknya. Begitu juga dengan kebaikan, tidaklah kesemuanya baik, mungkin
dalam baik ada buruknya. Pertimbangan ini menuntut umat supaya sentiasa cerdas
dalam berfikir dan membuat keputusan.[10]
2.3.2 Peringkat 2: Surah al-Nisa’ ayat 43
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ
سُكَارَى
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga
kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakana
Menurut riwayat yang diceritakan
oleh Abu Dawud, Termizi dan lain-lain bahawa ayat ini diturunkan ketika minuman
keras masih belum diharamkan. Ali bin Abu Talib bercerita bahawa beliau dan
beberapa orang sahabat diundang menghadiri suatu majlis jamuan makan oleh Abdul
Rahman bin Auf. Dalam majlis tersebut, terdapat pelbagai jenis hidangan
termasuklah tuak. Lalu para sahabat meminum tuak sehingga mabuk. Apabila tiba
waktu solat, para sahabat meminta Ali menjadi imam. Ketika mengimamkan solat,
Ali telah tersilap bacaan dalam surah al-Kafirun lalu turunlah ayat ini. Sejak
turunnya ayat ini, para sahabat tidak lagi minum arak ketika hendak mengerjakan
solat[11]
2.3.3 Peringkat ketiga Surah al-Maidah ayat 90
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ
رِجْسٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya
arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang
anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu
hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya
Ayat ini menjadi pemisah atau kata
pemutus tentang isu arak. Ayat ini mengharamkan terus arak. Apabila ayat ini
diturunkan, para sahabat tidak lagi meminum arak, meninggalkan sepenuhnya
kebiasaan lampau mereka atas dasar keimanan kepada Allah
2.4
Hikmah Tadarruj
Syeikh
Muhammad al- Khudariy menjelaskan bahawa dalam kehidupan masyarakat arab
khasnya pada zaman penurunan wahyu, terdapat adat kebiasaan buruk yang berakar
umbi dan sukar diubah dengan sekelip mata. Justeru itu, metod tadarruj ini
digunapakai bagi menghapuskan kebiasaan dan adat buruk berkenaan secara
perlahan-lahan. Beliau memberi contoh pengharaman arak yang berlaku dalam 3
peringkat. Perkara ini dilakukan dengan mengambil kira keadaan dan situasi
semasa yang mempengaruhi proses kejayaan pensyariatan itu sendiri. Sikap
mengambil kira realiti hidup semasa ini merupakan perkara paling asas dalam
fiqh kontemporari[12]
Abdul Qadir cAudah di dalam kitabnya
menjelaskan bahawa masyarakat arab pada masa itu belum bersedia untuk menerima
pengharaman arak secara mutlak. Justeru itu, jiwa mereka dididik terlebih
dahulu secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada arak. Lama-kelamaan
barulah arak diharakan secara mutlak.[13]
2.5 Hikmah Pengharaman
Arak
Pada
asalnya kita wajib beriman dengan apa sahaja yang datang daripada Allah SWT.
Walau bagaimanapun kita boleh mengkaji sebab akibat sesuatu perkara termasuk
hukum pengharaman arak. Secara mudahnya, arak diharamkan kerana cillah atau sifat yang ada
padanya iaitu memabukkan. Sifat atau cillah
memabukkan ini boleh menutup kewarasan akal sehingga peminum arak yang cerdik
pandai sekalipun apabila mabuk, tidak mustahil boleh berbogel dan berkelakuan
tidak sopan di khalayak ramai. Ia juga boleh menimbulkan bahaya dan mudarat
kepada masyarakat. Tegasnya mabuk yang terdapat pada arak boleh menghilangkan
kewarasan akal fikiran seseorang.
Selain itu, Objektif pengharaman arak dilihat kepada
kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak juga akan
menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati dan menyebabkan ketagihan
sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk
mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan
tanggungjawab yang lain.[14]
2.6 Kesimpulan
Syariat diturunkan untuk menjaga 5 perkara asas iaitu agama, nyawa,
akal, maruah dan harta. Dalam masalah menjaga akal, Islam mengharamkan arak.
Namun pengharaman ini dilakukan secara berperingkat. Proses pemeringkatan atau tadarruj
ini disebabkan adat kebiasaan masyarakat arab yang sudah sebati dengan arak.
Justeru itu, tadarruj memainkan factor penting dalam mendidik jiwa dan
menyediakan mereka untuk menerima pengharaman arak secara mutlak.
[1] http://www.darulkautsar.net/1915-
[2] http://www.darulkautsar.net/1915-
[4]
Al-Nisa’ ayat 29, semua terjemahan ayat al-Quran dirujuk kepada Tafsir Pimpinan
Rahman Terbitan JAKIM
[5] Al-Baqarah
ayat 179
[6]
http://dlutpys.blogspot.com/2012/08/ijaz-al-tasyri-tinjauan-ijaz-ini-ialah.html
[7]
Surah al-Nur ayat 2
[8]
Surah al-Nur ayat 4
[9]
Al-Maidah ayat 38
[10]
Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka
Panjimas, Jakarta, Jil.1, hlm. 186-188
[11]
Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka
Panjimas, Jakarta, Jil.5, hlm. 78-79,
Muhammad Ali al-Sais, Abdul Latif al-Subkiy,
Muhammad Ibrahim Muhammad Karsun, Tafsir Ayat al-Ahkam, Dar Ibn Kathir-
Dar al-Qadiriy, Damsyik & Beirut, Jil.1, hlm.471-472
[12] http://kalamIslam4u.wordpress.com/2012/04/09/latar-belakang-sejarah-fikah/
[13]
Abdul Qadir cAudah, al-Tashric al-Jina’iy al-Islamiy
Muqaranan Bi al-Qanun al-Wadciy, Muassasah al-Risalah,
Beirut-Lubnan, Jil1, hlm.50-51
[14] Abdul
Qadir cAudah, al-Tashric al-Jina’iy al-Islamiy
Muqaranan Bi al-Qanun al-Wadciy, Muassasah al-Risalah,
Beirut-Lubnan, Jil1, hlm.650, http://www.darulkautsar.net/1915
Tiada ulasan:
Catat Ulasan