Rabu, 29 Januari 2014

ikjaz tashriciy dalam pengharaman arak



BAB III

ICJAZ TASHRICIY DALAM PENGHARAMAN ARAK

3.1 Pendahuluan
Dalam bab lepas, arak diharamkan secara berperingkat. Tujuannya ialah untuk mendidik jiwa manusia secara beransur-ansur kerana arak menjadi suatu tabiat dan kebiasaan sehingga ia dihidangkan dalam majlis keraian, kenduri dan sebagainya. Arak juga disebut dan dipuji dalam syair-syair mereka. Justeru itu, Allah mengharamkan arak yang menjadi suatu kebiasaan orang arab secara berperingkat.

3.2 Pengertian Syarak
Syarak merupakan masdar dari perkataan Sharaca, sementara tashric masdar dari perkataan sharraca. Syariah pada penggunaan bahasa bermaksud jalan menuju ke air. Kemudian orang arab menggunakannya untuk menunjukkan kepada suatu jalan yang lurus. Seperti air yang menjadi punca kehidupan, begitulah juga jalan yang lurus tadi menjadi sumber petunjuk kepada jiwa dan menghidupkannya. Perkataan syariat kemudiannya digunakan untuk menunjukan kepada jalan ketuhanan[1]

3.3 Icjaz tasyriciy Dalam Pengharaman Arak
Icjaz tasyriciy bermaksud menetapkan lemahnya manusia secara keseluruhannya daripada membawakan sesuatu yang seumpama al-Quran dari segi hukum dan perundangan, samada hukum itu melibatkan perkara yang bersangkutan individu atau masyarakat dalam semua bidang.
Apabila membicarakan Icjaz tasyriciy dalam pengharaman arak, maksudnya ialah menetapkan lemahnya manusia daripada mencipta atau membawa suatu perundangan yang mampu menandingi undang-undang berkenaan arak.
Undang-undang Islam mempunyai sifat-sifat tertentu seperti seperti syumul, fleksibel dan kesesuaian dengan fitrah manusia.
Kesyumulan undang-undang Islam dapat dilihat dalam masalah arak yang mana Islam mengubati penyakit arak daripada akar umbinya. Islam mendidik jiwa manusia dengan cara menyebut bahawa arak membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat. Proses pendidikan ini menyediakan jiwa manusia kepada pengharaman secara mutlak. Kemudian Islam menyeru orang mukmin supaya jangan bersolat dalam keadaan mabuk, oleh itu para sahabat tidak lagi minum dalam keadaan hendak solat. Kemudian barulah Islam mengharamkan arak secara mutlak. Pemeringkatan ini nyata memberi kesan besar kepada masyarakat tentang arak
Seterusnya apabila arak diharamkan secara mutlak, Islam menyediakan peruntukan undang-undang yang mempunyai sifat mencegah. Apabila seorang yang sabit kesalahan arak dikenakan hukuman hudud di khalayak, pastinya ia akan memberi kesan kepada masyarakat yang menontonnya.

3.4 Perbandingan Undang-Undang Pencegahan Arak[2]
Sebenarnya suatu yang tidak adil untuk kita membandingkan undang-undang Allah dengan undang-undang manusia dalam semua segi kerana ia seolah-olah menjadi perbandingan di antara ciptaan Tuhan dengan ciptaan manusia. Namun kita hanya mengambil satu contoh realiti bagaimana Syarak mengubati suatu masalah yang mana masyarakat yang mendakwa paling bertamadun pada hari ini masih sukar untuk menanganinya secara berkesan.
Sesungguhnya Syarak mengubati penyakit ini hanya dengan 3 peringkat penurunan ayat al-Quran. Apa yang berlaku pada masyarakat bukan Islam ialah mereka masih berdepan dengan masalah ini lebih daripada 13 abad. Perkara ini masih menjadi poin penting kepada penggubal dan pembuat dasar yang mungkin boleh disifatkan sebagai paling bertamadun pada masa kini.
Di Amerika Syarikat pada tahun 1919, pihak berkuasa cuba mengubati masalah berkenaan arak dengan melaksanakan undang-undang yang digelar ACTE Volstead.[3] Ianya berkuatkuasa selama lebih kurang 13 tahun sebelum dimansuhkan kerana menemui kegagalan. Dalam kempen berkenaan arak, mereka menggunakan sepenuhnya media massa mereka seperti akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Belanja untuk kempen membasmi arak sahaja mencecah angka 65 juta dolar. Sebanyak 9 billion halaman akhbar, majalah dan risalah telah disebarkan untuk menerangkan kepada rakyat Amerika bahayanya arak. Walau bagaimanapun angka 65 juta dolar ini masih tidak mampu untuk menghilangkan arak daripada masyarakt Amerika Syarikat sehingga akhirnya kempen ini dibatalkan setelah ianya menemui kegagalan[4]
3.5 Kesimpulan
Sememangnya al-Quran penuh dengan mukjizat. Salah satu daripadanya berkenaan dengan undang-undang melibatkan arak. Kita dapat lihat bagaimana al-Quran berinteraksi dengan masyarakat arab dahulu semasa proses penurunannya dan kalau dibandingkan dengan penggubalan akta untuk mencegah atau menghalang penjualan arak yang pernah cuba dilaksanakan oleh penggubal-penggubal undang-undang, nyata ia jauh berbeza. Benarlah bahawa al-Quran sememangnya datang daripada Allah


[1] http://www.alukah.net/sharia/0/3963
[2] http://www.alukah.net/sharia/0/3963
[3] en.wikipedia.org/wiki/Volstead_Act

[4] elmargi.blogspot.com

pengharaman arak dalam syariah



BAB II

PENGHARAMAN ARAK DALAM SYARIAH

2.1 Pendahuluan
Syariat Islam dibina berdasarkan 5 prinsip asas iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.
Imam Ghazali di dalam al-Mustasfa mengatakan bahawa ada 5 maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah.[1]Inilah yang dipanggil maqasid syariah
Al-cIzz bin Abd al-Salam berkata bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan suatu hukuman kecuali untuk kemaslahatan dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah kedua-duanya sebagai limpahan kurniaanNya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat.[2]
Bab ini akan menerangkan maqasid syariah secara ringkas diikuti dengan peringkat pengharaman arak dan hikmat pengharamannya serta tadarruj.

2.2 Maqasid Syariah
Maqasid Syariah atau tujuan syariat mempunyai 5 iaitu menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan akal. Berikut adalah perincian Maqasid Syariah:
2.2.1 Menjaga Nyawa[3]
Sesungguhnya Islam cukup memuliakan anak adam. Justeru itu, Islam melarang keras perbuatan membunuh samada membunuh orang lain mahupun membunuh diri sendiri. Al-Quran menegaskan di dalam surah
                                    وَلاَ تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا                                   
Maksud: dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu[4]
Al-Quran juga menerangkan bahawa anak adam merupakan khalifah di bumi. Justeru itu Syarak mengharamkan setiap jenayah yang berlaku terhadap nyawa manusia kerana nyawa manusia adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia. Untuk menjaga nyawa manusia, Syarak menetapkan hukuman Qisas. Firman Allah SWT:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِيْ الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
Maksud: dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa[5]
Hukuman qisas yang ditetapkan oleh Allah ini menjadi jaminan atau insuran kepada anggota badan dan jiwa manusia. Ini kerana pembunuhan dan kecederaan bukanlah suatu perkara mainan yang sewenag-wenangnya. Oleh itu, al-Quran menentukan hukuman ini untuk memelihara nyawa manusia daripada sebarang bentuk ancaman. Keindahan icjaz di sini dapat diperhatikan melalui kerasionalan dan keseimbangan hukuman tersebut yang mencetuskan norma-norma keadilan dan kesaksamaan yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak yang bertelagah. Al-Quran telah menetapkan bahawa keampunan dan kemaafan diterimapakai dalam mengendalikan hukuman qisas apabila kedua-kedua pihak setuju berdamai. Ini kerana apabila kedua-dua pihak yang bertelagah setuju dengan keampunan atau kemaafan, maka maksud hukuman itu telah tercapai dan telah selesai[6]

2.2.2 Menjaga Akal
Islam mengharamkan arak kerana ia memabukkan. Walau bagaimanapun proses pengharaman ini bukanlah berlaku secara sekaligus, sebaliknya dilakukan dalam 3 peringkat disebabkan orang arab pada masa itu sudah biasa dengan hidangan dan minuman yang memabukkan.

2.2.3 Menjaga Maruah
Untuk menjaga maruah keturunan manusia, Islam mengharamkan zina dan menetapkan hukum hudud kepada penzina. Firman Allah SWT:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِين
Maksud: perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kami sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat,dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman[7]
Hukuman ini dikenakan ke atas penzina yang masih bujang. Jika penzina berkenana merupakan seorang yang sudah berkahwin, mengikut nas daripada hadis yang sahih mereka akan direjam
Selain zina, Islam juga menetapkan hukuman qazaf, iaitu menuduh perempuan atau lelaki yang baik dengan tuduhan zina.

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksud: dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksianmereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik[8]
Dalam masa yang sama,Islam juga memerintahkan agar kita menundukkan pandangan dan menegah daripada mendedahkan aurat yang sepatutnya dilindungi

2.2.4 Menjaga Harta
Untuk menjaga harta benda, Islam menetapkan hukum hudud bagi kesalahan mencuri.
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksud: dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan., (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah maha kuasa, lagi mana bijaksana.[9]
Kita juga dapat melihat contoh teladan daripada Rasulullah SAW yang menolak rayuan daripada Usamah bin Zaid dalam kes perempuan al-Makhzumiyyah yang mencuri. Dalam kes ini, seorang perempuan yang ternama dari kalangan Quraisy telah mencuri. Lalu orang-orang Quraisy meminta Usamah, seorang anak angkat kesayangan Baginda SAW untuk mengemukakan rayuan terhadap perempuan itu namun ditaolak dengan tegas oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa kalaulah anak kesayangannya sendiri iaitu Fatimah yang mencuri, baginda SAW sendiri yang akan menjatuhkan hukuman terhadapnya

2.2.5 Menjaga Ketenteraman Awam
Untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam, serta menjamin kestabilan dalam sesebuah negara, Syarak menetapkan hukuman bagi kesalahan memberontak kepada pemerintah Islam yang sah. Orang-orang yang memerangi Allah dan rasulnya ialah orang yang menzahirkan penentangan dengan terbuka serta mempunyai kekuatan. Mereka melakukan kerosakan dengan pembunuhan, mencuri dan merompak serta mengganggu laluan

2.3 Peringkat Pengharaman Arak
Untuk menjaga kemuliaan akal, Syarak mengharamkan arak. Walau bagaimanapun pengharaman ini bukanlah berlaku secara mengejut atau sekali gus namun ia berlaku secara berperingkat.
2.3.1 Peringkat 1: Ayat 219 Surah al-Baqarah
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlak pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Hamka menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa ayat ini memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikan ajaran berfikir kepada umat dengan 2 cara. Cara pertama ialah pilihlah atau timbanglah sesuatu perkara yang mana lebih besar di antara dosa (mudarat) dan manfaat. Cara kedua ialah Nabi Muhammad SAW sudah diwahyukan supaya menyuruh orang beriman supaya memikirkan sedalam-dalamnya setiap perbuatan. Ini kerana kata Hamka lagi, setiap perkara dalam dunia ini tidaklah ada yang semata-mata buruk, dalam buruk ada baiknya. Begitu juga dengan kebaikan, tidaklah kesemuanya baik, mungkin dalam baik ada buruknya. Pertimbangan ini menuntut umat supaya sentiasa cerdas dalam berfikir dan membuat keputusan.[10]
2.3.2 Peringkat 2: Surah al-Nisa’ ayat 43
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakana
Menurut riwayat yang diceritakan oleh Abu Dawud, Termizi dan lain-lain bahawa ayat ini diturunkan ketika minuman keras masih belum diharamkan. Ali bin Abu Talib bercerita bahawa beliau dan beberapa orang sahabat diundang menghadiri suatu majlis jamuan makan oleh Abdul Rahman bin Auf. Dalam majlis tersebut, terdapat pelbagai jenis hidangan termasuklah tuak. Lalu para sahabat meminum tuak sehingga mabuk. Apabila tiba waktu solat, para sahabat meminta Ali menjadi imam. Ketika mengimamkan solat, Ali telah tersilap bacaan dalam surah al-Kafirun lalu turunlah ayat ini. Sejak turunnya ayat ini, para sahabat tidak lagi minum arak ketika hendak mengerjakan solat[11]

2.3.3 Peringkat ketiga Surah al-Maidah ayat 90
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya
Ayat ini menjadi pemisah atau kata pemutus tentang isu arak. Ayat ini mengharamkan terus arak. Apabila ayat ini diturunkan, para sahabat tidak lagi meminum arak, meninggalkan sepenuhnya kebiasaan lampau mereka atas dasar keimanan kepada Allah

2.4 Hikmah Tadarruj
Syeikh Muhammad al- Khudariy menjelaskan bahawa dalam kehidupan masyarakat arab khasnya pada zaman penurunan wahyu, terdapat adat kebiasaan buruk yang berakar umbi dan sukar diubah dengan sekelip mata. Justeru itu, metod tadarruj ini digunapakai bagi menghapuskan kebiasaan dan adat buruk berkenaan secara perlahan-lahan. Beliau memberi contoh pengharaman arak yang berlaku dalam 3 peringkat. Perkara ini dilakukan dengan mengambil kira keadaan dan situasi semasa yang mempengaruhi proses kejayaan pensyariatan itu sendiri. Sikap mengambil kira realiti hidup semasa ini merupakan perkara paling asas dalam fiqh kontemporari[12]
Abdul Qadir cAudah di dalam kitabnya menjelaskan bahawa masyarakat arab pada masa itu belum bersedia untuk menerima pengharaman arak secara mutlak. Justeru itu, jiwa mereka dididik terlebih dahulu secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada arak. Lama-kelamaan barulah arak diharakan secara mutlak.[13]

2.5 Hikmah Pengharaman Arak
Pada asalnya kita wajib beriman dengan apa sahaja yang datang daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun kita boleh mengkaji sebab akibat sesuatu perkara termasuk hukum pengharaman arak. Secara mudahnya, arak diharamkan kerana cillah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat atau cillah memabukkan ini boleh menutup kewarasan akal sehingga peminum arak yang cerdik pandai sekalipun apabila mabuk, tidak mustahil boleh berbogel dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai. Ia juga boleh menimbulkan bahaya dan mudarat kepada masyarakat. Tegasnya mabuk yang terdapat pada arak boleh menghilangkan kewarasan akal fikiran seseorang.
Selain itu, Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak juga akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati dan menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.[14]

 2.6 Kesimpulan
Syariat diturunkan untuk menjaga 5 perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Dalam masalah menjaga akal, Islam mengharamkan arak. Namun pengharaman ini dilakukan secara berperingkat. Proses pemeringkatan atau tadarruj ini disebabkan adat kebiasaan masyarakat arab yang sudah sebati dengan arak. Justeru itu, tadarruj memainkan factor penting dalam mendidik jiwa dan menyediakan mereka untuk menerima pengharaman arak secara mutlak.




[1] http://www.darulkautsar.net/1915-
[2] http://www.darulkautsar.net/1915-
[4] Al-Nisa’ ayat 29, semua terjemahan ayat al-Quran dirujuk kepada Tafsir Pimpinan Rahman Terbitan JAKIM

[5] Al-Baqarah ayat 179

[6] http://dlutpys.blogspot.com/2012/08/ijaz-al-tasyri-tinjauan-ijaz-ini-ialah.html
[7] Surah al-Nur ayat 2

[8] Surah al-Nur ayat 4

[9] Al-Maidah ayat 38
[10] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Jil.1, hlm. 186-188

[11] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Jil.5, hlm. 78-79,
Muhammad Ali al-Sais, Abdul Latif al-Subkiy, Muhammad Ibrahim Muhammad Karsun, Tafsir Ayat al-Ahkam, Dar Ibn Kathir- Dar al-Qadiriy, Damsyik & Beirut, Jil.1, hlm.471-472
[12] http://kalamIslam4u.wordpress.com/2012/04/09/latar-belakang-sejarah-fikah/
[13] Abdul Qadir cAudah, al-Tashric al-Jina’iy al-Islamiy Muqaranan Bi al-Qanun al-Wadciy, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, Jil1, hlm.50-51

[14] Abdul Qadir cAudah, al-Tashric al-Jina’iy al-Islamiy Muqaranan Bi al-Qanun al-Wadciy, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, Jil1, hlm.650, http://www.darulkautsar.net/1915