Khamis, 31 Julai 2025

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Alfie Kohn mengkritik keras penggunaan ganjaran dan hukuman dalam pengurusan tingkah laku khususnya dalam konteks pendidikan dan pembesaran anak-anak. Pandangan ini bertunjangkan kepada prinsip motivasi intrinsik, kebebasan kendiri, dan pembinaan hubungan yang autentik antara guru dan pelajar.


Kritikan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman dan Ganjaran

1. Ganjaran dan Hukuman bersifat mengawal

Kohn berpandangan bahawa kedua-duanya (hukuman dan ganjaran) adalah bentuk manipulasi tingkah laku. Ia mungkin kelihatan berkesan dalam jangka masa pendek. Katanya


The more you reward people for doing something, the more they tend to lose interest in whatever they had to do to get the reward.” (Punished by Rewards)


Murid membuat sesuatu bukan kerana mereka mahu melakukannya atau mereka percaya bahawa ianya betul, tetapi kerana semata-mata mahu mengelak daripada dikenakan hukuman atau mendapatkan ganjaran

 

2. Menghakis motivasi intrinsik

Ganjaran (seperti pujian, bintang emas, hadiah) boleh merosakkan minat tulen terhadap pembelajaran. Murid mula mempersoalkan apakah yang mereka akan dapat kalau mereka melakukan sesuatu perkara berbanding soalan apakah yang saya boleh belajar daripada perkara ini. Ringkasnya murid kehilangan perasaan ingin tahu dan keseronokan belajar

 

3. Menggalakkan kepatuhan, bukan kebertanggungjawaban

Ganjaran dan hukuman menghasilkan kepatuhan pasif, bukan pemikiran kritikal atau perkembangan nilai dalaman. Murid tidak belajar untuk menilai baik dan buruk berdasarkan prinsip, tetapi hanya bertindak untuk elak kesan negatif.



4. Mengabaikan hubungan dan konteks

Kohn menekankan bahawa pengurusan tingkah laku seharusnya berpaksikan hubungan, kepercayaan, dan persekitaran yang menyokong. Fokus yang terlalu berat pada kawalan tingkah laku menyebabkan guru/ibu bapa melupakan aspek emosi, psikologi dan sosial pelajar.


5. Ganjaran sebagai hukuman yang terselindung

Kohn berpendapat bahawa apabila ganjaran digunakan untuk mengawal, ia sebenarnya sama manipulatif seperti hukuman hanya kelihatan lebih positif. Contohnya seorang murid yang gagal tidak dibenarkan untuk pulang lebih awal atau diberi hadiah. Perkara sebegini boleh dirasai sebagai bentuk pengasingan atau penghinaan



Cadangan Alternatif oleh Alfie Kohn

1. Fokus pada Hubungan.

Bina hubungan guru-pelajar yang tulen dan penuh hormat. Dengarkan suara pelajar.


2. Galakkan autonomi melibatkan pelajar dalam membuat keputusan kelas dan menetapkan peraturan. Tindakan sebegini akan mendidik mereka membuat pilihan dan seterusnya mendapatkan kepercayaan murid.


3. Pupuk motivasi intrinsik dengan cara menunjukkan nilai sebenar dalam aktiviti pembelajaran. Guru juga harus menggalakkan amalan refleksi dan pemikiran aras tinggi.


4. Pendekatan Restoratif (Restorative Approach). Melalui pendekatan ini, guru akan membantu murid memahami kesan tingkah laku mereka dan memperbaiki hubungan yang terjejasj berbanding hanya menghukum


Kesimpulan

Bagi Alfie Kohn, tujuan pendidikan bukanlah untuk mengawal pelajar, tetapi untuk membina individu yang berfikir sendiri, bertanggungjawab, dan bermotivasi dari dalam. Beliau mengajak para guru agar menilai semula kaedah disiplin tradisional yang bersifat ganjaran sebagai baik, hukuman sebagai buruk.



Ahad, 27 Julai 2025

Mendoakan Seseorang Tanpa Pengetahuannya

 BINGKISAN SEBELUM TIDUR


MENDOAKAN SESEORANG TANPA PENGETAHUANNYA

 

Ada hadis dari Abu Darda’ bahawa Nabi Saw telah bersabda:

 

"دُعَاءُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ."

 

Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di kepalanya ada malaikat yang ditugaskan, setiap kali dia berdoa untuk kebaikan saudaranya, malaikat itu berkata: “Amin, dan bagimu juga seperti itu.” (Muslim)

 

Hadis ini menyampaikan satu mesej yang sangat indah tentang kekuatan dan keikhlasan doa seorang Muslim terhadap saudaranya. Rasulullah saw menyatakan bahawa doa seorang Muslim untuk saudaranya secara diam-diam (tanpa pengetahuan orang itu) adalah doa yang mustajab iaitu doa yang sangat berpotensi untuk dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

Perkataan atau frasa بِظَهْرِ الْغَيْبِ dalam hadis ini boleh diertikan sebagai mendoakan seseorang tanpa dia mengetahuinya, dalam keadaan tersembunyi, doa dari kejauhan. Ini menggambarkan keikhlasan sebenar, kerana tiada pujian atau balasan yang diharapkan daripada orang yang didoakan. Niat yang ikhlas inilah yang menyebabkan doa itu lebih bernilai di sisi Allah. Apabila kita berkawan dengan seseorang, nikmatnya berkawan apabila persahabatan kita dibina kerana Allah, bukan kerana ada sebarang kepentingan dunia.

 

Hadis ini juga menyebut tentang kehadiran malaikat yang ditugaskan di sisi orang yang berdoa. Setiap kali seseorang berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat itu akan berkata: "Amin, dan engkau juga akan mendapat seperti itu." Ini bermakna orang yang mendoakan juga akan menerima kebaikan yang sama seperti yang dimintanya untuk orang lain.

 

Sebagai contoh, jika kita mendoakan seseorang rakan atau sahabat supaya diberi kesihatan, ketenangan atau rezeki yang halal, maka malaikat akan mendoakan supaya kita yang berdoa dikurniakan perkara yang sama. Ini menunjukkan betapa Islam mendorong umatnya supaya saling mendoakan dan mengharapkan kebaikan untuk satu sama lain. Justeru itu,

 

Isteri perawi hadis ni iaitu Ummu Darda’ pernah bercerita tentang suaminya Abu Darda’. Katanya dahulu Abu Darda’ memiliki lebih kurang 300 orang sahabat. Abu Darda’ kerap kali berdoa kepada para sahabatnya. Lalu aku bertanya kepadanya tentang apa yang dia selalu lakukan. Abu Darda’ seterusnya membaca hadis ni sambil menyebut bahawa beliau menginginkan malaikat mendoakanku (dipetik dan terjemah bebas dari Siyar Aklam al-Nubala’)

 

Hadis ini mengajar kita tentang semangat ukhuwwah, keikhlasan, serta betapa luasnya rahmat Allah SWT. Ia juga menjadi motivasi untuk kita sentiasa mendoakan kebaikan buat saudara kita dalam diam, kerana setiap doa bukan sahaja bermanfaat untuk orang lain, tetapi juga mendatangkan ganjaran yang sama kepada diri sendiri.

 

Ambo secara peribadi rasa kekok tiap kali ditugaskan untuk membaca doa di permulaan majlis rasmi. Setakat nak doa supaya majlis tu berjalan lancar ok je. Biasanya ambo akan baca doa ringkas terutama dari hadis2 atau al-Quran. Tapi kalau nak doa khusus kepada seseorang perasmi majlis atau pemimpin, yang kita rasa macam dah nak mengampu, pong kaki, pong jirik, pong tangan (Arab sebut mujamalah) ni, ambo rasa sedikit kekok. Rasa macam tak ikhlas je. Setakat ni tak pernah lagi diminta untuk berbuat demikian (pong = pump)

 

Kadang2 ambo bermimpi berjumpa sahabat2 lama dan terbangun di awal pagi. Terasa juga dalam hati kenapa tiba2 jer bermimpikan sahabat2 lama ni. Terlintas juga dalam hati maybe mereka tak sihat, diuji dengan ujian dan sebagainya. Ambo bersangka baik maybe mereka sedang bermunajat sambal mendoakan kita (harapnya gitula)

 

Khamis, 24 Julai 2025

Ghibtah, hasad yang dibenarkan

 

GHIBTAH


Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjauhi penyakit hati seperti hasad (dengki), namun Islam mengiktiraf satu bentuk sikap yang dinamakan ghibtah. Ghibtah ialah  perasaan ingin menjadi seperti orang lain dalam kebaikan, tanpa berharap nikmat itu hilang dari mereka. Ghibtah bukan sahaja dibenarkan, malah digalakkan dalam dua perkara seperti yang dijelaskan dalam hadis berikut:

 

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:

"لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا"

 

(Tidak ada hasad kecuali dalam dua perkara, lelaki yang Allah beri kepadanya harta lalu dia menggunakannya di jalan yang benar, dan lelaki yang Allah beri ilmu atau kebijaksanaan lalu dia beramal dengan ilmunya itu dan mengajarkannya kepada orang ramai. - Bukhari dan Muslim)

 

Seingat ambo, memula dengar hadis ni masa dalam kelas tahun 1989/1990. Masa tu kami dalam kelas peralihan. Hadis ni di antara hadis terawal yang kami pelajari. Alhamdulillah matan hadis tu kami masih ingat sampai sekarang. Maybe sebab hafalan masa masih awal remaja ni tahan lama, payah nak berkarat banding dengan sekarang.

 

Para ulama semasa menjelaskan maksud hadis ni menyebut bahawa hasad dengki ni ada 2 jenis. Pertama ialah hasad yang tercela, kedua ialah hasad yang dibenarkan sebagaimana dalam hadis

 

Hasad yang tercela ialah apabila kita bercita-cita atau menginginkan hilangnya kenikmatan daripada saudara kita yang lain. Samada nikmat itu hilang dan seterusnya berpindah ke hak milik kita atau pun tak. Contohnya seorang insan bernama ABC yang dikurniakan kekayaan oleh Allah berupa kebun yang luas, lalu kita bercita-cita supaya kebunnya terlepas daripada pemilikannya. Samada kebun berpindah hak milik kepada kita atau sekadar hilang daripada pemilikan ABC. Semuanya merupakan hasad yang tercela.

 

Bahagian kedua ialah hasad yang harus. Hasad yang harus inilah dinamakan sebagai ghibtah. Maksud ghibtah ialah apabila kita menginginkan kenikmatan sebagaimana nikmat yang ada di tangan orang lain. Perasaan ingin ni tanpa menghilangkan nikmat daripadanya. Contohnya ABC merupakan seorang yang kaya dan hartanya banyak diinfakkan (didermakan) untuk kebaikan. Kita ingin nak jadi seperti ABC supaya kita dapat berbakti sepertinya. Maka ini merupakan hasad yang harus atau ghibtah. Ghibtah ini biasanya akan menjadi motivasi kepada kita untuk berusaha mencapai tahap seperti ABC

 

Hadis di atas menyebut ghibtah yang diharuskan melibatkan 2 perkara iaitu harta dan hikmah (ilmu)

 

Harta merupakan ujian dan amanah. Apabila seseorang diberikan harta oleh Allah dan dia menggunakan hartanya untuk tujuan yang diredai Allah seperti infak, membantu orang miskin, jihad, pembangunan, maka dia berada dalam kedudukan tinggi di sisi Allah. Orang lain yang melihat boleh merasa cemburu ghibtah terhadapnya iaitu berharap untuk memiliki kemampuan sama dan menggunakannya seperti itu.

 

Hikmah di sini membawa maksud ilmu yang membawa kepada kebenaran serta amalan yang bijaksana. Ia meliputi ilmu agama, kefahaman terhadap syariat, kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan keberanian menyampaikan ilmu. Orang yang mengajarkan ilmu dan menjadi rujukan masyarakat juga termasuk dalam kategori ini. Ghibtah terhadap golongan ini adalah dorongan positif kepada penuntut ilmu.

 

Islam tidak menghapuskan perasaan ingin maju atau berjaya, tetapi ia menyalurkannya ke arah positif. Ghibtah dalam konteks ini menjadikan seseorang lebih rajin bekerja, menuntut ilmu dan berusaha memberi manfaat kepada masyarakat. Ia bertentangan dengan hasad yang mendorong kepada permusuhan dan kemurkaan Allah.

 

Hadis ini merupakan panduan rohani yang hebat dalam membentuk hati yang bersih daripada penyakit hasad, dan menggalakkan sikap positif dalam mengejar kebaikan. Dalam dunia hari ini, apabila ramai yang cemburu kerana duniawi, hadis ini mengingatkan kita bahawa yang patut dicemburui ialah orang yang bersungguh-sungguh berkhidmat untuk agama dan masyarakat. Maka, marilah kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, agar kita turut tergolong dalam golongan yang diredai Allah.

Sabtu, 19 Julai 2025

Baggio, the died man standing

 

SEMBANG-SEMBANG SANTAI

 

BAGGIO, THE DIED MAN STANDING

Kalau anda minat bola terutama pasukan Itali, anda pastinya kenal atau pernah dengar nama Roberto Baggio. Baggio merupakan pemain bintang Itali masa world cup USA 1994 (WC94). Beliau menyarung jersi no 10 berwarna biru, berseluar putih dan bertocang. Beliau bermain untuk kelab2 besar Serie A seperti Fiorentina, Juventus, AC Milan, Inter Milan n etc

 

Roberto Baggio lahir di Caldogno, Itali. Beliau terkenal sebagai pemain bola sepak yang memiliki kreativiti, ketepatan sepakan percuma, teknik tinggi dan visi luar biasa. Gelarannya "Il Divin Codino" bermaksud "Si Tocang Ilahi", merujuk kepada gaya rambutnya dan gaya permainannya yang luar biasa.

 

Masa WC94 tu ada banyak benda yang berlaku. Gol sendiri Escobar yang menyebabkan Colombia tersingkir dan beliau ditembak mati apabila pulang ke negaranya selapas WC, kes Maradona digantung kerana dadah, posisi no 10 Brasil yang tak menjadi n etc. Namun ada satu peristiwa yang ambo nak sentuh iaitu tentang ketabahan Baggio menghadapi peminat dan media kerana sepakan penaltinya yang melangit hingga di gelar lelaki yang mati berdiri (the died man standing).

 

Itali ni pulak sinonim dengan gelaran pasukan lambat panas. Masa WC94 Itali tewas dalam perlawanan pertama lawan Ireland. Seterusnya Itali menang dengan Norway dan seri dengan Mexico. Tu pun menang tipis je. Itali masuk ke pusingan kalah mati dalam keadaan Baggio tak jaringkan sebarang gol. Pundits tak letak harapan sangat kat Itali untuk pergi jauh masa tu

 

Masuk pusingan kalah mati, Itali mula bangkit. Baggio menjadi wira Itali apabila menjaringkan 5 gol termasuk gol kemenangan masa lawan Nigeria, Sepanyol dan Bulgaria. Gol masa lawan Bulgaria tu agak lawa.

 

Masuk Final, Itali lawan Brasil era Romario-Bebeto. Perlawanan tu terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti. Baresi dan Massaro gagal menyepak masuk. Apabila tiba giliran Baggio, sepakannya melambung ke langit dan Brasil dinobatkan juara buat kali ke 4, kali pertama selepas 24 tahun. Ambo masih ingat lagi waktu tu dah hampir 630 pagi, kami dah nak ke sekolah.

 

Kalau kita tgk semula rakaman kat youtube , kita akan nampak betapa kecewanya Baggio. Beliau berdiri di tempat sepakan penalti sambil menunduk kecewa namun tidak rebah. Daripada keadaan inilah ada yang menggelarkan Baggio sebagai the died man standing. Frasa ini dipercayai diinspirasikan dari petikan falsafah (Socrates died poisoned. Nietzsche died hallucinating. And Baggio… died standing)

 

Frasa “The Died Man Standing” yang sering dikaitkan dengan legenda bola sepak Itali, Roberto Baggio, bukanlah gelaran rasmi seperti "El Fenomeno" atau "Il Divin Codino" (gelaran Baggio sendiri), tetapi ia adalah ungkapan puitis yang mencerminkan tragedi, ketabahan dan kemanusiaan mendalam yang mengiringi perjalanan hidup dan kariernya.

 

Ia bukan bermaksud Baggio benar-benar mati. Mati di sini hanyalah simbolik, jiwanya mati di saat tu. Beliau menanggung beban kegagalan yang bukan sepenuhnya kesalahannya, tetapi seluruh dunia melihatnya sebagai punca. Kalau nak dikira, Baresi dan Massaro juga gagal dalam sepakan penalti tu tapi takder pulak kedengaran peminat atau media menyalahkan mereka berdua. Sebaliknya kegagalan Baggio yang diperbesarkan. Apa yang menjadikan Baggio luar biasa ialah dia tidak pernah menyalahkan sesiapa. Dia tidak berundur. Dia tidak minta simpati. Dia terus berdiri.

 

Selepas WC94, walaupun sering dibelenggu kecederaan, Baggio tetap bermain secara profesional. Beliau kembali menjaringkan gol untuk Itali, bermain untuk kelab seperti Bologna dan Brescia, dan menolak untuk bersara awal, walaupun ramai ragu-ragu terhadap fizikalnya.

 

Hari ini, Roberto Baggio dikenang bukan hanya kerana gol-gol hebatnya, tetapi kerana cara dia menanggung kegagalan, tanpa menyalahkan sesiapa.Dia adalah simbol seorang manusia yang telah “mati” secara emosi, tetapi tetap berdiri dan terus melangkah. Itulah makna "The Died Man Standing"

 

Baggio menjadi wira Itali dari pusingan kalah mati sehingga ke final. Kalau nak dikira, Baggio selayaknya diangkat sebagai wira. Namun kerana satu kesilapan, beliau dibebankan sebagai factor kegagalan Itali menjulang kejuaraan dunia

 

Begitulah kadang2 adat dunia. Berapa banyak jasa dan kebaikan yang kita buat, hanya dengan sekali kesilapan, yang silap itulah yang orang akan ingat seolah-olah tiada kebaikan langsung yang kita buat.