Selasa, 15 Julai 2025

Final UCL 1994, Luka Athens yang memeritkan

 

SEMBANG-SEMBANG SANTAI

 

Final UCL 1994, Luka Athens yang memeritkan

 

18 Mei 1994, di Stadium Olympic Athens, Barcelona turun ke padang sebagai pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah. Barca masa tu di bawah kendalian Johan Cruyff, jurulatih lagenda yang sering dikaitkan dengan total football, tiki taka, bolasepak yang mementingkan penguasaan bola.

 

Skuad barca merupakan skuad penuh, dari bawah ke atas dengan bintang utama mereka gandingan Romario-Stoihkov kat depan. Pasukan ini masih segar dengan kejuaraan 2 tahun sebelumnya (1992). Mereka juga dah 3 tahun berturut-turut menjuarai La Liga. Beberapa pemain utama seperti Koeman, Zubizaretta, Ferrer, Guardiola n etc masih membarisi skuad 1994. Cruyff menyebut sebelum perlawanan bahawa skuad ini lebih matang dan lebih sempurna berbanding skuad juara 1992.

 

AC Milan pula di bawah kendalian Fabio Capello. Jurulatih yang menggantikan Arigo Sachi yang mengemudi pasukan kebangsaan Itali. Milan sebenarnya merupakan skuad yang tempang. Pemain utama Marco Van Basten cededa, tonggak pertahaan Franco Baresi, Costacurta dan Lentini tidak berada dalam kesebelasan utama. Media dari awal meletakkan Barca dalam keadaan terbaik untuk menjulang UCL 1994

 

Namun apa yang berlaku malam itu bukanlah malam kemenangan. Sebaliknya, ia menjadi malam yang dicatat sebagai malam celaka Barcelona, apabila mereka dibelasah 4-0 oleh AC Milan dalam final yang penuh kejutan. Fabio Capello membuktikan bahawa kekuatan taktikal dan disiplin mampu mengatasi pasukan bertaraf bintang.

 

Seawal permainan bermula, Milan menunjukkan disiplin dan kesungguhan luar biasa. Mereka tidak bertahan seperti dijangka, tetapi mengawal tempo dan mencipta serangan pantas yang merobek pertahanan Barca. Jaringan Daniel Massaro (2 gol), Savicevic dan Desailly membunuh semnangat juang pemain Barca. Barca gagal memberi respons bermakna sepanjang 90 minit. Johan Cruyff sendiri mengakui kemudian: “Kami tidak bermain dengan mentaliti yang betul. Kami percaya terlalu banyak pada reputasi.”

 

Ambo tak pasti statistic perlawanan tu. Sempat juga rujuk beberapa laman web tapi tak jumpa. Apa yang pasti, barca cukup sukar mendekati apatah lagi nak masuk kotak penalty AC Milan. Pemain Barca nak pegang lama pun sukar. Suatu yang luar biasa bagi pasukan barca era Cruyff. Barca mula bernafas selepas AC Milan mengendurkan serangan selepas gol ke 4 mereka.

 

Ada pundits yang menyebut bahawa pemain barca terlalu yakin untuk menang dalam perlawanan tu. Reputasi mereka sebagai pasukan pilihan dengan skuad sempurna nyata membunuh mereka. Selain itu taktikal Cruyff yang mahu bermain total football dengan skuad AC Milan yang kompak, tersusun dan melakukan serangan balas pantas nyata juga menjadi factor kekalahan Barca. Pertahahan Barca yang dibarisi Koeman, Nadal, Ferrer agak longlai malam tu semuanya tak menjadi

 

 

Kekalahan 4-0 ini bukan sekadar kekalahan biasa. Ia adalah tamparan hebat kepada reputasi ‘Dream Team’ Cruyff dan mencetus perubahan besar dalam Barcelona. Ramai menyifatkan malam itu sebagai penghujung era dominasi Cruyff, walaupun beliau kekal sebagai jurulatih untuk setahun lagi. Sebaliknya, Milan menegaskan status mereka sebagai gergasi Eropah sebenar, menjulang UCL buat kali kelima dengan penuh gaya.

 

 

Selepas kekalahan memalukan itu, Barcelona memasuki fasa penuh tekanan dan perubahan yang akhirnya menandakan penghujung era “Dream Team” Johan Cruyff. Kekalahan itu menggugat keyakinan pasukan dan peminat. Dari pasukan penuh keyakinan, Barcelona menjadi pasukan yang hilang arah dalam perlawanan besar.

 

Selain itu, hubungan antara Johan Cruyff dan Presiden kelab Josep Lluís Núñez mula meretak. Musim seterusnya menyaksikan Barcelona menamatkan La Liga di tempat ke-4. Mereka dibelasah 5-0 oleh Real Madrid pada Januari 1995, seolah-olah menambah luka selepas kekalahan kepada Milan.

 

 

Selepas dua musim tanpa kejuaraan besar, Cruyff dipecat oleh presiden kelab pada tahun 1996. Pemain bintang seperti Zubizaretta, Koeman, Romário, Hristo Stoichkov dan Michael Laudrup (yang telah tinggalkan kelab ke Real Madrid sebelum final) mula berundur. Struktur pasukan berpecah dan tidak lagi konsisten. Ini menutup lembaran "Dream Team", walaupun beliau meninggalkan legasi besar dalam gaya permainan dan pembangunan akademi.

 

Final UCL 1994 bukan sahaja kekalahan berat, tetapi menjadi titik perubahan yang menggugurkan era keemasan pertama Barcelona. Ia membuka jalan kepada fasa pembinaan semula yang akhirnya melahirkan generasi emas seterusnya melalui La Masia dan pengaruh Cruyff yang kekal hingga ke era Pep Guardiola.

 

Hinga ke hari ini, ambo cukup seriau apabila Barca jumpa dengan pasukan jenis elcatenacio terutama geng Itali. Mereka sukar dijangka, mampu bertahan secara unit dan kompak sebelum melancarkan serangan balas pantas.

 

# ditulis berdasarkan ingatan. Ambo sempat tengok live depan kaca tv pada separuh masa kedua. Ambo sempat juga merujuk kepada beberapa website macam ESPN, Sky, Fox tapi maklumat tak banyak maybe sebab benda dah lama.

Tiada ulasan: